Bab 10

Romance Series 41999

USAI solat isyak, Harzan keluar dari masjid dan menuju ke sebuah kedai makan. Sambil menunggu pesanannya tiba, Harzan yang duduk bersendirian mengambil peluang dengan menatap skrin telefon bimbitnya. Menyedari ada beberapa mesej yang diterimanya, Harzan segera membaca dan dengan pantas jari jemarinya menaip balasan. Seketika kemudian, roti canai yang dipesannya sebagai juadah pada malam itu dihidangkan ke meja. Harzan kemudian meletakkan telefon bimbitnya dan dengan pantas menjamah juadahnya. Roti canainya dicarik dan dicicah ke dalam kuah kari sebelum dimasukkan ke dalam mulut. Harzan cuba menikmati makan malamnya itu dengan mengunyah perlahan-lahan. Ketika itu juga fikirannya tiba-tiba diserbu oleh bayangan wajah Ayra. Sambil mulutnya mengunyah, Harzan mulai memikirkan berbagai hal mengenai Ayra. Dia masih tertanya-tanya kenapa gadis itu tiba-tiba berhenti dari kerja. Lelaki itu turut teragak-agak membuat andaian, semua itu berlaku kerana dirinya. Harzan bingung. Apakah dirinya masih ada peluang untuk menemui Ayra selepas ini. Jika tiada rezeki untuk bertemu, Harzan terpaksa pasrah. Mungkin takdir ingin menamatkan pertemuannya dengan Ayra.

Selesai makan dan membuat pembayaran, Harzan tidak tahu ingin menuju ke mana. Dia masih tiada keinginan untuk pulang ke rumah walaupun kediamannya terletak tidak jauh dari kedai makan. Hatinya masih terasa gundah. Dia ingin sekali menenangkan perasaannya yang sedang berkecamuk dikala itu. Harzan menghidupkan enjin motosikalnya dan langsung meluncur laju meredah jalan. Dia sendiri tidak tahu ke mana arah tujuannya. Yang pasti dia hanya perlu bergerak dan mengikut kata hatinya.

Setelah puas meronda jalan raya dengan motosikalnya, Harzan kemudian membelok memasuki sebatang jalan yang agak lengang dan memberhentikan kenderaan tunggangannya. Suasana sunyi di kawasan tersebut serba sedikit dirasa mententeramkan jiwanya.Walaupun sunyi, namun kegelapan malam dikawasan tersebut terhapus dek limpahan cahaya lampu neon terang benderang. Harzan cuba menghayati suasana damai di situ sambil memejamkan matanya. Seketika kemudian, Harzan dikejutkan dengan suara tangisan. Lelaki itu lantas membuka matanya dan melihat ke sekitar kawasan.

"Takkan suara hantu kot.." Harzan berbisik kepada dirinya sendiri. Tanpa merasa takut, dia melangkahkan kakinya untuk mencari pemilik suara tangisan tersebut. Tidak jauh melangkah, Harzan akhirnya menemukan seorang perempuan sedang menangis teresak-esak sendirian. Gadis berambut panjang itu terduduk di bangku sambil menundukkan wajahnya. Harzan dengan perasaan ingin tahu lantas mendekati perempuan tersebut. Apabila menghampiri perempuan yang sedang menangis itu, Harzan mula terkejut besar. Perempuan itu adalah Ayra. Gadis yang sering muncul dalam pemikirannya sepanjang hari dan mengganggu ketenteraman emosinya.

"Ayra.. kenapa ni? kenapa awak kat sini?" Harzan tanpa berlengah, segera menegur gadis yang sedang menangis itu. Mendengar suara Harzan, Ayra pun mengangkat pandangan wajahnya. Air matanya segera diseka dan Ayra memalingkan mukanya dari melihat Harzan. Gadis itu sebenarnya tidak ingin Harzan melihat dirinya yang sedang menangis. Dia tidak ingin sesiapa pun tahu mengenai kekecewaan hatinya di saat itu. Harzan yang tidak dapat menahan kerisauannya mendekatkan lagi tapak kakinya ke arah Ayra. Dia benar-benar khawatir apabila melihat keadaan gadis tersebut.

"Ayra.. awak okay tak ni? Apa yang dah berlaku?" Harzan bertanya lagi untuk menunjukkan keprihatinannya.

"Takde apa-apa.. saya okay je." Ayra sekali lagi menyeka air matanya sebelum kembali menundukkan wajahnya.

"Hmm.. mana mungkin awak takde apa-apa.. dah la awak tiba-tiba hantar notis berhenti kerja.. apa sebenarnya masalah awak?" Harzan meneruskan pertanyaan. Namun Ayra langsung tidak menunjukkan tindak balas mahupun menjawab pertanyaan lelaki tersebut.

"Ayra.. kalau ada masalah, boleh bagitau saya.. mana tahu saya boleh tolong.." Harzan mengucapkan kata-katanya dengan penuh ikhlas. Matanya tidak berkedip menatap ke arah Ayra yang sedang menunduk di hadapannya.

"Awak tak perlu tahu.. Masalah saya bukan urusan awak." Ayra cuba mematikan kata-katanya dengan tegas. Dia tidak ingin sama sekali berkongsi masalah kepada Harzan yang hanya kenalannya di pejabat. Harzan terdiam seketika apabila dibidas dengan kata-kata kasar dari Ayra. Lelaki itu kemudian menarik nafas yang dalam sebelum meneruskan kata-katanya.

"Walaupun awak pernah menolak saya, tapi bukankah awak sendiri yang dah setuju untuk kita berkawan? Sekarang, sebagai kawan, saya ikhlas untuk mendengar masalah awak. Kalau saya boleh tolong, insyaallah saya akan tolong."

"Cukup Harzan.. saya tak perlukan bantuan awak."

"Walaupun awak taknak berikan hati awak kepada saya, setidaknya awak boleh kongsikan masalah awak kepada saya.. apa pun yang awak nak anggap pada diri saya, tapi perasaan saya kat awak tak pernah kurang sedikit pun Ayra.. Awak tetap perempuan hebat dan perempuan terbaik yang ada dalam hati saya.. Saya tak kisah awak nak anggap saya hanya sebagai kawan, tapi saya tetap ikhlas untuk tempatkan awak dalam hati saya dan saya akan sentiasa tolong awak jika awak kesusahan." Harzan semakin tekad meluahkan perasaannya. Jujurnya, Harzan benar-benar ikhlas untuk menhulurkan bantuan semampunya jika Ayra sudi berkongsi masalah.

"Sudahlah.. hentikan semua kata-kata bohong tu.. lelaki semuanya sama.. pandai bermanis mulut, memujuk rayu.. tapi bila dah dapat apa yang diinginkan, terus buat perempuan ni macam kain buruk.." Ayra membentak dan cuba menyanggah kata-kata yang diucapkan oleh Harzan.

"Jadi, awak menangis di sini sebab kecewa dengan lelaki? Saya tak tahu apa yang dah buat awak kecewa, tapi jangan samakan semua lelaki dengan orang yang dah buat awak kecewa..Setiap orang tak sama.."

" Cukup! Itulah lelaki.. pandai menabur janji.. tak payah nak berdalih.. semuanya sama je.. kata-kata awak tu pun dah selalu saya dengar."

"Tapi saya bukan begitu Ayra.. saya betul-betul ikhlas dengan awak. Baiklah.. saya tak harapkan balasan atau janji apa-apa kat awak.. tapi boleh tak awak ceritakan masalah awak? Saya taknak awak terus bersedih macam ni.." Harzan terus memujuk gadis yang sedang merajuk itu dengan penuh kesabaran. Dia tahu emosi Ayra sekarang tidak stabil dan sedang kesedihan yang melampau. Sebolehnya, Harzan tidak ingin gadis itu terus berduka kerana hatinya sendiri turut menjadi pilu apabila melihat tangisan Ayra. Setelah mendengar ucapan Harzan, Ayra mendiamkan diri. Dia tidak ingin terus melayan karenah lelaki yang cuba menyibuk itu. Namun tindakan Ayra yang mendiamkan diri itu membuatkan Harzan semakin resah. Lelaki itu tetap ingin berusaha untuk menghilangkan kesedihan Ayra walau bagaimana pun caranya.

"Ayra.. janganlah terus bersedih.. kalau awak terus memendam perasaan seorang diri, awak sendiri yang akan lebih menderita. Jika ada masalah, awak kena luahkan juga kepada seseorang.. setidaknya awak dapat kurangkan beban yang ditanggung dalam hati awak tu." Harzan cuba bersikap seperti seorang pakar psykologi. Ayra pula lantas menghembuskan nafas dengan kasar setelah terus menerus diganggu oleh Harzan.

"Kenapa awak nak sibuk sangat pasal saya ni? Lebih baik awak tinggalkan je saya sendirian kat sini.." Ayra menyampaikan keinginan hatinya. Matanya kini memandang tepat ke arah Harzan.

"Awak.. awak orang istimewa bagi saya.. saya tak sanggup lihat awak sakit atau bersedih.. lagipun bahaya awak sendirian kat sini.. awak tu orang perempuan.. kalau jadi apa-apa.." Ayat Harzan tergantung di situ.

"Kalau jadi apa-apa kat saya pun, kenapa? Hah, itulah lelaki.. asyik menabur janji..tapi tunaikannya tidak.." Ayra segera menempelak Harzan.

"Tapi saya betul-betul ikhlas nak tolong awak.. saya taknak awak terus menangis sendirian macam ni.."

"Hmm.. kalau macam tu, menikahlah dengan saya.. nak? jangan duk cakap saja.. mulut je cakap macam-macam, manis mengalahkan gula.. tapi bila suruh buat, mula la nak larikan diri, taknak bertanggung jawab." Ayra yang masih tidak stabil emosinya itu memberikan cabaran kepada Harzan. Gadis itu beranggapan lelaki itu pasti sama sahaja dengan Rafiq dan para lelaki lain. Lelaki hanya pandai menabur janji tapi tidak berani untuk menunaikan janji mereka. Harzan terpana seketika apabila mendengar cabaran Ayra kepadanya. Cabaran yang langsung tidak masuk akal bagi Harzan. Tapi cabaran Ayra itu sepertinya orang mengantuk disorongkan bantal kepada Harzan.

"Me..menikah? menikah dengan awak?" Harzan cuba mendapatkan kepastian dari ucapan Ayra sebentar tadi. Dia ingin memastikan gadis itu tidak tersalah cakap.

"Hah, kenapa? tak berani? Mana kata-kata ikhlas awak selama ni?" Ayra cuba memerli. Dia yakin Harzan akan menolak cabarannya itu.

"Kalau itu yang awak mahukan, saya terima.. Ayra Arissa, saya bersedia untuk menikah dan jadikan awak sebagai isteri." Harzan mengukirkan senyuman. Pucuk di cita ulam mendatang. Harzan sama sekali tidak akan menolak apa yang dia hajati selama ini. Kini Ayra pula terkaku. Gadis itu terpana dengan jawapan dan kesanggupan Harzan terhadap cabarannya. Dia langsung tidak menyangka Harzan mampu menjadi seberani itu. Ayra kini terjerat dengan kata-kata dan cabarannya sendiri. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, terimalah akibatnya. Ayra menjadi pasrah. Mahu atau tidak, dia terpaksa menerima hasil dari cabarannya sendiri. Ayra mula memikirkan, bagaimana untuk dirinya hidup bersama lelaki yang tidak pernah dia cintai. Malah lelaki yang akan menjadi suaminya itu hanyalah seorang pekerja am pejabat. Mampukah dia hidup bahagia dengan suami yang berpendapatan rendah itu. Namun semuanya sudah ditakdirkan. Ayra sendiri yang terlepas cakap dengan memberikan cabaran. Kini dia perlu hadapi cabaran yang dia sendiri ciptakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience