Bab 15

Romance Series 41999

"Assalamualaikum.." Harzan melontarkan salam kesejahteraan sambil membuka pintu rumah. Lelaki itu perlahan-lahan menapakkan langkah kakinya ke dalam rumah. Di kedua belah tangannya terdapat beberapa beg plastik yang terisi dengan pelbagai jenis barang keperluan dapur.

"Waalaikumussalam.." Ayra yang berada di ruang tamu menjawab salam suci dari suaminya sambil matanya menatap skrin komputer riba. Pandangannya kemudian beralih kepada Harzan yang baru masuk ke dalam rumah dan sedang menutup pintu. Ayra sedikit tersentak dan matanya terbeliak apabila melihat barangan yang dibawa pulang oleh suaminya.

"Awak beli ke semua barang tu?" Ayra langsung menyapa. Dia seakan tidak percaya suaminya itu membeli begitu banyak barang. Sekilas pandang, Ayra sudah dapat mengagak, semua barangan yang dibawa oleh suaminya itu adalah barangan dapur dan bahan makanan.

"Ye la.. takkan la curi pulak." Harzan menjawab dengan santai sambil tersengih. Mendengarkan jawapan yang berseloroh dari suaminya itu, Ayra segera melepaskan hembusan nafas yang kasar.

"Tahu la awak tak curi.. tapi kenapa beli banyak sangat? Siapa nak makan semua tu? Nanti rosak.. membazir je.." Ayra menggerutu dengan sikap Harzan yang dirasakan agak boros walaupun bergaji kecil.

"La.. membazir apanya.. ni boleh buat stok sebulan makan kat rumah ni. Kalau tak cukup, nanti saya belikan lagi.." Harzan sedikit terhuyung hayang semasa berjalan kerana membawa beberapa beg plastik yang berat di kedua belah tangannya. Harzan terus tersenyum sambil berjalan menuju ke arah dapur. Ayra pula menatap tajam dari arah belakang lelaki yang sedang membimbit beban di tangan itu.

"Tak cukup apanya.. itu dah lebih dari cukup.. jangankan sebulan, dua bulan pun tak habis makan.. awak jangan la duk membazir sangat.. berjimat cermat sikit.. gaji awak pun bukannya besar sangat." Ayra jujur meluahkan rasa yang terbuku dihatinya. Dia bukan ingin merendahkan Harzan yang berpendapatan rendah, namun dia ingin suaminya itu lebih berjimat cermat dalam berbelanja. Harzan yang sudah meletakkan semua barangan yang dibawanya tadi ke dapur, segera berjalan kembali ke ruang tamu. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman. Sampai saja di ruang tamu, Harzan segera melabuhkan punggungnya di sofa, berhadapan dengan Ayra.

"Tak payah risau la.. pandai la saya uruskan kewangan saya. Lagipun dah jadi tanggung jawab saya untuk sediakan nafkah kat keluarga kita."

"Ye.. tahu.. tapi masalahnya, kat rumah ni hanya ada awak dan saya je.. barang yang awak beli tu, dah macam untuk makan lima orang tau? Tu tak kira kalau kita makan kat luar lagi.." Ayra masih cuba untuk menasihati suaminya itu.

"Makan kat luar? Hmm.. Sejak kahwin, kita tak pernah lagi keluar makan berdua kan? Apa kata esok kita makan malam kat luar?" Harzan segera memberikan cadangan. Kata-kata Ayra sebentar tadi telah memberi idea kepada lelaki itu untuk mencari jalan agar lebih merapatkan hubungan diantara mereka berdua. Walaupun sudah tinggal bersama, namun Harzan masih tidak merasai perasaan cinta dari Ayra terhadap dirinya. Dia akan terus berusaha untuk memenangi hati isterinya itu. Walaupun Ayra tidak pernah melawan atau meninggikan suara, namun wanita itu sering melayan Harzan dengan acuh tak acuh sahaja.

Setelah mendengar ajakan Harzan untuk mereka keluar makan bersama, Ayra segera membatukan diri. Matanya kembali terarah kepada paparan layar komputer riba dihadapannya. Ayra sama sekali tidak ingin menjawab. Dihatinya, Ayra sebenarnya menjadi serba salah. Dia ingin menolak ajakan tersebut, namun tidak sanggup untuk diluahkan. Dia juga ingin menerima, namun segan untuk mengiyakannya. Maka Ayra lebih memilih untuk mendiamkan diri.

"Emm.. Apa kata kita pergi honeymoon?" Harzan memandang ke arah Ayra dengan mata yang bersinar, penuh pengharapan. Dia sebenarnya tidak tahu untuk memilih topik yang harus dibicarakan. Harzan hanya tidak ingin merasa kekok dengan suasana sepi apabila Ayra tidak menjawab pertanyaannya tadi. Entah kenapa, terpacul pula dari mulutnya untuk mengajak isterinya itu berbulan madu. Ayra pula tiba-tiba terbeliak kedua biji matanya apabila mendengar ucapan Harzan.

"Ho..honey..honey moon? Ish.. jangan nak mengarutlah.. tak payah duk membazir buang duit.. baik simpan duit awak tu untuk buat benda yang lebih penting.." Ayra sedikit tergagap dan kelam kabut. Dia langsung tidak menyangka Harzan akan terfikir untuk berkata sedemikian.

"Ala.. kita honey moon dekat-dekat je.. langkawi ke.. bukannya habis banyak duit pun. Lagipun, simpanan saya ada lagi.." Harzan tersenyum simpul sambil melirikkan matanya ke arah Ayra.

"Tak payah! Kan saya dah cakap, jangan membazir.. simpan je duit awak tu untuk benda yang lebih penting nanti.." Ayra tetap menyanggah. Wanita itu terdiam sejenak. Kemudian dia melanjutkan lagi kata-katanya.

"Tapi.. awakkan baru kerja.. dari mana ada simpanan pulak?"

"Oh, sebelum ni saya ada la buat kerja lain.. bukannya duk menganggur je dari dulu, pastu tiba-tiba dapat kerja." Harzan menepuk dahi. Ayra turut tersengih seraya menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tiba-tiba Ayra merasakan dirinya telah bertanya soalan paling bodoh kepada suaminya itu. Pasti tidak mungkin lelaki yang berusia awal 30an itu tidak bekerja selama ini. Dia cuma tahu Harzan baru bekerja di syarikat yang sama dengannya sejak lebih sebulan yang lalu.

"Jadi.. sebelum kerja kat syarikat tu, awak buat kerja apa?" Ayra mula ingin tahu latar belakang suaminya itu.

"Itu.. emmm.. saya.. sebelum ni.. cuma duk buat kerja kampung je.. buat kebun, tanam sayur.. lepas tu rasa nak berhijrah ke bandar.. tapi saya ni ada SPM je.. tu yang minta kerja sebagai pekerja am kat syarikat tu.. Nasib baik dapat.. kalau tak, mungkin saya akan kerja kilang je kot." Harzan sedikit gagap untuk menjawab. Bibirnya mengukir senyuman yang kelat sambil pandangan matanya dijatuhkan ke lantai.

Ayra menyedari perubahan tingkah laku suaminya itu. Ayra segera faham dan menganggap Harzan pasti merasa malu dengan pekerjaannya sebelum ini. Dia sendiri baru tahu bahawa suaminya itu adalah seorang lelaki kampung yang tidak berpendidikan tinggi dan hanya mencari nafkah dengan berkebun dan melakukan kerja-kerja di kampung. Ayra tidaklah memandang rendah kepada Harzan. Dia sedar, dirinya sendiri pun hanya bersekolah setakat tingkatan lima dan mengambil STPM pun sebagai calon persendirian. Ayra sendiri pernah bekerja di kilang sebagai operator pengeluaran sebelum menjadi pembantu peribadi kepada Rafiq yang merupakan seorang pengurus besar. Padahal, pendapatan Ayra sebelum ini pun tidaklah terlalu tinggi. Gajinya sebelum ini pun cuma lebih tinggi sedikit sahaja berbanding gaji Harzan.

"Biarlah buat kerja apa pun.. tak perlu malu dengan pekerjaan kita. Asalkan awak dah berusaha untuk mencari rezeki yang halal." Ayra menyimpulkan senyuman sambil memujuk Harzan yang dianggapnya sedang merasa malu dan rendah diri. Mendengarkan kata-kata Ayra, Harzan dengan pantas mengangkat kembali pandangan matanya yang tadinya dijatuhkan.

"Betul tu.. kita tak perlu malu.. bahkan kita patut bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk bekerja. Dia berikan kita kaki dan tangan yang sempurna.. Dia juga berikan kita kudrat dan akal untuk berusaha.. Cuba bayangkan, betapa ramai manusia yang tidak diberi kemampuan untuk bekerja? Berapa ramai yang sakit, terlantar, tak boleh bekerja.. Yang ada Ijazah pun ramai yang menganggur.. itu semua kerana mereka tidak diberikan rezeki oleh Allah untuk bekerja.. cuma Allah berikan rezeki kepada mereka dari arah yang lain.." Nada suara Harzan tiba-tiba berubah dan menjadi lebih bersemangat.

"Dah mula dah ceramah dia.." Ayra mula merungut apabila Harzan dirasakan sudah memulakan tazkirah agama. Suaminya itu sering berbicara dengan melandaskan kata-katanya melalui agama. Ayra kemudian mengalihkan kembali anak matanya ke arah skrin komputer.

"Salah ke apa yang saya cakap?"

"Tak salah pun.. betul la yang awak cakap tu.." Ayra terus menatap komputer ribanya sambil menjawab pertanyaan Harzan dengan sikap acuh tak acuh. Harzan pula terdiam melihat tingkah laku isterinya itu.

"Alamak.. dah tutup pulak tarikh permohonan.." Ayra menarik badannya ke belakang seraya menepuk paha kanannya. Matanya masih melekat pada arah skrin komputer. Harzan mula pelik dengan tindakan wanita tersebut.

"Tarikh permohonan? Permohonan apa?" Harzan menjadi ingin tahu.

"Ah..saya lupa nak bagitau awak.. Ni.. saya tengah cari kerja.. Kat sini ada jawatan kosong, tapi tarikh permohonan tu dah tutup semalam.. Saya ingat, nak kerja balik la.. takkan nak harapkan kat awak sorang je kerja.. lagipun mana la cukup dengan gaji awak tu untuk tampung kehidupan kita kat bandar ni." Ayra baru menyampaikan hasratnya kepada Harzan.

"Oh.. jadi awak nak kerja semula la? Hmm.. tapi rasanya saya masih mampu kot untuk sediakan keperluan awak.. kalau awak tak kerja pun takde masalah."

"Jadi awak tak izinkan saya bekerja?" Ayra tiba-tiba bertukar riak wajah yang serius. Matanya kini memandang tepat ke arah suaminya.

"Bukan saya tak izinkan.. kalau awak nak bekerja, terserah je kat awak.. saya tak nak halang.. cuma saya rasa, setakat untuk berikan nafkah kat awak, saya ada kemampuan. Tapi kalau awak nak bekerja dan perlukan keizinan saya, maka saya izinkan je.." Harzan bangkit dari duduknya dan segera menuju ke arah Ayra. Lelaki itu kemudian kembali melabuhkan punggungnya ke sofa, namun kali ini dia menempatkan dirinya disebelah Ayra. Ayra pula hanya berdiam diri apabila Harzan duduk di sampingnya.

Tiba-tiba Harzan merangkul tangan Ayra. Walaupun terkejut dengan tindakan Harzan, namun Ayra tetap mendiamkan diri dan membiarkan suaminya itu memegang tangannya. Harzan kemudian turut menatap skrin komputer riba di hadapan Ayra.

"Hmm.. cuba scroll ke atas.." Harzan mengacungkan jari telunjuknya ke arah skrin komputer. Ayra masih diam dan menurut kata-kata suaminya itu. Tetikus ditangannya digerakkan sedikit.

"Haa.. tu masih ada jawatan kosong yang masih dibuka.. cubalah apply.." Harzan merapatkan jari telunjuknya ke arah papar layar komputer.

"Ish.. itukan jawatan pengurus.. mana la saya ada kelayakan.. tengok ni.. kelayakan minimum pun degree.." Ayra membantah dengan memberikan penerangan.

"Degree.. atau tiga tahun pengalaman dalam bidang berkaitan.. atau lima tahun pengalaman dalam bidang seumpamanya dan setaraf. Awak kan dah lama jadi P.A kepada pengurus besar.. mesti dah tahu serba sedikit berkenaaan tugas seorang pengurus." Harzan cuba berikan pendapatnya. Ayra pula terpana. Dia tidak menyangka suaminya itu akan memberikan pendapat sedemikian.

"Tapi..." Ayra masih ragu-ragu untuk memohon.

"Tak payah tapi tapi.. apply je.. kalau tak dapat pun, awak tak rugi apa.. tapi kalau dapat, kan untung.." Harzan tetap berusaha menyemangati isterinya. Ayra masih kaku. Dia masih berkira-kira untuk melakukan hal yang disarankan oleh Harzan.

"Apply je.. tak payah duk termenung.. masa takkan tunggu kita.. Saya nak pergi buat air dulu.." Harzan kembali bangkit berdiri seraya mencium pipi Ayra. Tindakan tiba-tiba dari Harzan itu benar-benar mengejutkan Ayra. Bagi Ayra, lelaki itu sering melakukan hal yang tidak terduga olehnya. Namun dalam diam, Ayra sebenarnya sangat senang diperlakukan sebegitu oleh suaminya itu. Ayra mula tersipu-sipu sendirian. Matanya pula melirik ke arah Harzan yang sedang berjalan menuju ke arah dapur. Tanpa Ayra sedari, dirinya sedang menggigit bibir bawahnya. Terasa seolah-olah Harzan telah membuka kunci pada pintu hatinya yang sudah tertutup rapat sebelum ini.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-05-26 21:40:59 

nampaknya cinta mula berputik..amboi encik hazran pndai ye ambil kesempatan..


NovelPlus Premium

The best ads free experience