Bab 7

Romance Series 41999

Pagi yang cerah itu sudah mula ternoda kesuciannya dengan kepulan asap dari pelbagai jenis kenderaan. Manusia sudah pun bersesak di jalan raya untuk menuju ke tempat kerja masing-masing. Di celah-celah kenderaan yang bersusun melintasi jalan raya, kelihatan Harzan sedang memandu motosikalnya dengan cermat dan penuh berhati-hati. Tiba di satu persimpangan, Harzan membelokkan motorsikalnya ke simpang sebelah kiri. Setelah memasuki simpang tersebut, kesesakan lalu lintas sedikit berkurangan dan perjalanan mulai menjadi lancar. Tidak lama kemudian, Harzan tiba di hadapan pejabat. Motosikalnya ditempatkan diruang parkir khas untuk motosikal. Setelah mematikan enjin dan mengunci motosikalnya, Harzan berdiri tegak memandang ke arah tangga bagi menuju ke pejabat. Nafasnya ditarik dalam sebelum dihembus kembali dengan penuh semangat.

Hari ini, Harzan sudah mengumpulkan semangat baru untuk terus bekerja. Malam tadi, semalaman dia cuba memujuk hatinya yang dilanda kekecewaan. Dia tidak ingin terus dirundung rasa kecewa yang tidak berkesudahan. Apa pun yang terjadi, Harzan sedar dirinya harus terus kuat untuk menghadapi perjalanan hidup. Cinta itu hanyalah perencah dalam sebuah kehidupan. Tanpa cinta, hidup tetap akan berjalan walau terasa hambar. Menambahkan ruang percintaan dalam hidup ini hanyalah sekadar menambahkan lagi masam manis sebuah perjalanan. Itulah kehidupan. Bagi Harzan, dia sudah pun menunaikan apa yang telah dikatakan oleh Azian kepadanya. Dia telah pun meluahkan perasaannya terhadap Ayra. Penerimaan atau penolakan dari Ayra itu bukan tugasnya. Dia tiada hak untuk menentukan keputusan Ayra. Jika Ayra sudah menolaknya, dia tetap akan menghormati keputusan gadis itu. Namun jauh disudut hati Harzan, dia sama sekali tidak akan menguburkan perasaan yang sudah bersemi dalam hatinya itu. Perasaannya itu milik dirinya dan tiada sesiapa pun yang berhak menyalahkan perasaannya.

Setelah melangkah masuk ke ruang pejabat, Harzan segera menandakan kehadirannya untuk bertugas pada hari tersebut. Selesai mengesahkan kehadirannya, Harzan langsung menuju ke satu meja hujung sudut dinding. Itu adalah meja yang disediakan khas untuknya sebagai pekerja am di situ. Harzan tanpa berlengah, menyimpan topi keledarnya di bawah meja. Beg yang disandang pada bahunya pula dilepaskan dan diletakkan di atas meja. Baru sahaja Harzan melabuhkan punggungnya di kerusi, Azian tiba-tiba muncul dan mendekati Harzan.

"Hai Zan.. macam mana kau hari ni? Okay ke tak?" Azian segera menyapa lelaki muda itu.

"Hai Kak Yan.. Saya okay je.. kenapa pulak Kak Yan tanya macam tu?" Harzan merasa sedikit aneh dengan pertanyaan Azian.

"Hmm.. ye la.. mana la tahu, kot-kot kau terkecewa sampai sakit kepala.." Azian cuba mengusik Harzan yang dianggap seperti adiknya itu walaupun perkenalan mereka tidaklah terlalu lama.

"Ish.. Kak Yan ni.. kan Kak Yan juga yang pesan hari tu.. jangan obses dengan cinta sampai menolak takdir.. Saya takde pun tangkap cinta sampai tergila-gila Kak Yan.. kalau ikutkan, saya nak pendam je perasaan tu. tapi Kak Yan juga yang suruh saya bagitau dia.. Sekarang saya pun sedikit lega sebab dah luah macam yang Kak Yan suruh.. Kita tak boleh nak paksa untuk orang suka kita." Harzan tersenyum.

"Betul tu.. Kak Yan gembira kalau kau faham apa yang Kak Yan katakan. Kita boleh pilih untuk mencintai tapi kita tak boleh kawal untuk dicintai. Kalau takde jodoh dengan Ayra, kau cari je perempuan lain Zan.. kau pun apa kurangnya.. pasti ramai je lagi perempuan yang sukakan kau."

"Jangan nak mengarut la Kak Yan.. orang macam saya mana ada orang nak pandang." Harzan tetap merendah diri.

"Kau je yang tak peka Zan.. di sekeliling kau, pasti ada orang yang sukakan kau.. mungkin kau je yang tak perasan.. kau tu orang baik, hensem pulak tu.. mana mungkin takde sesiapa yang nak.."

"Astaghfirullah.. Kak Yan.. hensem kot mana la saya ni.. kalau ada perempuan tu, siapa dia?"

"Laa.. mana la Kak Yan tahu siapa.. Kak Yan jumpa kau pun kat pejabat ni je.. mana la Kak Yan kenal siapa yang ada disekeliling kehidupan kau." Azian mula mencebik bibir. Harzan pula tertawa kecil apabila melihat mimik muka yang ditunjukkan oleh Azian kepadanya. Selesai berbual, Azian mula meninggalkan Harzan sendirian di mejanya. Harzan kemudian mengeluarkan beberapa fail dari laci dan diletakkan di atas meja. Beberapa helaian kertas yang merupakan dokumen pejabat dibelek dan dibaca. Sesekali, Harzan mengerutkan dahi. Dia sepertinya tidak memahami isi dokumen yang dibacanya. Seseorang yang hanya menjawat sebagai pekerja am, wajar sahaja tidak memahami segala isi dan perincian yang menjadi tugas pegawai atasan. Tugasnya hanyalah untuk menguruskan dokumen-dokumen pejabat. Sebagai pekerja bahawan, tidak menjadi tugas dan tanggungjawab Harzan untuk memahami segala isi dokumen tersebut. Namun kerana semangat untuk belajar, Harzan tetap mencuba untuk memahami selok belok urusan syarikat yang menjadi tempatnya bekerja sekarang.

Tidak lama kemudian, kehadiran Ayra di ruang pejabat mula menarik perhatian Harzan. Lelaki itu segera melepaskan pandangannya dari menatap dokumen di atas meja dan mula mengalihkan matanya ke arah Ayra. Walaupun semalam gadis itu menolak cintanya, namun Harzan tetap menaruh perasaannya dengan kemas. Tidak sekelumit pun perasaannya terhadap Ayra terasa luntur. Bahkan perasaannya semakin bergelora apabila memandang Ayra. Pagi itu, gadis yang menarik perhatiannya itu terlihat begitu cantik dan menawan. Namun ada sesuatu yang berubah pada gadis itu. Harzan mula merasa aneh. Gadis itu terlihat sedikit sugul dan tidak cerai seperti biasa. Walaupun kecantikannya menyerlah, namun tiada keceriaan pada wajah gadis tersebut. Harzan yang menyedari hal tersebut tidak mampu berdiam diri. Dia segera bangkit berdiri dan segera menuju ke arah Ayra.

Ayra baru sahaja menghempaskan punggungnya ke kerusi di meja kerjanya. Satu hembusan berisi keluhan berat terluah dari mulutnya. Gadis itu kemudian melihat ke arah Harzan yang sedang berdiri di hadapannya. Melihat kehadiran Harzan, Ayra segera mengukirkan senyuman namun terlihat hambar.

"Kenapa? Ada apa yang saya boleh bantu?" Ayra mengajukan pertanyaan kepada lelaki yang berdiri tegak di depan meja kerjanya.

"Awak kenapa? nampak murung je hari ni.. ada apa-apa masalah ke?" Harzan segera meluahkan persoalan yang bermain di benaknya. Dia tidak mampu mengawal dirinya dari melihat Ayra yang seolah berduka cita. Ayra yang mendengar pertanyaan Harzan sedikit terkejut. Dia tidak menyangka lelaki itu akan menjadi prihatin sebegitu terhadapnya. Bagaimana Harzan mampu meneka permasalahan yang sedang mengganggu jiwanya. Ayra bingung.

"Tak..takde apa lah.. saya okay je la.. mana ada apa-apa masalah.." Ayra cuba mengelak. Dia tidak ingin berkongsi masalahnya dengan sesiapa pun apatah lagi kepada Harzan yang cuma seorang pekerja am di pejabat mereka.

"Mana mungkin takde apa-apa.. awak nampak berbeza hari ni.. tak ceria macam biasa." Harzan masih tidak puas hati dengan penjelasan Ayra.

"Kan saya dah cakap takde apa-apa.. awak jangan nak menyibuk boleh tak? Buat je kerja awak, jangan nak ganggu hal peribadi saya." Ayra sedikit mengeraskan suaranya. Dia benar-benar tidak suka diganggu ketika emosinya sedang berkecamuk. Harzan pula hanya mendiamkan diri. Setelah menatap Ayra seketika, Harzan perlahan-lahan berlalu meninggalkan Ayra di mejanya. Gadis itu mengiringi pemergian Harzan dengan jelingan pada hujung matanya. Walaupun tidak menyukai perbuatan Harzan yang cuba mendekati urusan peribadinya, namun pada masa yang sama dia sedikit tersentuh dengan keprihatinan lelaki tersebut. Dia mula sedar bahawa lelaki itu pasti sering memerhatikannya dan dengan mudah menyedari perubahan emosinya.

Tidak lama kemudian, Rafiq pula hadir ke pejabat. Lelaki yang berjawatan sebagai pengurus besar itu dengan kelam kabut melintasi meja Ayra dan masuk ke dalam biliknya. Ayra yang tidak mampu menahan dirinya segera bangkit dan turut masuk ke dalam bilik Rafiq. Dia ingin segera menyelesaikan masalah yang sedang mengusutkan fikirannya sejak dari semalam.

"Kenapa you tak jawab call i malam tadi? Berapa puluh kali i call, i mesej you, tapi you langsung tak jawab." Ayra tanpa berlengah terus melafazkan pertanyaan kepada Rafiq yang baru sahaja meletakkan dirinya di kerusi. Melihat kehadiran Ayra di dalam bilik pejabatnya, Rafiq kembali berdiri dan menghampiri Pembantu Peribadinya itu.

"Ish.. you ni.. kan kita kat pejabat ni.. jangan la duk bawa hal peribadi kita.. nanti nampak kat orang." Rafiq cuba memberi peringatan kepada Ayra.

"I tak peduli.. sekarang you jawab dulu pertanyaan i.."Ayra tetap bersikap keras.

"Sayang.. kenapa ni? Takkan pasal i tak jawab call pun you nak marah-marah kat office ni.. Okaylah.. i minta maaf. malam tadi i tertidur awal.. i letih sangat.. dengan sakit kepala lagi.. lepas makan ubat, i terus tertidur. itu pasal i tak sedar you call i malam tadi.. i sedar pun dah pagi tadi.. tengok ada misscall dari you.. i nak call balik pun, dah pagi.. so, i ingat terus jumpa you kat sini je la.." Rafiq cuba memujuk seraya memegang kedua belah tangan Ayra. Matanya ditatap tepat ke mata Ayra.

"Bukan you keluar dengan Shima tu? sampai taknak jawab call i?" Ayra masih berprasangka.

"Ishh.. you ni.. kenapa nak kaitkan Shima pulak.. kan kami jumpa petang semalam tu just meeting pasal projek je.. lepas tu kami terus berpisah, masing-masing balik rumah.. Hmm.. jadi sebab Shima tu la you jadi cemburu sampai marah-marah ni ye?" Rafiq tersenyum. Tangan kanannya melepaskan pegangan pada tangan Ayra dan perlahan-lahan mengusap pipi gadis tersebut.

"You memang takde apa-apa dengan dia?" Ayra masih menyimpan keraguan walaupun cemburunya semakin menipis.

"Sumpah sayang.. i takde apa-apa la dengan perempuan tu.. kami jumpa hanya atas urusan kerja.. you jangan la cemburu buta macam tu.. you tahukan, i cuma sayangkan you sorang je. I takkan pandang pun perempuan lain selain dari you.." Rafiq masih memujuk dengan kata-kata manisnya. Kedua tangannya kini memegang pipi Ayra dan mengusap lembut pipi gebu gadis itu menggunakan ibu jari.

"Tapi kenapa you kenalkan i sebagai P.A you kat dia? Kenapa tak cakap je i ni girlfriend you? Dah la you pergi jumpa dia, sepatah pun tak bagitau i."

"Sayang.. kan i jumpa dia atas urusan kerja. So  i kena la kenalkan you sebagai P.A.. lain la kalau jumpa tu atas urusan peribadi. Kan i dah bagitau semalam, i dah lewat nak jumpa.. i taknak susahkan you di luar waktu kerja. Okaylah, i janji lain kali kalau nak jumpa sesiapa, walau di luar waktu kerja pun, i akan bagitau you.. memang salah i semalam sebab tak bagitau you awal-awal. I minta maaf okay." Rafiq terus bijak bermain kata. Ayra pula semakin lembut setelah terpujuk. Ayra kemudian mengangkat kedua belah tangannya dan diletakkan pada dada Rafiq.

"Tapi sampai bila kita nak berhubungan secara rahsia macam ni? I nak kita berkahwin dan umumkan perhubungan kita.." Ayra bersuara lembut. Kemarahan yang mengawal dirinya tadi sudah mereda dan menghilang.

"Hmm.. i pun tengah fikirkan pasal ni sekarang.. kalau boleh, i pun nak lekas-lekas kahwin dan umumkan hubungan kita.. tapi sekarang belum masanya sayang.. you pun tahukan, i sekarang ni sibuk dengan macam-macam projek. Bila semua dah selesai, i janji.. kita akan kahwin dan dengan bangga umumkan you sebagai isteri i.." Rafiq semakin melebarkan senyumannya sambil memandang ke wajah Ayra. Gadis itu semakin terpujuk dan mula tersenyum simpul.

"Tapi.. bila sayang? I dah tak sabar nak tamatkan hubungan rahsia ni.. i nak semua orang tahu you adalah milik i." Ayra masih ingin mendapatkan jawapan yang tepat dari Rafiq.

"Tengoklah.. mungkin beberapa bulan lagi.. paling lama pun tahun depan.. i janji.. sabar ye sayang.." Rafiq menyentuh dagu Ayra dengan jarinya. Mukanya cuba dirapatkan ke wajah gadis tersebut namun Ayra segera mengelak.

"Ish, you ni.. jangan buat gila kat sini.. kan ada orang nampak pulak.." Ayra risau jika perbuatan Rafiq yang cuba menciumnya dilihat oleh orang lain. Jika perkara itu ketahuan, perhubungan sulit mereka selama ini pasti akan menjadi buah mulut orang dan Ayra pasti akan dituduh sebagai perempuan murahan kerana cuba menggoda bosnya sendiri.

"Tahu pun takut orang nampak.. tadi bukan main duk marah i.." Rafiq terus tersenyum untuk mengusik Ayra. Gadis itu mula merona kemerahan wajahnya dan dengan pantas menepuk dada Rafiq.

"Dah la.. I nak sambung buat kerja." Ayra segera berpaling punggung dan ingin keluar dari bilik Rafiq. Lelaki yang menjadi pengurus itu pula hanya menatap Ayra berjalan dari belakang dan meninggalkan dirinya yang tercegat disitu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience