Bab 37

Romance Series 41999

KEHIDUPAN sekitar suasana kampung begitu menenangkan bagi Ayra. Dia sudah lama mengidamkan untuk merasa kehidupan di suasana sebegitu. Bagi perempuan yang membesar dna hidup di bandar, Ayra tidak mempunyai kampung halaman. Dia selama ini hanya hidup sebatang kara hanya mempunyai sebuah rumah peninggalan orang tuanya. Sekarang, Ayra bukan sahaja mampu merasai pengalaman hidup di kampung, bahkan dia turut mempungai keluarga mentua yang sangat menyayanginya.

Petang itu, Ayra mencari kelibat suaminya, namun tidak terlihatkan. Dia kemudian menuju ke ruang dapur rumah. Di sana, kelihatan ibu mentuanya sedang membersihkan sayur-sayuran. Ayra segera mendekat dan menyapa ibu mentuanya itu.

"Mak nak buat apa dengan sayur ni? Banyak betul.."

"Ah, kangkung ni nak buat goreng je.. yang sayur-sayur dalam bekas tu pula mak nak masak sayur lemak." Maryani menjawab.

"Kalau macam tu, biar Ayra tolong mak." Ayra menawarkan bantuan.

"Ish, takpe la Ayra..mak boleh buat sendiri."

"Mana boleh macam tu.. takkan la Ayra nak tengok mak buat kerja, tapi menantu tengok saja.." Ayra memberikan hujahnya. Wanita itu segera mengambil sebahagian sayur yang berada di dalam bekas dan diletakkan di meja.

"Kamu jangan buat kerja sangat Ayra.. kamu tu dah berbadan dua.. jaga sikit kesihatan." Maryani memberi nasihat kepada menantunya.

"Ya la mak.. tapi setakat potong sayur ni bukan kerja berat pun.. lagipun, kandungan Ayra baru sebulan.. bukannya sarat lagi."

"Sarat ke tidak, kandungan tetap kena jaga dengan baik.. jangan duk paksa diri buat kerja yang berat."

"Ya mak.. mak jangan la risau.. pandai la Ayra jaga diri " Ayra tersenyum mendegar celoteh ibu mentuanya. Wanita tua itu masih menganggap menantunya itu seperti anak kecil. Namun pada masa yang sama, Ayra gembira. Dia kini memiliki seorang ibu yang mengambil berat terhadap dirinya.

"Ha, adik mana?" Ayra bertanya.

"Hmm..entahlah Ayra.. Azi tu selalu je hilang macam tu je.. bukan dia je.. semua kat dalam rumah ni pun macam tu. Dari bapak dia, Harzan, Azi.. semua sama.. tak larat dah mak nak bebel.. hari-hari kena pesan, kalau nak keluar, bagitau je la nak pergi mana.. sekurangnya senang orang nak cari kalau berlaku apa-apa.." Maryani segera menjawab.

"Kalau bapak dia, tak ke kedai kopi, mesti ada kat kebun.. Harzan pun biasanya kat kebun je.. dia jarang nak pergi tempat lain.. kalau masuk waktu solat, dia pergi ke surau.. tapi si Azi tu entah la.. sekejap ke sana.. sekejap ke sini.. susah nak jaga anak perempuan ni. Betul la kata orang tua dulu.. jaga lembu sekandang lebih senang dari jaga anak dara seorang." Maryani bercerita mengenai perangai masing-masing. Ayra tertawa mendengar ucapan ibu mentuanya itu.

"Hmm.. jadi Harzan kat kebun la sekarang?" Ayra membuat dugaan.

"Ye la tu.. lagipun, kebun tu memang hasil usaha dia selama ni."

"Hasil usaha dia? Tapi..dia cakap kebun tu milik keluarga dia." Ayra terkedu.

"Hahaha.. Harzan memang macam tu.. sebenarnya kebun tu dia yang mula usahakan. Semasa dia sekolah menengah, Harzan balik ke kampung ni untuk jaga nenek dia. Masa tu kami semua masih kat bandar sebab ayah dia kerja kat sana. Bila dia duduk kat kampung ni, sambil jaga nenek dia, dia usahakan tanah keluarga tu, buat kebun sayur. Bila tamat sekolah, dia besarkan lagi kebun tu. Tak lama lepas tu, nenek dia meninggal. Selepas ayah dia pencen, kami sekeluarga balik duduk kat kampung ni. Bila tengok Harzan buat kebun macam tu, Ayah dia pun jadi semangat nak berkebun juga.. Ayah dia keluarkan modal untuk besarkan lagi kebun tu dan guna teknik pertanian moden. Tapi Harzan ni jenis yang tak puas untuk majukan diri.. dia ambil keputusan untuk pindah ke bandar. Kebun dia tu, semua dia bagi ayah dia yang jaga.." Maryani menceritakan kisah permulaan Harzan mengusahakan kebun bagi keluarga mereka.

'Hmm.. padahal pendapatan dia dah puluhan ribu dari hasil kebun tu.. majukan diri apa kalau setakat pergi jadi budak pejabat je.. pelik betul la Harzan ni.' getus hati Ayra.

"Jadi dia mulakan kebun tu dari kecil-kecilan la?" Ayra bertanya.

"Ya.. dulu kecil je kebun tu. Sekangkang kera je.. dia tanam pun, mula tanam kat tanah je dulu.. bukan duk tanam gantung macam sekarang." Maryani memberi penjelasan. Ayra semakin kagum dengan usaha suaminya itu. Dia langsung tidak menyangka kebun yang dilihatnya itu bermula dari tanaman secara tradisional.

"Assalamualaikum.." tiba-tiba kedengaran suaran seorang perempuan memberi salam dari pintu dapur.

"Waalaikumussalam.. oh, Saliha.. ada apa datang ke rumah ni?" Maryani menjawab salam dan melihat ke arah tetamu yang sedang berdiri di muka pintu dapur.

"Saya nak ambil fail.. pakcik Haydar kata fail tu ada kat rumah.. file warna biru kat rak bahagian dapur." Perempuan bernama Saliha menyatakan tujuan kedatangannya.

"Oh, nanti makcik ambilkan.." Maryani segera menjawab.

"Eh, takpe la mak.. biar Ayra je ambilkan." Ayra dengan pantas mendekati rak yang berada di belakangnya. Setelah menjumpai fail yang dicari, Ayra segera mengambil fail tersebut dan menuju ke arah Saliha yang masih berdiri tegak di muka pintu. Ayra langsung menghulurkan fail yang diinginkan oleh Saliha.

"Ni...siapa?" Saliha bertanya.

"Saya Ayra." Ayra menjawab sambil tersenyum.

"Haa.. ni Ayra.. isteri Harzan." Maryani memperkenalkan menantunya.

"Is..isteri..isteri Harzan?" Saliha mempamerkan wajah terkejut.

"Ayra.. ini Saliha.. kawan Harzan. Sekarang dia kerja dengan ayah untuk uruskan kebun tu." Maryani memperkenalkan pula Saliha kepada Ayra.

"Maaf la Saliha.. kami tak umumkan lagi pernikahan Harzan.. nanti la kami jemput semua orang kampung untuk kenduri nanti." Maryani melanjutkan ucapan dengan memberi penjelasan.

Saliha hanya mengangguk perlahan sambil memperlihatkan senyuman. Perempuan itu kemudian membuka fail yang baru diambilnya dari Ayra. Tanpa disangka, beberapa helai kertas terjatuh dari fail tersebut. Ayra segera menunduk untuk bantu mengutip lembaran kertas yang bertaburan itu.  Sekilas, Ayra sempat melihat kertas yang dipegangnya.

"Eh, ini purchase order dari syarikat Teraju Gadung.. Ayra kerja kat sini la.." Ayra terkejut.

"Oh, Ayra kerja kat sana rupanya.." Maryani menganggukkan kepala.

"Ye Mak.. tapi Ayra pun baru je kerja kat sana.. tak tahu pula ayah yang jadi pembekal kat syarikat Ayra. Syarikat kami memang mengeluarkan bahan makanan berasaskan organik." Ayra melanjutkan penjelasan.

"Habis tu Harzan pula kerja kat mana? Tak sekali dengan Ayra ke? Dia tu, buat apa pun, tak pernah nak bagitahu mak." Maryani bertanya sambil mengeluh dengan kelakuan anak lelakinya.

"Emm.. dulu kami kerja kat tempat sama.. kat sana la kami kenal.. lepas tu Ayra berhenti kerja. Dapat kerja kat Teraju Gadung tu.. Tapi Harzan pun katanya dah naik pangkat kat sana.." Ayra menghentikan kata-katanya. Dia tidak ingin mengatakan bahawa suaminya itu sudah berhenti daripada bekerja beberapa hari yang lepas. Bahkan diri Ayra sendiri pun masih dalam penggantungan tugas.

"Harzan naik pangkat? Hmm.." Maryani mengerutkan dahi.

"Ya mak.. mak tak payah la risau.. Harzan memang bekerja dengan gigih. Sampaikan CEO pun boleh perasan bakat yang dia ada.." Ayra ingin membuatkan Maryani bangga dengan anak lelakinya.

"Harzan tu belajar bukan tinggi pun.. setakat SPM je.. tapi dia memang rajin bekerja.." Maryani terseyum.

"Makcik, saya pergi dulu la ya.." Saliha mencelah untuk meminta diri. Maryani hanya mengangguk. Selepas itu, Ayra dan Maryani kembali menyambung tugas mereka di dapur. Sedang mereka memasak, Hazirah pula pulang dan turut membantu.

"Hmm.. mak, Ayra nak ke kebun dulu la.. nak panggil Harzan dan abah balik makan." Ayra menyatakan hasratnya kepada Maryani.

"Nak pergi dengan apa?" Maryani menyoal.

"Ala.. jalan kaki je.. bukannya jauh kebun tu.."

"Ishh.. jangan duk berjalan tengah panas.. kamu tu mengandung Ayra.. mak tak nak kamu susahkan diri."

"Kak Ayra ambil la skuter adik tu. Kunci ada duk tergatung kat situ." Hazirah mencelah sambil menunjukkan jarinya ke arah kunci yang tergantung di dinding.

"Ah, baiklah.."

Ayra kemudian dengan pantas mengambil kunci yang tergantung dan menuju keluar dari rumah.

'comel la pula skuter adik ni..' Ayra berceloteh sendiri sambil memuji kenderaan yang biasa digunakan oleh Hazirah. Tanpa membuang masa, Ayra segera menunggang skuter tersebut dan menuju ke arah kebun. Tiba di kawasan kebun, Ayra menuju ke bangsal yang menjadi tempat berteduh, serta berperanan juga sebagai pejabat kepada seluruh operasi kebun. Skuter dimatikan di tepi bangsal. Ayra kemudian berjalan kaki untuk menemui Harzan. Namun beberapa langkah sebelum masuk ke dalam bangsal, Ayra berhenti menapak. Matanya terpaku kepada Saliha. Gadis yang mendatangi rumah mentuanya tadi kini sedang berdua-duaan dengan Harzan.

'Saliha.. kawan Harzan?' Hati Ayra menggerutu. Dia teringat kata-kata Maryani yang memperkenalkan Saliha kepadanya tadi. Pandangannya tidak berkedip memandang ke arah Harzan dan Saliha yang sedang berbual sesama mereka. Perasaan Ayra mula berubah. Wanita itu dapat merasakan, hatinya mula diusik oleh satu perasaan yang dia tidak suka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience