Bab 40

Romance Series 41999

SETELAH menempuh perjalanan selama beberapa jam, akhirnya Harzan dan Ayra tiba di rumah mereka. Perjalanan dari kampung ke kota terasa sangat memenatkan. Masuk sahaja ke dalam rumah, pasangan suami isteri itu langsung merehatkan diri di sofa pada ruang tamu. Seketika kemudian, Ayra memandang ke arah Harzan yang sedang bersandar sambil mendongakkan kepala ke atas dengan mata yang terpejam. Tiba-tiba, kata-kata Hazirah kepadanya semalam seakan terngiang di telinga.

"Ramai perempuan nak dekati dia, tapi semuanya dia tolak.. Kak Ayra sebenarnya orang yang sangat istimewa.. sebab tu abang boleh suka kat akak."

Ucapan adik iparnya itu seakan mengusik perasaan Ayra. Dia merasa teruja. Namun dia sendiri tidak tahu mengapa alasan Harzan memilih dirinya. Ayra termenung lama sambil memerhatikan suaminya. Kenangan di saat perkenalannya dengan Harzan suatu ketika dahulu tersingkap kembali di ingatan. Ayra terimbau kenangan ketika Harzan meluahkan perasaan terhadap dirinya. Namun Ayra yang ketika itu mempunyai hubungan dengan Rafiq telah menolak Harzan secara mentah. Ketika Ayra bersedih setelah mengetahui kecurangan Rafiq, Harzan jugalah yang muncul dan cuba menemani.

'Hmm.. jodoh itu satu takdir yang tak dapat dielakkan.' Ayra bergumam di dalam hati. Perlahan-lahan wanita itu mendekati Harzan yang terlihat kepenatan. Harzan langsung tidak menyedari jika dirinya menjadi tatapan si isteri sejak dari tadi. Ayra menyuakan mukanya mendekati wajah Harzan.

'kacak juga suami aku ni.. kenapa la selama ni aku tak sedar..' Ayra bermonolog. Wajah Harzan terus di renungnya. Tanpa dijangka oleh Ayra, Harzan tiba-tiba mencelikkan matanya. Harzan mempamerkan riak terkejut apabila menyedari wajah Ayra yang agak rapat dengan mukanya. Ayra pula tersipu malu dengan segera ingin berundur untuk menjauhi suaminya itu. Namun Harzan lekas memegang lengan Ayra dan menahan isterinya itu daripada menjauh. Perlahan-lahan Harzan menarik Ayra untuk kembali merapati dirinya.

"Kenapa? Awak nak cium saya ke?" Harzan langsung bertanya. Ayra pula menjatuhkan pandangan matanya. Dia malu untuk bertatapan mata dengan suaminya itu. Wajahnya terasa panas. Muka Ayra sudah pun merona kemerahan seperti udang yang dibakar. Wanita itu tidak menjawab pertanyaan suaminya, malah dia juga langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi selain mendiamkan diri.

"Ahhh!!" Ayra menjerit.

Wanita itu terkejut apabila Harzan tiba-tiba menarik lengannya dan menyebabkan badan Ayra melonjak ke depan dan dirinya terjatuh ke rangkulan suaminya. Kini Ayra terduduk di riba Harzan sambil dipeluk erat oleh suaminya itu. Wajahnya yang merona dari tadi kini sudah menjadi merah padam. Harzan pula menyimpulkan senyum. Ayra cuba mengikut rentak suaminya. Tangannya perlahan-lahan di angkat dan merangkul leher Harzan yang sedang memeluknya.

"Abang.." Ayra bersuara perlahan.

"Kenapa sayang.." Harzan senang hati mendengar panggilan yang diucapkan oleh Ayra terhadapnya.

"Hmm.. " Ayra kemudian menolak dada Harzan dan wanita itu segera mengalihkan punggungnya dari ribaan suaminya. Ayra membetulkan duduknya di sofa, rapat di samping Harzan.

"Boleh nak tahu, kenapa abang pilih saya? kenapa tak cari perempuan lain je?" Ayra mula melontarkan pertanyaan yang sekian lama dia pendamkan.

"Kenapa pulak? Hmm.. entahlah.." Harzan seakan tidak ingin menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

"Tolong jujur.. jawab betul-betul.. kenapa abang suka kat saya? Padahal abang ada banyak je pilihan.. ramai lagi perempuan lain.." Ayra bertanya dengan serius. Harzan yang mengdengar nada suara isterinya itu terdiam seketika. Selepas menghembuskan nafas panjang, Harzan baru membuka mulut.

"Emm.. susah nak cakap.. perasaan tu hadir dengan sendiri.. mana la abang tahu. Tapi yang pasti, abang suka sebab sayang ni orang baik.. suka bantu orang.. suka bersedekah.."

"Mana abang tahu? ikut pandai dia je.." Ayra cuba mengawal perasaanya. Dia sebenarnya terkejut dengan jawapan suaminya itu. Dia langsung tidak terfikir, entah bagaimana Harzan tahu mengenai dirinya. Padahal sebelum ini, Ayra berpenampilan agak seksi. Auratnya langsung tidak dijaga dan ditutup dengan sempurna sebelum dia menikahi Harzan. Dia juga sering ke kelab malam. Dengan rambutnya juga yang pernah diwarnai dengan pewarna perang, pada umumnya, orang akan beranggapan dia hanyalah seorang perempuan liar dan jahat. Ayra sendiri selama ini tidak kisah jika orang mahu melabelnya sebagai perempuan yang tidak berakhlak dan bermoral rendah. Namun kata-kata Harzan kali ini mengejutkan Ayra. Harzan sama sekali tidak memandang dirinya dari sudut negatif tersebut.

"Abang tahu la.. sayang ni orangnya baik hati.. berjiwa lembut dan penuh kemanusiaan.." Harzan mengelus lembut pipi isterinya. Ayra semakin berbunga-bunga hatinya.

"Ta..tapi.. sayang dulu jahat jugak.. tak pernah solat, tak tahu pasal agama.." Ayra membongkar sisi gelap keperibadiannya.

"Sebab tu abang pilih sayang.. abang tahu sayang orang baik.. tapi terjerumus ke jalan yang salah.. Abang nak selamatkan sayang.. tarik sayang ke jalan yang benar.. itulah peranan menjadi suami isteri. Kita kena saling melengkapi.. setiap orang ada berbuat kesalahan.. tapi sampai bila kita nak terus hidup dengan berbuat kesalahan yang sama? Jiwa yang baik, sayang sekali kalau dibiarkan terus berada di jalan yang gelap.. lebih baik berikan dia cahaya untuk membimbing dan menjadi panduan untuknya selagi kita ada kemampuan.." Harzan memberi jawapan. Ayra pula tercengang.

"Jadi.. abang.. dari awal.. memang nak tolong selamatkan.. sayang?" Ayra tergamam dengan luahan suaminya.

"Lebih kurang macam tu la.. orang lelaki, kalau nak cari pasangan.. mereka tak boleh cari pasangan yang akan menyelamatkan mereka.. sebab suami itu tugasnya sebagai pemimpin.. maka nak jadi suami, seorang lelaki itu perlu bersedia untuk menjadi pemimpin dan penyelamat.. mana boleh menjadi orang yang perlu diselamatkan.. orang lelaki kalau nak cari isteri, hanya perlu cari perempuan yang selamat atau perlu di selamatkan.. yang selamat ni maksudnya perempuan tu dah ada asas pengetahuan pasal agama.. dia dah tahu pasal agama dan menjaga agamanya.. maka perempuan macam ni, masuk dalam kategori yang dah selamat.. suami hanya perlu membimbing sikit-sikit je sebab isterinya tu dah dapat jaga diri sendiri.. satu lagi kategori yang perlu di selamatkan.. yang ni, suami kena didik, asuh, jaga dan bimbing dengan baik.. jadi, macam sayang, abang rasa abang nak bimbing sayang ke jalan yang betul.. sayang kalau jiwa yang baik terus hanyut di dalam kegelapan." Harzan memberikan penjelasan. Ayra semakin terlopong.

"Tapi.. macam mana kalau lelaki tu tak tahu pasal agama? bukan ke dia perlukan isteri yang akan menyelamatkan dan membimbing dia?" Ayra bertanya lagi.

"Lelaki yang tak tahu pasal agama, tak layak berkahwin.. tak layak menjadi pemimpin.. bukankah hadis nabi dah bagitahu, kalau nak pilih pasangan, lihatlah pada agamanya, keluarganya, kecantikannya dan hartanya.. paling utama, lihatlah pada agamanya terlebih dahulu.. Kalau suami tiada asas agama, macam mana dia nak didik dan bimbing isteri dan anak-anaknya nanti?"

"Macam mana pula dengan lelaki mualaf, yang baru masuk agama Islam?" Ayra panasaran.

"Kalau mualaf sekali pun, mereka perlu belajar dan mendalami agama terlebih dahulu.. bila dah faham mengenai agama dan mereka dah jaga rukun islam dan rukun iman dengan baik, barulah mereka layak dinikahi.. jangan cari lelaki yang jadi mualaf semata-mata kerana ingin berkahwin je.. tukar agama kerana nak kahwin, tapi pegangang agama tiada.. akhirnya pasti keluarga porak poranda.. Pastikan mualaf tu dah jaga solat, jaga puasa, jaga pemakanan dan hukum halal haram.. baru mereka layak untuk dinikahi.. Jangan beri alasan, sebab dah Islam, maka boleh berkahwin.. sebab orang perempuan takkan mampu memimpin lelaki.. kalau dari awal suaminya tak jaga solat, sudah pasti isterinya takkan mampu untuk ajar dan paksa suaminya untuk bersolat.. orang lelaki itu sifatnya pemimpin.. mereka takkan sanggup untuk di pimpin oleh perempuan.. sebab itu Allah tidak melantik seorang pun perempuan untuk menjadi nabi. Bukan bermaksud untuk merendahkan perempuan, tapi orang lelaki sama sekali tidak akan tunduk kepada kepimpinan perempuan.. bahkan para nabi dari kalangan orang lelaki pun sukar untuk memimpin umat mereka. Apatah lagi orang perempuan yang mudah terganggu emosi.." Panjang lebar ulasan daripada Harzan. Ayra pula mengangguk perlahan.

Ayra mula fikirkan kembali keadaan dirinya. Kata-kata Harzan itu ada benarnya. Dalam dia tidak sedari, dirinya sendiri perlahan-lahan berubah setelah bersama Harzan. Dia sendiri tidak tahu, entah bagaimana Harzan telah mengubah dirinya menjadi lebih baik. Selepas berkahwin, Ayra mula menutup aurat dan menjaga solat. Dia bahkan jarang keluar malam dan sentiasa meminta izin suaminya itu jika ingin keluar dari rumah. Padahal Harzan sama sekali tidak pernah memberikan arahan atau perintah. Namun Harzan sentiasa memberi kata-kata nasihat dan pujian agar Ayra patuh kepada keinginan suaminya.

"Jadi, abang sebenarnya dah lama perhatikan sayang?" Ayra melontarkan satu lagi persoalan. Harzan terdiam sejenak sebelum menjawab.

"Ya.." Harzan menjawab ringkas. Lelaki itu lantas mengulum senyum. Suasana menjadi sepi seketika. Ayra hanya diam menatap wajah suaminya. Harzan pula tertunduk seolah sedang memikirkan sesuatu. Tidak lama kemudian, Harzan mula bersuara kembali.

"Sayang.. sebenarnya.. abang ada benda nak cakap.."

"Apa dia? cakap je la.." Ayra membalas.

"Sebenarnya.. abang nak kita bersikap jujur je sesama kita.. abang taknak lagi kita ada menyimpan rahsia di antara satu sama lain.. sebenarnya.. abang.."

Tiba-tiba telefon bimbit Ayra berdering. Harzan belum sempat menghabiskan kata-katanya, namun Ayra segera mengangkat punggungnya dari sofa dan mencapai telefon bimbitnya.

"Ah, Fiza call.. sekejap, sayang nak jawab call dulu.." Ayra segera menjawab panggilan dari temannya itu dan berjalan sedikit menjauh daripada Harzan. Suaminya itu pula menghela nafas berat. Harzan menatap Ayra yang berdiri agak jauh darinya. Isterinya itu rancak berbual di telefon bersama sahabatnya.

Setelah selesai berbual di telefon, Ayra mematikan panggilan. Wanita itu kemudian berkalih pandangan kepada suaminya. Harzan sudah pun tertidur dan terbaring di sofa. Ayra segera mendekati suaminya itu.

"Abang.. tadi nak cakap apa?" Ayra bersuara. Namun Harzan tetap diam sambil matanya terpejam rapat.

"Abang.." Ayra mengulangi panggilan. Namun Harzan tetap tidak bereaksi. Lelaki itu langsung tidak sedar daripada tidurnya. Ayra kemudian menggelengkan kepala. Satu kucupan menyinggah di pipi Harzan. Lelaki itu tetap tertidur diam. Ayra tidak ingin menganggu suaminya itu berehat. Dia tahu Harzan pasti kepenatan setelah memandu jauh dari kampung halamannya dan kembali ke rumah mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience