Bab 38

Romance Series 41999

Ayra tidak suka dengan perasaan yang sedang mengganggu hatinya. Perasaan tersebut semakin meluap. Semakin lama, perasaan itu semakin mengganggu emosi Ayra. Wanita itu kemudian berpaling badan dan meninggalkan ruang bangsal, seraya menuju semula ke arah skuter yang dibawanya. Dia tidak sanggup untuk terus melihat suaminya berdua-duaan dengan perempuan lain.

Kelibat kehadiran Ayra sempat di sedari oleh Harzan melalui pandangan hujung matanya. Harzan segera bergegas menuju ke arah Ayra yang sudah hilang dari pandangan matanya kerana terlindung di sebalik dinding. Baru sahaja ingin mengejar, Harzan kemudian melihat Ayra sudah pun meninggal kawasan kebun dengan menunggang skuter milik adiknya.

"Ayra..!" Harzan memanggil isterinya itu. Namun Ayra langsung tidak berpaling. Perempuan itu sengaja memekakkan telinganya dan tidak ingin melihat ke arah belakang. Skuternya di bawa dengan laju untuk meninggalkan kawasan kebun tersebut.

"Ayra!" Harzan mengulangi panggilan. Namun isterinya itu semakin menjauh dan tidak lama kemudian, hilang daripada pandangan mata Harzan.

'Hmm.. Kenapa pula dia tiba-tiba pergi?' Harzan kebingungan sendirian. Lelaki itu kemudian berpaling punggung dan kembali menuju ke bangsal sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Di bawah teduhan bangsal tersebut, Saliha hanya menatap Harzan yang sedang berjalan, menuju kembali ke arahnya.

"Harzan.. kenapa?" Saliha bertanya apabila Harzan menghampirinya.

"Takde apa-apa.." Harzan tiada jawapan.

"Hmm.. tadi awak panggil Ayra.." Saliha masih ingin tahu. Gadis itu tadi tidak melihat kehadiran Ayra di sana.

"Ah.. dia.." Harzan serba salah. Dia sebenarnya enggan untuk menjawab pertanyaan Saliha.

"Ayra tu isteri awak kan? tadi saya dah jumpa dia kat rumah.. sampai hati awak, dah kahwin pun tak bagitahu.." Saliha menyampaikan berita. Harzan tersentak.

"Nampaknya, awak.. awak tak nak bagi peluang kat saya? Padahal awak sendiri dah lama tahu perasaan saya.." Saliha melanjutkan kata-katanya sambil  merendahkan pandangan.

"Saliha.. saya.. saya..."Harzan tergagap. Dia semakin serba salah apabila mendengar ucapan gadis di hadapannya itu.

Tiba di rumah, Ayra bergegas masuk dan menuju ke arah biliknya.

"Kak Ayra.. cepat betul balik.. mana abang?" Hazirah menegur kakak iparnya itu. Namun Ayra langsung tidak menjawab. Dia yang melangkah laju hanya melintas di depan Hazirah dan segera masuk ke dalam bilik tidur.

"Kenapa pula Kak Ayra ni?" Hazirah yang pelik dengan kelakuan Ayra segera menuju ke bilik yang dimasuki oleh kakak iparnya itu.

"Kak, kenapa dengan akak? Apa yang dah berlaku?" Hazirah bertanya sambil mengetuk pintu bilik beberapa kali. Namun pertanyaannya langsung tidak bersahut. Di dalam bilik, Ayra duduk di pinggir katil. Perasaannya bercampur diantara sedih dan marah. Bayangan Harzan dan Saliha yang mesra tadinya kembali muncul di benak. Ayra geram dan menggigit bibir bawah. Perlahan-lahan, pandangan Ayra mulai semakin kabur. Sejenak kemudian, titisan air jernih mula menitis keluar dari kelopak matanya.

Kecewa panggilannya tidak bersahut, Hazirah menuju ke ruang tamu dan menghempas punggungnya ke sofa. Mulutnya tidak mampu lagi untuk menahan daripada meluahkan keluhan. Seketika kemudian, Maryani muncul dari dapur dan mendekati anak gadisnya itu.

"Adik, kenapa ni?" Maryani ingin tahu.

"Entahlah mak.. tadi Kak Ayra balik, terus masuk balik.. adik tanya pun dia tak jawab.. yang peliknya, dia pergi ke kebun sekejap je.. abang pula takde pun balik sama.." Hazirah memberi penjelasan kepada ibunya.

"Hmm.. ke Abang kau ada cakap apa-apa yang tak kena kat dia..?" Maryani cuba membuat tekaan.

"Entahlah.. adik pun tak tahu.. Nanti kita tanya kat abang je la.. Kak Ayra pun diam je dalam bilik tu.."

"Hai.. orang baru kahwin ni.. baru dua, tiga hari berbaik, ada masalah lain pula.." Maryani turut mengeluh.

Tidak lama kemudian, bunyi deruan enjin motosikal kedengaran di pekarangan rumah. Harzan baru pulang setelah menyelesaikan kerjanya di kebun. Baru sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah, Hazirah segera memanggil abangnya itu. Harzan yang ingin menemui Ayra terpaksa menangguhkan niatnya. Adik dan ibunya yang berada di ruang tamu terlihat mempunyai sesuatu untuk dibicarakan.

"Abang dari mana?" Hazirah segera menyoal.

"Dari kebun la.. kenapa?" Harzan menjawab tanpa berfikir panjang.

"Hmm.. tadi Kak Ayra ada pergi ke kebun untuk cari abang.. abang ada  cakap apa kat dia?"

"Cari abang kat kebun? hmm.. tadi ada la abang nampak dia kat kebun.. tapi tiba-tiba dia balik.. tak sempat nak cakap apa-apa.." Harzan menjawab dengan jujur.

"Habis tu, kenapa kak Ayra tiba-tiba balik, terus berkurung dalam bilik?" Hazirah cuba menekan abangnya itu.

"Mana la abang tahu.. itu la sebabnya abang balik ni.. abang pun nak tahu, kenapa dia tiba-tiba balik tadi.. langsung tak sempat berjumpa pun."

"Hmm.. ke abang ada buat apa-apa yang dia tak suka?" Hazirah masih meneruskan soal siasat.

"Buat apa pula.. abang kat kebun je.. tadi masa abang duk bincang pasal hasil dan bekalan sayur kat kebun tu dengan Saliha, tiba-tiba abang perasan Kak Ayra tu dah berpaling punggung, tinggalkan kebun.." Harzan menjawab melalui sudut pandangannya.

"Dengan Saliha..?"

"Ya la.. dia kan kerani yang uruskan pasal permintaan bekalan."

"Abang.. dengan siapa lagi? berdua je?" Hazirah ingin tahu. Maryani pula dari tadi mendiamkan diri sambil mendengar dan memerhati perbualan dua orang anaknya itu.

"Hmm.. kami bincang berdua je la.. abah duk kat kebun sebelah.. tapi takde la abang nak berdua-duaan dengan Saliha.. kat bangsal tu masih ada Pak Yus, Abang Man.. Kak Yah dengan Mak Jah pun ada duk kutip cili kat tepi bangsal tu."

"Tapi abang dengan Saliha duduk berdua je la masa bincang tu?" Hazirah cuba mendapatkan kepastian.

"Dah tu, takkan nak ajak Kak Yah, Mak Jah tu bincang sama? mereka bukan tahu apa.." Harzan menggaru kepala. Dia langsung tidak mengerti mengapa adiknya itu bertanya soalan sebegitu. Hazirah pula melepaskan nafas berat yang bergelumang keluhan.

"Rasanya.. memang sebab tu la kot.. Kak Ayra nampak Abang dengan Saliha berdua-duaan.. mungkin dia tak nampak orang lain kat situ." Hazirah mula membuat kesimpulan. Dia yakin tebakannya itu benar.

"Apa kaitan pula abang berdua dengan Saliha ni?" Harzan masih bingung.

"Eh, abang ni bodoh ke? Dah tentu la Kak Ayra cemburu kalau nampak abang duk berdua dengan Saliha.. Dia kan tak perasan ada orang lain kat situ." Hazirah mula naik angin apabila melihat kelakuan abangnya yang lurus bendul.

"Tapi abang bukan buat apa-apa pun.. abang bincang pasal bekalan kat kebun.. dah tadi abah takde, abang la yang bincang dengan Saliha.. takkan la itu pun salah.." Harzan cuba mempertahankan diri daripada tuduhan adiknya.

"Ya..tahu.. adik tahu la abang tu bukannya suka kat Saliha.. walaupun sejak sekolah lagi Saliha tu suka kat abang.. walaupun abang bercakap pasal kerja, tapi mana la Kak Ayra tahu.. yang dia nampak abang berdua dengan perempuan lain.. confirm la dia cemburu.. takkan la benda macam tu abang tak boleh faham? ehh.. adik pelik la, macam mana Kak Ayra boleh suka kat abang yang lembab macam ni.." Hazirah membebel kepada Harzan.

"Adik.. tak baik cakap macam tu kat abang.." Maryani baru mula bersuara sambil menepuk lengan Hazirah. Bagi si ibu itu, tutur kata Hazirah itu agak melampau dan tidak menghormati Harzan sebagai abangnya. Harzan pula termangu. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggungnya di sofa. Mindanya
terawang mengingatkan kejadian ketika dia melihat Ayra bersama Rafiq di restoran seminggu yang lalu. Dia sendiri tidak tahu apa yang mereka sedang bincangkan. Namun Harzan tidak sanggup melihat pemandangan sebegitu. Dia tidak dapat menahan cemburu yang menguasai hatinya ketika itu. Mungkin itulah rasa yang Ayra sedang rasakan sekarang.

"Adik rasa, baik abang pergi minta maaf kat Kak Ayra sekarang.. jelaskan keadaan sebenar yang berlaku.." Hazirah memberikan saran kepada Harzan yang sedang termangu.

"Kenapa abang nak kena minta maaf? abang bukan buat salah.." Harzan kembali menggaru kepala.

"Minta maaf bukan bererti kita salah.. minta maaf je la untuk jernihkan kembali keadaan." Hazirah mengomel.

"Ya la.. ya la.. abang tahu la.." Harzan menghela nafas panjang. Fikirannya kembali melayang mengingatkan perbualannya dengan Saliha ketika di kebun tadi. Dia memang tidak pernah menyimpan sebarang perasaan terhadap wanita tersebut. Namun, dia tahu, Saliha sudah lama menyimpan perasaan terhadapnya. Terkadang, Harzan turut rasa bersalah kerana tidak mampu membalas perasaan gadis tersebut. Dia tidak ingin mengecewakan Saliha, namun dia juga tidak mahu menyerahkan cintanya hanya untuk memberi rasa simpati.

Di dalam bilik, Ayra mendiamkan diri. Dia sudah pun mendengar perbualan Harzan dan Saliha sebentar tadi. Kini Ayra mula merasa malu sendiri. Dia sedar dirinya sudah cemburu buta tanpa bertanya sebarang penjelasan kepada Harzan.

'Tapi.. Saliha sukakan Harzan sejak dari sekolah lagi?' Ayra berbicara sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience