Bab 39

Romance Series 41999

ALBUM gambar lama yang terdapat di rak buku di ambil oleh Ayra. Setelah menempatkan punggungnya di sofa, Ayra membelek album tersebut dan meneliti setiap gambar satu persatu. Banyak gambar lama keluarga suaminya itu di semadikan di dalam album tersebut. Ada juga gambar Harzan ketika kecil dan bersekolah rendah. Namun jarang sekali Ayra dapat melihat wajah Harzan ketika usia remaja. Tidak lama kemudian, Hazirah muncul di ruang tamu dan duduk di sebelah Ayra.

"Banyak gambar lama je kak.. gambar baru takde dah.. zaman sekarang, orang tangkap gambar pakai telefon je. Gambar semua simpan dalam bentuk soft copy je.." Hazirah tersenyum sambil menegur kakak iparnya.

"Hmm.. tu lah.. sekarang, nak tengok gambar pun susah.. masing-masing ambil gambar pakai telefon sendiri.. masing-masing simpan.. kalau nak tengok, kena godek telefon.. nak tengok gambar sendiri pun kena minta dari orang." Ayra tertawa kecil. Wanita itu kemudian melanjutkan kata-katanya dengan pertanyaan.

"Tapi.. kenapa jarang ada gambar abang Harzan semasa remaja kat sini? Kebanyakannya, waktu dia kecil, sekolah rendah je..?"

"Ah.. abang kan masa sekolah menengah, dia dah pindah ke sini.. adik, abah, mak pula masih kat kota.. kami jumpa pun beberapa bulan sekali je. Lepas abah pencen baru kami balik duduk kat sini. Lagipun abang tu kan jenis yang tak suka ambil gambar.. nak ajak bercuti, pergi ke mana-mana pun susah dia nak ikut.. sayang, taknak tinggalkan kebun dia tu." Hazirah mengomel.

"hmm.. tapi, betul juga.. kalau takde orang jaga kebun tu, nanti rosak habis sayur-sayur tu.." Ayra membalas.

"Itu lah.. lepas abah pun join venture besarkan kebun tu, baru mula upah orang.. abang pun duk bagitahu, dia nak tolong orang kampung juga untuk dapatkan kerja.. ye la, duk kat kampung ni, peluang pekerjaan terhad. Sekarang, sekurang-kurangnya, hampir 40 orang dapat bekerja kat kebun tu." Hazirah bangga dengan perjuangan abangnya yang ingin membantu masyarakat dan menaikkan ekonomi setempat.

"Tapi.. akak tak faham la.. kalau dah boleh berjaya dengan kebun tu, tapi kenapa abang Harzan masih nak pindah dan bekerja di bandar?" Ayra meluahkan persoalan yang sering bermain di mindanya. Dia tidak mampu memikirkan rasional suaminya berbuat sedemikian.

"Hmm.. abang kan jenis yang tak boleh duduk di tahap yang sama.. dia tu selalu nak upgrade diri dia agar jadi lebih baik.."

"Itulah masalahnya dik.. kalau dia nak jadi lebih baik, itu takde masalah.. masalahnya, dia pergi ke bandar tu, duk kerja jadi pekerja am je.."

"Pekerja am? buat kerja ikut orang suruh?" Hazirah terkejut. Mulutnya terlopong mendengar kata-kata Ayra.

"Ah, maaf.. akak terlepas cakap.. tapi adik jangan bagitahu orang lain tau.. lebih-lebih lagi kat mak.. kalau abang Harzan taknak bagitau sendiri, akak pun tak nak la bagitau sesiapa.." Ayra menyesal dengan kelancangan mulutnya yang terlepas cakap. Dia sama sekali tidak bermaksud untuk merendahkan suaminya itu. Ayra tidak lagi ingin menjadi dirinya yang dahulu. Kini dia sudah ikhlas menerima Harzan, tidak peduli apa jua pekerjaan suaminya itu.

"Abang jadi pekerja am... hhmmm.. tapi memang patut pun. padan la dengan kelayakan pendidikan dia." Hazirah tertawa kecil sambil menepuk lengan Ayra.

"Ishh.. adik..tak baik cakap macam tu.. tapi, setidaknya, Abang Harzan dah naik jadi pengurus hari tu.." Ayra cuba memuji suaminya. Namun dia enggan menyatakan jika Harzan sudah berhenti daripada pekerjaannya, sebagaimana yang pernah di sampaikan oleh Fiza kepada Ayra.

"Eh, jadi pengurus pula? Hmm.. tapi.. boleh adik tanya, kenapa Akak suka kat abang Harzan?" Hazirah bertanya. Ayra terkesima. Wanita itu mendiamkan diri seketika sambil menjatuhkan pandangannya ke lantai. Ayra sendiri tidak ada jawapan, kenapa dia menyukai Harzan. Padahal, suatu ketika dulu, dia sendiri tidak ingin di dekati oleh lelaki tersebut. Kini, bayangan ketika dirinya bersama Harzan, sejak mereka mula menikah menjelma satu persatu dibenaknya.  Ayra terpaksa akui, dia tidak pernah melihat cela pada kelakuan Harzan. Lelaki itu memperlakukan dirinya dengan sangat baik sekali. Cuma Ayra sendiri yang ego kerana tidak mahu menerima Harzan sejak dari awal.

"Entahlah dik.. adik pun tahu kan.. akak ni perempuan jahat.. akak sepatutnya tak layak untuk bersama abang Harzan.. dia lelaki yang baik. tapi akak sendiri tak tahu, kenapa Abang Harzan tetap nak pilih akak jadi isteri dia. Padahal dia layak mendapat perempuan yang jauh lebih baik, lebih cantik.. Akak menikah dengan dia pun sebab terpaksa.. Akak tak sangka dia akan sahut cabaran Akak masa tu.. nak tak nak, Akak kena la pegang pada janji dan terima dia sebagai suami.. tapi awalnya, akak tak nak pun terima dia dalam hati akak ni.. tapi kebaikan dia, sedikit demi sedikit, buatkan akak sedar.. akak sendiri yang akan rugi jika terus menolak lelaki sebaik abang Harzan. Akak sendiri tak tahu, sejak bila akak dah mula cintakan Abang Harzan.. cuma, baru-baru ni, terjadi salah faham.. Akak bukan nak sakitkan hati dia.. akak cuma nak selesaikan masalah lama.. tapi Abang Harzan pula salah faham.. Akak pun tak sangka, perbuatan akak tu dah buatkan dia terluka.. Akak betul-betul menyesal.. Sepatutnya akak bincang dengan dia dari awal." Ayra meluahkan perasaan. Hazirah hanya diam sambil mendengar luahan kakak iparnya itu. Gadis itu kemudian memegang tangan Ayra.

"Akak.. jangan cakap macam tu.. Adik tahu, akak orang baik. Kalau tak, takkan Abang Harzan nak mendekati akak.." Hazirah tersenyum kepada kakak iparnya. Dia kemudian melanjutkan kata-katanya.

"Abang Harzan tu susah nak bersama orang.. Selama ni, dia banyak mendiamkan diri.. Segala masalah, apa yang dia fikirkan, dia pendamkan sendirian.. Ramai perempuan nak dekati dia, tapi semuanya dia tolak.. padahal bukan tak cantik.. tengok macam Saliha tu.. cantik je.. dia pun perempuan baik.. tapi Abang Harzan tak layan pun dia.. entah berapa kali dah Saliha tu luahkan perasaan dia kat abang Harzan, tapi abang tak layan.. Jadi, adik tahu.. Kak Ayra sebenarnya orang yang sangat istimewa.. sebab tu abang boleh suka kat akak." Hazirah cuba memujuk Ayra untuk membangkitkan keyakinan diri kakak iparnya itu.

"Hmm.. entahlah dik.. apa yang istimewanya akak ni, akak sendiri pun tak tahu.. tapi.. Saliha tu.. dia memang sukakan Abang Harzan dah lama? Dia dah luahkan perasaan dia?" Ayra masih bertanya untuk mendapatkan pengesahan.

"Ye.. Akak jangan duk risau la.. Memang Saliha tu suka kat Abang dah lama.. tapi Abang memang tak pernah layan pun.. Adik berani jamin. Abang memang takkan ada skandal dengan Saliha.. Akak percaya la cakap adik ni.. Abang memang susah nak dekat dengan perempuan.. sekarang Abang cuma ada Akak sorang je.. Kalau tak, takde la Abang tu macam orang gila, bawa diri balik ke kampung ni masa ada masalah dengan akak." Hazirah memberikan penjelasan untuk meyakinkan kakak iparnya. Dia mengerti, Ayra mungkin masih menyimpan rasa cemburu setelah melihat Saliha bersama abangnya semalam. Ayra pula terbungkam sambil merenung jauh. Kata-kata adik iparnya itu dapat diterima akal. Namun untuk membuang rasa cemburu, bukan semudah yang di sangka. Ayra sama sekali tidak ingin melihat suaminya bersama perempuan lain.

'Hmm.. mungkin begitulah yang Harzan rasa sewaktu dia tengok aku dengan Rafiq baru ni.. bahkan mungkin lebih teruk lagi.. sebab Harzan tahu aku dan Rafiq dahulunya pernah bersama.. Harzan.. maafkan saya..' Ayra berbicara di dalam hatinya. Dia mula teringat peristiwa yang berlaku di restoran tempoh hari. Harzan mengamuk dan memukul Rafiq di hadapan orang ramai. Bahkan Harzan terpaksa menceraikan dirinya gara-gara dia berhubung dengan mantan kekasihnya itu di telefon. Baru Ayra tahu, sungguh pedih rasanya menahan cemburu. Lukanya terasa begitu dalam namun tiada darah yang kelihatan. 

"Ah, akak bila nak balik semula ke Kuala Lumpur?" Pertanyaan daripada Hazirah mematikan lamunan Ayra.

"Kenapa? tak suka ke akak duk kat sini lama-lama?" Ayra cuba berseloroh sambil melepaskan tawa.

"Eh, bukan macam tu.. Adik tanya je.. bukan nak halau akak.. akak dengan abang duk sini sampai bila-bila pun takpe.. lagi adik suka.. kurang-kurang, ada la juga teman adik nak berbual kat rumah ni selain mak.. abah pun, malam je ada kat rumah.. pagi, lepas sarapan, terus ke kebun.. balik tengah hari, lepas zohor pergi kebun pulak.. balik dekat asar, lepas tu pergi kedai kopi, pastu ke kebun lagi.. macam tu je la rutin abah sehari-hari.."

"Emm.. kalau takde aral melintang, esok akak kena balik semula dah.. lusa akak dah kena masuk kerja.." Ayra memberikan jawapan.

"Oh, ya.. mak kata Akak kerja kat Teraju Gadung.."

"Ya.. tak sangka pula kebun keluarga sendiri yang jadi pembekal untuk syarikat akak.. akak pun tak pernah tahu.. lagipun akak bahagian pemasaran. mana la tahu kerja kat bahagian bekalan.." Ayra memberi penjelasan.

"Hmm.. rugi la.. kalau akak jaga bahagian bekalan, boleh juga adjust bagi quotation harga lebih sikit." Hazirah ketawa sambil menepuk lengan kakak iparnya.

"Ishh.. kalau akak jaga bahagian tu pun, bukan boleh suka-suka hati nak adjust harga.."

"Adik gurau je pun.." Hazirah tersengih. Ayra pula tersenyum bahagia. Selama ini, dia terlalu mendambakan sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Namun, dia hanya mempunyai Fiza yang menjadi temannya. Di sebabkan itu, dia menjadi terikut-ikut dengan gaya hidup Fiza dan sering bersama sahabatnya itu. Ke mana Fiza pergi, ke situlah Ayra akan mengekori. Namun sejak bersama Harzan, Ayra mula meninggalkan dunia kelamnya. Dia tidak lagi menjejakkan kaki ke kelab malam. Dia juga mula menutup aurat dengan sempurna. Kini, melalui lelaki itu juga, Ayra sudah mendapatkan keluarga yang dia dambakan. Dia mempunyai mentua yang sudah menjadi ibu bapanya. Malah dia turut mendapat seorang adik yang suka bergurau dan manja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience