Bab 21

Romance Series 41999

Sebulan berlalu. Setelah pulang dari kerja, Ayra merehatkan diri seketika dengan membaringkan badannya di katil. Walaupun sudah biasa dengan rutin tugasnya di pejabat, namun beban yang begitu banyak berselirat di benaknya membuatkan Ayra tetap keletihan. Tanggung jawab yang digalas di syarikat baru itu benar-benar mencabar kemampuannya. Namun Ayra tetap bersyukur kerana selama sebulan ini, dia berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik. Tidak lama terbaring menghilangkan lelah, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Satu pesanan ringkas diterimanya. Tanpa menunggu, Ayra langsung mencapai telefon bimbitnya untuk membaca pesanan yang masuk.

"Ah, Fiza.. ada apa pulak minah ni?" Ayra tersenyum apabila membaca nama Fiza terpampang di skrin telefon pintar miliknya. Mesej dari sahabatnya itu segera dibaca.

Salam.. dah lama kita tak keluar. Esok hari minggu. Jom berjimba malam ni. - Fiza

OK. lepas maghrib kita keluar. tapi sebelum pergi mana-mana, kita makan dulu. aku tak makan lagi ni. - Ayra

Suami kau macam mana? korang tak makan bersama ke? - Fiza

Pandai la dia cari makan sendiri. -Ayra

Hmm.. so, nak makan kat mana? - Fiza

Mana-mana je la. Lepas maghrib terus gerak. -  Ayra

Cakap je la kedai mana, senang aku nak pergi nanti. -Fiza.

"Hmm.. nak makan kat mana ye?" Ayra bercakap sendirian. Dia terdiam sejenak sebelum membalas mesej dari Fiza. Otaknya dikerahkan untuk mencari tempat yang sesuai dengan seleranya. Beberapa minit berfikir, Ayra kemudian menggerakkan jari-jemarinya untuk menaip mesej pesanan kepada sahabatnya.

Kedai Tomyam Chiang Mai. Makan benda masam pun best jugak - Ayra

OK. Restoran Chiang Mai. Lepas maghrib terus gerak ye. - Fiza

OK. jangan lambat tau. aku lapar dah ni. - Ayra

Hek eleh.. selalunya kau je yang datang lambat. - Fiza

Setelah membaca mesej dari Fiza, Ayra terus ketawa terkekek-kekek. Ada benarnya kata Fiza. Setiap kali berjanji untuk bertemu, Fiza yang sentiasa menunggu Ayra yang tiba lebih lambat. Ayra tersenyum sendirian apabila mengingatkan peristiwa Fiza yang sering mengomel kerana terpaksa menunggu Ayra setiap kali mereka ingin berjumpa. Seketika kemudian, Ayra bangkit dari katil dan segera melepaskan pakaiannya. Dia mencapai tuala dan segera menuju ke bilik air untuk mandi. Kini Ayra sudah tidak mengunci pintu biliknya seperti dahulu jika ingin mandi. Mungkin dia sudah terbiasa dengan Harzan yang telah beberapa kali melihat tubuh badannya, maka bagi Ayra, tiada keperluan lagi untuk dia mengunci pintu bilik di saat ingin mandi. Malah ketika itu, Harzan juga masih belum pulang ke rumah.

Matahari mulai masuk ke peraduannya. Perlahan-lahan terggelam di ufuk barat, sesuai perintah Tuhannya. Langit senja yang kemerahan berkarat, seolah alam sedang sakit dan seakan menemani Ayra yang sedang menahan sakit hatinya. Perempuan itu gelisah bercampur amarah. Dia mundar mandir di dalam rumah. Sesekali, kepalanya dijenguk ke luar tingkap. Di saat seperti itu, Harzan masih juga belum pulang ke rumah. Di fikiran Ayra, bermacam-macam andaian mula timbul. Padahal suaminya itu tidak pernah berkelakuan seperti itu. Biasanya, setelah habis waktu kerja, Harzan pasti akan segera pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, laungan azan maghrib berkumandang. Ayra semakin resah. Dia bimbang jika sesuatu yang buruk telah menimpa suaminya.

"Ish, manalah dia ni.. buat orang risau pulak. Takkan la budak pejabat macam dia buat OT pulak..  masa ni tak balik lagi.. sepatah pun tak bagitau.. Jangan-jangan accident? Hishh.. minta jauh la.." Ayra menggerutu. Sejenak kemudian, dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja. Dia mula berhajat untuk menelefon suaminya yang masih belum kunjung tiba itu. Namun Ayra kemudian tersentak. Matanya melihat terdapat satu mesej pesanan dari Harzan di telefonnya. Pesanan tersebut segera dibuka dan di baca.

Assalamualaikum.. Saya nak bagitau awak, hari ni saya balik lambat sikit. Ada kerja nak diuruskan. - Harzan

Ayra menghembuskan satu nafas panjang. Rupa-rupanya suaminya itu sudah pun memaklumkan kepadanya melalui sistem pesanan ringkas mengenai kelewatannya. Namun sejak daripada tadi, Ayra langsung tidak melihat telefonnya itu. Tiba-tiba sahaja terdetik kekesalan dihatinya. Ayra menganggap itu adalah kesilapan dia sendiri yang tidak melihat jika ada pesanan yang masuk ke telefonnya. Wanita itu segera menaip mesej untuk membalas.

Lain kali call la awal-awal. Setakat hantar mesej macam ni, saya mana perasan. Bagitau la awak nak pergi mana. Jangan buat saya risau..

Namun Ayra kemudian memadam kembali pesanan yang ditaip olehnya. Dia segera membatalkan hasratnya untuk membalas mesej daripada suaminya itu. Wanita itu sedikit mendongak kepalanya sambil melepaskan satu keluhan.

"Kenapa pula aku nak bagitau aku risau keadaan dia? Hmm.. tapi dari tadi, kenapa aku asyik duk fikirkan dia?" Ayra mula bingung dengan dirinya sendiri. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dirinya harus memikirkan keadaan Harzan. Padahal dia tidak menyimpan perasaan pun terhadap suaminya itu.

"Hmm.. aku nak kena bagitau dia ke aku nak keluar dengan Fiza sekarang? Ahh.. lantak la. Dia pergi mana, sampai sekarang tak balik pun, dia tak bagitau aku.." Ayra cuba memenangkan ego di dalam dirinya. Walaupun sedar dirinya sebagai isteri harus meminta izin seorang suami untuk keluar dari rumah, namun Ayra tidak ingin merendahkan dirinya. Perbuatan Harzan terhadapnya harus dibalas kembali. Dia juga tidak ingin memaklumkan dan tidak ingin memohon keizinan dari suaminya itu untuk keluar dari rumah. Tanpa menunggu lebih lama, Ayra segera menunaikan solat maghrib. Dia tidak ingin terus berlengah memandangkan sebentar lagi dia akan menemui Fiza ditempat yang telah dijanjikan.

Setelah sampai ke restoran, Ayra mendapati Fiza masih belum tiba. Kini dia tersenyum sendirian. Untuk kali ini, dia telah tiba lebih awal berbanding sahabatnya itu. Sesuatu yang jarang terjadi selama ini. Tanpa menunggu Fiza, Ayra terlebih dahulu membuat pesanan untuk makan dan minum mereka berdua. Selesai membuat pesanan, tidak lama kemudian Fiza pun muncul.

"Tadi dah pesan, jangan lambat. Tapi kau lambat jugak." Ayra tersenyum sinis, sengaja ingin mengusik temannya itu.

"Amboi minah ni.. mentang-mentang dia sampai dulu hari ni.." Fiza yang masih berdiri, mencubit lengan Ayra. Terluah ketawa sesama mereka tanpa mempedulikan pelanggan lain yang berada di dalam restoran. Fiza kemudian segera menarik kerusi dan duduk bertentang wajah dengan Ayra.

"Mana pelayan ni? Sorang pun tak nampak.." Fiza menjenguk kepalanya seraya matanya melilau ke sekeliling kedai.

"Aku dah order tadi.." Ayra segera membalas.

"Wah, dah siap order rupanya. Kau nak belanja ke?"

"Hmm.. OK, makan aku belanja. Tapi nanti kita gi karaoke, tengok wayang, kau pulak belanja." Ayra tersengih.

"Pulak dah.. ingatkan dah jadi pengurus sekarang, boleh la belanja aku sikit. Ni kau bayar makan je.. tapi yang lain aku pulak yang kena.." Fiza mengomel.

"Ishh.. makan ni pun dah berapa.. setakat karaoke dengan wayang tu, berapa je.."

"Kenapa? kau order lobster ke sampai mahal sangat bunyinya..?"

"Lobster tu tidak la.. kau ni, macam kaya sangat aku ni.." Ayra mencebikkan bibir. Fiza pula melepaskan tawa sekali lagi. Seketika kemudian, pesanan yang dibuat oleh Ayra pun tiba. Dua orang pelayan bergiliran menghidangkan makanan di atas meja mereka. Setelah selesai semua pesanan terhidang, dua orang pelayan itu meninggalkan pelanggan mereka untuk menikmati hidangan makan malam.

"Wah.. banyak betul kau order.. siakap stim, chicken buttermilk, butter prawn with egg floss, tomyam seafood, sotong celup tepung, telur bungkus lagi.. ni, kangkung goreng pun ada.. siapa nak makan semua ni?" Fiza sedikit tercengang dengan makanan yang dipesan oleh Ayra. Padahal mereka cuma berdua, tapi makanan yang dipesan oleh Ayra mampu dimakan oleh tujuh orang.

"Kau la makan semua ni sampai habis.. kan nak sangat aku belanja." Ayra pula ketawa. Dia terasa geli hati apabila melihat reaksi terkejut yang di tunjukkan oleh Fiza.

"Kau cakap dengan aku betul-betul Ayra.. Kau ada bela hantu raya ke? Macam tak ingat dunia dah kau order makan ni." Fiza cuba mengusik temannya itu.

"Kalau aku ada hantu raya pun, kau la hantu tu." Ayra mengusik kembali. Mereka tertawa lagi bersama.

"Dah, jom la makan.. Aku tak tahan dah ni lapar.." Ayra memulakan makan malamnya. Nasi yang ditumpahkan kuah tomyam segera disuap ke dalam mulut dan perlahan-lahan dikunyah. Fiza turut mengambil lauk pauk yang terhidang dan di masukkan ke dalam pinggan yang sudah terisi dengan nasi.

"Hmm.. murah rezeki kau dan Harzan sejak dah berkahwin ni.." Fiza mula mengubah topik perbualan mereka.

"Maksud kau?" Ayra tidak faham dengan maksud yang ingin dikatakan oleh temannya itu.

"Ye la.. Sejak kahwin, kau pun dah dapat kerja baru.. Dengan jawatan dan gaji yang lebih tinggi.. Harzan pun dah diberi kepercayaan untuk jadi pengurus projek sekarang ni walaupun secara kontrak." Fiza memberi penjelasan.

"Hah? Harzan dah jadi pengurus projek?" Ayra terkejut alang-kepalang.

"Eh, kau tak tahu ke? takkan dia tak bagitau kau?" Fiza pula yang terkejut. Dia benar-benar tidak menyangka, pasangan suami isteri itu masih mempunyai hal yang disembunyikan dan tidak berterus terang.

"Dia takde bagitau apa-apa perkara yang melibatkan hal kerja.." Ayra menundukkan pandangan matanya sambil membungkamkan diri. Wanita itu seakan sedang berfikir dan hanyut di dalam lamunannya.

"Hmm.. mungkin sebab jawatan tu hanya kontrak untuk projek tu je.. sebab tu dia tak bagitau kau. Lepas siap projek tu, entah la dia akan diserap jadi pengurus tetap atau di sambung kontrak untuk projek lain.. itu pun kalau projek kali ni berjaya.. kalau gagal, entah la.."

"Tapi.. macam mana dia dapat menguruskan projek tu? Padahal dia kan pekerja am je?" Ayra semakin ingin tahu.

"Dulu kan aku pernah bagitau kau, Harzan tu kotorkan baju Dato'.. Lepas tu Dato' panggil dia masuk bilik.. Aku ingatkan Dato' maki dia.. rupanya Dato' terdengar pasal Harzan duk sembang pasal projek. Dato' berminat dengan idea Harzan..  tu pasal Dato' lantik dia jadi pengurus projek tu.. Pengurus secara kontrak untuk projek tu je.." Fiza memberi penjelasan. Ayra terlopong mendengar cerita dari sahabatnya itu. Mungkin itulah yang dimaksudkan sebagai durian runtuh. Rezeki yang tidak diduga, datang secara tiba-tiba. Tapi dalam diam, Ayra terasa kecil hati. Dia tidak menyangka suaminya itu akan menyembunyikan hal tersebut daripada pengetahuannya.

Pada masa yang sama, Ayra teringat kembali, selama perkahwinan mereka, Harzan sering bertanyakan keadaan Ayra ditempat kerja. Namun suaminya itu sendiri langsung tidak pernah bercerita mengenai pekerjaannya. Ayra turut merasa, apakah itu salah dirinya sendiri kerana tidak pernah bertanya soal pekerjaan Harzan. Selama ini, Ayra sendiri tidak pernah merasa bangga dengan pekerjaan suaminya itu. Dia tidak berminat untuk ambil tahu soal pekerjaan Harzan memandangkan dia sedia maklum tugas suaminya itu yang hanya bekerja sebagai seorang pembantu am di pejabat. Walau bagaimana pun, Ayra tetap terasa hati dengan tindakan suaminya yang berdiam diri dan tidak memaklumkan mengenai khabar yang suaminya itu sudah dilantik sebagai pengurus projek.

"Hmm.. patut la dia balik lewat.. pergi melawat tapak projek la tu." Ayra cuba menduga.

"Silap-silap, kalau dia berjaya jalankan projek tu, dia pulak yang ambil alih tempat Rafiq lepas ni." Fiza tiba-tiba menyuarakan pendapatnya.

"Rafiq? Tiada orang ganti lagi tempat dia? Macam mana dia sekarang, kau tahu tak?"

"Tempat dia tu masih tak diganti.. dia kan cuma digantung tugas sementara menanti perbicaraan.. Pasal dia sekarang, aku dengar.. dia dah dibebaskan dengan jaminan. Sekarang masih menunggu untuk perbicaraan.. Kes macam tu, bukan sehari dua boleh selesai.. memang akan memakan masa la.."

"Ahli Lembaga Pengarah tak lantik lagi pengganti? Hmm.. tapi kalau kes lama macam tu, biasanya memang dah takkan kerja kat situ dah.. Gantung tugas tu hanya alasan sopan je untuk buang terus.. Untuk elakkan syarikat dari kena pampasan jugak kalau nanti dia didapati tak bersalah.. Aku rasa la.."

"Hmm.. ada logiknya juga.." Fiza mengiyakan pendapat Ayra.

"Eh, dah la duk bercakap pasal Rafiq.. baik habiskan makan ni cepat.. nanti nak karaoke lagi.. tengok wayang lagi.." Ayra kembali menyuap makanan ke mulutnya seraya berkata.

Pukul satu setengah pagi, Ayra baru pulang ke rumah. Setelah mematikan enjin kereta, Ayra bergegas masuk ke dalam rumah. Matanya sudah tidak mampu untuk untuk terus menahan rasa mengantuk. Semenjak berkahwin dan memulakan kerja di syarikat baru, Ayra tidak pernah lagi bersuka ria sehingga larut malam bersama Fiza. Malam ini adalah kali pertama dia mengulangi tabiat lamanya itu. Baru sahaja melangkahkan kaki ke ruang tamu, Ayra agak terkejut apabila melihat lampu masih terang benderang dan Harzan masih tidak tidur. Suaminya itu terlihat sedang duduk di sofa pada ruang tamu, seolah sudah sekian lama menanti kepulangan Ayra.

"Kenapa tak tidur lagi?" Ayra bertanya kepada Harzan dengan malas. Seraya itu juga dia melepaskan tudung yang dipakai di kepalanya.

"Awak ke mana, masa ni baru balik? Saya call berkali-kali, kenapa tak jawab?" Harzan melontarkan pertanyaan tanpa mengendahkan soalan Ayra kepadanya.

"Hmm.. saya tengok wayang tadi dengan Fiza.. Phone saya dah silent, mana perasan awak call.." Ayra menjawab tanpa melihat ke arah suaminya.

"Lain kali, kalau dah silent phone tu, tengok la jugak sekali sekala.. kot-kot ada benda emergency ke orang nak bagitau.. lagipun, takde ke tayangan yang awal sikit.. kenapa nak tunggu mid night jugak?" Harzan memberikan nasihat.

"Awak jangan sibuk hal saya boleh tak? Awak pergi ke mana pun awak tak pernah bagitau saya.. kerja awak sebagai budak pejabat tu pun awak tak pernah nak bagitau saya.. kenapa saya nak kena bagitau awak segala benda?" Ayra membentak.

"Ayra.. awak tu isteri saya.. dah jadi tanggung jawab saya untuk.."

"Sudah lah.. saya mengantuk dah ni.. saya nak tidur. Awak simpan je la tanggung jawab awak tu." Ayra segera meningkah sebelum sempat Harzan menghabiskan kata-katanya. Wanita itu segera membuka langkah kakinya dengan laju menuju ke bilik tidur. Harzan pula terus terduduk di sofa sambil mengiringi pemergian isterinya dengan pandangan mata. Setelah Ayra masuk ke dalam bilik, Harzan melepaskan satu nafas yang berisi keluhan. Kedua telapak tangan meraup wajah lesunya. Sambil menyandarkan belakang badannya ke sofa, kepala Harzan terdongak ke atas. Matanya kelihatan kosong menatap siling.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience