Bab 9

Romance Series 41999

BUNYI detik jarum jam yang tergantung di dinding tertangkap di cuping telinga Harzan. Lelaki itu terduduk diam dikerusi pada meja pejabatnya sambil merenung ke arah meja milik Ayra. Dunia Harzan terasa kosong dan sepi kerana tidak melihat kehadiran gadis idamannya. Suasana di pejabat langsung tidak dihiraukan oleh Harzan. Ini adalah kali pertama sepanjang masa dia bekerja dipejabat tersebut, dia tidak melihat kehadiran Ayra. Malah pada hari tersebut, Rafiq juga turut tidak memunculkan diri di pejabat, sama seperti Ayra. Mata Harzan kemudian teralih kepada timbunan fail di atas mejanya. Tiba-tiba lelaki itu menghembuskan satu nafas berat. Harzan mula sedar dirinya asyik membuang masa menatap meja kosong Ayra yang tidak jauh dari mejanya.

"Hmm.. dia sakit ke sampai tak datang kerja? ke out station dengan Encik Rafiq? dua-dua pun tak datang kerja hari ni.." Harzan bermonolog. Hatinya masih resah memikirkan Ayra. Ketiadaan gadis itu benar-benar mengganggu fikirannya.

"Ish.. teruk dah angau aku ni.. kenapa la aku bodoh sangat duk buang masa fikirkan pasal orang yang tak pedulikan aku?" Harzan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri bingung dengan dirinya. Dia sebenarnya tidak ingin lagi memikirkan tentang Ayra setelah cintanya ditolak. Namun dia tidak mampu untuk terus membuang mengenai gadis itu dari fikirannya. Tidak lama kemudian, Azian mendatangi Harzan. Wanita itu terlihat berjalan dengan cepat dan agak kelam-kabut. Harzan yang menyedari kelibat Azian yang sedang menuju ke arahnya mula merasa pelik. Sesampainya Azian di meja Harzan, wanita itu segera membuka mulut.

"Zan.. kau dah tahu ke? Ada berita penting ni.."

"Berita apa pulak Kak Yan.. saya tak tahu apa-apa lagi hari ni.. dari tadi saya duk kat sini je sorang-sorang.."

"Akak tahu, berita ni mesti akan mengejutkan kau.."

"Ish..berita apa kak? cepat la bagitau.. tak payah la buat suspend macam tu."

"Akak dapat tahu dari Fiza tadi.. Ayra dah berhenti kerja.. dia hantar notis 24jam untuk berhenti kerja." Azian bersungguh-sungguh menyampaikan berita.

"Hah? Kenapa pulak kak? Ada apa yang tak kena?" Harzan benar-benar terkejut.

"Entahlah.. Itu akak tak tahu.. Fiza takde pulak bagitau sebab Ayra nak berhenti." Azian bersikap jujur dalam menjawab pertanyaan. Harzan pula diam dan termenung seketika.

"Ke dia taknak tengok muka saya kat sini?  Mungkin dia meluat kot tengok saya kat pejabat ni sampai sanggup berhenti kerja." Harzan cuba membuat andaian.

"Haisshh, kau ni.. takkan la benda macam tu pulak dia nak berhenti.. lagipun, kau juga yang bagitau Kak Yan hari tu, Ayra boleh je terima kau sebagai kawan kan?" Azian cuba menolak andaian tidak masuk akal dari Harzan.

"Tapi.. mana la tahu.. dia cakap je okay.. tapi sebenarnya dia dah meluat tengok muka saya yang tak sedar diri ni.."

"Takkan sampai sejauh tu Zan.. Kalau dia dah cakap dia okay je untuk terus berkawan tu, maknanya memang dia boleh terima je la kau sebagai kawan.. Kalau setakat taknak tengok kau, dia boleh je buat-buat tak nampak kau kat pejabat ni.. Lagipun kau bukan ada buat salah apa kat dia.. takdenya orang nak marah kalau ada orang suka kat dia.. orang gila pun suka kalau ada orang sayang kat dia, inikan pula orang yang waras.." Azian terus memberikan hujah untuk menolak dakwaan Harzan. Lelaki muda itu kini hanya mampu mendiamkan diri. Dia sudah tiada andaian untuk dibuat di atas pemberhentian Ayra dari kerjanya.

"Yang peliknya.. Encik Rafiq pun tak datang kerja hari ni.. ke ada berlaku apa-apa kat diorang?" Azian mula menyuarakan keraguannya.

"Apa kaitan Ayra dengan Encik Rafiq pulak?" Harzan sekadar ingin menduga. Padahal selama ini, dia sendiri turut meyakini hubungan sulit diantara Ayra dan Rafiq malah dia sendiri pernah menyaksikan kemesraan mereka berdua ketika keluar di hari minggu. Namun Harzan tidak pernah ingin menyuarakan hal tersebut dan tetap ingin terus berfikir itu hanyalah prasangkanya sahaja.

"Takkan la kau tak tahu Zan.. satu pejabat selama ni duk bercakap pasal hubungan diorang.. cuma benda ni tak diperbesarkan je.. orang-orang kat pejabat ni masing-masing bercakap diam-diam je kat belakang. Semua orang tahu Ayra tu ada hubungan sulit dengan Rafiq. Tapi disebabkan masing-masing mereka tu orang bujang, takde lah orang nak bergosip sangat.. lain la kalau Rafiq tu dah ada bini.. confirm si Ayra tu dah kena cop jadi penyondol.. tak pun si Ayra tu bini orang, mesti dah kecoh orang bercakap.. dah masing-masing masih tak kahwin, orang biarkan je la.. harap-harap mereka tu cepat kahwin. Tapi hari ni tiba-tiba, dua-dua pun tak datang kerja.. tau-tau pulak si Ayra dah hantar notis 24 jam berhenti kerja.. memang pelik la.. macam ada something wrong je yang dah berlaku." Azian memberi penjelasan dengan panjang. Harzan diam dan tekun mendengar. Sambil mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan, Harzan juga sedang berfikir dan hanyut dalam pemikirannya sendiri.

PETANG yang mendung itu terasa nyaman. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menggoyangkan dedaunan di pokok yang menghiasi pemandangan taman. Air tasik yang tenang terlihat begitu mendamaikan. Namun semua itu masih tidak mampu menenangkan kegundahan di hati Ayra. Gadis itu berjalan sendirian di taman yang menjadi kawasan rekreasi masyarakat. Sedang gadis itu melintasi seorang penjaja yang sedang menjual gula-gula  kapas, dia melihat seorang gadis kecil sedang berdiri diam menatap ke arah penjual tersebut. Matanya bersinar memandang ke gumpalan gula-gula kapas yang tersedia dalam bungkusan plastik. Walau tidak diucapkan keinginannya, namun Ayra segera memahami, gadis kecil itu sangat menginginkan makanan manis tersebut. Tanpa menunggu, Ayra langsung membeli gula-gula kapas dan menghulurkan kepada anak tersebut.

"Nah..ambillah gula-gula kapas ni.. kakak belanja. Nanti belajar rajin-rajin tau.." Ayra mengukirkan senyuman walaupun terlihat sedikit hambar.

"Terima kasih kakak.." Gadis kecil itu menyambut pemberian Ayra dengan senyuman kegirangan. Tanpa menunggu lama, gadis itu segera berlari membawa gula-gula kapas yang diterimanya dan meninggalkan Ayra. Ayra sedikit terhibur apabila melihat telatah anak kecil tersebut. Dia kemudian meneruskan perjalanannya, melangkah sendirian di kawasan taman. Tidak lama kemudian, Ayra melihat satu bangku yang tidak di duduki oleh sesiapa. Kawasan tersebut agak lengang dan jarang di lalui oleh orang. Ayra segera menempatkan punggungnya di bangku yang menghadap ke arah tasik itu. Dia ingin merehatkan dirinya dibawah pohon besar yang berdiri tegak menaungi bangku tersebut. Suasana di situ terasa damai dan sunyi. Ayra hanya duduk sambil termenung jauh. Pandangannya kosong dan dia langsung tidak mempedulikan keindahan kawasan sekitar. Dia hanya hanyut dalam perasaannya sendiri. Tanpa disedari, air yang jernih mengalir di pipinya yang mulus. Ayra sudah tidak mampu menahan bendungan air matanya. Semakin lama, tangisannya semakin kencang.

"Kak.. kenapa kakak menangis?" Tiba-tiba satu suara menyapa. Ayra segera mengangkat mukanya dan melihat ke arah pemilik suara yang menegurnya. Gadis kecil yang diberikan gula-gula kapas oleh Ayra tadi berdiri di sebelah bangku tempat Ayra sedang duduk. Kanak-kanak itu masih memegang bungkusan yang terisi dengan gula-gula kapas di tangannya. Ayra yang melihat anak kecil disebelahnya itu segera menggelengkan kepala dan mengesat air mata yang membasahi pipinya. Ayra cuba terlihat ceria dengan mempamerkan senyuman kepada anak kecil tersebut.

"Arissa!! Mari sini.. jangan main jauh-jauh.." Suara seorang wanita menjerit dari jauh. Ayra terkejut dan segera menoleh ke arah suara tersebut.

"Itu mama Arissa.." Gadis kecil bersuara, memperkenalkan ibunya yang berdiri jauh dari situ.

"Nama adik Arissa?" Ayra ingin tahu. Anak kecil itu kemudian mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan Ayra.

"Nama kakak pun Arissa.. Ayra Arissa.." Ayra semakin melebarkan senyumannya. Dia tiba-tiba merasa teruja apabila menemui seorang anak kecil yang mempunyai nama sama sepertinya.

"Arissa maknanya mempunyai azam yang kuat.. jadi kakak pun kena kuat. Jangan sedih-sedih ya.." Gadis kecil itu pun berpaling punggung dan segera berlari menuju ke arah ibunya. Ayra masih tersenyum melihat anak kecil itu yang sedang berlari meninggalkannya. Mindanya cuba mencerna ucapan anak kecil itu tadi. Dia harus kuat. Jangan lagi bersedih. Tapi Ayra masih juga dihurung oleh kekesalan yang sukar dilupakan. Dia ingin kuat, namun kesedihannya terasa sukar sekali untuk dibendung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience