Bab 34

Romance Series 41999

HUJAN lebat turun membasahi bumi. Air jernih dari langit itu turut membasahi Ayra yang berdiri tegak di halaman rumah. Gadis itu sedang menangis, cuba meraih simpati daripada Harzan. Namun air matanya tidak terkelihatan kerana bersebati dengan air hujan yang mencurah. Malangnya, tiada sesiapa yang melihat keadaan perempuan tersebut. Harzan dan keluarganya berdiam di dalam rumah tanpa menjenguk keluar. Di dalam rumah, Hazirah menghampiri Harzan yang termenung di sofa.

"Abang, macam mana dengan Kak Ayra?" Hazirah bertanya.

"Entah.. mungkin dia dah balik ke kota." Harzan menjawab dengan selamba.

"Abang masih tak nak maafkan dia? Adik tengok tadi, dia ikhlas je nak minta maaf kat abang." Hazirah terus bertanya. Namun kali ini Harzan memilih untuk mendiamkan diri.

"Kalau orang nak berbaik, dah minta maaf, kenapa abang masih berkeras taknak maafkan? Setiap orang pun tak terlepas dari buat salah bang.. kan Kak Ayra dan sedar kesalahan dia kat abang.. takkan cinta abang kat dia boleh padam, lenyap macam tu je? ke abang pun tak pernah bersungguh cintakan dia?" Hazirah ingin membuat abangnya itu berfikir dengan waras. Seperti yang gadis itu inginkan, kata-katanya telah berjaya menjentik hati Harzan. Pohon cinta yang pernah dicantas di dalam hati Harzan kini perlahan-lahan bertunas semula. Namun Harzan masih mendiamkan diri. Hazirah kemudian menggelengkan kepala dan meninggalkan abangnya. Gadis itu menuju ke arah jendela rumahnya.

"Abang! Kak Ayra.. dia masih ada kat depan! Dia duk berdiri tengah hujan!" Hazirah menjerit kepada abangnya. Harzan tersentak. Lelaki itu segera berpaling ke arah adiknya, namun punggungnya masih tidak berganjak dari tempat duduk.

"Abang! pergi ajak Kak Ayra masuk dalam rumah.. nanti dia boleh jatuh sakit." Hazirah cuba menasihati. Harzan pula masih terbungkam. Sejenak kemudian, barulah lelaki itu membuka mulut.

"Biar je.. itu pilihan dia.. padahal boleh je dia masuk dalam kereta.. balik semula ke kota.. tak payah duk percaya dengan lakonan dia. Saja nak tagih simpati.." Harzan ingin mempertahankan egonya.

"Abang! kalau dia nak berlakon, untuk apa dia datang jauh-jauh ke sini? Untuk apa dia bersusah payah cari rumah ni?" Hazirah semakin menekan. Harzan tercengang. Kata-kata adiknya itu dirasakan benar. Padahal Ayra tidak pernah tahu alamat rumahnya di kampung. Wanita itu berusaha mendapatkan alamatnya dari Fiza malah bersendirian memandu jauh untuk mencari dirinya. Harzan mula bangkit berdiri perlahan-lahan. Lelaki itu kemudian berjalan menuju ke arah jendela.

Melihat keadaan Ayra yang sedang berdiri di tengah hujan lebat, hati Harzan mula terusik. Rasa sebak memenuhi dada. Isteri yang sudah diceraikannya itu tertunduk sambil menangis di bawah siraman air dari langit. Harzan perlahan-lahan menuju ke arah muka pintu. Setelah daun pintu dibuka, lelaki itu berdiri tegak sambil menatap Ayra. Ayra yang sedang tertunduk, menyesali kesalahannya itu masih tidak menyedari kehadiran Harzan. Tiba-tiba Ayra mula merasa pening. Pandangannya mulai semakin kabur. Sejurus itu, tubuh wanita itu rebah ke bumi.

"Ayra!" Harzan segera berlari mendapatkan Ayra yang sudah rebah di dalam hujan. Wanita itu sudah tidak sedarkan diri. Tanpa berlengah, Harzan memangku Ayra dan dibawa masuk ke dalam rumah.

"Adik, ambil kunci kereta! kita kena pergi hospital dengan segera." Harzan melaung memanggil Hazirah. Adik perempuannya itu tergesa-gesa berlari masuk ke dalam rumah untuk menurut perintah abangnya.

Harzan memandang wajah Ayra yang sudah tidak bermaya. Hatinya merasa kesal dan pilu. Harzan mula menyalahkan kebodohan dirinya sendiri. Jika bukan kerana kedegilannya, Ayra tidak akan pengsan dan sakit sebegitu. Harzan mula menangis. Kini perasaan cintanya terhadap wanita itu kembali muncul dan membenamkan egonya.

SEORANG doktor lelaki menuju ke arah Harzan. Harzan yang keresahan menyedari kehadiran doktor tersebut dan turut bergerak untuk menghampiri.

"Dia tak apa-apa.. cuma pengsan kerana stress dan kepenatan.." Doktor tersebut menyampaikan khabar sambil mengukir senyuman.

" Baguslah kalau macam tu.." Harzan menghela nafas lega.

"Harap-harap, lepas ni jangan lagi buat dia stress.. bahaya untuk janin dalam kandungan.. sekarang pun badan dia dah sangat lemah." Doktor lelaki itu menyampaikan nasihat.

"Baiklah doktor.." Harzan mengangguk faham.

"Kalau macam tu, saya pergi dulu.. Jaga isteri awak dan anak dalam kandungan tu baik-baik." Doktor itu menepuk lembut bahu Harzan beberapa kali. Hazirah yang berada di belakang abangnya itu hanya mendiamkan diri sambil memerhati.

"Terima kasih doktor.."

Doktor lelaki itu kemudiannya melangkah pergi. Harzan dan Hazirah segera menuju ke arah katil yang menempatkan diri Ayra. Wanita itu masih tidak sedarkan diri. Sambil menatap wajah Ayra, Harzan mengusap lebut pipi wanita tersebut. Hazirah yang melihat keadaan itu segera berpaling muka dan berpura-pura tidak melihat perbuatan abangnya.

Seketika kemudian, perlahan-lahan mata Ayra tercelik. Harzan mula merasa gembira apabila melihat keadaan tersebut.

"Ayra.." Harzan masih mengusap pipi wanita yang sedang terbaring itu sambil mengukirkan senyuman.

"Harzan.." Ayra bersuara perlahan. Wanita itu kemudian melanjutkan ucapan.

"Maafkan saya.. tolong.. jangan tinggalkan saya.. saya.. saya tak boleh hidup tanpa awak.." Air mata mula bergenang kembali di kelopak mata Ayra.

" Saya takkan tinggalkan awak.. saya nak hidup selamanya dengan awak." Harzan menyeka air mata Ayra.

"Ayra.. saya nak kita rujuk semula." Harzan menyatakan keinginannya. Ayra segera mengangguk sambil tersenyum. Tangan wanita itu perlahan-lahan di angkat dan menyentuh pipi Harzan. Hazirah pula terus berpura-pura tidak melihat. Sejenak kemudian, Harzan cuba merapatkan bibirnya ke wajah Ayra.

"Abang! kita kat hospital ni.." Hazirah segera menegur. Mendengar suara adiknya, Harzan menghentikan perbuatannya. Lelaki itu segera menjeling ke arah adik perempuannya. Ayra pula hanya mengulum senyum.

"Adik.." Harzan menarik semula kepalanya ke belakang dan menegakkan tubuhnya.

"Nak buat apa-apa pun, tunggu balik kat rumah.. jangan mengada-ngada kat tempat terbuka." Hazirah memberi peringatan. Harzan dan Ayra segera tertawa kecil sambil tersipu malu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience