Bab 29

Romance Series 41999

Ayra pulang ke rumah dengan perasaan yang berbelah bahagi. Fikirannya berkecamuk. Dia risau, entah bagaimana untuk dirinya berhadapan dan memberi penjelasan kepada suaminya. Dia tahu Harzan pasti sangat marah kepadanya. Padahal Ayra tidak berniat untuk menyakiti hati suaminya itu. Dia hanya bertemu Rafiq semata-mata untuk mendapatkan penjelasan mengenai hutang yang dibuat oleh lelaki tersebut dan mengaitkan dengan dirinya. Namun dia langsung tidak menyangka, pertemuannya itu akan diketahui oleh Harzan.

Sampai di rumah, Ayra semakin gelisah. Hari sudah pun senja, namun Harzan masih juga belum pulang. Berkali-kali dia cuba membuat panggilan telefon kepada Harzan, namun tidak dijawab oleh suaminya itu. Ayra terus menunggu dan termenung sendirian di rumah.

Masa kian berlalu. Usai waktu solat isyak, kelibat Harzan masih belum muncul. Ayra semakin tidak tenang. Malam sudah pun menjelang namun keberadaan Harzan entah di mana. Setelah panggilan telefon dan pesanan mesejnya tidak terbalas, Ayra mula menangis. Dia kesal dengan dirinya. Dia khawatir keadaan suaminya. Ayra tiada pilihan. Dia terpaksa menelefon Fiza yang merupakan teman baiknya. Dia perlu meluahkan segala perasaan yang sedang terbuku di dalam hatinya. Dia harus melepaskan segala kegelisahan yang mengganggu jiwanya.

"Fiza.. tolong aku.." Ayra menangis kencang setelah panggilannya di terima oleh Fiza.

"Ayra.. kau kenapa? kenapa kau menangis ni? kau kat mana?" Fiza serta merta bertanya kerana bimbang dengan keadaan sahabatnya itu.

"Aku kat rumah.. tolong.. Harzan sampai sekarang masih tak pulang.."

"Hah, tak pulang? kenapa? dia pergi mana?" Fiza masih kebingungan.

"Aku.. aku.. aku dah sakitkan hati dia.. aku tahu dia sedang marahkan aku.. tapi aku bimbang Fiza.. aku takut apa-apa berlaku pada diri dia.." Ayra meluahkan kebimbangan.

"Kau kat rumah sorang-sorang? kau tunggu.. nanti aku datang." Fiza segera ingin menemani Ayra yang sedang terganggu emosinya.

"Tolong aku Fiza.." Ayra menangis seperti anak kecil yang kehilangan ibunya.

"Ya..ya.. kau tunggu. aku datang sekarang." Fiza pula yang mula kelam-kabut. Panggilan telefon mereka segera dimatikan. Fiza bergegas mencapai kunci kereta dan beg tangannya. Tanpa menunggu, wanita itu segera meninggalkan rumahnya.

Sampai di rumah Ayra, Fiza segera mengetuk pintu. Ayra yang muncul dari dalam rumah dengan pantas memeluk Fiza dengan erat sambil menangis.

"Sabar Ayra.. kau kenapa sampai macam ni? cuba kau ceritakan satu persatu, apa yang dah terjadi sebenarnya.." Fiza cuba menenangkan Ayra yang sedang kencang tangisannya.

"Tadi.. masa aku kat pejabat.. ada sekumpulan orang.. ceti haram datang cari aku.. mereka suruh aku bayar hutang 40ribu.." Ayra mula bercerita sambil menahan sedu sedan.

"What? kau buat pinjaman dari ceti haram?!" Fiza terkejut.

"Bukan.. bukan aku. Yang meminjam tu Rafiq.. tapi dia gunakan nama aku, tanpa pengetahuan aku.. jadi petang tadi, aku pergi la jumpa Rafiq untuk tanyakan hal tersebut.." Ayra menahan sedu sedan sambil mengesat air mata yang mencurah membasahi pipinya. Fiza fokus mendengar. Dia tidak ingin lagi mencelah. Dia berikan peluang untuk sahabatnya itu bercerita dengan tenang sehingga ke pengakhiran. Ayra mula menceritakan semua hal yang telah berlaku. Malah dia turut menceritakan mengenai pertemuannya dengan Rafiq pada beberapa hari sebelumnya. Fiza tercengang.

"Kau pun satu.. padahal aku dah berapa bagitau.. aku dah pesan.. tapi kau taknak dengar.." Fiza menekup mukanya dengan telapak tangan. Dia turut kesal dengan tindakan Ayra. Namun Fiza tidak ingin menyalahkan sahabatnya itu pada saat sebegitu. Dia tahu Ayra sekarang memerlukan sokongan moral untuk memulihkan emosinya. Jika dia menyalahkan Ayra, sudah pasti temannya itu akan lebih kemurungan dan menyalahkan dirinya sendiri.

"Entahlah Ayra.. aku pun tak tahu nak tolong kau macam mana.. kalau sesiapa pun yang berada ditempat Harzan, akan buat benda yang sama.." Fiza berhati-hati untuk melafazkan kata-kata. Kejadian tersebut jelas menjadi kesalahan Ayra namun dia juga terpaksa menjaga perasaan sahabatnya itu dari tersinggung.

"Tolong aku Fiza.. aku takut.. takut Harzan buat benda tak betul.. aku taknak apa-apa terjadi kat dia." Ayra kembali menitiskan air mata. Fiza terlopong.

"Kau.. bimbangkan Harzan?" Fiza menyoal.

"Pastilah aku bimbang.. sampai sekarang dia masih tak pulang.. aku takut sesuatu berlaku pada dia.."

"Jadi, memang betul la yang aku katakan sebelum ni.. kau memang cintakan Harzan kan?" Fiza mengukir senyuman kecil. Ayra tersentak. Dia terdiam seketika sambil menundukkan muka.

"Dia kan suami aku.. suka atau tidak, dia tetap ayah kepada anak dalam kandungan aku ni.." Ayra menjawab perlahan sambil pandangannya masih menatap lantai.

"Jadi, kenapa kau selamatkan Rafiq dan menyebelahi lelaki tu daripada suami kau sendiri?" Fiza menyoal lagi. Ayra terbungkam. Dia tidak mampu menjawab pertanyaan sahabatnya itu.

"Itulah masalahnya Ayra.. Harzan langsung tak pukul kau kan? dia cuma pukul Rafiq.. itu maknanya, bagi Harzan dia tak salahkan kau.. tapi dia salahkan Rafiq kerana tak habis-habis menganggu rumah tangga dia." Fiza memberikan pendapat berdasarkan kisah yang diceritakan oleh Ayra  sebentar tadi. Wanita itu melanjutkan lagi kata-katanya.

"Tapi Harzan pasti kecewa dan kecil hati bila kau sebelahkan Rafiq daripada diri dia sendiri.. padahal dia tu suami kau.. sebagai suami dan seorang lelaki, Harzan pun ada maruah dan ego dia sendiri.. sayangnya, kau sebagai isteri dia pula yang dah calarkan maruah dia tu.. Sepatutnya kau kena tahan dia dengan berada di sebelah dia pada masa tu.. Sebaik apa pun seorang lelaki, maruah dia sebagai suami itu akan diletakkan pada tempat paling tinggi. Malah di depan orang ramai dan di depan Rafiq, kau dah hancurkan maruah dan ego Harzan.. dia pasti sangat kecewa.." Fiza mula berceramah dan berfalsafah.

"Aku tak bermaksud nak sakitkan hati dia.. aku cuma nak dia berhenti dari terus mengamuk dan memukul Rafiq macam orang gila.." Ayra ingin membela diri.

"Itulah masalahnya.. Untuk jaga maruah Harzan, kau sepatutnya biarkan sahaja perbuatan dia.. atau kau tenangkan dia dengan berada di sampingnya.. tapi kau menahan dia dengan berpihak kepada Rafiq.. kau faham tak? Mungkin benda tu nampak kecil bagi kau.. tapi bagi Harzan, maruah dia dah dihancurkan oleh isterinya sendiri di hadapan orang. Orang lelaki ni, mereka cuma akan jaga dua benda je dengan bermati-matian.. orang yang dia sayang dan maruah diri dia.. demi dua benda ni, dia sanggup ketepikan keselamatan diri dan tinggalkan segala-galanya. Dia boleh rendahkan maruah dia kepada orang yang dia sayang.. tapi sama sekali tidak, jika di depan orang lain." Fiza terus mengajar Ayra.

"Habis tu macam mana sekarang?" Ayra cuba mendapatkan penyelesaian.

"Kau kena berterus terang je dengan Harzan.. ceritakan semua apa sebenarnya yang dah berlaku.. dan mengaku kesalahan yang dah kau lakukan.. lagi bagus kalau kau katakan je, kau memang cintakan dia." Fiza memberi saran. Ayra pula membuntangkan mata.

Pada masa yang sama, di dalam sebuah bilik yang gelap dan bercahaya suram, Harzan terduduk di lantai sambil tertunduk. Kepalanya terpuruk di antara kedua celah lutut kaki yang dibengkokkan. Kedua belah tangan pula menekan kepala agar terperlus lebih dalam. Perasaan marah dan kecewa cuba bersebati di dalam hatinya. Namun dalam keadaan pemikiran yang berserabut itu, kesedihan lebih mendominasi.

Di dalam kegelapan itu, Harzan menangis sendirian. Air mata lelakinya menitis membasahi lantai. Fikirnya, segala perjuangan dia selama ini untuk meraih cinta Ayra telah sia-sia. Walaupun telah beberapa bulan bersama, dia sudah berusaha sedaya upaya untuk menambat hati wanita tersebut. Namun dia hanya membuang masa dan pengorbanannya langsung tiada nilainya. Harzan kecewa. Hatinya seakan dicincang lumat. Pedihnya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Kini, hanya air mata sahaja yang mampu menjadi saksi kesakitan yang dia rasakan.

Keesokannya, matahari sudah meninggi di atas kepala. Pada waktu tengah hari sebegitu, Ayra masih terlena. Dia yang digantung tugas selama seminggu kerana kejadian di pejabat semalam, tidak tidur malam tadi kerana berendam air mata. Dia hanya terlelap selepas subuh kerana kepenatan menangis. Padahal beberapa bulan dahulu, dia tidak suka dengan kehadiran Harzan dalam hidupnya. Namun sejak semalam, dia mula sedar, betapa pedihnya erti sebuah kehilangan. Harzan baru tidak pulang semalaman, tetapi Ayra sangat keresahan. Kekesalan tidak berhenti memukul hatinya.

Tiba-tiba telefon bimbit Ayra berdering. Wanita itu segera terjaga. Setelah melihat panggilan masuk itu datangnya dari Fiza, Ayra segera menjawab.

"Hmm.. kenapa Fiza?" Ayra dengan suara yang lemah menjawab panggilan.

"Ayra.. Harzan takde kat pejabat.. dia tak datang kerja pun hari ni." Kedengaran suara Fiza dari corong pembesar suara telefon. Ayra terdiam. Fikirannya kosong. Dia tidak tahu apa  lagi yang harus di ucapkan kepada Fiza. Bahkan dia juga tidak tahu bagaimana untuk berfikir sama sekali. Jiwanya hanyut di dunia tersendiri.

"Ayra.. hello.. Ayra... kau tak apa-apa?" Suara Fiza memanggil sahabatnya itu. Namun Ayra seolah sudah menjadi tuli. Matanya hanya menatap siling dengan pandangan yang kosong.

"Ayra! Kau okay tak ni? Ayra.. hello.." Fiza terus memanggil. Sejenak kemudian, Ayra tersentak. Dia seolahnya baru tersedar dari lamunan.

"Ya.. aku tak apa-apa.. takpe la kalau macam tu.." Ayra menjawab lemah. Fikirannya mula melayang teringatkan Harzan. Entah di mana suaminya itu. Ayra cuma mampu berharap agar lelaki itu selamat dari kecelakaan dan tidak berbuat sesuatu tindakan yang bodoh kerana kekecewaan.

"Harzan.." Bibir Ayra buat kali pertama menyebut nama lelaki itu dengan perasaan yang penuh dengan kerinduan. Ayra mula yakin dengan kebenaran kata-kata Fiza kepadanya. Dia percaya dia sudah cintakan suaminya.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-07-12 22:53:16 

akhirnya, ayra mengaku juga..

Anis Aleesya
2024-07-12 04:52:28 

kesiannya harzan. bodo punya ayra!


NovelPlus Premium

The best ads free experience