Bab 36

Romance Series 41999

AYRA merasa bahagia apabila kehadirannya telah diterima oleh seluruh ahli keluarga Harzan. Malah yang lebih membahagiakan hatinya, dia sudah bersama semula dengan suaminya itu. Ayra hanya kesal dan menyalahkan dirinya kerana terlalu lambat untuk menerima Harzan di dalam hatinya. Kini baru dia sedar, betapa besar kasih Harzan terhadap dirinya. Ayra dilayan bagaikan seorang puteri raja oleh suaminya itu. Malah keluarga mentuanya juga sangat menghargai kehadirannya. Ayra yang sudah lama kehilangan kasih sayang orang tuanya kini mula mendapat kembali anugerah tersebut dari keluarga suaminya.

Petang itu, cuaca terlihat cerah. Harzan ingin keluar dan mengambil angin di sekitar kampung. Sedang lelaki itu melangkah keluar dari muka pintu, Ayra segera menyapa.

"Awak nak pergi mana?"

"Nak ronda-ronda kampung sekejap.. sambil tu nak singgah kat kebun, tengok abah." Harzan menjawab.

"Nak ikut.."

"Hmm.. jom la.." Harzan tidak keberatan untuk bersama isterinya itu. Ayra pula dengan laju menuju ke arah suaminya. Harzan kemudian menghidupakn enjin sebuah motosikal kapcai, honda C50 yang agak usang. Ayra yang melihat mula tercengang.

"Nak naik motor ni ke?" Ayra mengerutkan dahi.

"Dah tu nak naik apa? takkan awak nak jalan kaki?" Harzan lantas menjawab.

"Emm.." Ayra menggarukan kepala.

"Nak ikut ke tak?"

"Eh, nak la.." Ayra segera duduk di belakang Harzan sebagai pembonceng.

"Jangan tengok rupa.. motor ni nampak je buruk, tapi enjin masih power.." Harzan tertawa. Lelaki itu kemudian memulas minyak sehingga motor berderu kuat beberapa kali. Sejenak itu, Harzan mula meluncurkan motor dengan tiba-tiba sehingga Ayra terkejut dan hampir jatuh terlentang ke belakang. Mujur sahaja wanita itu sempat merangkul pinggang suaminya dan mengelakkan dirinya daripada jatuh.

"Harzan!!!" Ayra menjerit ketakutan. Harzan pula menghamburkan tawa kerana berjaya menakutkan isterinya. Di dalam rumah, Maryani melihat gelagat pasangan suami isteri itu sambil menggelengkan kepala. Di hatinya, dia bersyukur kerana anak lelakinya itu sudah kembali ceria. Dia tahu, selama ini anaknya itu seorang yang tabah hati. Namun beberapa hari lalu, Maryani menjadi gusar apabila melihat Harzan banyak termenung dan menangis kekecewaan. Dia tidak mampu membayangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh Harzan sehingga mampu mengubah penampilan dan keperibadian anaknya itu. Kini, dengan kemunculan Ayra, anak sulungnya itu kembali ceria dan bersemangat. Maka tahulah Maryani, Ayra itulah racun dan penawar buat Harzan.

Maryani turut terkenangkan peristiwa malam tadi. Di saat Ayra bercerita mengenai dirinya yang sudah tidak mempunyai ibu bapa dan saudara, Maryani benar-benar tersentuh. Dia berjanji untuk mengembalikan kasih seorang ibu kepada menantunya itu. Dia tidak ingin Ayra merasa kesunyian lagi. Maryani tahu, Ayra sangat mendambakan kasih sayang dari keluarga sejak sekian lama. Maka sebagai keluarga baru kepada Ayra, dia berazam untuk membahagiakan menantunya itu.

Sementara itu, Harzan yang menunggang sambil membonceng isterinya menghentikan motosikal. Jarak destinasinya tidaklah terlalu jauh dari rumahnya. Kini, mereka sudah tiba di kebun milik keluarga Harzan. Ayra yang melihat suasana sekeliling mula terpukau. Mulutnya terlopong melihat sayur-sayuran yang menghijau, saujana mata memandang.

"Besarnya.. semua ni milik keluarga awak? seluas mana?" Ayra bertanya.

"Emm.. lebih kurang dalam dua belas ekar je.." Harzan menjawab dengan selamba.

"Dua..dua belas ekar? Ini bukan kebun.. Ini dah ladang namanya.." Ayra terkejut besar. Perkiraannya awalnya mengenai kebun sayur tersebut jauh meleset. Malah teknik penanam di sana bukanlah dilakukan secara konvensional melainkan menggunakan teknik fertigasi yang memerlukan modal yang besar, namun mudah penyelenggaraannya. Ayra terpaku melihat pokok cili yang bergantungan dan di tanam di dalam polybag. Ayra benar-benar terpempan sehingga tidak mampu berkata-kata. Dengan ladang cili seluas itu, Ayra menjangkakan, keuntungan keluarga Harzan mampu mencapai ratusan ribu ringgit bagi setiap musim penanaman. Ayra menelan liur. Dia langsung tidak menjangkakan keluarga suaminya itu memiliki pendapatan sebanyak itu.

"Eh, Harzan.. lama tak nampak kau.. baru pulang ke?" Tiba-tiba seorang lelaki separuh usia muncul dan menyapa Harzan.

"Ah, baru balik dua, tiga hari lepas Pak Yus.. Pak Yus apa khabar?" Harzan menjawab seraya bertanya khabar lelaki tersebut.

"Orang tua macam aku ni, begini je la Zan.. alhamdulillah la, masih sihat, masih boleh buat kerja.. Eh, ini siapa? Aku ingatkan Azi tadi." Lelaki yang digelar Pak Yus itu menunjuk ke arah Ayra yang sedang berdiri di samping Harzan.

"Oh, Azi ada kat rumah dengan mak.. ini isteri saya Pak Yus.." Harzan memperkenalkan Ayra.

"Wah, sejak bila pula kau dah kahwin ni? takde jemput pun.."

"Ah, saya kahwin kat kota hari tu.. masih belum buat majlis kenduri kat sini.. nanti la kami buat.. mak pun dah bising tu suruh buat kenduri.. nanti kami jemput la Pak Yus.." Harzan menjawab dengan jujur. Lelaki itu kemudian meneruskan ucapannya dengan bertanya kepada Pak Yus.

"Pak Yus, Abah saya kat mana?"

"Entahlah.. rasanya tak nampak lagi dia kat sini.. mungkin dia kat kebun sebelah sana.. kalau tak kat tempat jagung, mungkin kat belah kangkung."

"Oh, kalau macam tu takpelah.. nanti saya pergi kat kebun sana je.." Harzan membalas kepada Pak Yus. Lelaki itu kemudian memandang kepada isterinya dan mereka saling bertatapan.

"Itu pekerja abah?" Ayra berbisik kepada Harzan.

"Ah, Pak Yus tu kiranya mandur la kat kebun ni.." Sharzan segera menjawab.

"Berapa ramai pekerja kat kebun?" Ayra masih ingin tahu.

"Emm..entahlah.. kalau untuk penjagaan kebun tu, rasanya dalam 15 orang. kalau semua sekali, dengan pekerja yang menuai, petik cili, packing, rasanya lebih 40 orang.." Harzan sekadar menjawab. Dia sendiri tidak pasti jumlah tepat yang sebenarnya. Ayra pula terbeliak. Langsung tidak menyangka, pekerja yang diupah mentuanya di kebun mampu mencapai puluhan orang.

"Ramainya.." Ayra meluahkan rasa kagum.

"Hmm.. kami buat kebun ni pun, memang untuk tolong orang kampung juga.. dengan upah orang, bukan saja dapat memudahkan urusankita, tapi orang kampung pun ramai yang dapat kerja.." Harzan memberi penerangan. Ayra terdiam. Harzan kemudian menyambung ucapannya.

"Jom kita kat kebun satu lagi.. mungkin abah duk kat sana.."

"Kebun satu lagi? Berapa kebun lagi yang keluarga awak ada?" Ayra semakin tergamam. Satu ladang cili yang disebut sebagai kebun oleh Harzan itu pun, sudah  membuatkan Ayra terpana. Kini dia dimaklumkan bahawa keluarga mentuanya itu masih memiliki kebun lain lagi. Ayra tiba-tiba menggigil. Harzan yang pernah dia hina sebagai budak pejabat yang miskin dan budak kampung itu rupa-rupanya mempunyai keluarga yang berharta dan kaya-raya. Namun anehnya, rumah mentuanya tidaklah begitu besar walaupun terbina dari kayu berkualiti tinggi. Ayra mula sedar, Harzan dan keluarganya itu sangat merendah diri dan tidak menonjol dalam mempamerkan kekayaan mereka.

"Hmm.. sini kebun khas untuk tanaman cili je.. ada dua lagi kebun lain.. satu tu tanam jagung, keledek dan ubi kayu.. kebun tu tanaman kat tanah je, guna cara tradisional.. satu kebun lagi tanam kangkung secara hidroponik." Harzan memberi penjelasan.

"Berapa luas?" Ayra semakin ingin tahu. Jantungnya semakin berdebar kencang.

"Kebun sana tak la besar sangat.. kangkung tu dalam tiga ekar je.. Jagung dan ubi tu.. rasanya dalam tujuh ekar.." Harzan menjawab. Mendengar jawapan suaminya, Ayra hampir rebah. Wanita itu segera berpaut ke bahu Harzan.

"Ayra.. kenapa ni? awak pening?" Harzan yang polos seolah tidak mengerti. Pada fikirannya, isterinya itu mungkin pening kerana alahan akibat kandungan di dalam perutnya. Ayra pula hampir menitiskan air mata. Dia benar-benar menyesal kerana pernah memperkecilkan Harzan dan menghina suaminya itu sebagai orang miskin. Ayra tiba-tiba menangis dan memeluk Harzan. Rasa bersalah tidak berhenti menghentak hatinya bertalu-talu. Selama ini dia terlalu mengangungkan Rafiq yang kononnya kaya kerana berjawatan sebagai pengurus besar. Namun sekarang, Ayra mulai sedar, Harzan yang pernah dihinanya itu mempunyai keluarga yang jauh lebih kaya. Bahkan, mengikut perkiraan Ayra, satu kebun kangkung yang paling kecil milik keluarga Harzan sahaja sudah mampu menyaingi pendapatan Rafiq. Kini Ayra pula merasakan dirinya tidak layak dan tidak sebanding dengan keluarga suaminya itu.

"Harzan.. maafkan saya.." Ayra tiba-tiba meminta maaf apabila menyedari kesilapannya dalam menilai Harzan suatu masa dahulu. Harzan pula terpinga-pinga. Dia tidak tahu, entah kenapa isterinya itu dengan tiba-tiba meminta maaf daripadanya.

"Kenapa ni? Awak tak buat salah apa pun, kenapa nak minta maaf? yang dah lepas, biarlah berlalu.. kan kita dah janji nak lupakan masalah yang lalu.." Harzan cuba memujuk isterinya yang tiba-tiba menangis. Ayra pula hanya mendiamkan diri dan meneruskan tangisannya. Wanita itu tidak mampu menghentikan tangisan penyesalannya.

"Ayra.. awak ni kenapa? tiba-tiba jadi macam ni?" Harzan semakin bingung. Ayra pula terus berdiam.

"Kalau macam tu, kita balik ke rumah je la.. jom.." Harzan cuba meleraikan rangkulan Ayra dan mula mendorong isterinya itu ke arah motosikal yang ditunggang oleh mereka tadi. Ayra hanya menurut kata-kata suaminya dan kembali membonceng motosikal bersama Harzan untuk pulang ke rumah.

MENJELANG waktu malan, Ayra termenung sendirian di bilik. Dia masih memikirkan mengenai kesalahannya dalam menilai Harzan. Seolah kesalahannya itu terus menghantui pemikiran Ayra. Seketika kemudian, wanita itu menghembuskan nafas dengan kasar.

'betul la kata orang, don't judge a book by it's cover. aku memang bodoh.' Ayra mengutuk dirinya sendiri. Kemudian, Ayra dikejutkan dengan kemunculan Harzan di muka pintu bilik.

"Ayra, kenapa? dari siang tadi awak termenung je.." Harzan risau dengan keadaan isterinya.

"Emm.. takde apa.." Ayra menggeleng kepala seraya menunjukkan senyuman yang kelat.

"Mana mungkin takde apa-apa.. baik awak bagitau je.." Harzan terus bertanya. Ayra pula kembali menggelengkan kepala.

"Sayang.. jangan la macam ni.." Harzan tiba-tiba mengubah panggilannya terhadap Ayra. Wanita itu segera membuntangkan matanya. Dia menatap suaminya itu tanpa berkedip. Ayra mula teringat, sewaktu awal perkahwinan mereka, Harzan pernah memanggilnya dengan panggilan tersebut. Namun ketika itu Ayra sedikit meluat mendengarnya. Dia tidak suka Harzan memanggilnya sebegitu manja. Tetapi kini Harzan mengulangi panggilan yang sama, malah Ayra merasa teruja dan senang hati. Dia ingin Harzan terus memanggilnya sebegitu berulang kali. Ayra mula menggigit bibir sambil menatap suaminya itu.

"Cuba panggil lagi.." Ayra bersuara manja.

"Kenapa? sayang? ya sayang.." Harzan menurut keinginan isterinya. Ayra kemudian berdiri merapati suaminya. Kedua belah telapak tangannya menyentuh dada Harzan.

"Abang.." Ayra terus menatap wajah Harzan. Lelaki itu pula yang teruja. Kali pertama Ayra memanggilnya dengan semanja itu. Harzan kemudian menghembuskan nafas panjang. Lelaki itu melepaskan tangan Ayra yang mendarat di dadanya.

"Abang.. kenapa?" Ayra kehairanan dengan tindak balas suaminya itu. Harzan seolah ingin menolak untuk mereka terus bermesra. Harzan pula segera menutup pintu bilik dan mengunci dari dalam. Lelaki itu turut mematikan lampu sebelum kembali mendekati isterinya.

"Dalam cerita kita, jangan ada adegan softporn.. nanti kena kecam.. tutup lampu, baru orang tak tahu kita buat apa.." Harzan menjawab dalam gelap.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-07-25 17:26:19 

Harzan...Harzan..nakal ya..


NovelPlus Premium

The best ads free experience