Bab 4

Romance Series 41999

BUNYI deringan telefon mengganggu tidur Ayra. Dalam keadaan yang masih mamai, Ayra meraba-raba mencari telefon bimbitnya di atas tilam empuk yang menjadi tempat tidurnya. Setelah mencapai telefon di genggaman tangan, mata Ayra berkedip beberapa kali. Pandangannya masih kabur untuk membaca nama pemanggil di skrin telefon bimbitnya.

"Eh, Rafiq?" Ayra segera bangkit dari pembaringannya apabila membaca nama Rafiq yang tertera dilayar telefon.

"Hello.. ada apa Encik Rafiq cari saya ni? Hari ni kan hari minggu.." Ayra mula berbicara setelah menerima panggilan tersebut.

"Eh, apa pula berencik-encik ni.. kita bukan kat pejabat. Sebab hari ni hari minggu la i call you ni.." Kedengaran suara Rafiq di corong telefon.

"Hmm.. kenapa pula hari ni?" Ayra kembali bertanya.

"You tidur lagi ke sayang? dah nak tengah hari ni.. jom la keluar dating.."

"Letih la.. malam tadi i tidur lewat. Nak keluar pergi mana?" Ayra kemudian memandang ke arah jam yang tergantung di dinding ruang bilik tidurnya. Matanya sedikit terbeliak apabila melihat jam sudah menunjukkan hampir pukul dua belas tengah hari. Malam tadi dia sudah pulang lewat kerana asyik berseronok bersama Fiza dan teman-temannya yang lain. Selepas pulang dari kelab malam, mereka sempat pula singgah ke kedai makan yang beroperasi dua puluh empat jam. Setelah hampir waktu subuh baru Ayra pulang dan terus tertidur tanpa menunaikan kewajipan solat. Begitulah rutin kehidupan gadis tersebut apabila menjelangnya malam minggu. Semalaman waktu akan dihabiskan untuk berseronok dan berfoya-foya bersama teman-temannya, kononnya sebagai rawatan untuk tekanan yang membelenggu minda.

"Jom la kita lunch sama-sama.. lepas tu kita tengok movie." Suara Rafiq di hujung talian tertangkap di telinga Ayra.

"Hmm.. okaylah.. give me 30 minutes.. i nak bersiap. tapi.. ada syaratnya.." Ayra mengukirkan senyuman.

"Hah? syarat apa pulak?"

"Nanti you belanja i kasut, boleh? Kasut i rosak.."

"Hmm..kasut je? okaylah.. cepat sikit bersiap.. i dah pn the way ke rumah you ni.."

"Sayang you ketat-ketat.. muahh.. eh, you bawa kereta tu perlahan la sikit.. i nak mandi dulu."

"Ish, you ni.. nak bawa perlahan macam mana pulak.. nanti i sampai, i call you, okay?"

"Okay yang.."

"Dah, cepat sikit mandi.. busuk sampai ke sini baunya." kedengaran suara Rafiq ketawa di sebalik telefon.

"Hmm.. ye la tu.. dah la.. i nak mandi dulu.. bye." Ayra segera mematikan panggilan telefon. Telefon bimbit di tangannya kemudian dicampak ke atas tilam. Dengan penuh malas, Ayra perlahan-lahan menjatuhkan kedua kakinya ke lantai. Setelah termenung seketika di birai katil, gadis itu kemudian mengangkat punggungnya dari terus melekat di tilam. Kakinya segera bergerak melangkah menuju ke arah tuala yang tersidai di sudut bilik. Setelah mencapai tuala, Ayra tanpa membuang masa terus menuju ke arah bilik air untuk mandi dan menyegarkan tubuhnya.

RAFIQ meletakkan gelas di atas meja setelah menyedut sebahagian air dari gelas tersebut. Dia menyandarkan badannya ke kerusi sambil menatap Ayra yang masih sedang menjamu selera. Lelaki yang kekenyangan itu sudah pun selesai menghabiskan hidangan makanannya. Seketika kemudian, Ayra melepaskan sudu dan garpu di tangannya. Pinggan yang masih tersisa makanan ditolak gadis itu dan dia segera mencapai gelas air seraya menyedut air minumannya.

"Kenapa tak habiskan?" Rafiq memandang ke arah Ayra yang masih menikmati minuman yang melepasi kerongkongannya.

"Kenyang dah.. tak mampu la i nak habiskan. You la tolong habiskan.." Ayra mula menjawab setelah selesai minum.

"Taknak la i.. i pun dah kenyang ni."

"So, lepas ni kita nak pergi mana?" Ayra merapatkan badannya ke meja makan, menyuakan mukanya ke arah Rafiq yang sedang duduk berhadapan dengannya.

"Mana-mana pun boleh.. i ikut you je.. kita tengok wayang dulu.. lepas tu baru kita cari kasut untuk you." Rafiq mempamerkan senyuman ke arah teman wanitanya itu.

"Okay.." Ayra turut tersenyum. Dia sangat gembira kerana teman lelakinya itu langsung tidak berkira dan rela menghabiskan wang untuk dirinya.

"Dah, jom la kita pergi.." Rafiq segera berdiri dan menggapai tangan Ayra. Tangan teman wanitanya itu dituntun dengan pegangan yang erat dan mereka beriringan berjalan keluar dari restoran tersebut. Baru beberapa kali melangkah, Rafiq agak terkejut apabila melihat seorang lelaki pertengahan usia yang segak berjalan masuk ke restoran. Rafiq awalnya ingin menghindari lelaki berkenaan namun dia terpaksa membatalkan niatnya apabila lelaki tersebut mulai sedar dengan kewujudannya di situ. Setelah saling bertatapan mata, Rafiq segera melepaskan pegangan tangannya kepada Ayra. Ayra mula merasa pelik dengan tingkah laku teman lelakinya itu. Belum sempat Ayra membuka mulut, Rafiq terlebih dahulu mendekat dan menyapa lelaki yang baru hadir itu.

"Dato' nak kemana ni? tak sangka pula jumpa kat sini.."

"Saya nak jumpa orang.. sambil lunch kat sini.. kamu dah habis makan ke Rafiq? ke sibuk nak dating?" Lelaki separuh umur itu tertawa kecil setelah menjawab sapaan Rafiq.

"Eh, takde la Dato'.. Saya pun baru selesai jumpa client kat sini.. ni pun datang dengan Personal Assistant saya.." Rafiq cuba mengelak hubungannya dengan Ayra diketahui. Lelaki itu adalah Dato' Mustafa Kamal, pemilik kepada syarikat dimana tempat Rafiq dan Ayra bekerja.

"La.. hari minggu pun duk sibuk fikir pasal kerja ke? Jangan duk tekan diri sangat.. kalau hari cuti, rehat je la dari bekerja.. kerja hanya pada waktu bekerja je.. Lepas waktu kerja, luangkan masa untuk diri sendiri je.. Saya taknak pekerja di syarikat saya tertekan dengan kerja 24 jam" Dato' Mustafa Kamal menyampaikan nasihat.

"Takde apa la Dato'.. lagipun jumpa client pun sambil makan-makan je.. bincang projek dengan santai.. takde la tertekan sangat.. saya dah biasa pun buat macam ni." Rafiq memberikan jawapan balas.

"Kalau kamu tak kisah pasal diri kamu pun, tapi cuba jangan susahkan P.A kamu tu.. dia pun ada hidup dia.. dia pun nak ada masa dengan keluarga, dengan kawan-kawan dia.. jangan duk paksa dia ikut kamu buat kerja hari minggu." Dato' Mustafa Kamal menunjukkan sikap prihatin dalam kata-katanya. Mata lelaki itu sempat menjeling ke arah Ayra yang sedang tersenyum berdiri di sebelah Rafiq.

"Saya tak kisah pun Dato'.. saya pun bukan ada family.. saya hidup sebatang kara je. Saya anak yatim dari kecil. Mak saya meninggal masa saya sekolah rendah. Ayah saya pula meninggal masa saya sekolah menengah. Saya pun takde adik beradik.. Hari minggu pun, biasanya saya habiskan masa kat rumah je.. kadang-kadang Encik Rafiq ajak keluar jumpa client tu, saya tak kisah pun." Ayra turut berbohong untuk menguatkan cerita yang direka oleh teman lelakinya.

"Oh.. kuat betul awak hadapi cabaran hidup ni.. saya kagum dengan awak.. tapi lain kali, tak payah la susah-susah buat kerja hari minggu.. jangan duk ikutkan sangat si Rafiq ni. Kerja ikut waktu kerja.. balik dari pejabat, sampai rumah, jangan peduli dah tentang kerja." Dato' Mustafa mengulangi kata-kata nasihatnya.

"Baiklah Dato'.." Ayra tersenyum sambil matanya melirik ke arah Rafiq yang berada di sebelahnya.

"Saya pergi dulu la Dato'.." Rafiq cuba meminta diri untuk menghindari Dato' Mustafa Kamal secepat mungkin. Dia risau jika hubungannya dengan Ayra diketahui dan akan menjadi bahan bualan kenalan mereka.

"Baiklah.. hati-hati dalam perjalanan." Dato' Mustafa tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

"Kami pergi dulu Dato'.." Ayra ingin mengakhiri perbualan mereka. Gadis itu kemudian segera berjalan membuntuti Rafiq untuk keluar dari restoran dan meninggalkan Dato' Mustafa Kamal yang berjalan ke arah bertentangan. Setelah keluar dari restoran, Ayra kembali mencapai tangan Rafiq dan merangkul lengan lelaki itu dengan kemas. Baru sahaja meninggalkan muka pintu restoran, Ayra dikejutkan pula dengan kemunculan Harzan. Harzan yang baru keluar dari kedai buku yang berada di blok yang sama dengan restoran itu turut tersentak apabila melihat Ayra yang sedang merangkul lengan Rafiq.

"Eh, Ayra.. En..encik Rafiq.." Harzan bersuara dengan tergagap. Dia langsung tidak menyangka pertemuannya dengan Ayra dan Rafiq di sana. Ayra pula dengan pantas melepaskan rangkulannya pada lengan Rafiq apabila menyedari penglihatan Harzan tertumpu ke arah mereka.

"Harzan.. kau buat apa kat sini?" Ayra dengan spontan menyoal. Rafiq pula mengalihkan pandangan matanya ke arah Ayra yang berdiri di sisinya.

"Saya.. cari buku.. kat kedai ni." Harzan menunjukkan senaskah buku yang baru dibeli pada pegangan tangannya.

"Kau jangan fikir bukan-bukan.. kami datang jumpa client kat sini.. hari minggu pun kami sibuk kerja." Rafiq menyorotkan pandangan ke arah Harzan.

"Ah.. saya tak fikir apa-apa.. takpe lah.. saya pergi dulu.." Harzan segera membuka langkah kakinya dan berjalan meninggalkan Ayra yang sedang bersama Rafiq.

"Hmm.. kalau ada cerita pasal kita kat pejabat nanti, takde kerja orang lain.. mesti budak pejabat tu la yang buka cerita." Rafiq memerhatikan Harzan yang semakin menjauh dari arah belakang.

"Dah la.. tak payah peduli la pasal budak pejabat tu." Ayra lantas menarik lengan Rafiq dan mereka mula meneruskan langkah kaki mereka untuk menuju ke arah kereta milik Rafiq. Setelah menjauh, Harzan menghentikan langkah kakinya. Sejenak kemudian, dia memalingkan tubuhnya untuk melihat keberadaan Ayra dan Rafiq. Kedua orang itu sudah tidak terlihat pada pandangan mata Harzan.

"Hmm.. hari minggu pun mereka keluar bersama.. mana mungkin jumpa client hari minggu macam ni.. siap berpeluk tangan lagi.. diorang memang bercinta ke?" Harzan bermonolog sendirian. Dalam diam, hatinya sedikit diusik rasa kecewa. Harzan tahu dia tidak berhak untuk merasa sakit hati apabila melihat Ayra bersama lelaki lain. Selama ini, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Dia sendiri tidak tahu apakah Ayra sudah mempunyai teman lelaki atau tidak. Dia cuma mempunyai kepastian yang Ayra masih belum berkahwin sahaja.

"Kalau kau ikhlas cintakan dia, kau pasti hanya nak tengok dia bahagia.. dapat lihat orang yang kita cintai itu bahagia pun dah cukup membahagiakan hati kita.. cuma kau jangan tukarkan perasaan cinta yang ikhlas itu kepada obses.." Tiba-tiba kata-kata Azian terngiang-ngiang di telinga Harzan. Lelaki itu kemudian mengukirkan satu senyuman kelat pada bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience