Bab 20

Romance Series 41999

Ayra yang mengenakan kemeja biru muda dan berbaju kot hitam terlihat anggun dengan tudung yang sedondon dengan warna bajunya. Seluar panjang yang labuh berwarna hitam dikenakan agar secocok dengan kot yang dipakai. Dengan langkah kaki yang teratur, jelas terpancar keyakinan dari penampilan Ayra. Wanita itu dengan bergaya dan penuh semangat melangkah masuk ke pejabat barunya. Sebuah bilik disediakan untuknya, sesuai dengan jawatan sebagai pengurus yang disandang oleh wanita terbabit.

Dengan perasaan yang penuh teruja, Ayra masuk ke bilik pejabatnya dan duduk dikerusi yang disediakan. Senyuman terukir pada bibirnya, menggambarkan betapa Alya sedang gembira dengan jawatan yang dia dapatkan di perusahaan baru. Matanya melilau ke segenap sudut, memerhatikan suasana di seluruh pejabat. Seketika kemudian, matanya tertumpu pada timbunan fail yang berlonggok di atas meja. Dengan semangat yang berkobar-kobar untuk memulakan kerja, Ayra mencapai fail tersebut satu persatu. Setiap fail dibelek dan dia fokus membaca setiap dokumen yang tersisip di setiap fail. Tidak lama kemudian, senyuman pada bibirnya mulai sirna. Dengan siku yang menongkat di meja, jari-jemari Ayra kemudian hinggap di dahinya. Setelah meneliti setiap fail, kepala Ayra dirasakan berdenyut.

"Bala apa yang aku kena tanggung ni? bukan main banyak lagi produk yang syarikat ni keluarkan.. mampus aku nak kena uruskan semua produk ni." Ayra tiba-tiba merasa menyesal dengan kesanggupannya untuk menjawat jawatan yang ditawarkan kepadanya. Sebagai seorang pengurus pemasaran, menjadi tanggung jawab Ayra untuk memikirkan dan mencari jalan bagi melakukan pemasaran untuk menaikkan jualan syarikatnya. Melihatkan senarai barangan yang perlu dia uruskan, Ayra mula hilang keyakinan diri. Dia khawatir jika dirinya tidak mampu untuk melaksanakan tugas yang telah di amanahkan terhadapnya.

'tukk..tukk..tukk..', tiba-tiba Ayra dikejutkan dengan ketukan pada pintu biliknya.

"Ya, masuk.." Ayra memberikan kebenaran kepada orang yang mendatanginya untuk masuk ke dalam bilik.

"Puan.. nanti pukul sepuluh, kita pergi ke kilang pemprosesan ya.." Seorang wanita masuk ke dalam bilik dan segera menyampaikan pesanan kepada Ayra.

"Eh, kenapa perlu pergi ke kilang pulak?" Ayra segera melontarkan pertanyaan.

"Itu saya tak tahu Puan.. saya cuma diberi arahan untuk bawa puan ke sana. Mungkin untuk puan lebih memahami dan tahu mengenai urusan syarikat." Wanita itu menjawab.

"Oh, takpe la kalau begitu. By the way, awak ni siapa?" Ayra cuba untuk berkenalan dengan wanita tersebut. Dia yang baru bekerja di sana masih tidak mengenali sesiapa pun. Untuk menjalankan tugasnya dengan baik, Ayra berpendapat, dia harus berkenalan dan beramah mesra terlebih dahulu dengan rakan sekerjanya.

"Ah, saya Hanani. Puan panggil je Nani. Saya sekretari Puan. Kalau Puan perlukan apa-apa bantuan, Puan boleh sampaikan kepada saya." Wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Hanani menjawab dengan penuh sopan. Satu senyuman turut dihadiahkan oleh wanita itu kepada Ayra.

"OK Nani.. tapi boleh tak jangan panggil saya puan. Saya segan la. Panggil Ayra pun takpe." Ayra cuba untuk mendekatkan hubungannya dengan Hanani. Dia sebolehnya tidak ingin hubungan mereka terlihat terlalu formal.

"Ish, tak boleh la puan.. Puan Ayra kan atasan saya. tak sopan pula saya nak panggil Puan Ayra dengan nama je. Lagipun, kita kat pejabat. Kalau kat luar tu, lain la." Jawab Hanani. Dia tetap cuba untuk merendah diri dan bersikap sopan. Walaupun sedar dirinya dan Ayra terlihat sebaya, dia tidak berani untuk berkelakuan tidak sopan terhadap pegawai atasannya itu. Walaupun Ayra adalah pekerja baru disana, namun jawatan Ayra lebih tinggi dan Hanani sedar dia perlu menghormati Ayra selayaknya sebagai seorang pegawai atasan. Mendengarkan jawapan Hanani, Ayra melepaskan satu hembusan yang mengandungi keluhan. Dia sebenarnya kekok untuk merasa terlalu di hormati dan ditinggikan. Bagi Ayra, apa pun  jawatan mereka, yang membezakan mereka hanyalah bidang tugas masing-masing sahaja. Sedangkan setiap pekerja mempunyai kelebihan dan peranan masing-masing. Tanpa orang bawahan, orang atasan juga tidak akan mampu melaksanakan tugas mereka dengan sempurna. Begitu juga sebaliknya. Tugas mereka di pejabat adalah untuk saling melengkapi dan tidak perlu dibezakan di antara pegawai atasan mahupun bawahan.

"Kalau macam tu, nanti ingatkan saya ye untuk pergi ke kilang pukul sepuluh nanti." Ayra meminta peringatan dari Hanani.

"Baiklah puan. Kalau puan perlukan apa-apa bantuan, boleh maklumkan kepada saya. Saya keluar dulu." Hanani tersenyum sebelum membalikkan punggungnya dan berlalu pergi dari bilik Ayra. Sejenak kemudian, Ayra kembali menatap timbunan fail di mejanya. Satu nafas yang dalam ditarik oleh Ayra. Nafasnya ditahan seketika sebelum dihembus kembali dengan satu hembusan yang kuat.

"Berusaha Ayra.. jangan cepat mengalah. Kau pasti boleh." Ayra bermonolog, cuba menyemangati dirinya sendiri. Dia sudah terlanjur bekerja disana. Sekarang dia sama sekali tidak akan menarik diri dan mengalah. Setiap cabaran dan masalah, dia yakin, pasti ada jalan penyelesaiannya. Apa yang paling penting adalah terus berusaha untuk belajar dan mencari cara. Ayra tetap optimis.

Petang itu, Harzan tiba di pekarangan rumah dengan motosikalnya. Setelah enjin kenderaannya dimatikan, Harzan melihat ke arah kereta Myvi berwarna kuning milik Ayra. Dia tahu, kini Ayra sudah pun pulang ke rumah. Dengan penuh teruja, lelaki itu segera masuk ke dalam rumah. Dia tidak sabar untuk mendengar pengalaman hari pertama isterinya bekerja di syarikat baru. Setelah masuk ke dalam rumah, Harzan melihat Ayra sedang bersandar di sofa pada ruang tamu. Isterinya itu memejamkan mata, seolah ketiduran. Wanita itu langsung tidak menyedari kehadiran Harzan yang sudah masuk ke dalam rumah. Harzan menatap wajah isterinya yang keletihan sambil tersenyum. Dia tahu, pekerjaan isterinya itu pasti memenatkan. Apatah lagi isterinya itu kali pertama menjawat jawatan sebagai pengurus disebuah syarikat yang ternama. Sudah pasti banyak perkara yang harus dipelajari oleh isterinya itu.

Seketika kemudian, senyuman mulai sirna dari wajah Harzan. Pandangan matanya berubah dengan penuh simpati. Ayra tertidur dengan masih mengenakan pakaian kerjanya. Harzan dapat mengagak, isterinya itu terlalu penat dan langsung merebahkan diri setelah pulang dari kerja. Tanpa dapat mengawal dirinya, Harzan melepaskan batuk beberapa kali. Suara batuk Harzan itu tanpa sengaja telah membangunkan Ayra daripada lelapnya.

"Ah, awak dah balik.." Ayra mula bersuara apabila melihat Harzan berdiri dihadapannya saat membuka mata.

"Hmm.. macam mana kerja hari ni? Nampak macam penat betul, sampai tertidur kat luar. Baju pun tak sempat tukar." Harzan berjalan mendekati isterinya.

"Emm.. Banyak benda yang saya kena belajar kat sana. Nak kena uruskan bermacam jenis produk, memang menyakitkan kepala. Tengok senarai barangan pun dah pening.. bila tengok program dan teknik pemasaran yang dah dilakukan sebelum ni, lagi sakit kepala. Tak tahu la saya boleh handle ke tak macam pengurus yang lepas-lepas.. Kalau rasa tak mampu, memang saya kena resign je lepas ni." Ayra menyuarakan keluhannya kepada si suami.

"Eh, apa pula nak resign.. teruskan usaha. Saya percaya awak boleh lakukan.." Harzan berjalan menuju ke arah belakang sofa yang di duduki oleh Ayra.

"Bercakap memang senang.. tapi saya yang menanggung azabnya. Kalau syarikat tak berjaya naikkan sales, memang saya la yang akan dipersalahkan nanti."

"Jangan risau.. awak pasti boleh. Saya yakin dengan kemampuan awak.. awak pun kena yakin dengan diri awak sendiri." Harzan tetap memberikan semangat kepada isterinya itu. Tanpa Ayra menduga, tiba-tiba jar-jemari kasar Harzan menyentuh bahunya. Walaupun terkejut, namun Ayra membiarkan sahaja Harzan memijat bahunya. Urutan lembut daripada jari jemari Harzan terasa mengasyikkan. Ayra kemudian memejamkan matanya, menikmati urutan daripada sang suami. Jari jemari Harzan kemudian mula merayap ke arah leher.

"Ahh.." Ayra sedikit mendesah kerana menikmati urutan Harzan. Jari Harzan terus merayap dan Ayra juga turut menikmati. Apabila Harzan mula memicit dahi dan kepala Ayra, wanita itu seakan merasakan segala beban yang bertompok dikepalanya menghilang. Kepalanya terasa ringan dan kini segala kelesuan yang hinggap pada dirinya juga seakan terusir. Tidak lama kemudian, Harzan mengakhiri urutan kepada isterinya itu.  Namun Ayra tetap memejamkan matnya walaupun urutan dari Harzan sudah dihentikan. Dirinya terasa sangat selesa dengan layanan daripada Harzan.

"Ahhhh!!" Tiba-tiba Ayra menjerit kuat. Dia sangat terkejut apabila Harzan tiba-tiba mengangkat dan menggendongnya.

"Apa ni? Awak nak buat apa? letakkan saya kat bawah.." Ayra panik. Dia tidak tahu apa yang bakal Harzan lakukan terhadapnya. Tanpa Ayra sedari, kedua belah tangannya sudah pun merangkut leher Harzan dan berpegang kuat pada lelaki itu.

"Awak nampak macam letih sangat.. jom kita mandi dulu.. nak saya tolong mandikan pun boleh." Harzan meleretkan senyuman kepada isterinya. Wajah Ayra segera merona kemerahan setelah mendengar ucapan suaminya itu. Selama ini belum pernah sekali pun mereka mandi bersama. Bahkan Ayra sentiasa akan memastikan Harzan tiada di bilik tidur sebelum dia masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Dia sama sekali tidak pernah berfikiran untuk mereka mandi bersama walaupun sudah bergelar suami isteri.

"Ja..jangan.." Ayra cuba menolak.

"Apa pula jangan.. hari ni awak tak perlu buat apa-apa.. saya yang akan buat semuanya untuk awak. Mandi pun saya akan tolong mandikan." Harzan memberanikan dirinya untuk terus mengambil peluang bagi merapatkan hubungan mereka. Dia sedar, dia harus mengambil langkah yang diluar jangkaan Ayra bagi merapatkan hubungan mereka. Jika dirinya sendiri tidak mengambil sebarang tindakan, dia yakin Ayra juga tidak akan cuba mendekatkan diri dan merapatkan hubungan mereka. Terkadang, Harzan merasakan harus ada paksaan dalam tindakan untuk merapatkan hubungan mereka suami isteri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience