Bab 19

Romance Series 41999

SEBUAH kereta perodua Myvi berwarna kuning berhenti di hadapan rumah. Seketika kemudian, selepas enjin kereta dimatikan, Ayra keluar dari kereta tersebut. Dengan langkah kaki yang malas, Ayra berjalan menuju ke arah pintu masuk rumahnya. Badannya terasa letih dan lesu. Dia baru sahaja pulang dari menghadiri sesi temuduga untuk bekerja dari tiga syarikat yang berlainan pada hari tersebut. Berkejaran ke sana sini membuatkan Ayra kepenatan. Di dalam fikiran wanita itu, dia ingin sahaja terus membaringkan badannya di atas tilam empuk setelah pulang ke rumah. Kini hajatnya semakin hampir apabila dia sudah pun berdiri di hadapan pintu rumahnya.

Baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, Ayra dikejutkan dengan bunyi motosikal yang masuk ke pekarangan rumah. Dia melihat ke arah Harzan yang baru sahaja memberhentikan motosikalnya dan mematikan enjin kenderaan tersebut. Tanpa membuang masa, Ayra melanjutkan pergerakan tapak kakinya menuju ke arah sofa. Fail di tangannya dicampak ke atas meja dan Ayra dengan malas menghempas tubuhnya ke sofa. Tudung yang membaluti kepalanya segera dilepaskan. Seketika kemudian, Harzan turut muncul di ruang tamu tersebut dan segera memetik suis kipas. Lelaki itu kemudian duduk di sofa dari arah bertentangan dengan Ayra. Matanya asyik menatap isterinya yang sedang memejamkan mata, menikmati hembusan angin dari kipas yang terpasang.

"Awak pun baru balik ke?" Satu pertanyaan terpacul keluar dari bibir Harzan.

"Ah.. hari ni saya pergi tiga interview.. letih betul ke sana sini.." Ayra membuka matanya yang terpejam. Bibirnya mempamerkan satu senyuman kelat.

"So, macam mana?"

"Hmm.. saya terpaksa tolak la dua tempat.. walaupun tak tahu keputusan lagi.." Wajah Ayra yang tadinya keletihan mulai berubah menjadi ceria.

"Hah, tolak? kenapa?"

"Sebab syarikat ketiga saya pergi interview tu, terus mereka beri keputusan.. saya diterima. Sebab syarikat tu perlukan pengurus pemasaran secepat mungkin untuk isi kekosongan. Dua hari lagi saya kena lapor diri.." Ayra semakin melebarkan senyuman.

"Wah..baguslah kalau macam tu.. awak dapat kerja kat syarikat mana?" Harzan semakin ingin tahu. Dia sangat teruja dan turut bergembira dengan perkhabaran daripada isterinya itu.

"Emm.. Syarikat.. Teraju Gadung.."

"Mereka buat bisnes apa?"

"Syarikat tu keluarkan pelbagai jenis makanan dan bahan masakan.. mereka ada kilang sos cili, sos tomato, kicap.. Mereka juga ada keluarkan roti, biskut, kerepek..barang-barang jenama Lestari tu, syarikat tu la yang keluarkan.." Ayra memberi penerangan ringkas.

"Oh.. jadi produk-produk jenama Lestari tu syarikat awak tu la yang keluarkan? Banyak juga produk mereka.." Harzan menunjukkan reaksi teruja.

"Hmm.. tapi itulah yang saya duk risau sekarang ni.." Ayra melepaskan satu hembusan berat dari mulutnya. Seolah dirinya sedikit mengeluh.

"Kenapa pulak?"

"Semua produk tu, nanti saya la yang kena urus.. kena fikir macam mana nak buat strategi pemasaran untuk tingkatkan jualan.. banyak produk macam tu, mahu tak sakit kepala nanti.." Ayra menyandarkan belakang badannya ke sofa. Matanya kembali dipejam. Harzan pula tersenyum. Lelaki itu bangkit perlahan-lahan dari duduknya dan berjalan menuju ke belakang sofa dimana Ayra berada. Jari-jemari kasar milik Harzan kemudian menyentuh bahu Ayra dan segera memijat isterinya itu. Ayra sedikit tersentak. Namun dia membiarkan sahaja Harzan terus menekan-nekan bahunya. Dia benar-benar menikmati urutan dari suaminya itu.

"Awak pasti boleh lakukannya.. Jangan cepat mengalah. Semakin besar jawatan yang disandang, semakin banyak tanggung jawab yang perlu dipikul.." Harzan bersuara lembut, seakan berbisik kepada isterinya. Ayra hanya diam membisu sambil menikmati pijatan Harzan di bahunya. Seketika kemudian, wanita itu mencelikkan matanya.

"Ah.. malam ni saya nak keluar sekejap.. nak jumpa Fiza." Ayra menyatakan hasratnya kepada Harzan. Sebagai seorang isteri, Ayra merasakan dirinya perlu memaklumkan segala tindakannya kepada Harzan dan meminta izin dari suaminya itu.

"Hmm.. ye la.. jangan lama sangat..lepas isyak, keluar la.." Harzan mengangguk perlahan. Dia sebolehnya tidak ingin mengongkong isterinya itu. Dia tahu, Ayra hanya mempunyai Fiza sebagai sahabatnya. Sahabatnya itulah yang sering menjadi tempat luahan Ayra dan menjadi tempat mengadu isterinya. Pada masa yang sama, Ayra turut gembira dengan keizinan suaminya itu. Matanya kembali dipejam rapat. Pijatan pada bahunya terasa enak dan mengasyikkan. Sambil menikmati urutan pada bahunya, perlahan-lahan kesedaran Ayra mula menghilang. Wanita itu akhirnya terlelap di sofa pada ruang tamu rumahnya itu.

PADA sebelah malamnya, Ayra terlihat duduk bersama sahabatnya, Fiza di sebuah kedai makan. Fiza sungguh berselera menikmati juadah makan malamnya di sana. Manakala Ayra pula hanya memesan segelas teh o ais laici sebagai hidangannya. Dia tidak memesan sebarang makanan memandangkan dirinya masih kenyang setelah makan malam bersama Harzan, sebelum suaminya itu pergi ke masjid untuk menunaikan solat maghrib. Sesekali, air teh yang dingin disedut dan membasahi kerongkongan Ayra. Kemanisan rasa teh yang bersebati dengan rasa laici itu terasa menyegarkan dan penuh nikmat.

"Betul ke kau tak nak makan ni?" Fiza bertanya selepas menelan nasi yang dikunyahnya sebentar tadi.

"Aku dah makan la dengan Harzan kat rumah tadi.."

"Ah.. Kau tahu tak, pagi tadi.. laki kau tu.. dia tumpahkan air kat baju Dato' Mustafa Kamal.. Habis kotor baju Dato'.." Fiza memulakan cerita.

"Hah, dia tumpahkan air kat Dato' Mustafa?" Ayra membeliakkan biji matanya.

"La.. kau tak tahu lagi ke? Harzan tak bagitau kau?"

"Mana la dia ada bagitau apa-apa.. dah tu macam mana?" Ayra menepuk dahi. Wajahnya ditundukkan sambil telapak tangannya masih menahan dahinya, dengan siku yang ditongkatkan di atas meja makan. Seolahnya dia tersangat kesal dengan hal yang telah dilakukan oleh suaminya.

"Kecoh la satu pejabat.. Dato' memang marah teruk.. dah la pagi tu Ahli Lembaga Pengarah ada meeting.."

"Aduh.." Ayra masih menundukkan wajahnya sambil menggelengkan kepala.

"Lepas meeting, Dato' terus panggil Harzan masuk bilik dia.. tak tahu la aku apa yang jadi lepas tu.. ramai yang sangka, mungkin Harzan kena buang kerja.. tapi kalau tengok dari tingkah laku laki kau tu, dia keluar elok je dari bilik Dato'.. cuma dia banyak duk termenung je.. tak tahu la aku apa yang jadi kat dia.. nanti kau tanya la sendiri.." Fiza semakin galak bercerita.

"Hmm.." Ayra tidak mempunyai ayat untuk disampaikan kepada Fiza. Dia benar-benar kesal dengan tindakan Harzan yang didengarinya dari Fiza. Tidak mustahil kalau suaminya itu dipecat. Tetapi Harzan langsung tidak menunjukkan reaksi seperti orang yang kehilangan pekerjaan. Siang tadi, Harzan masih terlihat ceria ketika berbual dengannya. Namun hati Ayra turut tertanya-tanya, mungkinkah Harzan cuba berlagak seperti tidak berlaku apa-apa untuk menyembunyikan masalah dari pengetahuannya.

"Haa... lagi satu.. lepas meeting tadi, Dato' Mustafa Kamal ada juga panggil Rafiq ke biliknya.. Kau tahu apa yang jadi?" Fiza mengangkat kedua-dua keningnya berulang kali sambil memandang Ayra.

"Kenapa pulak? Kalau pasal jantan tu, kau tak payah cerita la kat aku.. aku tak nak ambil tahu pasal dia.."

"Tapi berita ni, mesti kau nak tahu... Lepas Rafiq masuk jumpa Dato', polis pun datang.. Rafiq ditahan polis dan digantung kerja dengan tuduhan pecah amanah dan menggelapkan wang syarikat.. Kecoh kau tahu satu pejabat.. semua orang pakat duk bercakap pasal dia.." Fiza tersenyum sinis. Ayra kembali terbeliak matanya apabila mendengar ucapan sahabatnya itu.

"Di..ditahan polis?" Ayra seolah tidak percaya dengan berita yang diterima olehnya.

"Hmm.. kau sebagai bekas P.A dia.. takkan kau tak tahu apa yang dia dah buat?" Fiza merenung ke arah Ayra. Dia ingin mendengar kata-kata sahabatnya itu mengenai hal tersebut. Namun Ayra hanya mendiamkan diri. Wanita itu hanya termenung jauh. Pandangan matanya terlihat kosong dan seperti sedang mengelamun jauh. Setelah seketika menunggu Ayra yang tiada tindak balas, Fiza mula mengetuk meja dan memanggil Ayra.

"Ayra! Kau ni dah kenapa? Kau tahu ke selama ni Rafiq duk tipu duit syarikat? Jangan kata kau terlibat sama.." Fiza mula meragui sahabatnya itu. Walaupun dia tahu selama ini Ayra adalah seorang gadis yang baik dan tidak mungkin untuk melakukan jenayah berkolar putih seperti itu, namun reaksi Ayra yang tiba-tiba mendiamkan diri apabila mendengar hal tersebut menyebabkan Fiza mulai ragu.

"Kalau aku terlibat, takde la hidup aku sekarang macam ni.. mestilah aku masih mampu untuk hidup mewah Fiza oii.. Kau ni kan.." Ayra menggerutu. Fiza pula langsung ketawa apabila mendengar jawapan balas dari Ayra. Kini keraguannya kembali sirna. Keyakinannya terhadap Ayra sepatutnya tidak patut diragukan.

"Tapi.. nasib baik kau dah berhenti kerja.. kalau tak, pasti dengan kau sekali kena angkut dengan polis.. Ye la.. selama ni, kau kan P.A si Rafiq.. mesti polis akan siasat juga kau.."

"Aku jadi P.A, uruskan mengenai tugas dia je.. bukan duk kena terlibat dalam urusan pecah amanah, curi duit syarikat.." Ayra kembali membela dirinya. Wanita itu kemudian kembali diam dan termenung. Fiza juga turut mendiamkan diri sambil terus menatap Ayra. Dia tahu sahabatnya itu sedang memikirkan sesuatu mengenai Rafiq. Dia juga tahu, Ayra dahulunya sangat mencintai Rafiq. Mana mungkin cinta yang sudah terjalin sekian lama itu akan hilang dalam sekelip mata. Walaupun Ayra sering melafazkan kebenciannya terhadap Rafiq dan menggunakan rumah tangganya bersama Harzan sebagai bukti, namun Fiza tahu perkahwinan itu sendiri tidak berlandaskan cinta dan tidak mungkin juga untuk Ayra membuang Rafiq serta merta dari hatinya.

Terkadang, titisan darah dari segaris luka masih tidak mampu untuk memadamkan api cinta yang sudah lama menyala. Walaupun benih cinta Ayra terhadap Harzan semakin bertunas, namun benih itu masih tidak disirami keikhlasan. Fiza khawatir. Sebagai sahabat, dia tidak ingin Ayra terus lemas dengan meletakkan dirinya di dalam lautan cinta palsu Rafiq seperti dahulu. Padahal sekarang sudah jelas Harzan sudah memiliki jiwanya. Namun Ayra sendiri yang masih mengunci cintanya kepada Harzan. Padahal Fiza sendiri gembira dengan perubahan diri Ayra sejak bersama Harzan. Dia ingin sahabatnya itu sedar akan keikhlasan cinta Harzan dan menerima suaminya itu dengan sepenuh hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience