Bab 8

Romance Series 41999

Sebuah kereta meluncur laju membelah angin malam. Jalan raya yang dihiasi cahaya lampu yang terang benderang di kawasan kota itu agak lengang dari kenderaan. Kereta yang dipandu laju itu kemudian mula memperlahankan kelajuannya sebelum membelok masuk ke pekarangan sebuah hotel. Walaupun tidak terlalu mewah, namun hotel tersebut mempunyai kawasan parkir yang agak luas. Kereta itu kemudian masuk ke salah satu petak parkir dan berhenti disitu. Seketika selepas enjin dimatikan, dua orang wanita keluar dari kenderaan tersebut. Mereka adalah Fiza dan Ayra. Kedua orang wanita itu kemudian langsung berjalan menuju ke arah pintu hotel dan memasuki kawasan lobi.

"Kau ni takde orang lain ke nak ajak.. setiap kali nak jumpa orang, aku je yang kena temankan kau.." Ayra terlihat sedikit merungut sambil berjalan beriringan dengan Fiza.

"Dah kau je kawan yang aku ada.. temankan la aku kejap.. lagipun aku bukan ajak kau jumpa lelaki. Mak saudara aku tu perempuan." Fiza tersenyum sambil memberi penjelasan.

"Baru berapa hari lepas kau ajak aku temankan kau jumpa abang sepupu kau.. kali ni mak saudara pulak.. habis anak beranak kau bawa aku jumpa." Ayra tersenyum sinis. Dia sebenarnya tidak keberatan untuk menemani Fiza. Dia hanya sengaja ingin berseloroh kepada temannya itu. Lagi pula, mereka pada awalnya berjanji untuk keluar bersama pada malam tersebut. Namun perancangan mereka sedikit tergendala apabila dimaklumkan bahawa ibu saudara kepada Fiza mendatangi kota dimana mereka tinggal dan ingin bertemu dengan temannya itu. Kini Ayra terpaksa menemai Fiza terlebih dahulu untuk menemui ibu saudaranya sebelum melaksanakan aktiviti mereka yang sudah dirancang terlebih awal. Selesai pertemuan di hotel itu, nanti mereka akan meneruskan perancangan mereka.

"Alah.. bukan selalu.. elok juga kau kenal anak beranak aku.. mana la tahu nanti kau sangkut kat siapa-siapa dari ahli keluarga aku, boleh juga kita jadi saudara.." Fiza tertawa dengan usikannya terhadap Ayra.

"Ishh.. tak ingin aku.. aku pun tak lama dah nak kahwin dengan Rafiq tu nanti." Ayra menyampaikan perkhabaran kepada Fiza. Temannya itu segera menghentikan langkah kakinya dan menatap wajah Ayra dengan mata yang terbeliak luas.

"What? So, korang dah bincang pasal perkahwinan? Bila nak buat?" Fiza tiba-tiba menjadi teruja mendengar ucapan Ayra sebentar tadi.

"Hmm.. tak tahu lagi bila.. Rafiq tak beri kata putus lagi tarikh yang tepat.. cuma dia kata tunggu selesai semua projek dulu.. mungkin dalam beberapa bulan je lagi.. paling lambat pun tahun depan." Ayra merasa sedikit bangga. Tidak lama lagi dia akan sah menjadi isteri kepada Rafiq dan mereka tidak akan menyembunyikan lagi perhubungan mereka dari pengetahuan orang ramai. Ayra yakin pasti ramai perempuan yang tergilakan Rafiq akan cemburu terhadap dirinya. Dia akan mengecewakan semua perempuan yang menyimpan harapan untuk memiliki Rafiq.

"Laa.. aku ingatkan dah tetapkan tarikh bila.."

"Setidaknya dia dah beri kepastian.. dah ada keputusan untuk mengakhiri hubungan yang sulit sekarang ni.. Aku sendiri dah tak sabar nak tunggu bila dia akan melamar aku jadi isteri." Ayra menyatakan perasaan hatinya yang sedang mekar berbunga dikala ini.

"Apa pun, tahniah.. aku pun tak sabar nak tengok kau menjadi suri hati Encik Rafiq yang sah.. Korang memang dah sepadan pun.. kau cantik.. dia pun hensem.. macam pinang dibelah dua dah." Fiza memberikan sokongannya kepada Ayra. Mereka kemudian meneruskan langkah kaki dan menuju ke arah lif hotel. Setelah pintu lif terbuka, mereka bersama-sama melangkah masuk ke dalam lif dan Fiza segera menekan tombol untuk menuju ke tingkat lima.

"Kenapa la mak saudara kau tu nak jumpa sangat kau ni? ada apa-apa ke?" Ayra mengajukan soalan sementara mereka berdua di dalam lif.

"Mana la aku tau.. saja dia la tu nak jumpa.. dia datang jalan-jalan kat sini.. tahu aku ada kat sini, tu yang dia nak ajak jumpa.. saja nak tanya khabar je la tu.. tapi kalau nak bagi geran tanah pun elok juga." Fiza yang suka berjenaka sentiasa mengucapkan kata-kata yang menghiburkan hati. Selepas mengungkapkan kata-kata yang dianggap lucu, Fiza dan Ayra mula ketawa bersama. Seiring itu juga pintu lif terbuka dan mereka sudah tiba di tingkat lima. Mereka kemudian melangkah keluar dari pintu lif dan memandang ke sekeliling.

"Nak pergi bilik mana?" Ayra menyoal.

"523.." Fiza menjawab ringkas sambil matanya masih melihat ke sekeliling. Ayra pula segera melihat ke arah papan tanda yang terpapar di dinding.

"Arah sini la.. 501 sampai 519 belah kiri.. 520 sampai 539 belah kanan." Ayra menghalakan jarinya ke arah kanan sambil matanya menatap papan nombor bilik. Mereka kemudian kembali berjalan beriringan menuju ke arah kanan.

"Lorong depan tu, ambik kiri.." Ayra melihat tanda anak panah berserta nombor bilik yang terpapar. Fiza hanya menurut arahan Ayra sambil matanya turut melihat tanda arah yang menjadi rujukan sahabatnya itu. Setelah membelok ke kiri, mereka berdua sedikit merasa aneh apabila melihat sekumpulan lelaki sedang berkumpul di hadapan pintu sebuah bilik.

"Ada apa ramai-ramai kat situ.. bukan bilik yang mak saudara kau duduk ke?" Ayra meluahkan persoalan yang bermain dimindanya.

"Hmm..rasanya bilik sebelah.. 522 tu. 523 belah sini.." Fiza yakin dengan kata-katanya.

"Macam pencegah maksiat je.. mesti jabatan agama ni..dengan polis pun ada tu." Ayra memberikan pendapat. Kumpulan lelaki itu kemudian menyerbu masuk ke dalam bilik tersebut setelah pintu dibuka dari dalam. Ayra dan Fiza yang melalui hadapan pintu bilik tersebut sempat menjelingkan mata mereka untuk melihat kejadian yang berlaku. Mereka berdua kemudian terkejut dan terbeliak mata apabila melihat seorang lelaki yang mereka kenali. Sejurus itu juga pergerakan kaki mereka terbejat dan mereka berdiri kaku di hadapan muka pintu bilik hotel tersebut. Ayra seakan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat oleh matanya. Sekumpulan lelaki yang merupakan petugas dari jabatan agama sedang membuat serbuan di sebuah bilik hotel untuk mencegah maksiat yang sedang dilakukan. Namun diantara kumpulan lelaki tersebut, kelihatan kelibat Rafiq yang hanya mengenakan sehelai tuala berwarna putih tanpa memakai baju. Ayra yakin, Rafiq yang sedang berada di dalam bilik itu dan diserbu oleh pegawai dari jabatan agama.

"Ayra.." Fiza yang menyedari kejadian tersebut cuba untuk menenangkan Ayra. Dia tahu sahabatnya itu sedang dilanda kejutan yang luar biasa. Namun Ayra seakan sudah hilang kendali terhadap dirinya. Gadis itu segera menerpa masuk ke dalam bilik tersebut bersama kumpulan lelaki yang menyerbu.  Beberapa orang lelaki yang menghalang pergerakannya dengan kasar di tolak oleh Ayra. Mata gadis itu hanya tertancap ke arah Rafiq yang hanya mengenakan tuala menutupi selangkangannya. Rafiq pula semakin terlihat cemas apabila menyedari kehadiran Ayra di sana. Kemunculan gadis itu sepertinya lebih menggugat ketenangannya berbanding sekumpulan lelaki dari jabatan agama.

"Apa yang you buat kat sini?" Ayra menjerit dengan kuat sambil menolak badan Rafiq. Lelaki itu terundur beberapa langkah ke belakang akibat menerima tolakan kuat tersebut. Apabila tiba di ruangan katil, Ayra seakan ingin menjerit dengan sekuat hatinya. Dia melihat Shima, yang kononnya pernah bertemu Rafiq sebelum ini atas urusan kerja, sedang terbaring di atas katil sambil menyelimuti badannya.

"Kau.. kau.. perempuan tak guna.. perempuan murahan.." Ayra segera bertempik dan cuba menerpa ke arah Shima. Namun niat Ayra untuk menyerang wanita itu menjadi tergendala apabila beberapa orang lelaki yang bertugas sebagai pegawai dari jabatan agama menahan dan menarik tangan Ayra.

"Cik.. sabar cik.. cik ni siapa? tolong jangan masuk campur dalam urusan kami.. biar kami yang selesaikan." Salah seorang lelaki bersuara sambil menahan Ayra yang menggelepar seperti kerasukan.

"Lepaskan aku! Kau.. kau.. jantan tak guna.. rupanya ini kerja kau belakang aku.. katanya sibuk, sakit kepala..tapi ini rupanya yang kau lakukan.. jantan tak guna.. setan!" Ayra terus bertempik dengan keras sambil memandang ke arah Rafiq. Lelaki itu hanya mendiamkan diri sambil menarik nafas untuk menenangkan dirinya. Matanya meliar melihat ke setiap orang yang menyerbu bilik penginapannya. Rafiq kini pasrah. Dia sudah tiada jalan keluar dan terpaksa menghadapi masalah yang bakal menimpanya. Dia sebenarnya tidak terlalu risau dengan hukuman dari jabatan agama. Paling tinggi pun dia cuma akan dikenakan denda beberapa ribu ringgit. Namun hal yang lebih sukar baginya adalah untuk menghadapi Ayra. Lidahnya sudah kelu untuk memberi sebarang penjelasan. Lebih merumitkan keadaan adalah mereka bekerja bersama dan bakal berhadapan hampir setiap hari di pejabat. Tidak ingin Ayra melanjutkan amukannya, Fiza segera menuju ke dalam bilik dan menarik Ayra untuk menenangkan gadis tersebut. Fiza memeluk erat sahabatnya yang sedang mengamuk seakan orang hilang akal itu.

"Dah la Ayra.. sabar.. jangan ikutkan perasaan sangat.. kawal diri kau.. jangan rendahkan diri kau kerana lelaki macam tu.. sabar.." Fiza tidak putus-putus melafazkan kata-kata untuk menenangkan Ayra. Dia sedar kejadian tersebut sangat berat untuk diterima oleh Ayra, namun jika berterusan mengamuk seperti itu, masalah tetap tidak akan selesai bahkan mungkin lebih merumitkan nanti.

"Lepaskan aku Fiza.. biar aku bunuh setan jantan dengan betina tu.. jantan tak guna.." Ayra terus meronta di dalam dakapan Fiza. Fiza terpaksa mengerahkan tenaganya untuk lebih mengetatkan pelukannya dan tidak membiarkan Ayra terlepas.

"Sabar Ayra.. sabar.." Fiza sendiri buntu. Dia tidak tahu bagaimana lagi untuk memujuk Ayra. Hanya perkataan sabar sahaja yang mampu dia ungkapkan. Hatinya turut merasa pilu apabila melihat Ayra mula menangis. Tangisannya kedengaran sangat keras dan jelas sekali. Beberapa orang lelaki di dalam bilik penginapan turut melihat ke arah Ayra dan sedang dipeluk oleh Fiza. Sebahagian dari mereka pula tetap melaksanakan tugas dan mengarahkan Rafiq dan Shima mengenakan pakaian mereka. Pasangan itu nanti akan dibawa oleh mereka ke pejabat agama bagi melanjutkan proses seterusnya. Fiza pula mula mengucup wajah Ayra dengan lembut berkali-kali. Menyedari dirinya sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana pelukan kemas dari Fiza, Ayra juga mula memperlahankan rontaannya. Sejenak kemudian, hanya tangisannya sahaja yang kedengaran. Wajahnya dibenamkan ke pangkuan Fiza.

"Fiza, kenapa ni?" Tiba-tiba seorang wanita separuh usia muncul dari bilik yang berhadapan dengan bilik yang diserbu tadi. Wanita itu adalah ibu saudara Fiza yang ingin ditemui oleh Fiza dan Ayra sebentar tadi. Kini perancangan awal mereka semakin banyak terkendala. Kejadian yang berlaku sebentar tadi pastinya memberi tamparan besar buat Ayra dan mengubah suasana hati gadis tersebut. Sudah pasti perancangan mereka untuk keluar bergembira selepas ini akan dibatalkan.

"Maksu.. aa.. ada masalah sikit kat sini.." Fiza tergagap menjawab apabila menyedari ibu saudaranya muncul.

"Kenapa pulak? dari tadi Maksu dengar duk kecoh je depan bilik ni.. ni siapa pulak yang kau peluk?"

"Ahh.. ini kawan Fiza.. kami memang datang sama ke sini untuk jumpa Maksu.. tapi lain pulak jadinya bila nampak kes kat bilik sebelah." Fiza cuba berterus terang dengan Mak sunya.

"Dah kenapa? terus betul kawan kau tu menangis.. jom la masuk bilik Mak Su dulu.."

"Ah.. ye..ye.. Ayra, jomlah masuk bilik Mak Su aku dulu.. tenangkan diri kau.." Fiza masih cuba memujuk Ayra. Tangisan gadis itu masih belum reda. Sambil memeluk Ayra, Fiza menggosok lembut belakang sahabatnya itu. Turun naik badan Ayra menahan sedu sedan. Fiza turut menggerakkan kakinya perlahan-lahan menuju ke arah pintu bilik Mak Sunya. Ayra yang dipeluk erat itu turut sama-sama bergerak mengikuti rentak Fiza.

Di dalam bilik, Ayra yang duduk di hujung katil semakin mereda tangisannya. Fiza yang turut duduk di sisinya masih memeluk Ayra dan terus berusaha untuk menenangkan sahabatnya itu. Mak Su Fiza yang memegang segelas air putih dengan tenang berjalan menuju ke arah dua wanita muda di hadapannya.

"Nah, minumlah dulu air ni.. tenangkan hati tu dulu.." Mak Su menghulurkan gelas air yang dibawanya kepada Ayra. Fiza yang berada disisi Ayra segera bertindak menyambut gelas air yang dihulurkan oleh Mak Sunya.

"Ayra.. nah, minum dulu.." Fiza menyuakan gelas yang berisi air putih ke arah mulut Ayra. Perlahan-lahan Ayra mengambil gelas di tangan Fiza dan meneguk air yang dihulurkan.

"Tenangkan hati kau Ayra.. Jangan terlalu ikutkan emosi.. bersabarlah.." Fiza tidak jemu memujuk sahabatnya itu.

"Aku malu Fiza.. hati aku sakit.. dada aku rasa macam ditikam-tikam dengan pisau.." Ayra mula bersuara walaupun kedengaran serak.

"Dah la.. kau tak perlu malu Ayra.. bukan kau yang buat salah.. tapi si Rafiq tu."

"Tapi aku malu dengan kau.. baru je aku cakap kat kau, kami nak menikah.. tapi macam ni pulak jadinya.." Ayra meluahkan perasaannya.

"Kau tak perlu malu lah dengan aku.. ini bukan salah kau pun.. kau sepatutnya bersyukur, benda ni jadi sebelum kau berkahwin dengan dia.. macam mana kalau kau baru tahu perangai sebenar dia selepas kahwin? lagi merana hidup kau.. dan nasib baik juga, takde orang tahu hubungan kau dengan Rafiq selama ni.. jadi kalau perbuatan Rafiq tu diketahui orang pun, setidaknya kau tak terlibat sama.."

"Tapi.. macam mana.. aku dengan dia nanti?" Ayra masih ragu-ragu. Dia sebenarnya sangat sayangkan Rafiq. Ayra tahu, sukar bagi dirinya untuk membuang lelaki itu dari hidupnya. Apatah lagi mereka bekerja ditempat yang sama dan harus sentiasa bersemuka.

"Macam mana apa lagi? Putuskan je Ayra.. takkan kau nak bersama lagi dengan lelaki macam tu?"

"Tapi..."

"Takde tapi tapi lagi Ayra.. putuskan sahaja demi kebaikan diri kau sendiri. Aku tak nak tengok nanti kau jadi macam ni lagi. Lelaki macam tu, aku berani jamin, dia takkan mudah berubah.. hari ni dia menyesal, tapi esok lusa dia akan buat balik.. kau percaya la cakap aku.." Fiza tegas menyampaikan pendapatnya. Ayra mula termenung. Ada benarnya kata-kata Fiza kepadanya. Namun bagi Ayra, pasti sukar untuk membuang segala perasaan yang sudah muncul dalam hatinya dalam sekelip mata. Kini Ayra hanya mampu mendiamkan diri. Pandangannya dijatuhkan dan matanya tidak berkedip memandang tangannya yang ditempatkan pada kedua pahanya. Pandangannya terlihat kosong. Mindanya mengelamun jauh. Entah apa yang sedang difikirkan oleh Ayra. Fiza dan Mak Sunya turut diam memandang ke arah Ayra. Mereka hanya melahirkan rasa simpati yang terbuku dihati tanpa diungkapkan terhadap gadis malang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience