Bab 26

Romance Series 41999

Menjelang waktu senja, Harzan baru sampai ke rumah. Jarak di antara tapak projek dengan rumahnya agak jauh dan memakan masa. Mahu atau tidak, Harzan terpaksa berkorban demi memikul amanah yang sudah ditugaskan untuknya. Masuk sahaja ke dalam rumah, Harzan langsung merebahkan diri di sofa. Dia ingin berehat seketika sebelum mandi dan menunaikan solat. Baru beberapa minit bersandar di sofa, Ayra pula muncul dari biliknya.

"Hmm, baru balik?" Ayra menyapa Harzan yang sedang memejamkan mata. Mendengar suara isterinya, Harzan segera membuka mata.

"Ah.. baru sampai." Harzan menjawab ringkas.

"Awak tu tak sihat.. jangan la duk paksa diri sangat, buat kerja berat.. sepatutnya awak banyakkan berehat." Ayra memberikan nasihat.

"Saya tak apa-apa.."

"Tak apa-apanya.. malam tadi badan awak panas betul.." Ayra memprotes.

"Itu malam tadi.. dah makan ubat, hari ni dah OK je." Harzan kembali memejamkan mata selepas menjawab. Kepalanya disandarkan ke sofa. Fikirannya kembali menerawang. Apabila disebutkan perkataan malam tadi, dia mula teringatkan Ayra yang sudah keluar entah bersama siapa. Hatinya terasa sakit apabila mengenangkan pembohongan Ayra.

"Takkan makan ubat sekali terus sembuh?.. kalau orang cakap, degil.. tak nak dengar.. nanti kalau sakit makin teruk macam mana?" Ayra tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya. Harzan tiba-tiba tersentak. Dia teringat kembali kejadian ketika bangun pagi tadi. Dia yakin Ayra bergadang untuk menjaganya sepanjang malam, sehingga isterinya itu tertidur kerana keletihan. Kini Ayra mengomel pula, takut dirinya semakin sakit. Apa sebenarnya yang difikirkan oleh isterinya itu. Harzan bingung mencari jawapan.

Awalnya, Ayra menipu dan keluar entah bersama siapa. Kemudian, setelah pulang, dia bersungguh untuk menjaga Harzan yang demam. Kini dia membebel lagi kerana risaukan kesihatan suaminya.

'Dia ambil berat pasal aku? Tapi kenapa dia menipu aku?' Harzan semakin tertanya-tanya di dalam hati. Dia ingin gembira namun rasa curiga menebal membaluti hatinya. Sambil bingung, Harzan terus membungkamkan diri. Ayra pula masih menatap Harzan yang terduduk keletihan.

"Pergilah mandi.. makan malam saya dah sediakan. Nanti jangan lupa makan ubat." Ayra bersuara lagi.

"Sekejap lagi saya nak keluar.. awak makanlah.." Ayra menyambung kata-katanya. Harzan segera mencelikkan mata.

"Awak nak ke mana?" Harzan bertanya.

"Ada urusan kerja.. saya nak jumpa client."

"Takkan jumpa client waktu malam? Urusan kerja, cukup setakat waktu bekerja je la.." Harzan cuba ,meningkah. Dia tahu Ayra sedang berbohong.

"Ala.. bukan selalu.. dah waktu siang takde masa.. saya nak kena selesaikan urusan client tu secepat mungkin.. nak tak nak, kena la ambil masa waktu malam." Ayra memberikan jawapan. Harzan terdiam. Benteng kesabaran di dalam dirinya diperkuatkan sedaya upaya. Dia terpaksa menahan diri dari menuduh isterinya itu sedang berbohong kerana tidak ingin mengeruhkan keadaan. Ayra pasti akan melenting marah jika dia dituduh menipu bahkan Harzan langsung tiada bukti. Pada masa yang sama, Harzan cuba untuk memujuk agar Ayra bersikap jujur.

"Hmm.. semalam awak ke mana? Fiza kata dia tak keluar pun dengan awak.." Harzan ingin mendengar pengakuan jujur dari isterinya. Mendengar kata-kata Harzan, Ayra langsung terpempan. Wajahnya mula berubah.

"A..awak..awak.. tanya Fiza?" Ayra mengelabah.

"Saya terserempak dengan dia.. dia demam.. katanya dia tak keluar ke mana-mana semalam.. Jadi awak keluar dengan siapa?" Harzan memberanikan diri untuk terus bertanya.

"Saya.. saya.. saya nak kemana pun, suka hati saya la.. kenapa awak nak sibuk sangat? kan saya dah cakap, tak payah ambil tahu pasal saya.. Jangan peduli saya kemana, dengan siapa.. itu hal saya." Ayra mula melenting dan kembali menyalahkan Harzan. Dia terpaksa menutup kesalahan dirinya dengan menyalahkan suaminya itu. Harzan terkesima. Kini dirinya pula yang dipersalahkan.

Harzan melepaskan satu nafas panjang yang berbaur keluhan. Dia tidak ingin terus bertikam lidah. Lelaki itu tahu, jika dia semakin menyoal, Ayra pasti akan lebih mengamuk. Maka jalan pendamaian yang terbaik adalah dengan mengalah dan berdiam diri. Harzan bangkit dari duduknya dan segera menuju ke bilik. Dia terpaksa meninggalkan Ayra di ruang tamu agar keadaan kembali tenang.

Sampai di bilik, Harzan lantas membuka bajunya. Punggungnya dihempas di tilam dan dia terduduk di pinggir katil. Lelaki itu termenung seketika. Fikirannya bingung. Dia langsung tidak memahami apa yang sedang difikirkan oleh Ayra. Emosi dan kelakuan isterinya itu boleh berubah dalam sekelip mata. Padahal pembohongannya sudah terbongkar dan diketahui oleh Harzan. Namun suaminya itu pula yang dipersalahkan.

Tidak ingin terus membuang masa, Harzan kembali bangkit dan mencapai tuala. Dia perlu segera mandi dan membersihkan diri. Dia tidak ingin sengaja melambat-lambatkan masa untuk menunaikan solat maghrib. Waktu bagi menunaikan solat fardu itu terlalu singkat. Cuma sejam lebih kurang sebelum datangnya waktu isyak.

Satu jam kemudian, Ayra kembali ke restoran yang dia pergi semalam. Di sana, Rafiq sudah pun menunggunya. Minuman untuknya juga sudah tersedia di atas meja. Rafiq sudah pun memesan minuman mereka berdua lebih awal. Tanpa berlengah, Ayra segera meminum air yang tersedia untuknya. Emosinya belum tenang. Wanita itu masih kesal dengan Harzan. Dia tidak suka suaminya itu terlalu mengongkong dan  bertanya mengenai dirinya setiap masa.

"Kenapa masam je ni? ada masalah ke?" Rafiq bertanya setelah melihat riak wajah Ayra yang masam mencuka. Dia tahu pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu perempuan itu. Ayra hanya menggelengkan kepala. Kesalnya kepada Harzan masih menebal, sehinggakan dia tidak ingin berbicara kepada sesiapa.

"Hmm.. jangan la masam macam ni.. kalau you ada masalah, you boleh bagitau kat i.. mana tahu kalau i boleh tolong." Rafiq cuba mempamerkan sisi lelaki yang menggoda.

"Takde apa.." Ayra menjawab ringkas.

"Mana boleh takde apa.. you murung macam ni, i tengok pun jadi susah hati.. you kena la sentiasa senyum.. baru nampak manis.. you kalau senyum, cantik betul.. takde siapa boleh lawan." Rafiq menabur pujian. Ayra hanya mendengus perlahan. Dia tahu Rafiq hanya ingin mengembirakan hatinya. Namun dia tidak ingin terpedaya dengan mudah.

"Kenapa? You tak percaya? you je yang tak nampak betapa cantik dan manisnya senyuman you tu.. kalau you nak i berterus terang, i memang akan mengaku, i tertarik dengan senyuman you.. cantiknya macam bidadari.. tiada wanita lain yang ada senyuman macam you."

"Dah la Rafiq.. tak payah you nak menipu dengan puji macam tu." Ayra tersenyum. Hatinya berbunga-bunga apabila menerima pujian.

"Haa.. tengok tu.. memang cantik.. mana ada i tipu.." Rafiq terus melontarkan pujian. Dia tahu Ayra akan termakan pujiannya. Ayra pula semakin senang hati. Wanita itu merasa tersanjung. Dia hanyut dalam kata-kata manis yang diterimanya. Kemudian, perbualan mereka berdua semakin rancak. Ayra semakin merasa nyaman diperlakukan oleh Rafiq. Gelak ketawa berselang seli muncul dalam perbicaraan mereka.

Selepas lebih sejam mereka berbual dan bermesra, akhirnya Ayra meminta diri untuk pulang. Dia masih perlu bekerja keesokan harinya. Jadi dia harus pulang awal untuk berehat dan mendapatkan waktu tidur yang cukup. Baru sahaja Ayra ingin beredar, Rafiq cuba menahan lagi wanita tersebut agar bersamanya lagi sedikit masa.

"Apa lagi Rafiq? I kena balik awal.. esok kerja.. kalau hari minggu takpe la.." Ayra bertanya.

"I nak minta tolong you sikit, boleh tak?" Rafiq semakin menuju ke arah tujuan utamanya.

"Tolong? tolong apa pula?" Ayra semakin ingin tahu.

"I nak cakap pun malu sebenarnya.. tapi.. i dah buntu.. hanya you je yang boleh tolong i sekarang.. boleh tolong bagi i pinjam duit sikit.." Rafiq menyatakan keinginannya. Ayra memejamkan matanya buat sedetik sambil menarik nafas yang dalam. Apabila matanya dibuka kembali, dia melepaskan kembali satu hembusan yang berat.

"Jadi, itulah tujuan you nak jumpa i? berapa yang you nak?" Ayra lantas bertanya.

"Emmm.. dalam 50K macam tu.."

"50K?! 50 ribu?! You gila ke? mana i ada duit sebanyak tu." Ayra terperanjat.

"Tak pun, around 30K pun takpe.."

"That's still too much.. mana i nak cekau sampai 30ribu? I pun baru je kerja.." Ayra masih tidak mempercayai nilai yang diminta oleh Rafiq. Jumlah wang sebanyak itu langsung tidak munasabah baginya untuk diberi pinjam. Apatah lagi dia sendiri tidak mempunyai wang sebanyak itu.

"Takkan you tak boleh tolong i langsung.. kalau 20k?" Rafiq masih cuba merayu.

"That's enough.. kalau you nak seratus dua, i boleh bagi.. tapi kalau ribu riban, i'm sorry.. i memang takde duit sebanyak tu." Ayra mengangkat kedua belah tangannya separas bahu sambil menggelengkan kepalanya yang sedikit ditelengkan.

"Ayra, please.."

"Sudah Rafiq.. i dah kata i memang takde duit.. you tekan i macam mana pun, i takkan boleh tolong." Ayra mematikan kata. Wanita itu lantas berdiri.

"Maaf.. i memang tak mampu nak tolong you.. i balik dulu." Ayra segera melangkah meninggalkan Rafiq yang masih terduduk di kerusi. Sedang berjalan, Ayra sedikit kesal. Kini dia mula membuat andaian, mungkin kerana itulah Rafiq ingin kembali mendekatinya. Lelaki itu sekarang benar-benar kesempitan wang.

Hal tersebut tidak menjadi keanehan. Rafiq sekarang sudah tidak bekerja. Wang simpanannya juga mungkin sudah habis digunakan untuk membayar ikat jamin bagi memastikan dirinya bebas dari tahanan sementara menunggu perbicaraan. Malah, kemungkinan besar, akaun banknya juga sudah disekat dan dibekukan kerana terlibat dalam penggunaan untuk penggubahan wang haram.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience