Bab 42

Romance Series 41999

HARZAN termenung sambil menyandarkan belakang badannya ke sofa. Lelaki itu seolah terhanyut jauh dibawa lamunan. Tidak lama kemudian, Ayra pula muncul di ruang tamu. Perlahan-lahan wanita itu menapak mendekati suaminya.

"Abang ni kenapa? asyik termenung je.. masih fikirkan pasal nak cari kerja?" Ayra menyapa suaminya. Harzan segera membetulkan duduknya apabila menyedari kehadiran Ayra.

"Hmm.. macam mana kalau abang tak dapat kerja? sayang nak hidup bersama lagi ke?" Harzan cuba mengusik isterinya.

"Tak payah nak pura-pura hidup susah.. kat kampung tu, kebun abang dan keluarga, bukan main besar lagi.." Ayra mencubit manja lengan suaminya.

"Kebun tu kan milik keluarga.." Harzan cuba membantah.

"Milik abang juga kan? lagipun, kebun tu abang yang mulakan.."

"Tahu pulak dia.." Harzan tersengih. Lelaki itu kemudian meneruskan ucapannya.

"Tapi, untung dari kebun tu takde la besar mana.. kami upah orang kampung, bayar gaji pekerja.. tolak kos pengurusan lagi.. sebahagian keuntungan tu, abang dan abah dah sepakat untuk infaqkan ke surau dan pondok. Selebihnya, kami bahagi empat untuk abang, abah, mak dan adik.. jadi, setiap orang dapat la dalam lima ribu sebulan secara purata.."

"Pendapatan pasif lima ribu?! lima ribu sebulan tanpa buat apa-apa.. semua urusan dah ada pekerja yang uruskan.." Ayra kembali tersentak. Anggaran kira-kira yang dia lakukan sebelum ini hampir tepat. Daripada penjelasan Harzan, pendapatan dari kebun keluarganya secara purata memang mencecah puluhan ribu sebulan. Bahkan setelah diinfaq dan dibahagi empat, setiap orang masih mampu mendapatkan lima ribu ringgit dengan bersenang lenang. Hal tersebut bermaksud, pendapat isi rumah keluarga suaminya tidak kurang daripada 20 ribu. Itu belum dicampur kira dengan pencen yang diterima oleh bapa mentuanya.

"Hmm.. kalau hasil dari kebun tu tak dibahagi, maknanya pendapatan abang dah hampir sama dengan gaji seorang CEO syarikat.." Ayra menepuk lembut bahu Harzan.

"Tapi.. abang memang seorang CEO pun.." Harzan segera menjawab.

"Hah?! biar betul?"

"Kebun tu memang di daftar bawah syarikat.. untuk memudahkan menerima purchase order, nak keluarkan invois.. kebun tu memang abang yang daftarkan.. sekarang abah yang uruskan.. so, abang memang seorang CEO la kan?" Harzan tertawa. Ayra pula menarik muncung bibirnya.

"Betul jugak kan.. tapi takpe la jadi CEO kebun macam tu.. jangan jadi CEO syarikat besar je.." Ayra membalas.

"Kenapa pula tak boleh jadi CEO syarikat besar?" Harzan panasaran.

"Hmm.. orang-orang kaya ni semuanya sombong.. tak boleh percaya.."

"Ish, bukan semua orang macam tu.."

"Bukan semua, tapi kebanyakan.. maknanya, sama je la tu.. abang pun tak payah la berangan nak jadi CEO."

"Kenapa pula?" Harzan kebingungan.

"Ye la.. mana tahu, nanti dah jadi kaya, lupa diri.. lepas tu pasang skandal kanan kiri.. tambah bini dua, tiga orang lagi.."

"Ya Allah.. ke situ pula.." Harzan menepuk dahi. Dia langsung tidak menduga jawapan sebegitu daripada isterinya. Dia benar-benar tidak memahami cara Ayra berfikir.

"Kebanyakan lelaki memang macam tu.. bila dah kaya, mula la lupa anak bini.. bila rasa banyak duit sikit, terus nak tambah bini."

"Abang tak macam tu.." Harzan cuba mempertahankan diri daripada terlibat dengan tuduhan.

"Sebab abang tak kaya lagi.." Ayra berkeras dengan pendapatnya. Harzan kemudian mencapai tangan Ayra dan memegang erat tangan isterinya itu.

"Abang takkan menduakan sayang.. abang janji." Harzan menatap wajahnya isterinya sambil melemparkan senyuman.

"Kenapa abang bersungguh buat janji ni? abang memang berniat nak jadi kaya? Hmm.. sayang sebenarnya takut dengan pengalaman lepas yang dah terjadi.. Selama ni, abang pun dah tunjukkan, kita boleh je bahagia tanpa menjadi kaya.. cuma dulu, sayang terlalu buta.. buta memandang kepada harta." Ayra mengutuk dirinya sendiri.

"Yang dah lalu, biarkan berlalu.. abang pun takde niat nak jadi kaya.. apa la sangat hidup ada harta dengan takde harta? sama je.. yang penting kita bahagia.. bahagia tu kita yang kena cipta..bukan berdasarkan harta.. nak cipta bahagia senang je.. redha dengan apa yang ada.. kalau nak keluarga bahagia, ikhlaskan cinta dalam hati." Harzan mengucapkan kata sambil mengelus lembut tangan Ayra.

"Betul tu." Ayra lantas memeluk badan suaminya. Harzan juga turut merangkul isterinya dengan tangan kanan. Lelaki itu kemudian sedikit mendongakkan kepala.

"Hmm.. sayang.. malam esok kita keluar makan bersama, boleh tak?" Harzan tiba-tiba mengubah topik perbualan.

"Esok? eh, tak boleh.. malam esok syarikat sayang ada annual dinner.. lupa pula nak bagitau." Ayra menyatakan penolakan terhadap permintaan suaminya. Harzan pula menghela nafas panjang. Sejenak kemudian, lelaki itu mula membalas kata.

"Sayang.. sebenarnya abang.."

Tiba-tiba telefon bimbit Harzan berdering. Harzan segera melihat skrin telefon.

"Ah, abah call.." Harzan lantas menjawab panggilan. Ayra pula melepaskan rangkulan pada badan suaminya. Wanita itu kemudian bangkit berdiri dan menuju ke ruang dapur, meninggalkan Harzan sendirian di ruang tamu.

KEESOKAN harinya, Ayra bersama Harzan pergi ke sebuah hotel untuk menghadiri majlis makan malam syarikatnya. Setiap pekerja dibenarkan membawa pasangan dan anak masing-masing. Ayra tidak melepaskan peluang untuk membawa suaminya itu bersama. Ayra terpegun melihat ramai orang pada malam penuh gemilang itu. Wanita itu segera menyapa salah seorang kenalannya di pejabat.

"Wanie, kenapa ramai betul orang malam ni? bukan pekerja dari syarikat kita je ke ada kat sini?"

"Ah, malam ni, anak syarikat Teraju Gadung pun ada sekali.. Syarikat kita ada tiga lagi anak syarikat lain. So, campur semua memang ramai la.." Wanita bernama Wanie itu menjawab.

"Oh, i tak tahu pula.."

"Ayra kan baru je kerja.. nanti, kenal-kenal la juga dengan kakitangan dari anak syarikat." Wanie membalas. Ayra pula hanya mengangguk. Harzan yang berada di sampingnya, sejak dari tadi hanya mendiamkan diri. Mata lelaki itu hanya melilau ke segenap arah, melihat telatah setiap orang yang berada di sana. Tidak lama kemudian, Harzan memberitahu Ayra jika dia ingin ke tandas. Setelah Harzan hilang daripada pandangan mata, Ayra di sapa oleh seorang lelaki dari arah belakang.

"Awak ni Ayra kan?" Dato' Mustafa Kamal menegur.

"Ya, saya.. eh, Dato'.. apa yang Dato' buat kat sini?" Ayra teruja apabila melihat bekas majikannya itu.

"Oh, saya dapat jemputan untuk hadiri majlis makan malam ni.."

"Oh, macam tu rupanya.." Ayra mengangguk.

"Awak kerja kat Teraju Gadung pula ke?" Dato' Mustafa Kamal bertanya lagi.

"Ya Dato'.. eh, tapi apa kaitan syarikat Dato' dengan syarikat Teraju Gadung? Syarikat dato' buat projek pembangunan dan hartanah.. Teraju Gadung hanya fokus kat makanan.." Ayra meluahkan rasa panasaran yang bermain dimindanya. Tidak mungkin dua syarikat yang tidak sama bidang itu boleh membuat kerjasama. Atas dasar apa mantan majikannya itu mendapat jemputan daripada syarikatnya sekarang. Ayra semakin ingin tahu.

"Ah.. CEO syarikat ni, anak saudara saya.." Dato' Mustafa Kamal menghuraikan kekusutan yang bermain di minda Ayra. Wanita itu terus mengangguk perlahan setelah mendapatkan jawapan.

"CEO syarikat saya.. saya sendiri pun tak kenal.." Ayra tersengih sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Dia hanya berkata dengan jujur kepada mantan majikannya itu.

"Aik.. awak tak kenal?" Dato' Mustafa Kamal menjadi pelik dengan kata-kata Ayra. Sejurus kemudian, pengacara majlis yang berada di pentas dalam dewan hotel menjemput ketua pegawai eksekutif mereka untuk memberikan ucapan. Semua mata mula memandang ke arah pentas.

"Haa.. tu lah CEO.. takkan awak tak kenal.. anak saudara saya tu." Dato' Mustafa Kamal menunjukkan ke arah pentas. Ayra segera berpaling untuk melihat majikannya yang tidak pernah dia temui selama ini. Tiba-tiba mata Ayra terbeliak. Lelaki yang berdiri di atas pentas dengan gelaran Ketua Pegawai Eksekutif, seraya selaku pemilik kepada syarikatnya bekerja adalah Harzan.

"Harzan Kamil.. ayah dia Haydar Kamil tu adik saya.." Dato' Mustafa Kamal lanjut memberikan penjelasan mengenai hubungan mereka. Ayra pula terus terpempan. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat oleh matanya saat itu. Suaminya yang bergelar seorang pembantu am selama ini rupa-rupanya adalah seorang pemilik syarikat besar.  Apabila mengetahui keluasan kebun milik Harzan dan keluarganya sahaja sudah membuatkan Ayra terkejut. Kini satu tamparan yang lebih besar seolah melekat ke wajah Ayra. Hatinya gementaran. Seluruh anggota badannya menggigil. Selama ini, dia terlalu memperkecilkan suaminya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience