Bab 23

Romance Series 41999

"What? kau mengandung?" Fiza separa menjerit. Dia terkejut dengan berita yang baru diterimanya. Ayra pula menundukkan pandangan wajahnya di depan Fiza. Perempuan itu terus terbungkam selepas menyampaikan keadaan dirinya yang sudah berbadan dua.

"Amboi.. dalam kata tak nak terima Harzan, diam-diam terlanjur juga.." Fiza mengusik temannya. Dia sebenarnya teruja dan gembira dengan perkhabaran yang baru diterimanya.

"Ish, kau ni.. benda tu terjadi tiba-tiba.. aku tak boleh nak elak dah masa tu.." Ayra memejam mata sambil mengerutkan dahinya. Dia sepertinya mengeluh dengan apa yang sudah berlaku.

"Ala.. kau pun memang tak nak tolak kan?" Fiza meneruskan lagi usikannya.

"Aku mana boleh tolak dah kalau keadaan macam tu.. ishh.. malas la aku nak bagitau kau.. kau bukannya faham apa yang dah berlaku. Bercakap dengan kau ni, buat makin naik je darah aku." Ayra meletakkan telapak tangannya di dahi sambil sikunya tertongkat di atas meja.

"Aku bergurau je.. kau jangan la stress sangat.. jaga sikit kandungan kau tu.." Fiza tersenyum.

"Entahlah Fiza.. aku rasa macam taknak je anak." Ayra memandang dengan tatapan yang sayu. Dia cuba menagih simpati daripada sahabatnya itu.

"Maksud kau? kau nak gugurkan kandungan kau tu? kau jangan buat gila Ayra.. itu membunuh namanya.. Kau jangan duk buat dosa macam tu." Fiza memberi peringatan.

"Aku pun tahu.. bukan aku.. aku tak bermaksud nak gugurkan kandungan.. tapi aku tak bersedia nak ada anak dengan Harzan." Fikiran Ayra semakin jelas bercelaru. Tutur katanya gagap. Dia bingung dengan keadaan yang berlaku. Fiza pula terdiam sambil menatap sahabatnya itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia katakan kepada Ayra. Dunia sekitar mereka terasa seolah sepi. Masing-masing hanyut di dalam pemikiran sendiri. Tidak lama kemudian, Fiza melepaskan satu keluhan berat. Masalah Ayra seperti terjangkit menggangu fikirannya. Sebagai seorang sahabat, Fiza cuma mampu untuk memberi nasihat.

"Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.. Ayra, aku percaya.. Harzan tu jodoh paling sesuai untuk kau. Sebagai kawan, aku dapat tengok perubahan diri kau.. kau fikir baik-baik.. semasa kau tersakiti dengan perbuatan Rafiq, Harzan tiba-tiba muncul untuk selamatkan jiwa kau.. kalau takde dia masa tu, aku rasa kau mesti akan ambil keputusan untuk tamatkan hidup kau kan? Dia jaga kau dengan baik.. ubah diri kau ke arah kebaikan.. dia yang berikan kau semangat dan nasihat.. kau sendiri bagitahu, sekali pun dia tak pernah berkasar atau angkat tangan.. apa lagi alasan untuk kau menolak Harzan dalam hidup kau? sebab dia tak berharta? padahal kau sekarang pun sudah bekerja.. dia pun dah naik pangkat walau pun secara kontrak.. apa lagi yang kau tak puas hati? Aku rasa, Allah berikan anak ini untuk kau terus merapatkan hubungan kau dengan dia.. walau apa pun, dia tu dah jadi suami kau." Fiza memberikan nasihat. Ayra tersentak. Kata-kata Fiza itu ada benarnya. Dia sama sekali tidak ada alasan untuk terus menyingkirkan Harzan daripada hidupnya.

"Tapi.. tapi.. aku.. aku tak cintakan dia." Ayra masih ingin meneguhkan egonya.

"Bullshit.. Cinta itu sudah ada Ayra.. kau saja yang masih ingin menafikan. Padahal jelas Harzan sangat cintakan kau. Kau sendiri pun dah cintakan dia. tapi kerana ego, kau nak nafikan perasaan kau sendiri.. itu.. dalam perut kau tu.. itu buktinya.. aku tak tahu bagaimana hubungan kau dan dia di rumah.. tapi dalam perut kau tu bukti, kau sudah menerima suami kau tu.. kau sendiri menerima Harzan untuk mendekati kau. Kau tak anggap dia rogol kau kan? kau memang biarkan dia.. maknanya kau memang dah terima dia." Fiza memberikan hujah untuk meruntuhkan ego sahabatnya itu. Ayra terdiam. Lidahnya kelu untuk menjawab. Mindanya memang tak mampu mencari jawapan untuk membalas kata-kata Fiza kepadanya. Tanpa disedari, pandangan Ayra mulai kabur kerana genangan air mata. Tidak ingin air matanya mencurah membasahi pipi, Ayra segera menyeka air pada kelopak matanya itu.

"Maaf Ayra.. aku bukan nak menekan emosi kau. tapi sebagai kawan, aku taknak kau terus terseksa dengan menafikan perasaan kau sendiri.. padahal Harzan dah ada dalam hati kau. tapi kau masih berkeras kononnya pintu hati kau dah terkunci. itulah masalah kau.. kau taknak bersikap jujur.. sepatutnya kau ikhlaskan cinta kau.. biarkan hati kau bebas untuk menerima cinta baru dan melepaskan kisah lalu." Fiza memegang tangan Ayra dan menggenggam kemas kedua belah telapak tangan sahabatnya itu. Ayra pula terus mendiamkan diri. Dia tiada kata-kata untuk membantah.

Tanpa di duga, tiba-tiba seorang lelaki berjalan menghampiri mereka. Lelaki itu berdiri tegak di sebelah Ayra sambil memandang tepat ke arah wanita itu. Lelaki itu kemudian mengalihkan pandangannya kepada Fiza. Fiza dan Ayra terkejut dengan kemunculan Rafiq di situ.

"Fiza, boleh tinggalkan kami berdua sekejap? saya ada hal nak bincang dengan Ayra." Rafiq membuka mulut, berbicara kepada Fiza. Fiza segera mengalihkan pandangannya kepada Ayra. Sahabatnya itu hanya menunduk. Fiza tahu Ayra sudah tidak mampu untuk melarikan diri dan mengelak dari bertemu mantan kekasihnya itu. Perlahan-lahan Fiza bangkit berdiri dari kerusi. Dia kemudian mula melangkah dan meninggalkan Ayra dan Rafiq di situ.

Rafiq pula melabuhkan punggungnya di kerusi yang di duduki oleh Fiza tadi. Matanya menatap Ayra yang masih tertunduk.

"Ayra.. i minta maaf.. tolong bagi i peluang untuk memberi penjelasan.. sebenarnya i di perangkap.. apa yang you tengok, yang you dengar, semuanya tak betul.. i masih sayangkan you. i really love you." Rafiq memulakan kata.

"Macam mana you sekarang? dengar cerita, you kena tangkap.. macam mana boleh ada kat sini?" Ayra tiba-tiba bertanya. Dia seolah mengabaikan ucapan Rafiq kepadanya. Ayra sengaja mengalihkan topik perbualan mengenai Rafiq, padahal dia sudah mengetahui berita tentang lelaki itu daripada Fiza sebelumnya.

"I diikat jamin.. sekarang masih dalam tempoh perbicaraan.. selagi tak dihukum bersalah, maknanya i akan bebas." Rafiq menjawab seraya tersenyum.

"Tapi i tahu, you memang ambil duit tu.. sebagai P.A you, i tahu semuanya.." Ayra membalas dengan renungan tajam seraya mempamerkan riak wajah yang masam mencuka. Rafiq tersentak.

"Apa maksud you? you nak ugut i? you nak jadi saksi dalam kes tu?" Rafiq inginkan penjelasan.

"I taknak peduli kes you tu.. selagi nama i tak terlibat, you serah je nasib you kat peguam bela you.. setakat ni, polis pun takde cari i untuk bantu siasatan. Kalau ada pun, i taknak terlibat.." Ayra memberikan jawapan balas. Rafiq menarik nafas lega. Dia tahu Ayra menyimpan segala rahsianya. Jika wanita itu menjadi saksi utama untuk kesnya, pasti dirinya akan meringkuk di dalam penjara.

"Baguslah kalau begitu.. harap-harap you akan kekal diam macam tu.. i tahu you masih ambil berat pasal diri i kan? sebab tu you tanya dan ambil tahu pasal keadaan i.. sebenarnya i pun macam tu.. i masih sangat sayangkan you Ayra.. i masih perlukan you di sisi i sekarang." Rafiq bermanis mulut menjual kata-kata.

"Sudahlah Rafiq.. apa lagi yang you nak dari i? i sekarang bukan macam i yang dulu.. sekarang i dah jadi isteri orang.. harap you faham dan jangan ganggu hidup i lagi." Ayra pula bersuara.

"I tak peduli you isteri orang atau apa.. i masih perlukan you.." Rafiq merayu.

"Stop it.. jangan nak mengarut lagi.. antara kita dah takde apa-apa.. i pun dah jadi isteri orang dan akan beranak tak lama lagi.." Ayra segera meningkah. Rafiq membeliakkan matanya. Terkejut dengan berita yang diterima.

"you..you dah mengandung?"

"Yes i am.. so, you jangan duk ganggu i lagi.. jangan ganggu rumah tangga i.." Ayra memberi penegasan. Rafiq mula terdiam. Lelaki itu merendahkan pandangan matanya. Beberapa detik dia termenung sebelum kembali bersuara.

"Betul ke tu anak you dengan dia? you pasti, kandungan you tu bukan anak kita?" Rafiq cuba meneka. Ayra tersentak seraya membeliakkan mata. Giliran perempuan itu pula terkejut dan terpana. Ayra kehilangan kata-kata. Ucapan lelaki itu mula membuatkan Ayra mengimbau kenangan lama di antara mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience