Bab 33

Romance Series 41999

KAWANAN burung berterbangan dengan riang, membelah udara di kawasan perkampungan. Suasana desa yang kehijauan kelihatan aman dan permai. Cuaca yang agak redup ketika itu disusuli pula angin semilir yang betiup sepoi bahasa. Sang bayu itu bergerak melewati setiap pelosok desa dan menerobos masuk ke ruang jendela yang terbuka di sebuah rumah kayu berdiri megah. Rumah yang terbina daripada kayu berkualiti tinggi itu kelihatan mewah dan berbeza berbanding rumah kampung biasa.

Tidak jauh dari rumah tersebut, sebatang sungai mengalirkan airnya dengan tenang. Di tebing sungai pula, kelihatan Harzan sedang termenung di bawah sepohon pokok akasia yang bersaiz besar. Lelaki itu masih bersedih dan sedang mencari ketenangan. Dia cuba membuang kekecewaannya melalui pandangan ke arah aliran air sungai. Namun hal itu tidak semudah yang disangka. Setiap kali ingin mengcungkil kedamaian di hati, tatkala itu juga bayangan wajah Ayra mengusik jiwanya.

Sesekali, air mata yang meleleh keluar diseka. Walaupun beberapa hari sudah berlalu, sakit dihatinya masih terasa. Lukanya seakan masih mengalir walau tidak terlihat. Harzan kemudiannya menghela nafas panjang. Matanya dipejam rapat.

'Harzan.. kau lelaki! Jangan jadi lemah hanya kerana seorang perempuan.. Kau tak perlu cari perempuan dan berikan cinta kau! Biarlah perempuan yang cari kau dan meminta cinta kau tu!' Harzan berkata kepada dirinya sendiri.

'Jika ada perempuan yang inginkan cinta kau, berilah dia segalanya.. jika dia tak perlukan kau, buanglah dia sejauhnya!' Harzan terus bermonolog. Dia perlu memotivasikan dirinya sendiri. Lelaki itu tidak ingin lagi menjadi lemah hanya kerana seorang perempuan. Ego sebagai seorang lelaki harus dipegang kemas agar tidak terus tersungkur dalam hidup.

Tidak jauh dari situ, sebuah kereta Myvi kuning menyusuri jalan kampung dan berhenti di depan rumah kayu. Seorang gadis keluar dari rumah untuk melihat gerangan pendatang yang berhenti di pekarangan rumahnya. Seketika kemudian, Ayra keluar dari kereta dan mendekati gadis yang berdiri di hadapan rumah tersebut.

"Assalamualaikum.. boleh tumpang tanya, kat mana rumah Harzan? Harzan Kamil bin Haydar.." Ayra tersenyum sambil bertanya. Berdasarkan alamat yang dia dapat daripada Fiza, Ayra yakin, dirinya sudah tiba ditempat tujuannya. Namun dia ragu-ragu kerana alamat yang diberikan itu terdiri sebuah rumah kayu yang terlihat mewah. Malah di depan rumah, terlihat sebuah kereta BMW yang berwarna putih. Harzan yang dikenalinya adalah seorang lelaki biasa yang berasal dari kampung. Tidak mungkin lelaki itu tinggal dan memiliki rumah semewah itu di kampungnya. Gadis yang berdiri itu menatap Ayra seketika.

"Ayra.. kenapa datang ke sini?" Gadis itu kembali bertanya tanpa menjawab soalan daripada tetamunya. Ayra tersentak.

"Macam mana awak kenal saya?.. apakah..?" Ayra kebingungan. Entah bagaimana gadis di depannya itu mengenali dirinya.

"Saya Hazirah.. adik kepada Harzan. Abang Harzan pernah tunjuk gambar awak dan dia dah ceritakan semuanya yang berlaku.." Gadis itu memperkenalkan diri.

"Oh.."Ayra mula merasa lega. Itu bermakna dia sudah menuju ke alamat yang tepat. Gadis yang berdiri di depannya itu pula, adalah adik ipar yang tidak pernah dia kenali sebelumnya.

"Awak nak apa lagi datang ke mari? Tak puas lagi sakitkan hati abang saya?" Hazirah menunjukkan riak wajah yang tidak mesra. Di hadapannya kini adalah wanita yang sudah menyakiti dan menyeksa hidup abangnya.

"Tidak.. bukan begitu.. Harzan.. dia.." Ayra kesukaran untuk menjelaskan keadaan sebenarnya.

"Saya tak tahu apa guna-guna yang awak dah pakai kat abang saya.. setahu saya, selama ini dia tak pernah bercinta. Tapi entah macam mana dia tergila-gilakan awak.. apa yang awak nak sebenarnya? bila dia dah gilakan awak, awak sisihkan dia, buang dia sesuka hati.. awak ni manusia ke apa? langsung takde hati perut." Hazirah melemparkan tuduhan kepada Ayra. Mendengar ucapan gadis di depannya, Ayra segera menitiskan air mata. Tapak tangannya pula menekup mulut. Sungguh sadis tomahan yang dilemparkan terhadapnya.

"Tidak.. saya tak buang Harzan.. saya sayang dia.. itu.. itu semua.. hanya salah faham.." Ayra menguatkan tangisan. Lututnya terasa lemah dan Ayra langsung terjelepok ke lantai. Hazirah terkejut. Rasa sedih dan kasihan mengetuk pintu hati gadis itu. Dia dapat merasa keikhlasan daripada gaya dan tutur kata Ayra. Sejenak kemudian, Hazirah mendekati Ayra dan memegang tangan wanita itu untuk membangunkannya kembali. Namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk mendorong Ayra bangkit berdiri.

"Bangunlah.." Hazirah bersuara lembut. Nada kasarnya tadi sudah hilang sama sekali.

"Saya sayangkan Harzan.. saya tak nak kehilangan dia.. Tolong.. kembalikan dia dalam hidup saya.. saya tak boleh hidup tanpa dia.." Ayra merayu seraya memaut kaki Hazirah. Hazirah terdiam. Hatinya turut dapat merasakan kesedihan yang menyelubungi Ayra. Hazirah hampir menitiskan air matanya namun gadis itu menguatkan hatinya. Dia segera mendongak ke atas untuk menghalang air mata dari terus bergenang dan mengalir keluar. Di langit, awan mendung mulai berarak. Satu petanda, hujan lebat akan mendatang tidak lama lagi.

"Akak.. pergilah pujuk abang Harzan.. dia pun tak mampu kehilangan akak." Hazirah mengubah panggilannya kepada Ayra. Dia tahu hanya wanita itu yang mampu menghilangkan kedukaan yang di alami oleh abangnya. Mendengar ucapan Hazirah, tangisan Ayra mulai perlahan. Perlahan-lahan wanita itu mengagahkan dirinya untuk bangkit berdiri.

"Harzan.. dia dimana?" Ayra bertanya. Hazirah mengukirkan senyuman yang kelat.

"Abang ada kat tepi sungai sana.. di situlah dia sehari-hari.. Akak pergilah ke sana.. jom, saya tunjukkan.. tapi sebelum tu, lap dulu air mata akak tu." Hazirah menyeka air mata Ayra yang masih mengalir keluar.

Hazirah kemudian menuntun Ayra ke arah yang patut mereka lalui. Tidak jauh dari sungai, Ayra mula melihat sosok Harzan dari arah belakang. Lelaki itu masih terduduk diam menatap aliran air sungai.

"Akak pergilah.. tolong kembalikan keceriaan abang Harzan." Hazirah menolak lembut bahu Ayra untuk mendorong wanita itu menghampiri Harzan. Gadis itu pula tetap kekal di tempatnya berdiri dan membiarkan Ayra sendirian mendekati Harzan. Setelah Ayra berjalan sendirian, Hazirah membalikkan punggungnya dan perlahan-lahan meninggal tempat tersebut. Dia harus pulang semula ke rumah dan membiarkan abangnya dan Ayra berdua-duaan di sana. Mereka pasti tidak ingin urusan mengenai hubungan mereka didengari oleh lain.

Harzan yang dihanyutkan oleh lamunan langsung tidak menyedari kehadiran Ayra di belakangnya. Lelaki itu tetap khusyuk melihat air sungai yang sedang mengalir. Ayra pula semakin merapat.

"Harzan.." Ayra mula bersuara. Harzan tersentak. Lelaki itu segera mengalihkan pandangannya ke arah belakang. Harzan terpegun. Dia seolah tidak percaya akan apa yang sedang dilihat oleh matanya.

"Ay..ra..?" Harzan masih tidak percaya. Dunianya kini terasa seakan mimpi. Tidak mungkin Ayra akan mendatanginya. Malah, wanita itu tidak tahu kampung halamannya. Mustahil Ayra benar-benar akan muncul di sana. Harzan menggosok matanya beberapa kali. Dia ingin memastikan kehadiran Ayra di depan matanya itu bukanlah ilusi.

"Harzan.. maafkan saya.. sebenarnya, apa yang dah berlaku, bukan macam yang awak sangka.." Ayra meneruskan bicara. Harzan terdiam. Kini dia yakin bahawa itu adalah Ayra yang sebenarnya. Dia tidak bermimpi atau berhalusinasi. Harzan kemudian bangkit berdiri dan menghadap Ayra secara bertentangan mata.

"Macam mana awak boleh sampai ke sini?" Harzan mula bersuara.

"Saya.. minta tolong Fiza.. dia.."

"Oh.." Harzan memotong percakapan Ayra. Lelaki itu sudah mengerti sepenuhnya. Dia tahu Fiza telah mendapatkan maklumat mengenai alamatnya daripada pejabat mereka bekerja.

"Nak apa lagi? untuk apa awak datang ke sini?" Harzan bertanya lagi.

"Saya nak kita kembali bersama.. saya nak kita rujuk semula.. saya.. saya.."

"Rujuk? kembali bersama? Sejak bila kita pernah bersama? Ya, kita pernah tinggal sebumbung.. Saya pernah menumpang di rumah awak.. tapi kehadiran saya langsung takde makna.. tak guna kalau bersama tapi hidup berasingan.. awak pun tak pernah anggap saya wujud. Di hati awak pun cuma ada lelaki lain.. untuk apa kita kembali bersama?" Harzan meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya.

"Tolong.. Harzan.. demi anak kita.." Ayra memegang perut. Air mata kembali membasahi pipinya.

"Anak? Apa buktinya itu anak saya? Macam mana awak nak buktikan itu bukan anak jantan lain?! Ke awak sengaja, cari saya untuk jadi pak sanggup? nak saya bertanggung jawab kat anak dalam kandungan awak tu?" Harzan menekan Ayra dengan kata-katanya. Wanita itu semakin kencang menangis. Air matanya tidak mampu ditahan walau setitik.

"Ya.. saya perempuan jahat.. saya tak layak untuk awak. Saya mengaku, dulu saya pernah terlanjur dengan Rafiq.. tapi itu dah lama.. sebelum awak muncul dalam hidup saya.. ini.. anak ini.. saya bersumpah.. demi Allah ini anak awak!" Ayra mula berterus terang. Dia tidak ingin menyembunyikan apa-apa lagi daripada pengetahuan bekas suaminya itu. Harzan tersentak. Hatinya seolah dipanah halilintar ketika mendengar pengakuan Ayra. Wanita yang dinikahinya itu dahulu sudah tidak mempunyai dara.

"Huhh.." Harzan mendengus kencang. Lelaki itu mula membuka langkah kakinya dan ingin meninggalkan Ayra di situ. Angin pula semakin bertiup kencang. Awan mendung yang berarak tadinya sudah pun tiba di atas kepala. Titisan air dari langit mula turun sedikit demi sedikit. Ayra kemudian berpaling dan memandang ke arah Harzan yang sedang menjauhinya.

"Saya tak pernah minta awak hadir dalam hidup saya.. saya tak pernah merayu untuk awak cintakan saya.. tapi awak sendiri yang datang Harzan! Awak sendiri yang mahu saya hadir dalam hidup awak! Awak yang mulakan kisah antara kita.. sekarang awak sendiri yang nak mengakhirinya! Kenapa awak nak dekati saya kalau akhirnya awak nak tinggalkan saya?" Ayra menjerit. Harzan terkejut. Langkah kakinya dihentikan. Apa yang dikatakan oleh Ayra itu benar belaka. Ayra tidak pernah minta untuk dicintai. Tapi dahulu Harzan sendiri yang bermuka tebal menagih cinta wanita itu. Harzan sendiri yang mendekati Ayra. Alasannya hanya Harzan yang tahu.

Harzan menggenggam erat kepalan tangannya. Dia sepertinya kesal. Dia tersilap menilai diri Ayra. Seketika kemudian, dia melepaskan nafas berat yang terkandung di dalam dada.

"Saya perempuan jahat.. saya tak tahu kenapa awak nak mendekati saya.. awak berusaha untuk mencuri hati saya.. dan bila saya mula sayangkan awak, awak pula pergi tinggalkan saya.. kenapa awak nak seksa saya macam ni?" Ayra membangkitkan semula cerita pada sudut pandangnya. Harzan mula dihujani rasa bersalah. Namun lelaki itu perlu mempertahankan maruah dirinya yang sudah tercalar sebelum ini.

"Sudahlah berpura-pura.. saya minta maaf sebab selama ni dah ganggu hidup awak.. sekarang awak pulanglah.. kita berdua, dah takde apa-apa.." Harzan meneruskan kembali langkah kakinya. Titisan hujan semakin rancak turun ke bumi. Dia perlu bergegas untuk kembali ke rumah dengan segera sebelum hujan turun dengan lebih lebat. Ayra pula masih terpaku ditempatnya berdiri.

"Saya tak tipu Harzan! Saya.. saya cintakan awak! Tolong, jangan pergi dari hidup saya!" Ayra menjerit lagi sambil menangis. Hati Harzan tersentuh. Sudah lama dia mendambakan untuk mendengar ayat tersebut dari mulut Ayra. Namun baginya, kini ucapan Ayra itu sudah terlambat. Dia tidak akan terjatuh ke perangkap wanita tersebut. Fikirnya, Ayra sekarang hanya ingin memanfaatkan dirinya sahaja. Wanita itu tidak ikhlas menyebut perkataan cinta. Harzan meneruskan langkah kakinya, meninggalkan Ayra sendirian di tebing sungai.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-07-17 13:48:34 

Hazran pulak jual mahal...ishhh..


NovelPlus Premium

The best ads free experience