Bab 44

Romance Series 41999

SETELAH mendengar kisah sebenar Harzan yang bekerja di syarikat Dato' Mustafa Kamal, Ayra semakin tergamam. Dia langsung tidak menyangka, dirinya menjadi punca sebenar mengapa Harzan sanggup bekerja sebagai seorang pekerja am sebelum ini. Ayra mula rasa tertipu dengan penampilan suaminya itu. Satu demi satu penipuan Harzan terhadapnya mula terbongkar. Ayra kesal.

Menurut Dato' Mustafa lagi, Harzan sebenarnya berhijrah ke kota sebenarnya untuk menguruskan syarikatnya sendiri. Lelaki yang sering berusaha itu memilih untuk membina kilang dan syarikat miliknya sendiri untuk memproses hasil dari ladangnya untuk diproses menjadi bahan makanan. Disebabkan itu Harzan meminta ayahnya menguruskan kebun mereka dikampung, manakala Harzan pula menguruskan syarikat di kota.

Mendengarkan kisah sebenar Harzan, Ayra seolah tidak dapat menerima kenyataan. Perasaannya bercampur diantara marah, sedih dan kecewa. Matanya terlihat berkaca. Air jernih mula bergenang ditakungan matanya.Wanita itu tidak dapat menerima jika suaminya itu terus menerus membohonginya.

Harzan yang baru selesai membuat ucapan pula segera turun dari pentas. Lelaki itu tanpa berlengah, menghampiri Ayra yang berdiri kaku di sebelah Dato' Mustafa Kamal. Melihatkan reaksi Ayra, Harzan sudah dapat menjangka apa yang sedang difikirkan oleh isterinya itu. Dia tahu, Ayra masih diketuk oleh kejutan mengenai identitinya yang sebenar. Baru sahaja Harzan mendekati isterinya, Ayra segera membuka mulut.

"Puas hati awak dah permainankan saya? Puas hati awak dah dapat tipu saya? Satu demi satu saya dikejutkan dengan penipuan awak selama ini.. Puas hati awak sekarang?!" Ayra meluahkan perasaan kecewanya. Air mata mula bercucuran keluar membasahi pipi wanita tersebut.

"Ayra.. abang tak pernah berniat nak tipu sayang.. abang.. abang cuma tak sempat nak berterus terang.." Harzan cuba membela dirinya.

"Sudah! tak payah nak beralasan.. jadi selama ni awak cuma penuh dengan kepura-puraan.. apa yang saya lihat semuanya palsu."

"Tidak sayang.. perasaan abang terhadap sayang itu benar.. cinta abang, abang tak pernah tipu.." Harzan ingin memberikan penjelasan. Namun Ayra segera berpaling badan dan dengan laju melangkah meninggalkan dewan tersebut.

"Sayang.." Harzan ingin memujuk.

"Harzan.. jangan biarkan dia pergi sendirian.. pujuk cepat." Dato' Mustafa Kamal memberikan nasihat kepada anak saudaranya itu. Harzan langsung mengejar isterinya.

"Sayang.. Ayra.." Harzan berulang kali memanggil isterinya, namun Ayra tetap enggan berpaling. Wanita itu terus melangkah laju menuju ke lobi hotel. Harzan yang cuba menghalang pergerakan Ayra segera memegang tangan isterinya itu. Namun Ayra segera merentap keras agar Harzan melepaskan tangannya. Harzan terus mengejar sehingga ke pintu utama hotel.

"Ayra.. dengar dulu abang cakap.. sayang.."

"Sudah! cukup Harzan.. tak puas lagi ke awak permainkan saya selama ni?" Ayra membentak keras.

"Saya tak pernah permainkan awak.. saya ikhlas dengan awak.. saya terpaksa sembunyikan identiti sebenar sebab nak siasat Rafiq.. lagi pula, awak pernah ada hubungan dengan Rafiq.. takkan la saya nak bagitau perkara sebenarnya sebelum semuanya selesai.. lagipun, kat kampung, baru hubungan kita semakin jelas.. saya memang nak bagitahu awak perkara sebenarnya tapi selalu tertangguh.." Harzan memberikan penjelasan agar Ayra tidak terus menyalahkan dirinya. Ayra kemudiannya menjeling ke arah suaminya itu.

"Saya hanya perempuan murahan.. yatim piatu yang hidup sebatang kara.. saya tak layak untuk awak.. awak carilah perempuan yang setaraf dengan awak.. Mister CEO.. jangan ikut saya lagi.. kalau tak, saya akan lebih benci kat awak.." Ayra menyambung gerakan langkah kakinya. Harzan pula terkedu dengan ucapan isterinya itu. Lelaki itu terbungkam sambil berdiri kaku. Dia hanya mampu melihat Ayra berjalan yang semakin menjauh dari dirinya. Ayra pula terus berjalan tanpa memandang ke arah belakang. Sampai di tepi jalan, Ayra menghentikan langkah kakinya. Wajahnya tertunduk sambil menahan tangisan. Wanita itu berdiri tegak di bahu jalan tanpa mempedulikan suasana sekelilingnya. Tiba-tiba sebuah kereta meluncur laju ke arah Ayra.

"Ayra!!" Harzan berlari sekuat hati menuju ke arah isterinya. Lelaki itu melonjakkan kakinya dan menerpa ke arah Ayra yang hampir dilanggar oleh kereta.

Bamm!

Sebuah pelanggaran berlaku. Harzan yang sempat memeluk erat Ayra akhirnya dilanggar oleh kereta yang meluncur laju. Pasangan suami isteri itu melambung dan jatuh ke tanah sebelum bergolek beberapa kali di atas jalan tar. Ayra agak bernasib baik kerana Harzan sempat memeluk badannya dan melindungi kepala Ayra dengan tangannya agar tidak terluka. Ayra hanya mengalami luka kecil di siku dan lututnya akibat geseran di tar. Namun keadaan Harzan agak parah. Lelaki yang menerima impak perlanggaran secara langsung itu memuntahkan darah. Tangan dan badannya penuh dengan luka dan calar balar.

Kereta yang melanggar mereka pula meneruskan pemanduannya dan meninggalkan kawasan kemalangan. Di dalam kereta, Rafiq yang sedang memandu, tersenyum puas. Lelaki itu kemudian ketawa terbahak-bahak.

"Padan muka! mampuslah kau berdua.." Rafiq terus ketawa setelah membuat kecelakaan. Dia berpuas hati setelah berjaya melanggar Harzan dan Ayra dalam masa yang sama. Di kawasan kemalangan, Ayra kebingungan. Dia tidak menyedari apa yang telah berlaku sebentar tadi. Kini wanita itu terkejut apabila menyedari Harzan sudah terluka dan cedera parah.

"Harzan... Harzan.. abang!" Ayra menjerit. Harzan pula masih memuntahkan darah. Tangannya yang lemah dan penuh darah menyetuh pipi Ayra. Dalam keadaan menahan kesakitan yang tidak terperi, Harzan masih merasa bersyukur kerana Ayra terselamat dan tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Maafkan.. abang.." Harzan bersuara perlahan. Lelaki itu kemudian terbatuk dan menyemburkan darah dari mulutnya.

Abang.. jangan.. jangan tinggalkan sayang... abang.." Ayra kebingungan. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Wajah dan badan Harzan yang dipenuhi darah yang merah dan pekat itu membuatkan Ayra ketakutan. Hatinya dihantui oleh rasa bersalah dan takut jika kehilangan suaminya. Ketika itu, orang ramai mula mengerumui kawasan kejadian.

"Abang..!!" Ayra menjerit kuat seraya diringi air mata yang mencurah lebat. Hatinya penuh penyesalan. Ayra mula menyalahkan dirinya sendiri. Jika tadi dia tidak berlari keluar dari hotel, dan berada di tepi jalan itu, semua itu pasti tidak akan berlaku.

Di tempat lain, Rafiq menghentikan pemanduannya setelah agak jauh melarikan diri dari kawasan dia melanggar Harzan dan Ayra. Lelaki itu kemudian keluar dari keretanya dan berjalan memasuki kawasan lorong yang sepi. Setelah berjalan seketika, Rafiq akhirnya berhenti dan duduk di kawasan lorong yang tiada kelibat orang. Lelaki itu kemudian tertawa lagi. Dia sangat berpuas hati setelah berjaya melanggar Harzan dan Ayra. Dia berharap, pasangan suami isteri itu segera mati di tempat kejadian.

Rafiq kemudian mengeluarkan kotak rokok dari koceknya. Sebatang rokok diambil dan diletakkan dimulut. Rokok itu kemudian segera dinyalakan. Asap dari pembakaran tembakau itu disedut dalam, memasuki paru-paru. Sedetik kemudian, lelaki itu menghembus keluar kembali asap tersebut dari rongga hidung dan mulutnya. Rafiq seterusnya memejamkan mata sambil menyandarkan belakang badannya ke dinding bangunan. Nikmat dari asap rokok terus dinikmatinya. Tanpa dia sedari, beberapa orang lelaki datang mendekatinya.

"Wah, senang hati nampak.. hutang gua bila lu mau bayar? hutang taknak bayar tapi hati banyak senang ma.." Salah seorang lelaki itu bersuara, Rafiq yang terkejut segera mencelikkan mata.

"Eh, Joshua.. kenapa lu datang sini?" Rafiq terkejut. Jantungnya mula berdegup laju apabila melihat para lelaki yang sedang mengelilinginya. Manik-manik peluh mula hadir di permukaan dahi lelaki tersebut.

"Mana gua nak pergi, itu bukan lu punya hal.. tapi ke mana lu mau pergi, itu jadi gua punya hal.. lu sudah pinjam duit gua, sekarang lu mau lari? tak nak bayar?" Lelaki yang digelar sebagai Joshua oleh Rafiq membalas. Lelaki itu adalah salah seorang ceti haram yang sudah memberi pinjaman wang kepada Rafiq sebelum ini.

"Eh.. aku bukan taknak bayar.. aku nak bayar.. tapi tolong berikan aku masa sikit lagi.." Rafiq semakin ketakutan.

"Ini KL banyak kecil maa.. lu punya cerita, semua gua sudah dengar.. sama Tiger Lee pun lu sudah pinjam.. sama itu Ahok pun lu pinjam.. sama Rama pun lu pinjam.. gua pun lu pinjam juga.. Tapi itu Ahok sama Tiger Lee lu sudah kasi settle.. gua punya, bila lu mau kasi settle? Sampai gua sudah banyak bosan sama lu.. gua cuma mau duit gua balik.. tapi gua kena cari lu, macam gua pula mau pinjam duit sama lu.. apa macam?" Joshua meluahkan rasa.

"Ya.. tolong bagi aku masa.. aku janji aku akan bayar balik semua duit kau.."

"Sudahlah.. gua sudah cakap, gua bosan sama lu.. sekarang gua mau semua hutang lu kasi settle.."

"Hari ni tak sempat la Joshua.. bagi aku dua hari lagi.. tolong la.." Rafiq merayu.

"Haiya.. gua cakap, hari ini juga gua kasi settle.. lu tak payah risau.. sekarang, semua hutang lu, gua sudah anggap selesai.. lu boleh aman.. tak payah sakit kepala lagi mau lari dari gua.."

"Be..betul ke? semua hutang aku dengan kau sudah settle?"

"Gua tak pernah bohong sama orang.. kalau gua cakap, gua mesti bikin punya.. lu jangan risau.. mulai sekarang, gua takkan cari lu lagi.."

"Te..terima kasih Joshua.. Terima kasih.." Rafiq merasa lega. Dia langsung tidak menyangka lintah darat tersebut sanggup mengabaikan hutang yang pernah dibuat olehnya.

"Lu tak payah terima kasih sama gua.. lu terima kasih saja sama lu punya datuk."

"gua punya datuk? apa maksud kau?" Rafiq kebingungan. Dia langsung tidak mengerti dengan apa yang dimaksudkan oleh Josua.

"Huh.. kasi selesai." Joshua memandang ke arah lelaki di sebelahnya yang juga merupakan pengikutnya. Lelaki tersebut hanya menganggukkan kepala seraya mengeluarkan sepucuk pistol dari celah pinggangnya. Pistol tersebut segera dihalakan ke arah kepada Rafiq. 

Bang! Bang!

Dua das tembakan dilepaskan ke arah kepala Rafiq. Peluru yang keluar dari pistol tersebut segera menembusi kepala Rafiq dan meragut nyawa lelaki itu dengan serta merta. Rafiq yang ditembak itu segera menggelupur badannya. Nyawanya sudah pun melayang. Padahal lelaki tersebut masih lagi dalam perbicaraan kes penyelewengan wang syarikat yang belum selesai. Joshua dan para pengikutnya kemudian segera meninggalkan mayat Rafiq tergeletak di tepi jalan, di lorong yang sunyi dan suram itu.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-08-07 20:03:38 

suspen...suspen..padan muka rafiq..jhat sgt..sudah jmpa sma datuk..hihihi...


NovelPlus Premium

The best ads free experience