Bab 17

Romance Series 41999

"Harzan.. boleh tolong Kak Yan tak? Tolong fotostat semua dokumen ni.. buat 25 set salinan.." Azian memanggil Harzan yang sedang duduk di mejanya. Mendengar namanya dipanggil, Harzan segera berdiri dan menuju ke arah Azian. Setelah lelaki itu mendekati Azian, fail di tangan Azian bertukar tangan. Harzan yang mengambil fail dari Azian segera membuka dan membelek helaian kertas yang menjadi isinya.

"Ini projek kat Tanjung Pinang? Nak bina hotel kat sana?" Harzan fokus membaca isi dokumen yang harus dia membuat salinan itu.

"Ah.. kau kena sediakan secepat mungkin Zan.. pagi ni ada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.. kita nak usulkan projek ni dalam mesyuarat tu nanti." Azian memberi penjelasan.

"Hmm.. " Harzan masih fokus membaca isi dokumen tersebut. Azian yang sedang membelek beberapa helaian kertas di atas mejanya pula berhenti seketika. Dia menatap wajah Harzan yang sedang serius membaca isi fail.

"Kau tunggu apa lagi Zan? Pergi la fotostat cepat.. kemain duk baca fail tu, macam la kau faham.. Nah, ambil air nesface ni. Minum dulu. Bagi cergas sikit otak tu berfikir." Azian tersenyum sambil menghulurkan satu tin minuman kepada Harzan.

"Beberapa minggu lalu, saya ada pergi kat Tanjung Pinang tu Kak Yan.." Harzan meletakkan fail yang berada di tangannya ke atas meja Azian. Tangannya kemudian mencapai air tin yang diberikan oleh Azian kepadanya. Penutup air minuman itu segera dibuka oleh Harzan. Tanpa membuang masa, lelaki itu segera meneguk air nescafe pemberian Azian.

"Dah tu.. apa kaitan kau pergi sana dengan projek ni?" Azian penasaran. Dia ingin tahu apa yang sedang difikirkan oleh Harzan. Riak wajah lelaki muda itu terlihat serius dan jelas mempamerkan minat terhadap projek yang sedang dibincangkan.

"Kalau tengok dari planning kat proposal ni, saya rasa macam agak membazir la.." Harzan mula menyampaikan pendapatnya.

"Membazir apa pulak? Sebut harga yang ada pun memang dah ikut harga pasaran semasa.. Harga tanah tu memang dah dinilai ikut harga pasaran.. takde la membazir.. lagipun kawasan tu pun strategik."

"Memang la harga tu dah ikut harga pasaran semasa Kak Yan.. tapi saya rasa macam ada sedikit pembaziran.. syarikat sepatutnya boleh berjimat lagi kalau pilih opsyen lain." Harzan berkata-kata seolah sudah mahir dengan urusan syarikat. Selama ini, Harzan memang sering membaca dan belajar mengenai selok belok perniagaan yang dilakukan oleh syarikatnya bekerja. Walaupun awalnya dia langsung tidak mengerti, namun kerana minat dan tekadnya, Harzan sepertinya sudah memahami segalanya. Kata-kata yang dituturkan oleh Harzan sebagai seorang pekerja am menarik minat Azian. Dari lagak Harzan, dia sedang berbicara seolah dirinya seorang pengurus.

"Maksud kau macam mana Zan?"

"Hmm.. Masa saya pergi sana beberapa minggu yang lalu, saya ada perasan satu tapak projek terbengkalai.. saya dah tengok bangunan yang dah dibina kat situ.. masih elok dan kukuh.. baru berapa tahun lepas je projek tu dibuat.. tapi terpaksa dihentikan sebab pemaju ada masalah kewangan.. terlalu banyak buat projek mereka tapi tak laku.. loan bank pun tak boleh nak bayar.. bila saya selidik, tanah kawasan tu akan dilelong, beserta dengan bangunan tu sekali.. harga murah, di bawah harga pasaran. So, bagi saya, kalau syarikat kita ambil tanah tu dan bangunkan kembali projek yang terbengkalai tu, rasanya jauh lebih jimat dari projek kat proposal ni. Lagipun jarak tapak projek tu dengan tapak cadangan ni, dalam tiga kilometer je lebih kurang.." Panjang lebar Harzan memberi pendapat.

"Dah ada bangunan sekali? Hmm.." Azian turut berminat setelah mendengar penjelasan Harzan.

"Ye Kak Yan.. saya dah tengok sendiri.. struktur bangunan tu masih elok dan kukuh.. tak perlu roboh dan bina semula.. kita sambung je binaan bangunan tu bagi siap dengan sempurna.. kalau syarikat ada modal, boleh bina bangunan yang lebih besar." Harzan bersemangat sekali berucap. Dia kemudian meneguk lagi air tin yang berada dipegangan tangannya. Setelah selesai meneguk air, Harzan melanjutkan kata-katanya lagi.

"Kalau tengok dari pelan rancangan bangunan kat proposal ni pun, rasanya tempat yang saya tengok tu lebih besar. Tapi harga dapat lebih murah.. lokasi pun tak beza jauh.. malah saya rasa lokasi bangunan yang saya cakap tu lebih menarik dan strategik. Keluasan kawasan dia pun dalam 7 ekar lebih kurang.. lebih kurang dari pejabat kita ni, ke kedai seven E kat blok sana tu." Harzan berkata sambil menggerakkan tangannya.

Tanpa diduga, tangan Harzan yang dihayun itu mengenai seorang lelaki yang sedang berjalan dari arah belakangnya. Lebih teruk lagi, air nescafe di tangan Harzan turut tumpah dan mengotori baju lelaki tersebut.

"Apa ni? Awak buta ke? Habis kotor baju saya.. dah la ada meeting sekejap lagi." Suara lelaki itu bergema kuat, memecah suasana di dalam pejabat.

"Da..dato'.. Maaf dato'.. dia tak sengaja.." Azian dengan kelam kabut, segera mendekati Dato' Mustafa Kamal dan mengelap baju lelaki tersebut menggunakan tisu.

"Kenapa awak yang minta maaf? Padahal budak ni yang kotorkan baju saya.. dah..dah.. jangan duk lap.. nanti saya bersihkan sendiri." Dato' Mustafa Kamal menepis tangan Azian.

"Ma..maaf.. saya tak sengaja.." Harzan yang menyedari kesilapannya dengan segera meminta maaf.

"Hmm.. Awak ni siapa? Pekerja baru ke kat pejabat ni? Tak pernah saya nampak pun.." Dato' Mustafa merenung ke arah Harzan. Harzan dengan gugup segera menganggukkan kepalanya. Pandangan wajahnya dijatuhkan ke lantai, tidak berani untuk menatap wajah lelaki separuh usia dihadapannya itu. Lelaki itu terlihat berkarisma dan menarik penampilannya.

"Maaf Dato'.. dia pekerja baru kat sini.. pekerja am.. baru sebulan lebih dia kat sini.." Azian sebagai pekerja senior memberi penjelasan kepada Dato' Mustafa.

"Pekerja am? Hmm.. awak tak sepatutnya berada di sini.." Dato' Mustafa menatap tajam ke arah Harzan. Harzan menelan liur apabila mendengar ucapan lelaki yang berusia itu.

"To..tolong.. tolong jangan buang saya Dato'.. saya perlukan kerja ni.. saya ada keluarga untuk disara.." Harzan maju mendekatkan dirinya ke arah Dato' Mustafa. Namun lelaki tua itu dengan segera menolak Harzan.

"Dah.. semua orang sambung buat kerja masing-masing.." Dato' Mustafa Kamal menjeling ke seluruh ruangan pejabat. Dia ingin semua pekerja di sana berhenti dari terus melihat adegan yang sedang berlaku. Mendengarkan arahan dari Dato' Mustafa Kamal, semua pekerja kembali meneruskan pekerjaan mereka masing-masing dan mengabaikan apa yang sedang berlaku di antara Dato' Mustafa dan Harzan.

"Tolong Dato'.. saya memang salah.. tapi saya tak sengaja.. tolong maafkan saya.. jangan berhentikan saya dari sini Dato'.." Harzan terus merayu. Walaupun ini adalah kali pertama dia melihat Dato' Mustafa Kamal di pejabat itu dan tidak mengenali sosok lelaki tua tersebut, namun dari penampilannya, Harzan tahu lelaki itu pasti sangat berpengaruh. Mungkin saja dia adalah pemilik atau Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat itu.

"Dah..tak perlu minta maaf.. semuanya dah selesai.." Dato' Mustafa Kamal segera berjalan meninggalkan Harzan yang berdiri kaku ditempatnya. Seorang wanita yang berada di belakang Dato' Mustafa Kamal turut berjalan mengiringi lelaki tersebut.

"Zan.. kau tahu tak dia tu siapa? Dia la Dato' Mustafa Kamal.. C.E.O syarikat Daya Timur ni.. Kenapa la kau cuai sangat Zan.." Azian mendekati Harzan sambil memberi penerangan kepada lelaki tersebut. Azian sendiri kini mulai risau dengan nasib Harzan. Dia sangat mengenali Harzan sebagai seorang anak muda yang baik. Sungguh kasihan anak muda itu jika diberhentikan kerja. Malah Harzan juga baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Jika lelaki itu kehilangan pekerjaan, dampaknya pasti akan menjejaskan rumah tangga Harzan.

Sementara itu, apabila agak menjauh dari Harzan, Dato' Mustafa Kamal menghentikan langkah kakinya. Wanita yang membuntuti perjalanannya itu adalah pembantu peribadi kepada pemilik syarikat tersebut dan turut menghentikan langkah kakinya. Dato' Mustafa Kamal memalingkan mukanya dan melihat Harzan dari kejauhan.

"Hana.. awak tengok.. budak lelaki tu tak sepatutnya terus menjadi pekerja am kat pejabat ni.." Dato' Mustafa berbicara kepada pembantunya itu.

"Kalau macam tu, Dato' nak saya maklumkan pada HR untuk buang dia?"

"Apa yang awak cakapkan ni? Awak tak dengar ke apa yang dia cakap tadi, sebelum dia kotorkan baju saya ni?"

"Maksud Dato'?"

"Dia lelaki muda yang genius.. dia tak sepatutnya hanya menjadi pekerja am. Orang macam dia la yang patut menguruskan syarikat ni.. saya suka orang yang berfikiran macam dia. Dia bijak dalam memilih dan menguruskan projek, malah mampu mengawal dana syarikat. Dia berikan pendapat pula kerana memilih pendekatan yang lebih baik untuk syarikat." Dato' Mustafa Kamal tersenyum sambil memuji Harzan.

"Jadi, apa yang Dato' nak saya buat?"

"Hmm.. perhatikan dulu cara kerja dia.. nanti kita akan test dia perlahan-lahan." Dato' Mustafa Kamal mengukirkan senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience