MESYUARAT ahli lembaga pengarah baru selesai. Beberapa orang yang merupakan antara ahli lembaga pengarah, dengan pegangan nilai saham tertinggi syarikat Daya Timur mula beredar dan meninggalkan ruang mesyuarat. Dato' Mustafa Kamal pula masih kekal di tempat duduknya. Dia yang tadinya turut mempengerusikan mesyuarat tersebut terlihat termenung sambil kedua belah tangannya diletakkan di atas meja mesyuarat. Pada bahagian belakang disisi kirinya, pembantu peribadinya tetap setia menunggu dan menemani lelaki terbabit.
"So, macam mana dato'?" Wanita yang berperanan sebagai pembantu peribadi Dato' Mustafa Kamal bersuara.
"Hmm.. Ahli Lembaga Pengarah semua dah setuju. Jadi, awak hubungi pegawai HR.. Suruh dia jumpa saya secepat mungkin. Kita akan keluarkan surat pemberhentian kerja.." Dato' Mustafa Kamal memberikan arahan. Telapak tangannya ditepuk kuat ke permukaan meja mesyuarat."
"Baiklah Dato'.."
"Hmm.. jangan lupa, pesan jugak kat HR untuk pantau budak pekerja am tu. Kalau ada apa-apa yang tak kena, sila laporkan terus kepada saya."
"Baik Dato'."
Dato' Mustafa Kamal kemudian terus bangkit dari kerusi. Sebaik sahaja berdiri, lelaki itu langsung berjalan keluar dari bilik mesyuarat dan turut diikuti jejaknya oleh pembantunya yang setia itu.
RAFIQ yang berada di dalam biliknya terlihat sibuk dengan membelek-belek helaian kertas dari beberapa buah fail. Selepas seketika, lelaki itu dengan kuat menghentak meja dengan kedua belah tangannya. Rafiq kemudiannya mengangkat beberapa fail di hadapannya itu kemudian dengan kasar menghempaskan fail-fail tersebut ke atas meja. Belakang badannya dengan segera disandarkan pada kerusi, seraya menghembuskan sebuah nafas kasar yang berbaur keluhan.
Matanya menatap dengan tajam ke arah beberapa fail yang berselerak di atas meja kerjanya. Dengan dada yang turun naik dengan kencang, Rafiq menggerakkan tangan kirinya ke arah muka. Jari jemari kasarnya segera memicit dahi. Jelas kelihatan, Rafiq sedang tertekan dengan kerjanya. Beberapa saat kemudian, tangan kanannya pula digerakkan dengan pantas dan menolak timbunan fail di atas meja. Beberapa helaian kertas dari beberapa fail jatuh berselerak ke lantai akibat perbuatan lelaki tersebut. Seolah belum puas dengan keserabutan yang melanda fikirannya, Rafiq mendengus beberapa kali.
Lelaki yang sedang tertekan dengan tugasan kerja itu kemudian dikejutkan dengan bunyi ketukan pada pintu biliknya. Sekali lagi nafas kasar dilepaskan oleh Rafiq.
"Masuk.." Rafiq membenarkan orang yang mengetuk pintu biliknya untuk masuk menemuinya.
"Encik Rafiq, Dato' nak jumpa Encik Rafiq sekarang.. Dato' sedang menunggu di bilik dia." Fiza memunculkan diri setelah membuka pintu bilik Rafiq yang merupakan seorang pengurus.
"Orang tua tu nak apa lagi?" Saya ni dah la tengah serabut.." Rafiq menggerutu sambil menepuk kuat meja kerjanya.
"Entahlah.. saya pun tak tahu kenapa. Saya cuma diarahkan untuk sampaikan pesanan kepada Encik Rafiq je.." Fiza segera berundur dan menutup kembali pintu bilik Rafiq. Dia tidak ingin berlama-lama dengan Rafiq di saat itu memandangkan dia dapat melihat dengan jelas wajah Rafiq yang sedang tegang dan berserabut fikirannya. Arahan kepada dirinya untuk menyampaikan pesanan kepada Rafiq sudah terlaksana. Maka Fiza tidak ingin terus membuang masa bersama lelaki tersebut. Setelah menutup pintu bilik, Fiza bergegas meninggalkan kawasan tersebut dan menuju ke arah meja kerjanya.
"Ada apa pulak orang tua tu panggil aku.." Rafiq bangkit berdiri dari kerusi seraya menghentak kedua telapak tangannya ke atas meja. Sambil menggelengkan kepala, lelaki itu segera memulakan langkah kakinya untuk bergerak meninggalkan ruang biliknya untuk menemui Dato' Mustafa Kamal.
Setibanya Rafiq di bilik Dato' Mustafa Kamal yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, dia segera memasuki ruang bilik setelah mengetuk pintu. Rafiq cuba mengawal emosinya yang sedang berkecamuk dengan mempamerkan senyuman.
"Dato' ada nak jumpa saya? Ada apa saya boleh bantu?" Rafiq cuba bermanis mulut. Perlahan-lahan dia melangkah, mendekati Dato' Mustafa Kamal yang sedang duduk di mejanya. Dato' Mustafa Kamal pula membalas senyuman dari Rafiq.
"Rafiq.. duduk dulu.. saya ada benda nak bagitau awak." Dato' Mustafa Kamal mempelawa pengurus besar syarikat itu untuk duduk di kerusi di hadapannya. Rafiq tanpa berlengah, lantas menarik kerusi yang menghadap pemilik syarikat Daya Timur itu. Mata Rafiq sesekali melihat ke sekeliling bilik Dato' Mustafa Kamal. Bilik itu terlihat rapi dan bersih. Di belakang tempat duduk Dato' Mustafa Kamal, tersusun penuh pelbagai jenis buku di atas rak yang memenuhi ruang dinding. Di sudut menghadap pintu masuk bilik, terdapat pula set sofa dan sebuah meja kaca.
"Ada hal penting ke Dato' nak bagitau saya?" Rafiq mengulangi pertanyaannya.
"Hmm.. ya.. sangat penting." Dato' Mustafa Kamal menjawab dengan penuh ketegasan. Dia menatap tajam ke arah Rafiq yang sedang duduk menghadapnya itu. Lelaki itu kemudian melanjutkan kata-katanya.
"Tadi, semasa mesyuarat ahli lembaga pengarah, kami sudah berbincang dan mencapai kata sepakat untuk buat keputusan.. Sejak beberapa tahun kebelakangan ni, syarikat kita sering menghadapi masalah kewangan.. Setelah disiasat, maka kami dah jumpa puncanya.. Rupanya ada diantara kita yang menjadi pengkhianat. Kami dah ada bukti, penyelewengan dan pecah amanah telah berlaku.. Orang yang menggelapkan wang syarikat, tiada maaf untuk mereka.." Dato' Mustafa Kamal menyandarkan badannya ke kerusi.
"Pengkhianat? Jadi Dato' dah tahu siapa pengkhianat tu?" Rafiq seolah terkejut mendengar khabar tersebut.
"Ya.. Kami dah kenal pasti siapa pelakunya dan kami ada bukti."
"Siapa orangnya Dato?" Rafiq semakin ingin tahu.
"Hmm.. Pengurus syarikat di cawangan Perak.. Jalal.. Tadi saya dah arahkan HR untuk buang dia serta merta berserta dengan report polis sekali.." Dato' Musfata Kamal tersenyum sinis.
"Jalal?"
"Ya.. dan Kami juga tahu, dia ada rakan sekutu.."
"Rakan sekutu? Siapa pulak Dato'?"
"Hmm.. Tapi sekutu dia tu, kami belum berhentikan lagi.. kami cuma gantung dulu tugas dia dari syarikat ni." Dato' Mustafa terus tersenyum.
"Gantung tugas?" Rafiq semakin penasaran. Ketika itu juga tiba-tiba pintu bilik Dato' Mustafa Kamal diketuk beberapa kali.
"Dato', mereka dah sampai.." Hana yang merupakan Pembantu Peribadi kepada Dato' Mustafa Kamal menjengah kepalanya, menyampaikan khabar.
"Baiklah, suruh mereka masuk." Dato' Mustafa memberi satu arahan ringkas. Hana segera menganggukkan kepalanya dan menjemput dua orang lelaki yang berseragam masuk ke dalam bilik. Mereka adalah anggota polis yang sebelumnya telah dipanggil oleh Dato' Mustafa Kamal sendiri.
"Awak tak perlu berpura-pura lagi Rafiq.. saya dah tahu, awak ada menggelapkan wang syarikat. Tapi sebab awak dah lama bekerja dengan saya, jadi saya nak beri peluang kat awak.. saya takkan terus buang awak. Tapi awak digantung tugas dulu berkuat kuasa mulai sekarang. Penggantungan awak mungkin akan dibatalkan jika awak mampu buktikan yang diri awak tak bersalah." Dato' Mustafa Kamal mengeraskan suaranya. Rafiq mula menelan liur.
"Ta..tapi.. tapi.. saya tak salah Dato'.. mana ada saya songlap duit syarikat.. saya sumpah Dato'.." Rafiq cuba merayu. Lelaki itu dengan pantas bangkit berdiri dari kerusi yang menjadi tempat duduknya.
"Buktikan diri awak tak bersalah kat mahkamah.. Kalau betul awak tak salah, saya akan bayar pampasan lima bulan gaji kat awak."
"Mana boleh macam ni Dato'.. Saya tak bersalah.. Dato' tak boleh buat saya macam ni.." Rafiq mula meninggikan suara. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan pertuduhan yang dikenakan ke atas dirinya.
"Encik, tolong bawa dia pergi dari sini.." Dato' Mustafa Kamal mengarahkan dua anggota polis yang baru tiba di pejabatnya itu untuk menahan Rafiq dan membawa lelaki itu ke balai polis bagi urusan soal siasat. Tanpa berlengah, dua anggota polis terbabit segera menangkap Rafiq dan menggari kedua belah tangannya ke belakang. Lelaki yang berjawatan Pengurus Besar itu kemudian dibawa keluar dari pejabat sambil di saksikan oleh para pekerja yang lain.
Setelah Rafiq yang dibawa oleh dua orang anggota polis itu hilang dari pandangan mata, Dato' Mustafa segera memanggil pembantu peribadinya untuk mendekat.
"Hana, awak panggil budak pekerja am tu untuk masuk jumpa saya.." Dato' Mustafa Kamal tersenyum. Wanita yang bernama Hana itu tanpa membantah atau menyoal majikannya itu hanya mengangguk sebelum kembali keluar dari ruangan bilik pejabat Dato' Mustafa Kamal.
Seketika kemudian, Harzan pun memunculkan diri di ruangan bilik Dato' Mustafa Kamal bersama wanita yang bergelar Hana itu.
"Dato' nak jumpa saya? Saya betul-betul minta maaf pasal kejadian tadi. Saya memang tak sengaja Dato'.." Harzan memaparkan riak wajah yang risau. Lelaki itu benar-benar bimbang jika dirinya akan dibuang kerja kerana kejadian mengotori baju Dato' Mustafa Kamal pada pagi tadi.
"Duduk dulu.." Dato' Mustafa Kamal tersenyum sambil mempelawa Harzan duduk di kerusi yang bertentangan dengannya.
"Siapa nama awak?" Dato' Mustafa memulakan soalan pertamanya kepada Harzan.
"Nama saya.. Harzan.."
"Hmm..baiklah Harzan.. saya taknak bercakap panjang.. Tadi saya ada dengar ulasan awak pasal proposal untuk projek kat Tanjung Pinang tu.. Jadi, sebab tu masa mesyuarat tadi, saya minta projek tu untuk syarikat kita hold dulu.. saya perlukan proposal baru dengan idea lebih segar dan pulangan yang berbaloi.. saya nak awak berikan idea awak untuk projek tu." Dato' Mustafa Kamal memandang Harzan dengan wajah penuh pengharapan.
"Eh, kenapa pulak saya? Saya ni cuma pekerja am je Dato'."
"Jangan peduli soal jawatan awak sekarang.. saya nak awak sediakan proposal lengkap untuk projek kat Tanjung Pinang tu.. Kalau proposal awak bagus, saya akan lantik awak sebagai pengurus projek tersebut."
"Pengurus? Tapi.. saya.." Harzan seolah tidak percaya apa yang diucapkan oleh Dato' Mustafa Kamal kepadanya.
"Dah.. takde tapi tapi.. kalau proposal awak bagus dan memuaskan, saya akan lantik awak sebagai pengurus untuk projek tu secara kontrak. Gaji awak sekarang pun awak akan dapat, gaji sebagai pengurus projek tu pun saya akan bayar.. Hmm.. dan kalau awak berjaya uruskan projek tu dengan baik, saya akan serap awak sebagai pengurus tetap. Sampai bila awak nak jadi pembantu am je? Buktikan diri awak mampu buat lebih dari tu." Dato' Mustafa Kamal cuba menyemangati Harzan walaupun nada tutur katanya berbaur cabaran.
Harzan terdiam. Kedua tangannya dikepal dengan kemas. Lelaki muda itu kemudian menarik nafas yang dalam. Dato' Mustafa Kamal terus tersenyum apabila melihat reaksi Harzan. Dia tahu anak muda itu akan menyahut cabarannya. Pemilik syarikat itu juga tidak ingin Harzan terus menghabiskan masanya hanya menjadi seorang pekerja am. Anak muda yang bijak itu harus diberi peluang untuk terus memajukan dirinya.
"Tapi.. saya ni budak kampung je Dato'.. pelajaran pun tak tinggi.. saya takut, saya tak mampu nak buat tu semua." Harzan masih kurang keyakinan diri.
"Harzan.. saya taknak pandang latar belakang keluarga awak, latar pendidikan awak.. saya hanya nak orang yang berkebolehan.. yang ada kemampuan untuk laksanakan tanggung jawabnya terhadap kerja yang diamanahkan. Kalau nak ikutkan tahap pendidikan dan asal-usul, macam mana la seseorang tu nak maju? Ya, saya akui..orang yang belajar tinggi tu semuanya bijak.. tapi tak semua yang tak berpendidikan tinggi tu tak bijak.. ilmu tu kita boleh belajar secara formal atau tak formal.. tak semestinya kalau tak masuk universiti, orang tu tak boleh belajar ilmu baru kan? Zaman sekarang ni, buku-buku dan segala macam bahan bacaan mudah je nak dapat.. kat hujung jari je.. search je kat internet tu, semua benda pun ada.. Kalau nak kata awak orang kampung, saya pun dulunya asal dari kampung jugak.. asal usul kita dari mana tak penting.. yang penting semangat.. keinginan untuk berjaya dan berusaha.. Sekarang ni, saya rasa saya dah yakin dengan kemampuan awak. Cuma awak je masih ragu-ragu dengan diri sendiri." Panjang lebar Dato' Mustafa Kamal memberi syarahannya. Harzan hanya diam, tekun mendengar kata-kata lelaki yang separuh umur itu.
"Nantilah saya fikirkan tawaran tu.. saya sebenarnya tak tahu cara nak buat proposal tu." Harzan tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Apa pulak tak tahu.. kan awak dah baca proposal projek tu sebelum ni.. buat macam tu je la.. cuma olah ikut idea awak sendiri.. sebab projek ni dah kesuntukan masa, saya beri awak tempoh seminggu untuk siapkan proposal tu."
"Hah? Seminggu je?" Harzan terperanjat dengan masa yang diberikan oleh Dato' Mustafa Kamal kepadanya.
"Ya..minggu depan mesyuarat ahli lembaga pengarah akan dibuat sekali lagi untuk bincangkan pasal projek ni. Harap awak dapat sediakan dalam masa yang diberikan."
"Hmm.." Harzan terbungkam sambil menatap lantai. Dia masih ragu-ragu untuk menerima tawaran dari Dato' Mustafa Kamal. Jika dia bersedia untuk menerima, maka inilah peluang untuk dia mengubah kerjaya masa depannya ke arah yang lebih baik. Tapi tanggung jawab yang akan dipikulnya nanti, Harzan tidak pasti dirinya mampu menggalas beban yang akan diletakkan dipundaknya. Namun jika dia menolak, maka kehidupannya takkan pernah berubah. Harzan semakin bingung untuk terus berfikir.
Share this novel