Bab 24

Romance Series 41999

MATAHARI sudah pun beradu. Laungan azan maghrib yang bergema juga sudah berlalu. Alam menjadi sunyi seolah sedang bertafakur kepada Tuhannya. Para manusia yang taat juga tidak lupa mengingati Sang Pencipta. Harzan adalah salah seorang daripada mereka. Pada hari itu, dia tidak ke masjid seperti biasa. Harzan menunaikan solatnya di rumah. Selesai melaksanakan tuntutan yang wajib ke atasnya, Harzan menyambung lagi dengan zikir dan kemudiannya mengalunkan ayat-ayat suci al-quran.

Selesai mengaji kitab suci, Harzan bagkit dari bentangan sejadah dan menuju ke dapur untuk mendapatkan minuman. Dia kini menanti untuk mendengarkan suara bilal melaungkan azan isyak. Selesai minum segelas air kosong, Harzan dikejutkan dengan Ayra yang baru keluar dari biliknya. Wanita itu sudah berpakain kemas dan rapi. Sepertinya dia sudah bersedia untuk keluar dan menemui seseorang. Dari dapur, Harzan segera menuju ke arah Ayra.

"Awak nak kemana ni?" Harzan bertanya.

"Oh, saya nak keluar sekejap.. lupa nak bagitau awak tadi." Ayra segera menjawab. Wanita itu hanya memandang ke arah Harzan cuma sesaat. Dia kemudian mengalihkan pandangannya kepada skrin telefon bimbit pada tangannya. Jari-jemari Ayra dengan pantas menekan-nekan layar, sepertinya sibuk membalas mesej kepada seseorang.

"Awak nak keluar dengan siapa?" Harzan meneruskan soalan selanjutnya.

"Hmm.. dengan Fiza la.." Ayra menjawab tanpa melihat ke arah suaminya.

"Nak ke mana? semalam dah jumpa Fiza.. hari ni jumpa lagi?"

"Mana la saya tahu nanti Fiza nak ajak pergi mana.. mungkin pergi tengok wayang ke.. main boling ke.. karaoke ke.. awak jangan banyak tanya boleh tak?" Ayra bersungut. Dia mula rimas dengan pertanyaan Harzan. Ayra tidak suka jika Harzan ingin mengongkong dan terlalu banyak ambil tahu mengenai urusan peribadinya.

"Saya nak tahu je.. nanti kalau jadi apa-apa, senang saya nak cari.. lagipun awak, kalau dah keluar rumah, selalu off telefon.. awak kena la hati-hati sikit.. awak sekarang tu dah berbadan dua." Harzan sekadar memberi nasihat. Dia tidak berhajat untuk menghalang atau mengongkong hidup Ayra. Walau pun dia mempunyai hak untuk berbuat begitu sebagai seorang suami, namun Harzan tidak ingin mengeruhkan hubungan mereka. Dia tahu Ayra pasti tidak suka jika dia terlalu menyekat kebebasan isterinya itu. Apa yang paling penting bagi Harzan adalah untuk merapatkan lagi hubungannya dengan Ayra. Dia percaya, nanti suatu masa, Ayra pasti akan menerima sepenuh hati dirinya sebagai seorang suami.

"Awak tak payah risau.. tahu la saya jaga diri sendiri.. Haa, nanti saya makan kat luar je.. awak pandai la cari makan sendiri malam ni."

"Ye lah.. jangan pulang lewat.."

"Saya pergi dulu.." Ayra kemudian segera membuka langkah menuju ke arah pintu. Harzan hanya berdiri sambil melihat pemergian isterinya itu. Satu keluhan kecil terhembus dari mulut Harzan.

Tidak lama kemudian, lantunan azan Isyak berkumandang. Selesai menjawab azan, Harzan segera kembali ke biliknya dan berdiri di tikar sejadah. Segala urusan duniawi disingkirkan dari benak. Harzan berusaha untuk mendapatkan khusyuk di dalam solatnya. Fokus dalam menyembahkan diri kepada Tuhan semesta alam. Selesai solat, lelaki itu menghempaskan tubuhnya ke katil yang beralaskan tilam empuk. Dia sudah tidak berdaya untuk menahan diri. Seharian dia merasa tidak enak badan, seakan demam. Itulah sebabnya dia tidak ke masjid.

Terbaring di atas tilam, Harzan memejamkan matanya yang memberat sejak tadi. Tanpa disedari, lelaki itu akhirnya terlelap. Harzan tertidur tanpa makan malam. Seleranya sudah mati sama sekali.

Manakala pada waktu yang sama, Ayra melangkah masuk ke sebuah restoran. Matanya beralih dari satu meja ke satu meja yang lain. Dia sedang mencari seseorang. Apabila dia menemukan orang yang dicarinya, dia segera mendekat. Ayra segera duduk di meja makan, bersama seseorang yang sudah pun menantinya di situ sejak dari tadi.

"Maaf terlambat.." Ayra tersenyum kelat.

"Tak apa.. i pun baru je sampai.." Rafiq membalas senyuman sambil menatap Ayra yang sedang duduk di hadapannya. Ayra hanya terdiam sambil menjatuhkan pandangan matanya.

"You betul-betul cantik hari ni.." Rafiq memuji. Lelaki berhidung belang itu tahu bagaimana caranya untuk melembutkan hati wanita. Ayra tidak terkecuali. Bahkan wanita itu pernah menjadi kekasihnya sebelum mereka berpisah beberapa bulan yang lalu. Rafiq yakin, Ayra akan kembali tunduk kepadanya. Mendengarkan pujian dari bekas kekasihnya, Ayra segera mengangkat muka.

JAM satu pagi, Harzan tersedar dari tidurnya. Wajahnya berkeringat. Lelaki itu bangkit dari pembaringan. Bajunya turut sedikit basah akibat bermandi peluh. Harzan dengan segera melepaskan baju yang dipakai pada badannya. Perutnya pedih berkeroncong. Harzan mula teringat, kali terakhir dia makan adalah pada tengah hari semalam. Wajar saja perutnya kini kelaparan. Tanpa membuang masa, Harzan turun dari katilnya dan ingin keluar dari bilik untuk menuju ke dapur.

Setelah  keluar dari bilik, Harzan merasa sedikit pelik kerana mendapati lampu di ruang tamu masih terang menyala. Tiba di dapur, Harzan melihat jam yang sudah menunjukkan pukul satu. Lelaki itu segera mengambil bungkusan roti dan mengisi perutnya. Dia turut mengambil panadol dan berharap demamnya akan hilang sepenuhnya nanti. Selepas subuh nanti, dia sudah perlu pergi ke pejabat untuk bekerja selepas dua hari bercuti.

Selesai mengambil ubat, Harzan menuju ke arah ruang tamu yang masih bercahaya. Dia hairan, kenapa Ayra tidak mematikan lampu di ruang tamu seperti kebiasaannya. Lelaki itu turut tertanya-tanya, apakah isterinya itu masih belum pulang ke rumah pada jam sebegitu. Padahal pagi esok mereka masing-masing sudah perlu bekerja. Sampai di ruang tamu, Harzan menggelengkan kepalanya apabila melihat Ayra tertidur di sofa. Dia segera mendekat. Wajah Ayra ditatapnya dengan penuh kasih sayang. Harzan cuba untuk membangunkan isterinya itu, namun dia kemudian membatalkan niatnya. Dia tidak ingin mengganggu tidur Ayra.

Ayra yang tertidur dalam keadaan duduk dan menyandarkan belakang badannya terlihat agak tidak nyaman. Harzan dengan perlahan-lahan memegang dan membaringkan tubuh Ayra di sofa. Tubuh wanita itu diterlentangkan dan kakinya pula di angkat oleh Harzan agar Ayra lurus terbaring. Harzan melakukannya dengan cermat dan perlahan agar tidak membangunkan isterinya itu.

Tatkala memandang wajah Ayra yang sedang lena diulit mimpi, perasaan cinta Harzan semakin membuak. Kecantikan isterinya itu benar-benar menggoda mata dan jiwa Harzan. Di sebabkan tidak mampu menahan diri, Harzan mengucup lembut dahi isterinya itu. Di lubuk hati, Harzan berdoa agar Ayra dilembutkan hatinya dan akan menerima suaminya dengan ikhlas suatu hari nanti.

Ayra kemudian mencelikkan matanya perlahan-lahan. Harzan tiba-tiba menjadi gelabah. Dia khawatir, ciumannya tadi sudah mengejutkan Ayra daripada tidur. Menyedari Harzan berada rapat di depannya, Ayra yang terkejut segera bangkit.

"Awak buat apa?" Ayra segera bertanya. Dia agak terkejut dengan kehadiran Harzan yang tidak berbaju dan duduk agak rapat dengannya.

"tak..takde.. saya takde buat apa-apa.." Harzan menjawab dengan kelam-kabut.

"Hmm.. kenapa awak tak tidur lagi?" Ayra bertanya lagi.

"Dah.. saya dah tidur tadi.. terjaga kejap.. saya tengok lampu masih terpasang.. tu saya datang tengok. rupanya awak dah tertidur kat sini.." Harzan segera menjawab.

"Dah la.. pergi la sambung tidur.. saya pun nak masuk tidur dalam bilik dah." Ayra menggeliat. Dia kemudian cuba untuk bangkit berdiri. Untuk menstabilkan dirinya, Ayra terpaut tangannya ke bahu Harzan. Wanita itu tiba-tiba terkejut.

"Eh, panasnya badan awak.. awak demam?" Ayra secara spontan meletakkan tangannya ke leher Harzan sebelum mengalihkan pula tangannya itu ke dahi si suami.

"Takde apalah.. pergilah masuk tidur.." Harzan mengalihkan tangan Ayra daripada menyentuh.

"Jangan duk biarkan.. makanlah ubat."

"Dah makan dah.. baru je makan. pergilah masuk tidur.. saya pun nak tidur semula dah ni.." Harzan berpaling tubuh. Dia segera menuju ke arah suis lampu dan memetik suis tersebut untuk mematikan lampu diruang tamu. Suasana di dalam rumah mula berbalam. Hanya berbekalkan cahaya daripada lampu dari ruang dapur yang akan sentiasa terpasang, Harzan mula berjalan menuju ke bilik tidur. Ayra juga turut sama menuju ke bilik tidurnya. Walaupun sudah beberapa bulan bersama, mereka masih tidur di bilik yang berasingan.

Masuk ke bilik, Harzan langsung merebahkan tubuhnya di atas katil. Hanya dalam beberapa minit sahaja, dia mula terlena. Setengah jam kemudian, pintu bilik Harzan dibuka. Ayra melangkah masuk perlahan-lahan. Dia menatap wajah Harzan yang sudah tidak sedarkan diri. Perasaan sayu dan kasihan mula tertanam di hati Ayra. Wanita itu keluar dari bilik seketika dan kemudiannya kembali semula sambil membawakan bekas yang berisi air bersama sehelai tuala kecil. Ayra membasahkan tuala yang dibawanya sebelum kain tersebut diperah. Kain itu kemudian diletakkan di kepala Harzan.

"Cinta itu sudah ada Ayra.. kau saja yang masih ingin menafikan. Padahal jelas Harzan sangat cintakan kau. Kau sendiri pun dah cintakan dia. tapi kerana ego, kau nak nafikan perasaan kau sendiri.." Kata-kata Fiza kepada Ayra kembali menerjah minda. Ayra termenung mengingatkan ucapan sahabatnya itu. Wajah Harzan ditatap. Hati Ayra mula terusik. Ayra tahu ada sesuatu sedang bermain di sanubarinya. Namun dia tidak tahu, apakah yang sedang mengetuk-ngetuk hatinya di saat itu.

"Apakah ini benar-benar cinta? Betul ke aku dah cintakan dia?" Ayra bermonolog di dalam hatinya. Wajah Harzan terus ditatapnya. Ayra hanyut di dalam lamunannya sendiri. Sehingga dia tidak sedar,akhirnya dia terlena disamping Harzan. Tanpa dirancang, mereka akhirnya tidur bersama. Terbaring di katil yang sama, tanpa berbuat apa-apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience