Bab 41

Romance Series 41999

BULAN yang bersinar menerangi alam malam. Lampu neon yang menyala menambahkan lagi cahaya dan menyerikan suasana. Malam itu, Harzan keluar bersama Ayra. Mereka berdua ingin mengambil angin malam sambil mencari makan bersama. Sebuah warung di pinggir jalan menjadi pilihan Harzan. Ayra pula hanya menurut keinginan suaminya. Malam itu, nasi lemak menjadi pilihan mereka sebagai jamuan hidangan. Sambil makan, pasangan suami isteri itu mengambil kesempatan untuk berbual-bual.

"Sedap betul nasi lemak kat sini.. warung tepi jalan, tapi lagi sedap daripada restoran." Ayra memuji sajian makan malam mereka.

"Itulah.. makanan kat warung tepi jalan ni, banyak je yang sedap dan murah berbanding kat restoran besar.." Harzan turut bersetuju dengan pandangan isterinya. Sedetik kemudian, dia melanjutkan kata.

"Lagipun, kat warung macam ni je la kita mampu makan." Harzan menghamburkan tawa. Nasi yang berada di dalam mulutnya hampir tersembur keluar. Lelaki itu segera menekup mulutnya.

"Ish, abang ni.. nak bercakap pun, kunyah, telan la dulu nasi dalam mulut tu sampai habis."

"Sorry.." Harzan kemudian meneguk teh o ais setelah menelan semua nasi di dalam mulutnya.

"Hmm.. kata Fiza, abang dah berhenti kerja.." Ayra ingin mendapatkan kepastian daripada suaminya. Harzan lantas mendiamkan diri. Matanya menjadi redup dan menatap nasi yang masih tersisa di dalam pinggan. Lelaki itu kemudian mengangguk perlahan.

"Sayang minta maaf.. sebab kejadian tempoh hari, abang sampai terpaksa berhenti kerja." Ayra meluahkan rasa kesal yang bermain di hatinya.

"Eh, ini bukan pasal sayang.. abang yang memang nak berhenti..takde kaitan pasal kejadian tempoh hari.."

"Dah tu, kenapa berhenti? Padahal abang dah jadi pengurus projek pun.." Ayra menjadi ingin tahu. Gelas yang berisi air teh o ais di atas meja dicapai dan perlahan-lahan wanita itu meneguk air minumannya.

"Dah cukup rasanya abang kerja kat sana.." Harzan memberikan jawapan.

"Jadi, lepas ni abang nak buat apa pula? Padahal dah elok jadi pengurus kat sana.. nanti abang nak cari kerja kat mana lagi? Dengan kelayakan SPM, bukan senang nak dapat kerja kat kota. Kerja kilang boleh la.." Ayra menggelengkan kepala. Dia benar-benar tidak faham pemikiran suaminya itu. Padahal Harzan sudah mampu bersenang lenang dengan pekerjaannya yang terdahulu. Suaminya itu sudah pun dilantik sebagai pengurus. Walaupun jawatan itu masih dalam status kontrak, namun tidak mustahil jawatan kepada suaminya itu akan diserap ke jawatan tetap. Baginya, Harzan suka menolak tuah.

"Kalau abang tak kerja pun, sayang kan ada.." Harzan melepaskan ketawa.

"Hmm.. ye la tu.."

"Takde la.. takkan la abang nak jadi biawak hidup pulak.."

"Sayang tahu, abang bukan orang yang macam tu.." Ayra membalas sambil tersenyum. Dia tahu suaminya itu bukanlah seorang lelaki yang suka bersenang lenang. Daripada kisah hidup Harzan yang dia tahu melalui mentua dan adik iparnya, Ayra dapat fahami jika suaminya itu adalah seorang yang sentiasa berusaha dan bekerja keras. Dia yakin Harzan pasti akan mendapatkan kerja baru dalam masa yang terdekat.

"Abang sebenarnya..." Harzan sepertinya sedang memikirkan sesuatu.

"Dah la.. jom bayar dulu.. kita pergi tempat lain pula.." Ayra memotong percakapan Harzan yang belum selesai. Wanita itu segera bangkit berdiri dan membuat bayaran kepada peniaga warung. Harzan pula terkebil-kebil melihat gelagat isterinya itu. Lelaki itu kemudian turut berdiri sambil menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Harzan merasa agak kekok apabila membiarkan isterinya yang melunaskan bayaran bagi makanan mereka ketika itu. Namun dia sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana tindakan pantas Ayra yang terlebih dahulu membuat bayaran.

Selesai membuat bayaran, mereka berdua berjalan beriringan untuk menuju ke arah kereta. Sambil berjalan, Ayra kembali membuka perbualan di antara mereka.

"Haa.. tadi abang nak cakap apa?"

"tadi..? oh.. sebenarnya.. abang nak bagitahu.. abang nak berterus terang.. abang sebenarnya.."

"Ayra.." Tiba-tiba Rafiq muncul dan menahan Ayra sebelum Harzan selesai menghabiskan kata-katanya. Ayra dan Harzan langsung terkejut dengan kehadiran lelaki tersebut. Hati Harzan secara tiba-tiba membara.

"Rafiq, you nak apa lagi? Jangan ganggu hidup i lagi!" Ayra membentak.

"I nak minta maaf Ayra.. I nak you kembali.." Rafiq memujuk rayu Ayra tanpa mempedulikan kehadiran Harzan di samping wanita tersebut.

"You gila ke? Jangan cari pasal dengan i lagi.. i dah ada suami.. ini suami i.." Ayra segera memberi peringatan.

"I tahu you tak cintakan dia.. you tak bahagia dengan dia.. kan?" Rafiq cuba membuat andaian. Dengan pantas, satu tumbukan dari Harzan mengenai muka Rafiq. Lelaki itu segera terundur kebelakang beberapa langkah setelah menerima serangan. Harzan cuba menerpa ke arah Rafiq untuk melanjutkan serangan, namun Ayra pula dengan pantas menghalang.

"Abang.. jangan.." Ayra menarik lengan suaminya agar tidak terus menyerang mantan kekasihnya itu. Wanita itu kemudian melanjutkan kata-katanya kepada Harzan.

"Cukup.. jangan buat masalah kat sini.. tak guna kita buang masa dengan dia." Setelah menarik Harzan rapat ke pangkuannya, Ayra menjeling tajam ke arah Rafiq.

"I bahagia dengan suami I.. I cintakan dia.. you pula jangan lagi muncul depan mata i.. Jangan sesekali kacau hidup i lagi.. ini amaran penghabisan i bagi.." Ayra melontarkan nada ancaman terhadap Rafiq. Dia sama sekali tidak ingin lelaki itu mengganggu hidupnya lagi. Apatah lagi sekarang dia sudah mulai bahagia bersama suaminya. Ayra tidak mahu jika kehadiran Rafiq akan terus membuatkan Harzan sakit hati. Wanita itu berazam untuk menjaga hati dan perasaan suaminya.

Ayra kemudian menarik lengan Harzan dan membuka langkah kakinya. Harzan tanpa membantah, hanya menurut Ayra yang sedang menuntun tangannya. Mereka menuju ke arah kereta dan dengan segera masuk ke dalam kenderaan tersebut. Rafiq pula masih berdiri diam ditempatnya. Matanya menyorot ke arah Ayra dan Harzan yang sudah berada di dalam kereta myvi kuning milik Ayra. Hari ini maruahnya sekali lagi tercalar. Hatinya panas membara. Satu dendam kesumat mula tersemat di dalam hati lelaki tersebut. Rafiq kemudian meludahkan air liurnya ke tanah. Lelaki itu segera berpaling punggung dan berjalan meninggalkan kawasan tersebut.

Di dalam kereta, Harzan dan Ayra masing-masing mendiamkan diri. Harzan hanya merenung Rafiq yang berjalan menjauhi tempat mereka berkelahi sebentar tadi. Lelaki itu kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Ayra yang berada di sebelahnya.

"Kenapa nak halang abang? bagi je la abang ajar jantan tu cukup-cukup.." Harzan meluahkan rasa tidak puas hatinya.

"Abang... tak guna duk bertumbuk tepi jalan macam tu.. kalau abang sakit siapa yang susah? sayang jugak.. lebih teruk lgi, kalau jadi kes polis.. tak pasal-pasal sampai ke balai nanti.. kalau abang kena tahan polis macam mana?" Ayra memberi penjelasan. Harzan menghela nafas panjang. Kata-kata isterinya itu ada benarnya. Dia sudah tidak mampu membantah.

"Abang.. jangan fikirkan pasal Rafiq tu lagi.. sayang taknak hubungan kita jadi bermasalah macam dulu sebab salah faham pasal dia je.. sayang janji, takkan pernah berhubungan, tak kan jumpa pun dia lagi.. sampai mati pun, hanya abang seorang je ada dalam hati sayang." Ayra menyatakan ikrar janjinya. Harzan mula tersenyum kecil mendengarkan kata-kata isterinya. Lelaki itu tanpa berlengah, terus menghidupkan enjin kereta dan menggerakkan kereta tersebut, meluncur laju di jalan raya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience