Bab 31

Romance Series 41999

HARZAN termenung memikirkan keadaan rumahtangganya. Walaupun dilanda kecewa, namun kata-kata Fiza sedikit sebanyak telah mengusik perasaan lelakinya. Dia masih ragu-ragu jika Ayra benar-benar telah menerima dirinya. Namun apabila teringatkan Ayra yang sedang bersedih dan tidak mempedulikan soal makan minum, Harzan mulai gelisah. Dia tidak sanggup membiarkan Ayra sedemikian rupa. Rasa bersalah turut mengetuk pintu hati Harzan dan dia khawatir jika Ayra akan jatuh sakit kerana mengenangkan dirinya.

Harzan melepaskan keluhan bersama nafasnya. Dia ingin membuat keputusan dengan segera. Lelaki itu mula menanam tekad. Hari ini dia akan pulang ke rumah untuk menemui Ayra. Harzan ingin menghapuskan segala duka di hati isterinya. Tangannya digenggam kemas seraya bibirnya menguntumkan senyuman. Dia ingin menjalani kehidupan berkeluarga yang bahagia. Harzan mengalihkan pandangan matanya ke arah jam ditangan kiri.

'Hmm, sudah sampai masanya..' Harzan segera bangkit dari kerusi. Waktu bekerja sudah tamat. Dia akan pulang ke rumah dengan segera.

Di rumah, Ayra berjalan dengan lemah menuju ke arah pintu. Fikirannya masih berserabut. Kini dia terganggu pula dengan bunyi bising di halaman rumahnya. Ayra segera membuka pintu. Alangkah terkejutnya Ayra apabila mendapati kereta dan halam rumahnya telah di simbah dengan cat berwarna merah. Wanita itu segera berlari menuju ke arah kereta Myvi kuning miliknya. Ayra mula ketakutan. Dia yakin itu pasti perbuatan ceti haram yang sedang mengincarkan dirinya.

Ayra kemudiannya teringat, tempoh dua hari yang diberikan kepadanya sudah cukup. Para samseng tersebut pasti kembali mencarinya. Fikiran Ayra bertambah kusut. Dia kemudian segera menelefon Rafiq. Wanita itu ingin menuntut janji Rafiq yang sudah berkata akan bersedia melangsaikan hutangnya. Berkali-kali panggilan telefon dibuat, namun tiada satu pun yang terjawab.

"Mana kau Rafiq.. kau dah janji untuk bayarkan hutang kau tu semua.." Ayra gelisah. Walaupun dia yakin Rafiq tidak akan mampu mencari wang puluhan ribu itu dalam masa dua hari, namun Ayra tetap ingin menuntut janji. Malahan hutang itu semua sememangnya dibuat oleh Rafiq sendiri. Ayra sama sekali tidak ingin terlibat apatah lagi dilibatkan secara terpaksa.

"Haa.. ada kat rumah pun kau rupanya.." Tiba-tiba beberapa orang lelaki muncul di hadapan rumah Ayra.  Mereka adalah samseng sama yang telah mendatangi Ayra dipejabatnya.

"Korang buat apa kat sini?" Ayra semakin cemas.

"Aikk.. buat-buat tak tahu pula.. kan aku dah bagi kau masa.. sekarang aku nak tuntut balik wang aku tu.. aku tak kira, apa pun caranya.. hari ni kau kena bayar balik duit tu.." Ketua samseng itu berkata.

"Masalahnya, bukan aku yang pinjam duit kau.. kenapa aku pula yang nak kena bayar.." Ayra berkeras. Lagi pula, dia memang tidak mempunyai jumlah wang yang diminta oleh mereka.

"Berapa kali aku nak bagitau? kau tahu tak, aku paling benci nak ulang benda sama yang aku dah cakap.." samseng itu menjawab.

"Rafiq yang pinjam duit kau.. dia yang gunakan duit tu.. kenapa aku pula nak kena tanggung hutang dia? aku dan dia takde apa-apa hubungan pun.."

"Jadi.. kau pilih untuk taknak bayar la ye?" Samseng itu berjalan mendekati Ayra sambil tersenyum. Tangan lelaki itu kemudian dengan pantas mencekik leher Ayra.

"Kalau kau tak nak bayar... aku cincang kau hidup-hidup hari ni.." Samseng itu mula mengancam Ayra dengan ugutan. Leher wanita yang itu dicekiknya dengan semakin kejap. Ayra mula sesak nafas. Wanita itu meronta-ronta agar lehernya dilepaskan.

"Lepaskan aku!" Ayra dengan spontan telah mencakar muka lelaki yang mencekiknya. Pegangan tangan samseng itu dilepaskan.

"Tak guna punya betina!" Satu tamparan keras mengenai pipi Ayra. Wanita itu hampir rebah setelah menerima pukulan. Kepalanya terasa seakan berpusing-pusing. Tangan kanannya pula segera memegang pipinya yang pedih setelah menerima tamparan. Kulit putih gadis itu segera bertukar kemerahan akibat tamparan tersebut.

"Sayang juga kalau aku bunuh kau terus.. rupa lawa.. body pun mantap.. apa kata kau layan aku dulu.. kalau kau berjaya buatkan aku puas, hari ni aku lepaskan kau.." Lelaki itu cuba membuat tawaran. Nafsu buasnya tiba-tiba melonjak apabila melihat Ayra dari dekat.

"Ayra!" Fiza pula muncul secara mengejut. Wanita itu segera berlari mendapatkan Ayra.

"Kau tak apa-apa Ayra?" Fiza memegang bahu Ayra sambil melihat pipi Ayra yang sudah kemerahan. Kemarahan mula menguasai diri Fiza.

"Korang ni siapa? korang nak apa hah? baik korang berambus sekarang, sebelum aku report polis." Fiza cuba mengancam.

"Polis? hahaha.. hei perempuan.. kau jangan nak masuk campur. kau tu siapa? ke kau nak layan aku juga hari ni? Aku tak kisah kalau korang berdua nak layan aku sama-sama." Lelaki itu tertawa. Teman-teman segerombolannya turut ikut ketawa.

"Kurang ajar!" Fiza melayangkan tanganya untuk menampar muka lelaki tersebut. Namun hayunan tangannya yang lemah dengan mudah dapat di tangkap oleh samseng itu. Lelaki itu kemudian menarik tangan Fiza dengan kasar dan mencampak wanita itu ke tepi. Fiza yang lemah dengan mudah dihumban sehingga rebah ke lantai.

"Tak guna!" Ayra pula cuba melayangkan tamparan. Namun hasilnya tetap sama. Dengan mudah lelaki samseng itu menepis tangan Ayra dan dengan pantas mencengkam dagu wanita tersebut.

"Hari ni aku nak kau layan aku sampai puas.." Samseng tersebut cuba mendekatkan wajahnya ke muka Ayra untuk mencium wanita tersebut.

"Berhenti!" Satu suara jeritan kedengaran. Lelaki yang cuba mencabul kehormatan Ayra menghentikan tindakannya. Semua yang berada di situ mengalihkan pandangan mereka kepada Harzan yang baru tiba. Harzan segera mendekati lelaki yang sedang mencengkam dagu isterinya itu.

"Lepaskan isteri aku.." Harzan menarik dengan kasar tangan lelaki yang sedang menyentuh isterinya itu. Cengkaman lelaki tersebut terhadap Ayra segera dilepaskan.

"Harzan.." Ayra menatap suaminya dengan penuh gembira. Matanya mula berkaca kerana digenangi air jernih sambil bibirnya mengukir senyuman. Dia bahagia apabila dapat melihat suaminya itu selepas dua hari.

"Siapa kau? apa yang kau nak dari isteri aku?" Harzan bertanya dengan tegas kepada lelaki samseng di hadapannya.

"Oh, jadi kau suami dia ya.. macam mana servis bini kau tu? padu tak? boleh aku nak rasa sekejap?" Lelaki itu tertawa.

"Tak guna!" Harzan melepaskan satu tendangan ke arah perut samseng tersebut. Lawannya itu segera tercampak ke belakang. Teman-temannya mula bergerak menuju ke arah Harzan untuk mengajar lelaki tersebut.

"Nanti! jangan usik dia.. ini urusan aku dengan dia." Lelaki yang ditendang Harzan memberikan arahan sambil mengerang menahan kesakitan. Teman-temannya segera berhenti. Lelaki yang rebah itu perlahan-lahan ingin bangkit berdiri semula. Harzan pula segera mengambil peluang memandang ke arah Ayra.

"Ayra, awak tak apa-apa?" Harzan risau dengan keadaan isterinya itu. Ayra hanya membalas pertanyaan Harzan dengan seulas senyuman dan anggukan kepala. Fiza yang tadinya rebah, kini sudah berdiri semula. Matanya tertancap kepada pasangan suami isteri tersebut. Harzan kemudian beralih semula pandangannya ke arah gerombolan samseng di depannya.

"Korang siapa sebenarnya? apa yang korang nak?" Harzan mengulangi pertanyaan yang belum terjawab dari tadi.

"Apa yang kami nak? Aku datang nak ambil balik duit aku! bini kau ada hutang 40 ribu dengan aku!" Lelaki samseng itu menjawab dengan suara yang tinggi. Harzan segera berpaling ke arah Ayra semula.

"Betul ke apa yang dia cakap?" Harzan bertanya kepada Ayra. Isterinya itu tidak menjawab malah hanya menjatuhkan pandangan wajahnya ke lantai.

"Baiklah.." Harzan berpaling semula ke arah lelaki samseng di depannya. Dia berjalan menghampiri mereka perlahan-lahan. Tiba-tiba telefon bimbit di tangan Ayra berdering. Ayra segera menjawab panggilan yang diterimanya.

"Rafiq, you kat mana? bukan ke you janji nak bayarkan hutang tu hari ni? dari tadi i call you, kenapa you tak jawab.." Ayra bercakap dengan Rafiq melalui panggilan telefon. Mendengarkan Ayra menyebut nama Rafiq, Harzan berhenti melangkah. Dia berdiri kaku untuk mendengarkan perbualan isterinya itu. Fiza pula menjadi cemas melihatkan situasi tersebut.

'Ayra.. kenapa kau bodoh bercakap dengan Rafiq di depan suami kau..' Fiza menggumam rasa geram kepada Ayra di dalam hatinya.

"Rafiq, you jangan buat i macam ni.. habis tu, macam mana i nak selesaikan? Rafiq.. hello..hello.. Rafiq.." Ayra berulang kali memamnggil nama Rafiq. Sepertinya lelaki itu sudah pun memutuskan panggilannya bersama Ayra. Fiza segera berlari mendapatkan Ayra. Tangannya mencengkam erat tangan Ayra sambil menunjukkan riak wajah yang marah kepada wanita tersebut. Namun Ayra pula kebingungan dengan tingkah laku Fiza terhadapnya. Fiza kemudian mengalihkan pandangannya kepada Harzan. Dia dan Ayra hanya melihat Harzan dari pandangan belakang lelaki itu. Harzan yang sedang menghadap para samseng di depannya masih terdiam kaku.

Sejenak kemudian, Harzan mengeluarkan satu sampul surat dari saku seluarnya. Itu adalah sampul surat yang dia terima daripada Hani, pembantu Dato' Mustafa Kamal. Harzan menghulurkan sampul surat tersebut kepada lelaki samseng di depannya itu.

"Ini duit kau, 40 ribu.. mulai sekarang, kau jangan ganggu lagi isteri aku." Suara Harzan kedengaran mendatar namun tegas. Setelah menerima sampul surat dari Harzan, lelaki terbabit segera melihat isi di dalam sampul tersebut. Sejumlah wang dikeluarkan dan mula dikira oleh lelaki itu akan jumlahnya. Ayra dan Fiza tercengang. Ayra mula tertanya-tanya dari mana Harzan mendapatkan sejumlah wang yang begitu banyak.

"Okay.. ngam 40 ribu.. aku minta maaf sebab dah buat kacau.. sekarang aku pergi dulu.. aku janji lain kali aku takkan datang atau ganggu bini kau lagi." Lelaki samseng itu tersenyum lebar selepas selesai mengira jumlah wang yang diterima olehnya. Dia segera mengajak teman-temannya untuk beredar dari situ dengan segera. Setelah para samseng itu pergi, Harzan berpaling dan menghadap wajahnya ke arah Ayra dan Fiza.

"Harzan.. dari mana awak.." Ayra ingin bertanya mengenai sejumlah wang yang suaminya perolehi. Namun belum sempat Ayra menghabiskan kata-katanya, Harzan dengan pantas memintas percakapan isterinya.

"Jadi, hidup kau sentiasa perlukan Rafiq? Setiap masalah kau, kau sampaikan kepada Rafiq? Dalam kepala otak kau cuma fikirkan Rafiq?" Harzan bersuara perlahan namun penuh ketegasan. Ayra dan Fiza tersentak. Ayra tergamam sehingga tidak mampu berkata-kata. Selama ini Harzan tidak pernah membahasakan dirinya sebagai aku kepada Ayra. Ini kali pertama Harzan menyebut sedemikian.

"Habis aku ni siapa?! Aku bukan suami kau ke?" Harzan mula membentak dengan suara yang kuat. Ayra yang terkejut segera memejamkan mata. Dia ketakutan. Selama ini Harzan tidak pernah meninggikan suara. Suaminya sekarang benar-benar berubah. Harzan yang sedang berdiri di depannya itu bukan Harzan yang penyanyang, yang pernah dikenalinya selama ini.

"Harzan.. sebenarnya.." Fiza cuba menenangkan suasana. Dia sangat faham perasaan Harzan ketika itu. Dia tahu Harzan sangat kecewa dengan perbuatan Ayra yang menerima panggilan daripada Rafiq sebentar tadi. Perbuatan Ayra ketika itu sama sekali tidak menghormati Harzan sebagai suaminya. Malah, Harzan yang masih tidak tahu situasi yang sebenar mengenai Ayra dan Rafiq sebentar tadi pasti sahaja akan tersalah faham.

"Kau diam! kata-kata kau penuh dusta! Apa yang penting bagi kau, adalah menyebelahi dia!" Harzan menguatkan suaranya kepada Fiza sambil jari telunjuknya di arahkan kepada Ayra. Fiza turut terdiam setelah menerima makian. Dia sendiri tidak menyangka Harzan akan berkelakuan sekasar itu. Padahal Harzan yang dikenali oleh orang ramai selama ini adalah seorang lelaki yang bersopan santun.

"Kau tak boleh hidup kan tanpa Rafiq? Aku ni hanya penghalang je dalam hubungan kau dengan dia.. Baik! kalau kau nak sangat kat lelaki tu, kau pergilah bersama dia.. mulai sekarang, aku akan lepaskan kau.. Ayra Arissa.. aku ceraikan kau dengan talak satu." Harzan melafazkan cerai ke atas isterinya. Lelaki itu segera berpaling punggung dan melangkah pergi meninggalkan Ayra dan Fiza di situ. Hati lelaki itu sangat kecewa dan dipenuhi oleh kemarahan yang membara.

"Ha..Har.. ti..tidak.." Lidah Ayra menjadi kelu. Sebentar tadi, dia baru merasa gembira dan bahagia apabila Harzan pulang ke rumah dan berada di depan matanya. Namun sekarang dia terkejut. Langsung tidak menyangka, lelaki yang baru bertakhta dihatinya itu, kini sudah menceraikan dirinya. Kata-kata Harzan sebentar tadi terasa disertai bersama anak panah yang dilepaskan dari busur. Ayra kesakitan. Dadanya seperti ditembusi oleh anak panah yang tak terlihat. Dengan tiba-tiba kakinya merasa lemah longlai. Ayra segera jatuh terjelepok, terduduk ke lantai.

"Ayra!" Fiza cuba menahan Ayra daripada rebah. Namun dia ikut tertunduk apabila menyambut lengan Ayra. Kini air mata Ayra mula bercucuran dengan lebat.

"Harzan..." Ayra baru mampu melembutkan lidahnya dan mengeluarkan suara. Tangisannya semakin kencang. Perlahan-lahan Ayra meniarapkan tubuhnya ke lantai. Dia sudah tidak memikirkan mukanya yang sedang bergelumang dengan debu. Fiza yang menyaksikan keadaan tersebut turut sebak. Dia tahu Ayra dihantui penyesalan. Namun Ayra terlambat. Penyesalannya sudah tiada nilai. Air matanya yang berderai tidak akan mampu mengubah apa pun. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-07-14 16:49:37 

Sedihnya, Harzan dh ceraikan Ayra..


NovelPlus Premium

The best ads free experience