Bab 16

Romance Series 41999

AIR jernih di bendungan mata Ayra sudah tidak mampu ditahan lagi. Semakin lama, air itu mengalir semakin laju dan membasahi pipinya yang mulus.  Sesekali, air yang tumpah itu diseka dengan hujung jarinya. Ayra sudah tidak mampu untuk menahan sebak yang bersarang di dalam dadanya. Watak Wahid yang dilakonkan oleh Beto Kusyairy di dalam filem Mat Kilau, arahan Syamsul Yusof itu benar-benar berkesan dan menyentuh perasaan. Babak ketika isterinya dibunuh dengan sadis berjaya memancing emosi penonton di pawagam. Ayra juga tidak terkecuali.

Malam itu, Ayra keluar menonton wayang berdua dengan Harzan. Memandangkan filem Mat Kilau ketika itu sedang hangat dan menjadi satu fenomena di seluruh negara, Harzan juga tidak ingin melepas peluang untuk menonton filem tersebut bersama isterinya. Bagi Harzan, ini mungkin menjadi peluang buat dirinya untuk terus mendekati Ayra. Dia sudah lama mendambakan untuk keluar berduaan dengan isterinya itu.

Selesai tayangan filem, semua penonton mula berpusu-pusu untuk keluar dari panggung tayangan. Harzan tanpa ragu-ragu, langsung memimpin tangan Ayra dan mereka berbaris beriringan menuju ke arah pintu keluar. Ayra tetap mendiamkan diri sambil melirikkan matanya ke arah Harzan. Perasaan Ayra bercampur baur. Dia ingin sahaja menarik tangannya dari dipegang oleh Harzan. Namun pada masa yang sama, dia turut merasa nyaman diperlakukan sebegitu. Ayra semakin keliru dengan dirinya sendiri. Padahal dia yakin Harzan tiada tempat dihatinya. Tapi secara perlahan-lahan, dia mula menerima kehadiran lelaki tersebut di dalam hidupnya.

"Mantap betul lakonan Beto kan? Rasanya patut bagi dia je watak Mat Kilau tu, lagi sesuai." Harzan melepaskan tawa setelah memulakan perbualannya dengan Ayra.

"Tu la..paling tak tahan bila tengok part isteri dia kena tikam tu.. sedih betul.." Ayra mengiyakan kata-kata Harzan. Perempuan itu diam seketika sebelum meneruskan ucapannya.

"Sayang jugak rupanya dia kat isteri dia.. awal-awal tu bukan main, nak perjuangkan bangsa, tanah air sampai sanggup tinggalkan isteri.. tapi bila isteri kena bunuh dengan askar upahan British, tahu pulak nak marah, mengamuk."

"Siapa tak sayang bini.. dah jadi tanggung jawab dia.. isteri pun tanggung jawab dia.. kedaulatan agama, bangsa dan tanah air pun tanggung jawab dia.. watak Wahid tu satu manifestasi perjuangan ke atas tanggung jawab yang perlu digalas.. dia bukan tak sayang isteri dia.. tapi perjuangan terhadap agama, bangsa dan tanah air perlu didahulukan, mengatasi kepentingan individunya. Takde siapa yang nak korbankan ahli keluarga sendiri. Tapi demi kepentingan umum, kepentingan peribadi perlu di kemudiankan.. senang kata, pentingkan yang lebih penting dari yang penting, kerana yang lebih penting itu lebih penting dari yang penting." Harzan tertawa.

"Pentingkan yang penting.. penting apa yang penting.. eh, makin peninglah.. bukan makin mudah nak faham." Ayra yang tidak mampu menangkap butir perkataan ucapan Harzan segera menepuk lengan lelaki yang sedang memimpin tangannya itu.

"Lapar la pulak.. jom pergi makan." Harzan menggosok-gosok perutnya sambil mengerutkan dahi.

"Hmm.. jom la.. awak belanja.." Ayra tersenyum sambil memandang ke arah suaminya itu.

Tidak lama kemudian, mereka berdua tiba di satu restoran. Walaupun dikunjungi oleh ramai orang, namun suasana di dalam restoran terlihat agak tenang. Tidak hingar bingar dan merimaskan seperti lazimnya. Malah yang lebih menarik perhatian mereka, cat dinding dan semua peralatan di dalam restoran tersebut termasuklah kerusi dan meja, semuanya berwarna kuning. Seorang lelaki muda yang bertugas sebagai pelayan menghampiri meja mereka dan menunjukkan senarai menu yang disediakan. Ayra tersenyum sendiri apabila melihat senarai menu makanan dan minuman juga dibuat dengan warna kuning.

Lebih menggelikan hati Ayra, dia dan Harzan sama-sama memesan air jagung dan nasi ayam. Bukan sahaja nasinya yang berwarna kuning, malah pinggan dan gelas juga turut berwarna kuning.

"Adoi la.. kenapa semua benda dalam restoran ni berwarna kuning? Baju staf pun warna kuning.. sampai nasi dengan air pun kuning.. owner restoran ni obses betul dengan warna kuning." Ayra sudah tidak berdaya untuk menahan rasa geli hatinya. Dia yang duduk berhadapan dengan Harzan di meja makan mereka menghamburkan tawa.

"Tapi, menarik juga konsep kedai dia ni.. semua benda warna kuning.. silap-silap, seluar dalam semua pekerja pun warna kuning." Harzan berseloroh. Ayra pula semakin kencang tertawa. Gadis itu kemudian menekup mulutnya dan berhenti ketawa apabila menyedari semua mata yang berada di dalam restoran tersebut sedang memandang ke arahnya. Suasana restoran yang tidak terlalu bingar menyebabkan suara ketawa Ayra jelas kedengaran dan menjadi perhatian pengunjung yang lain.

Setelah menyedari kekhilafannya, Ayra mula tersipu malu dan menundukkan wajahnya. Sesekali bibir bawahnya digigit. Matanya berselang seli menatap lantai dan menjeling ke arah Harzan.

"Jangan-jangan, semua orang kat sini pun pakai seluar dalam warna kuning juga.." Harzan bersuara perlahan, seolah berbisik kepada Ayra. Dia tahu isterinya itu sedang merasa malu. Jadi Harzan cuba untuk terus menghiburkan hati Ayra agar isterinya itu tidak terus merasa malu.

"Ishh.. dah la.." Ayra tersenyum sambil berusaha untuk menahan tawa. Dengan pantas tangannya menapar tangan Harzan yang diletakkan di atas meja. Sesekali, matanya melilau ke sekeliling untuk melihat reaksi orang ramai yang berada di dalam restoran tersebut. Kini Ayra mula menghembuskan nafas lega. Semua orang di dalam restoran sudah tidak memerhatikannya. Harzan dan Ayra kemudian dengan segera menjamu selera setelah pesanan mereka dihidangkan.

Selesai menghabiskan makanan, pasangan suami isteri itu mula bangkit berdiri dan berjalan untuk meninggalkan restoran yang berwarna serba kuning itu. Baru beberapa langkah meninggalkan restoran tersebut, tiba-tiba seorang lelaki muncul dan berdiri tegak dihadapan mereka. Lelaki tersebut terlihat cuba menghalang perjalanan mereka. Ayra dan Harzan terkejut apabila melihat kehadiran Rafiq.

"Ayra.. boleh kita bercakap sebentar?" Rafiq bersuara, cuba untuk berbicara dengan Ayra. Pandangan mata lelaki itu tepat menatap ke wajah Ayra, tanpa mempedulikan kehadiran Harzan di situ.

"You nak apa lagi? Jangan ganggu i.. antara kita dah takde kena mengena lagi.." Ayra memalingkan wajahnya ke arah kiri. Dia tidak ingin lagi melihat wajah Rafiq yang dirasakan menyebalkan hatinya.

"Ayra.. please.. dengar dulu apa yang i nak cakap." Rafiq tetap berusaha untuk memujuk. Namun rayuan lelaki itu langsung tidak diendahkan oleh Ayra.

"Jom.." Ayra merangkul lengan Harzan yang berada disisi kanannya. Dia cuba membuka langkah kaki untuk meninggalkan Rafiq dan menarik lengan Harzan untuk berjalan bersamanya.

"Ayra.." Rafiq menghulurkan tangannya ke hadapan Ayra bagi menghalang pergerakan wanita tersebut. Melihatkan tindakan Rafiq itu, Harzan segera maju ke hadapan.

"Tolong.. jangan ganggu kami.." Harzan menolak tangan Rafiq ke bawah dengan perlahan bagi menjatuhkan tangan lelaki yang sedang menyekat pergerakan Ayra itu.

"Kau..." Rafiq menggumam rasa geram sambil menyorotkan matanya ke arah Harzan.

"Di pejabat, Encik Rafiq adalah bos saya.. tapi diluar pejabat, kita sudah tiada sebarang urusan.. Jangan cuba ganggu kehidupan peribadi saya.." Harzan berkata dengan tegas dan kembali membalas renungan ke arah Rafiq. Rafiq kemudian mendengus kencang sebelum mengalihkan pandangannya kembali kepada Ayra.

"Jadi betul la cerita yang i dengar? You betul-betul dah kahwin dengan budak pejabat ni?" Rafiq ingin mendapatkan kepastian dari mulut Ayra sendiri.

"Siapa pun dia, dia dah jadi suami i.. you jangan ganggu lagi hidup i.." Ayra memberi penegasan. Dia masih tidak ingin melihat wajah Rafiq yang pernah curang terhadapnya itu.

"Tolong pergi dari sini.. jangan ganggu kami." Harzan kembali memberi peringatan kepada Rafiq. Wajah Rafiq masam mencuka di saat melihat ke arah Harzan. Langkah kakinya mulai digerakkan perlahan-lahan untuk mundur ke belakang.

"Baik.. kat sini kau menang.. tapi kau tunggu di pejabat nanti.. aku akan buat perhitungan kembali dengan kau.." Suara Rafiq diluah dengan penuh geram. Amarah dalam dirinya sedang membakar hati. Rafiq bersumpah, dia akan mengenakan Harzan cukup-cukup nanti. Dia akan membuatkan Harzan menyesal kerana telah merampas Ayra darinya. Rafiq sama sekali tidak akan membiarkan maruah dirinya diinjak dan dikalahkan oleh seorang pekerja rendahan seperti Harzan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience