Bab 14

Romance Series 41999

USAI menunaikan solat maghrib secara berjemaah di masjid, Harzan bangkit berdiri untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Beberapa orang jemaah lain turut melakukan hal yang sama. Sejak mendengar kuliah tentang fadilat solat sunat suatu ketika dahulu, Harzan sering menunaikan ibadat tersebut. Kata-kata ustaz yang menyampaikan kuliah tentang perkara tersebut benar-benar mengubah diri Harzan.

Walaupun dahulu dia hanya berpendapat solat sunat itu hanyalah sekadar ibadat kecil, namun setelah difikirkan kembali, Harzan mula menyedari jika amalan sekecil apa pun, jika sering diamalkan maka ia mampu memberikan pahala yang sangat besar. Mungkin sahaja kerana amalan kecil itulah nanti yang akan membawanya ke syurga setelah ditimbang segala amal perbuatannya di dunia.

Hati kecilnya pernah terdetik, bagaimana halnya jika segala amalannya di hitung, maka dosa yang dia miliki melebihi pahala yang dikumpulkan. Jadi dia mula menyimpulkan, segala amalan sunat harus dilakukan selagi dirinya mampu. Semoga sahaja pahala dari amalan tersebut mampu memberatkan hitungan pahalanya berbanding dosa.

Selesai solat, Harzan berzikir ringkas sebelum menadah tangan untuk berdoa. Dia mengharapkan keampunan Tuhan semesta alam, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Semoga dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu, Allah memberikan rahmat dalam rumah tangganya. Dia turut berdoa agar Allah memberikan hidayah kepada Ayra untuk menjadi seorang perempuan yang berada di jalan yang diredhai olehNya.

Harzan tahu Ayra seorang gadis yang baik hati. Namun keadaan diri Ayra yang masih jauh dari tuntutan agama kadang kala merisaukan Harzan. Dia benar-benar berharap isetrinya itu akan berubah. Setelah selesai berdoa, telinga Harzan segera menangkap ucapan dari seorang ustaz yang berperanan sebagai penceramah jemputan di masjid pada malam tersebut.

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan)  ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."

Harzan tersentak apabila mendengar kata-kata petikan dari terjemahan ayat al-quran itu. Ucapan dari kuliah maghrib itu seakan tertuju kepada dirinya. Dia baru sahaja berdoa untuk Ayra berubah, dan kini dia segera dihidangkan dengan kuliah mengenai kepimpinan seorang suami terhadap isteri. Harzan mula sedar. Sebagai suami, dialah yang harus memimpin dan mendidik Ayra. Itulah tujuan berumah tangga dan tanggung jawabnya sebagai seorang suami. Dia semakin sedar akan kekhilafannya untuk Ayra berubah namun tidak pernah memikirkan asbab yang perlu ada untuk isterinya itu mendapat hidayah.

Memang benar hidayah itu milik Allah, namun untuk seseorang itu berubah, dia juga memerlukan pembimbing yang menyeru ke arah kebaikan. Begitu jugalah peranan seorang nabi dan rasul yang dilantik oleh Allah kepada umat manusia. Sebagaimana umat manusia memerlukan rasul untuk membimbing mereka, begitu juga seorang perempuan memerlukan suaminya. Tanpa pembimbing, mustahil hidayah itu akan hadir. Maka untuk Ayra mendapat hidayah, Harzan sebagai suami perlu membimbing wanita tersebut.

Harzan meraup mukanya dengan kedua belah telapak tangan. Dia kemudian tertunduk diam. Hatinya mula bertekad untuk membimbing Ayra. Sejenak kemudian, Harzan kembali memberikan fokusnya kepada kuliah yang di sampaikan. Beberapa orang lelaki yang turut berada di dalam masjid terlihat terangguk-angguk kepala mereka dengan perlahan sambil mendengar kuliah. Sebagaian pula ada yang menyandar di dinding sambil beristirehat. Ustaz yang menjadi penceramah jemputan pada malam itu pula semakin rancak menyampaikan kuliahnya. Harzan terus terbungkam. Segala isi ucapan yang dilontarkan penceramah, menjadi halwa telinganya dan segera dicerna oleh otak.

Sementara itu, Ayra keluar dari bilik tidurnya dan berlari anak menuju ke arah pintu rumahnya.  Dia bergegas apabila loceng rumah kedengaran, ditekan berkali-kali oleh tetamu yang mendatangi rumahnya. Perlahan-lahan Ayra membuka pintu rumah untuk melihat tetamu yang tidak diundang pada ketika itu. Perempuan itu segera menghembuskan satu nafas kasar apabila melihat sosok tetamu yang mendatangi rumahnya.

"Kau ni, nak datang pun tak bagitau dulu.. dah la waktu maghrib macam ni datang rumah orang.." Ayra sedikit merungut sambil membuka kunci pintu jerigi besi. Kelihatan Fiza sedang berdiri sambil tersengih di hadapan muka pintu rumah.

"Eh, selama ni okay je kalau aku datang.. tak kira masa.." Fiza kembali merungut.

"Dulu takpe la.. sekarangkan aku dah ada suami.. tak elok la kalau kau keluar masuk sesuka hati rumah aku macam dulu.. nanti nampak kat orang, apa pulak kata orang..dah la waktu maghrib..lagipun aku kena la minta izin suami aku untuk terima mana-mana tetamu.." Ayra memberikan penjelasan.

"Laa.. kan rumah ni rumah kau..  kenapa nak kena izin dia pulak."

"Memang la rumah aku.. tapi dia kan suami aku.. dan dia pun tinggal bersama aku kat sini. So, rumah ni pun dah jadi rumah dia la." Ayra masih cuba untuk memberi kefahaman kepada temannya itu.

"Hmm.. lagipun tadi kan kau whats apps, bagitau suami kau takde kat rumah.. tu pasal aku datang terus.. Aku pun sebolehnya taknak la bertembung dengan dia. Aku datang nak jumpa kau je."

"Dia pergi masjid depan sana tu je.. nanti lepas isyak dia balik la. Kau pulak, ada apa datang cari aku ni?" Ayra mula bertanya tujuan kedatangan Fiza.

"Aku saja je nak jumpa kau.. lagipun, kat pejabat sekarang ni kecoh jugak la pasal cerita kau kahwin dengan Harzan. Dia takde bagitau kau ke?" Fiza menyampaikan berita sambil menyelidik.

"Lantak la apa orang nak cakap.. lagipun aku pun dah tak kerja kat sana.. Harzan pun bukan suka bercakap hal dipejabat dengan aku."Ayra sepertinya tidak menghiraukan gosipa yang berlegar mengenai dirinya. Baginya, dia hanya ingin tenang menjalani hidupnya sendiri dan tidak ingin menghabiskan masa untuk mengambil tahu mengenai gosip dari orang lain.

"Kau ni.. masih tak berubah.. dulu pun kau macam tak kisah bila orang duk bercakap pasal kau dengan Rafiq."

"Eh, dah la.. tak payah nak sebut nama jantan tak guna tu depan aku.. dengar nama dia pun aku dah meluat." Ayra memberikan peringatan kepada Fiza.

"Okay lah.. sorry dah buka kisah lama kau..  aku janji tak sebut nama pasal dia lepas ni." Fiza mengangkat kedua tangan dan menghalakan tapak tangannya ke arah Ayra yang berdiri di hadapannya. Mereka berdua kemudian masing-masing melabuhkan punggung mereka di sofa pada waktu yang sama.

"So, macam mana keadaan kau sekarang? Dah jatuh cinta dengan suami kau?" Fiza masih berusaha mengorek perihal rumah tangga sahabatnya.

"Cinta? Huh.. lelaki semuanya sama.. dah takde cinta dalam hati aku ni.. aku dah kunci rapat-rapat pintu hati aku untuk lelaki." Ayra mencebik bibir sambil membuat jelingan mata kepada Fiza. Melihat reaksi Ayra, sahabatnya itu hanya tertawa kecil.

"Tapi Harzan tu lelaki baik.. walaupun tak kaya, tapi aku yakin dia mampu bimbing kau.. kau sekarang pun dah mula berubah perlahan-lahan.." Fiza melontarkan senyuman kecil.

"Aku berubah? berubah macam mana pulak? Aku masih sama je macam dulu.. cuma nak enjoy macam dulu je ada kekangan sikit.." Ayra segera membalas.

"Hmm.. kau je yang kata macam tu.. tapi aku nampak kau semakin berubah.. Aku yakin kau akan jadi lebih baik lepas ni."

"Aku barubah macam mana?" Ayra semakin ingin tahu. Dia benar-benar tidak memahami maksud yang diperkatakan oleh Fiza.

"Hmm..biarlah.. nanti kau akan tahu sendiri." Fiza tidak ingin menjawab pertanyaan Ayra.

"Ish..kau ni.. tapikan Fiza.. aku ingat nak cari kerja baru lah.. aku tak boleh la terus hidup macam ni.. nak harapkan gaji Harzan tu, silap-silap mati kering aku kat rumah ni.. sekarang, nak enjoy pun susah.. aku kena berjimat.. takkan aku nak kikis duit laki aku yang tak seberapa tu untuk pergi enjoy." Ayra meluahkan perasaannya yang terbuku kepada Fiza.

"Betul jugak kata kau tu.. aku pun bosan la nak keluar sorang pergi clubbing.. kalau ada kau, syok la sikit.."

"Tapi.. kalau ada duit pun, kau ingat suami aku nak bagi ke aku keluar malam-malam?"

"Haaa.. kau tengok.. itulah maksud aku, kau sekarang dah berubah.." Fiza memetik jari dan segera menuding jari telunjuknya ke arah Ayra. Temannya itu pula tiba-tiba terpinga-pinga mendengar ucapan Fiza.

"Apa maksud kau Fiza?" Ayra meluahkan kebingungan yang melanda disebabkan kata-kata Fiza.

"Itulah.. kau sekarang dah jadi semakin baik.. sentiasa dengar cakap suami.. selalu fikirkan pasal suami.." Fiza memberikan penjelasan. Ayra terkesima.

"Ma..mana ada.. kau jangan mengarutlah.." Ayra tersipu-sipu. Tanpa dia sedari, wajahnya kini sudah mula merona kemerahan. Fiza pula terus tersenyum melihat gelagat Ayra.

"Kau tu yang mengarut Ayra.. kau masih nak nafi perubahan diri kau.. dan aku pun yakin, hati kau juga semakin berubah untuk Harzan.. kau nafi la seribu kali pun, tapi kau tak dapat ubah hakikat yang berlaku.. Apa pun, aku akan sentiasa sokong kau.. jujurnya, aku gembira bila kau semakin berubah macam ni. Cuma aku je tak tahu bila akan berubah macam kau." Fiza mula menyatakan pendapatnya kepada Ayra.

"Tak.. bukan begitu.. dia kan suami aku.. jadi..aku.. aku.. tapi aku tak pernah cintakan dia." Ayra tergagap-gagap dan gagal menghabiskan kata-katanya. Fiza pula terus tersenyum sambil menatap wajah Ayra yang sudah seperti udang yang dibakar.

"Suka hati kau la Ayra nak cakap apa pun.. so, kau betul-betul nak cari kerja?" Fiza cuba mengubah topik perbualan mereka. Dia tidak ingin Ayra terus berkeadaan sebegitu. Apa pun keputusan Ayra, Fiza tetap akan menyokong sahabatnya itu. Dia tahu Ayra seorang gadis yang baik hati walaupun selama ini mereka hidup bersosial dengan bebas. Jadi tidak mustahil untuk Ayra dengan mudah berubah ke arah kebaikan jika dibimbing oleh lelaki yang baik seperti Harzan. Terkadang, Fiza pula merasa malu kerana dirinya masih sama seperti dahulu. Tetap kekal di jalan yang penuh dosa dan tiada usaha untuk berubah. Walaupun hatinya sering terdetik untuk berubah, namun godaan dunia juga sentiasa melemahkan niatnya.

"Hmm.. apa pun, aku kena cari kerja.. Tak boleh la nak harapkan Harzan je." Ayra kembali tenang dalam bicaranya. Emosinya juga sudah mula terkawal apabila Fiza mengubah topik perbualan mereka.

"Kalau macam tu, good luck.. semoga kau berjaya dapat kerja baru. Tapi Harzan tahu ke kau nak cari kerja?"

"Aku tak bagitau lagi kat dia.. apa pun, aku kena la bagitau dia dulu.. nanti apa pula kata dia.." Ayra menyampaikan luahan kepada Fiza. Sambil tersenyum kecil, Fiza menatap wajah Ayra yang terlihat sedang termenung jauh. Kata-kata Ayra kembali mencuit hatinya. Temannya yang baru berkahwin itu sentiasa mendahulukan suaminya walaupun Ayra sering menafikan. Mungkin perasaan cinta terhadap Harzan belum wujud dalam hatinya, namun perempuan itu tetap mengutamakan suaminya itu dalam segala hal.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-05-18 23:44:12 

best, ada unsur² Islamik yg memberikan pengajaran.. alaa... Ayra x nk mgaku pulak..hihihi...


NovelPlus Premium

The best ads free experience