Bab 21

Romance Series 24063

Kini.

          SUASANA di pagi  Ahad biasanya tenang dan menyenangkan. Cahaya matahari pagi yang  memancar dari ufuk timur menandakan cuaca yang baik hari ini dan akan digunakan sebaiknya oleh Irene.

       Cuti hujung minggu inilah masa terluang untuk Irene melayani anak tercinta. Irene bersama Brian bermain bola di halaman rumah yang sekangkang kera itu. Cukup-cukup untuk memuatkan dua orang sahaja untuk bermain. 

         Lily awal-awal pagi lagi sudah mula keluar berjoging. Misi menurunkan berat badan yang dilancarkan minggu lepas nampaknya masih mengikut jadual. Tapi tak pastilah untuk minggu seterusnya macam mana. Beberapa kali sudah misi itu ditunda. Irene tidak pasti. Kalau diikutkan mata Irene, berat badan kawannya itu tidaklah tinggi mana. Mungkin hendak mengalahkan model agaknya.

          Hampir sejam sudah Irene melayani Brian. Dari bola di tangan beralih pula ke kaki. Menyepak dengan pelbagai gaya. Peluh mulai menitik apabila matahari mulai meninggi. Irene mula terasa bahang. Tangannya menangkap bola dan diselit ke ketiaknya.

          "Kita stop ye sayang. Mama dah penat," pinta Irene dengan suara yang mengah. Dia mengelap peluh di dahi. Main ala kadar pun boleh penat seperti berlari satu padang. Nampak sangat dia tak cukup cergas. Irene mengibas-ngibaskan bajunya. Panas! Peluh tak payah cakap. Melekit satu badan.

          "Ala mama. Sekejap lagi boleh? Bolehla? " pinta Brian. Anaknya itu masih belum puas bermain. Tenaga kanak-kanak yang tidak pernah berkurang. Irene menjeling jam di tangan .

          "Okaylah. Sepuluh minit. Kejap lagi Brian masuk mandi ye. Kartun Boboiboy nak start dah kejap lagi. Brian nak tengok tak?", Irene mengingati Brian akan siaran kartun kegemarannya. Setiap hari Ahad pukul 10 pagi. Tak pernah miss.

          "Nak! nak! Brian masuk dulu la mama. Nak mandi", jawab Brian dengan petah. Niat asalnya sudah berubah. Bola yang berada di tangan Irene diambil dan disimpan lalu dia berlalu menuju ke dalam rumah. Irene hanya tersenyum memandang susuk tubuh kecil itu memasuki pintu rumah. Irene tidak turut serta. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi santai yang sedia ada. Ingin melepaskan lelah sebentar . Tidak lama selepas dia duduk, Lily membuka pagar rumah dengan tergesa-gesa. Gaya macam ada hal penting sedang berlaku.

          " Irene, tengok ni", Lily menarik kerusi yang berada di sebelah Irene. Duduk dan membuka surat khabar yang dibelinya. Jari telunjuknya diarahkan pada gambar yang terpampang di muka surat gosip tempatan. Ala-ala gaya mami jarum. Sedia untuk bergosip. Irene membelek gambar yang ditunjukkan Lily itu. Gambar Jason bersama wanita lain.

          " Ini dia kan?", tanya Lily. Irene merenung gambar yang ditunjuk Lily. Dia membaca tajuk besar pada artikel. Pertunangan model terkenal Kate Robert bersama usahawan berjaya Jason Kang. Jason segak memakai taxedo berwarna hitam. Manakala Kate memakai night dress mengikut bentuk badan dengan tona yang sama. Sedondon. Masing-masing sedang berposing menunjukan cincin tanda ikatan yang terjalin. Cantik! Detik hati Irene. Nampak setaraf dan sepadan. Dia mengetap bibir. Terbit rasa cemburu dihatinya.

          "Betullah dia kan?", tanya Lily lagi. Meminta kepastian. Irene mengangguk lemah. Artikel itu dibaca dalam hati. Pertunangan yang menyatukan kerjasama antara dua syarikat besar. Sama cantik sama padan bagai pinang di belah dua. Begitu gah wartawan itu menulis.

       Irene termagu sendiri. Perasaannya bercampur-baur. Sedih? Lega? Entah. Dia pun tidak tahu. Tetapi bukankah ini lebih baik. Bermakna Jason boleh punya keluarga sendiri. Mempunyai zuriat sendiri. Jadinya, kewujudan Brian bukan menjadi masalah lagi. Irene membuat andaian sendiri.

          "Hoi,kau okey ke tak ni? Senyap je. Aku je bercakap dari tadi. Kau tak ada nak cakap apa-apa ke? Enam tahun kau tak jumpa dia kan?", serang Lily. Dia mahu tahu pendapat Irene. Lelaki bernama Jason itu pernah menjadi insan penting dalam hidup Irene. Malah mereka mempunyai anak bersama. Lily tidak pernah berjumpa lelaki itu tetapi nama itu tidak mungkin dilupakannya. Dia banyak mendengar cerita dari mulut kawannya. Itu pun lama dahulu. Sekarang Irene tidak mahu menyebut nama Jason. Terutama di depan Brian.

          " Aku..aku okey. " suara Irene tersekat-sekat. Aku perlu okay. Perlu okay. Ratibnya dalam hati. Dua hari dia MC demam gara-gara terkejut disergah Jason ketika majlis di hotel tempoh hari. Kadang-kadang, boleh membawa ke mimpi sekali. Irene merasa tidak tentu arah jika memikirkannya. Dia terasa tidak berdaya. Bagaimana dia boleh selemah ini apabila berdepan dengan lelaki bernama Jason?

          " Aku ada jumpa dia bulan lepas", beritahu Irene tiba-tiba. Kejadian Jason mencumbuinya secara paksa terbayang di mata. Suaranya juga masih jelas di telinga.

        "Sekarang you dah ingat I siapa huh ?".

         Bulu roma Irene spontan menegak naik. Seram sejuk. 

         "Ha?? Apasal tak bagi tahu aku? Brian tahu? Habis tu macam mana?", Lily terkejut. Bertubi-tubi soalannya dengan suara sedikit meninggi. Maknanya mereka berdua pernah bertemu. Takkan tak ada apa yang jadi? Perasaan ingin tahu Lily membuak-buak.

         " Shhh...Jangan kuat sangat", tegur Irene. Jari telunjuknya dihala ke bibir. Tidak mahu menarik perhatian anaknya di dalam rumah. Irene mengetap gigi. Minah ni kan kalau bab bergosip, macam tak ingat sekeliling.

          " Opss", Lily pantas menutup mulutnya yang sangat kepoci.

          "Tak ada yang akan berubah pun. Lagi pun Brian tak ada kena mengena dengan dia", suara Irene berkata perlahan. Menidakkan kenyataan. Masih tidak mahu mengakui siapa ayah Brian. Lily mengelengkan kepala. Perkara serius macam ini, sampai bila boleh sorok?

          " Kau tak kesian ke dengan anak kau Irene? Dia dah besar lah. Dia dah pandai tanya", balas Lily pula. Irene senyap. Ada betulnya apa yang diperkatakan kawannya itu. Anaknya Brian sudah mula bertanya. Dan sering bertanya. Dan setiap kali itulah Irene akan memberikan alasan yang sama. Bahawa ayahnya berkerja di luar negara. Entah sampai bilalah dia akan mengunakan alasan itu agaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience