HUJAN turun tiada tanda mahu berhenti. Awan mendung menutup matahari membuatkan hari terasa suram. Suhu dingin mula mengigit. Cuaca hari ini sukar diramal lagi. Semalam bukan main panas terik sampai ke petang. Hari ini hujan tidak berhenti-henti.
Irene membancuh teh panas di dalam teko kaca. Nasi lemak yang sudah di masukkan ke dalam mangkuk tingkat di keluarkan semula. Di susun semua di atas meja makan. Niatnya hari ini dia ingin membawa Brian berkelah di Taman Tasik Titiwangsa. Tetapi cuaca tidak mengizinkan. Sedari sebelum matahari terbit sehinggalah sekarang, hujan masih turun. Walau pun tidak selebat tadi.
" Brian, jom makan", panggil Irene. Anaknya itu masih setia menanti di tepi tingkap kaca. Menunggu hujan berhenti. Kesian pula Irene melihatnya. Tetapi fitrah alam ini di luar kawalan manusia. Irene menghampiri Brian.
" Kita tangguh dulu boleh? Mana tahu esok tak hujan. Hari ini Brian lawan game dengan mama. Kita tengok siapa yang menang?", pujuk Irene. Kalau sudah hujan begini, apa sajalah aktiviti yang boleh dibuat.
" Mestilah Brian yang menang", sorak Brian. Wajah hampa tadi bertukar menjadi teruja dalam sekelip mata. Dia yakin dia boleh mengalahkan mamanya. Mamanya itu mana pandai main game. Irene ketawa senang hati. Mereka beriringan menuju ke meja makan. Irene menyenduk nasi ke pinggan Brian dan anaknya itu mencapai seketul ayam goreng.
Sedang mereka berdua menjamu sarapan, pintu bilik tengah dibuka. Lily yang baru sahaja bangun mengeliat dan menguap. Menyandar pada muka pintu bilik.
" Bau apa yang sedap sangat ni?", tanya Lily dengan muka yang masih tidak dibasuh. Irene dan Brian tidak menjawab. Mereka membiarkan Lily melihat dengan matanya sendiri. Lily menenyeh matanya dengan jari telunjuk. Matanya melihat jam di dinding. Pukul 9.38 pagi. Awal lagi. Bisik hatinya. Kakinya dihanyun ke meja makan. Melihat dua beranak sedang menjamu selera tanpa mempelawanya.
" Wahh, nasi lemak. Tinggalkan aku sikit", pesan Lily. Dia sudah senyum lebar hingga ke telinga. Hanya hujung minggu sahaja dia dapat merasa air tangan Irene. Hari biasa dia yang kena masak dan dia memang malas. Selalunya dia goreng-goreng saja. Tidak pun dia bungkus dekat kedai mamak deret depan perumahan mereka.
" Kau punya ada dekat dapur, aku dah simpankan", kata Irene. Dia sudah mengasingkan siap-siap untuk Lily memandangkan temannya tidak ikut serta dalam perancangan awalnya.
Lily mengangkat ibu jarinya. Memberi isyarat bagus kepada Irene. Dia masih belum mahu bersarapan lagi memandangkan dia baru saja bangun tidur. Lily mengambil tempat menghadap Irene.
" Aku nak balik kampung hari ni. Kau nak pesan apa-apa tak?" tanya Lily. Irene diam. Sudah begitu lama dia tidak menjejakkan kaki ke Kampung Simpang Lima. Kampung yang sama dia dan Lily membesar. Sejak dia lari dari rumah, dia tidak berani lagi balik untuk berdepan dengan kedua orang tuanya. Dan selama itulah Lily menjadi pengantara bagi pihak dirinya. Sedangkan Irene tidak pernah meminta Lily berbuat begitu.
" Ke kau nak ikut sekali?", tanya Lily untuk sekian kali. Cubaan memujuk kawannya itu untuk kembali ke kampung halaman. Cubaan yang dia sendiri tidak ingat untuk keberapa kali. Irene mengeleng laju.
" Kenapa tak boleh ke mama?", Brian pula menyampuk. Anaknya itu sudah cukup memahami perbualan antara Irene dan Lily. Irene menjeling Lily dan temannya itu menutup mulut dengan jarinya. Opss..terlepas sudah.
" Belum masanya lagi. Lain kali kita ikut auntie ye sayang.", Irene mengelak. Hati dipagut rindu. Masakan dia tidak rindu. Tempat dia bermain dan membesar. Rasa bersalah masih membelenggu dirinya. Entah sampai bila dia pun tidak tahu. Suasana diam seketika. Sebelum telefon pintar Irene berbunyi. Pesanan dari Samuel.
' Hai Irene, Good Morning'
Ini pun satu masalah lagi. Irene menghela dan menarik nafas panjang. Hidupnya kini tidak akan tenang lagi . Sejak pertemuan yang tidak diduga tempoh hari, Irene tidak melayan segala whatsapp dari Samuel. Dia tidak mahu ada sebarang hubungan dengan sesiapa yang mengenali Jason.
" Kau tak ada plan nak pindah ke ?", tanya Irene kepada Lily tiba-tiba. Kawannya itu berkerut.
" Kenapa? Kau kena transfer ke?", tanya Lily. walaupun dia tahu pekerjaan Lily tiada penukaran pekerja. Bukan seperti kerja di sektor kerajaan. Sama ada Irene ingin berhenti kerja atau diberhentikan.
" Tak lah. Aku terfikir je", Irene cuba mengelak. Dia tidak dapat berfikir lagi apa yang perlu dilakukannya. Bukan mudah untuk mencari pekerjaan baru dengan kelulusannya yang tidak seberapa.
Irene mula meneka-neka. Entah-entah Jason pun tak ingat dia siapa. Riak mukanya selamba sahaja masa pertemuan tempoh hari. Mungkin dia sahaja terlebih berfikir. Irene cuba berfikiran positif.
" Kau ada masalah dekat tempat kerja ke ?", tanya Lily mematikan lamunan Irene. Kakinya yang melunjur dinaikkan ke atas kerusi lalu dipeluk kedua tangannya. Mukanya serius memandang Irene. Pertanyaan Irene itu lain benar bunyinya.
" Eh, tak adalah. Aku saje je tanya. Tak ada apa-apa pun", Irene memaniskan muka. Risau sekiranya Lily dapat menghidu sesuatu. Dia belum bersedia untuk berkongsi masalah. Belum masanya. Dengan Brian masih ada di antara mereka ini. Pasti anak itu terpinga-pinga nanti. Lily masih berkerut tidak berpuas hati.
" Brian, cepat habiskan makan sayang. Mama tak sabar nak kalahkan Brian ni", Irene mengubah topik. Dia menghabiskan sesudu nasi yang terakhir lalu bangun ke sinki dapur. Dia tidak mempedulikan renungan Lily yang mengekori segala gerak-gerinya.
" Mama, dah habis", beritahu Brian setelah pinggan dan cawannya juga sudah kosong.
" Okay. Brian buka tv dulu. Mama nak basuh pinggan sikit je", arah Irene kemudiannya. Lily seakan memahami terus berlalu memasuki biliknya semula. Irene berasa lega buat seketika.
Share this novel