SUASANA restauran Mohd Chan yang agak sibuk itu tidak menghalang perbualan mereka kerana meja mereka terasing di dalam ruangan khas. Agak privasi sedikit dari meja di ruang luar. En Khairil sudah memesan hidangan istimewa buat mereka. Sempena kerjasama antara Paradise Hotel dengan Medlife Insurance.
Selesai sahaja mereka menjamu selera, Samuel terus mengajukan soalan yang bermain difikirannya sejak tadi.
" Kenapa Irene tak ikut sama En Khairil?", tanya Samuel terus. Kecewa dia apabila Irene tidak turut serta.
" Sakit perut katanya. Saya suruh dia balik terus. Kenapa? Tak sudi makan dengan saya ke?", En Khairil berseloroh.
" Eh, tak la macam tu." Samuel tersenyum malu.
" Kenapa En Sam? Awak berminat dengan pembantu saya tu ke?", tanya En Khairil terus. Direct to the point orang kata. Samuel tersengih lagi. Menampakkan giginya yang tersusun rapi. Seperti mengiakan pertanyaan En Khairil.
" Hehe..Sekadar mencuba. Dia jual mahal la En Khairil.", Samuel berterus-terang. Jason menjeling Samuel. Selamba betul kawannya ini. Takkan serius kot. Jason berfikir sendiri. Ini ke perempuan yang Samuel sebutkan tempoh hari?
" Berapa lama dah Irene kerja dengan En Khairil?", Samuel memyambung katanya. Ada peluang ni, tanyalah apa yang patut. Bukan kena bayar pun.
Jason sekadar mendengar pertanyaan Samuel kepada En Khairil. Tidak mahu menyampuk. Dia memasang telinga. Dia juga terkejut apabila melihat wajah yang sudah begitu lama tidak dilihatnya itu. Amat terkejut sehingga dia amat terganggu ketika di bilik mesyuarat tadi.
Matanya tidak lepas memerhatikan susuk tubuh wanita itu. Masih tidak berubah walau pun berambut pendek. Masih nampak sangat manis di matanya. Mana mungkin dia lupa. Irene. Wanita yang pernah singgah di hatinya. Antara bekas teman wanitanya yang lain, kehilangan Irene sangat memberi kesan dalam hidupnya. Wanita itu hilang ketika cintanya begitu mendalam.
" Hmmm...dalam lima tahun. Rasanyalah. Atau enam tahun. Lebih kuranglah agaknya. Apa yang awak nak tahu sebenarnya En Sam? Tanya sajalah. Saya ni sporting ", ujar En Khairil. Dia sedia melayan persoalan Samuel. Menjawab sekadar yang dia tahu.
" Irene tu single lagi ke?", tanya Samuel kepada persoalan yang paling utama. Takut pula terkacau isteri orang pula. Menempah bahaya.
" Single", jawab En Khairil ringkas. Muka Samuel sudah berseri-seri mendengarnya. Dia menyiku lengan Jason. Ada chance. Jason berkerut. Biar betul dia ni? Tak kanlah.
"Tapi...", En Khairil kembali menyambung.
" Tak pasti dia available atau tak. Itu kena tanya dia sendiri". En Khairil menjamah desert yang masih bersisa. Boleh tahan sedap juga.
Samuel tersenyum lebar sambil mengangguk-nganggukkan kepala. Jawapan yang pertama tadi sudah cukup baginya.
" Ada satu lagi," kata En Khairil tiba-tiba.
Dia terhenti lama. Menyedut air di dalam gelasnya sehingga titisan yang terakhir. Kemudian dia menyambung lagi.
"She is single mother," En Khairil menambah. Satu ayat yang cukup untuk menarik perhatian Samuel dan Jason.
Samuel melopong mendengarnya. Irene ada anak? Jason apatah lagi. Kalau tadi mukanya seakan selamba. Namun kini dia memberi reaksi seakan berminat untuk mendengar perbualan antara Samuel dengan En Khairil itu. Dia tidak dapat menahan diri.
" Bila dia kahwin?", Jason mencelah setelah lama berdiam diri. Samuel yang ingin bersoal jawab dengan En Khairil mula kehairanan. Masing -masing memandang Jason serentak. Samuel berkerut. Dah kenapa kawannya itu turut berminat pula.
En Khairil menjungkitkan bahu dan mengeleng. Tanda tidak tahu. Sememang dia tidak tahu. Dia tidak pernah bertanya lanjut. Baginya perkara itu terlalu peribadi. Dan dia tidak mahu bertanya soalan yang akan membuatkan pekerjanya tidak selesa.
" Besar juga dah anaknya. Dalam lima tahun. Lelaki. Siapa ya namanya...", En Khairil mengerutkan dahi. Memikirkan sesuatu. Dia sudah agak lama tidak berjumpa dengan anak pekerjanya itu.
" Ha.. Brian. Namanya Brian. Lama dah tak jumpa budak tu", fikiran En Khairil menerawang mengingati wajah anak Irene. Comel budaknya.
Jason sudah tidak senang duduk mendengarnya. Dadanya rasa berdebar secara tiba-tiba. Pelbagai andaian mula muncul. Jangan-jangan...
Jason berjumpa Irene enam tahun yang lalu. Sebelum Irene hilang tanpa menghabiskan praktikal. Nombor telefon Irene sudah tidak boleh dihubungi. Apa yang berlaku selepas itu dia tidak tahu. Egonya ketika itu mematikan segala tindakkannya. Dia merasa sangat marah dan kecewa apabila Irene menghilangkan diri secara tiba-tiba. Ternyata dirinya hanya dipermain-mainkan. Hatinya sekadar persinggahan wanita itu. Sehingga meninggalkan parut dihatinya.
" Dia kahwin waktu belajar kot?", Samuel membuat andaian. Cuba juga memujuk hati.
"Mungkin", ringkas En Khairil membalas. Suasana senyap seketika. Entah kenapa masing-masing seperti melayan perasaan sendiri.
" Atau anak angkat? ", tiba-tiba Jason bersuara. Suaranya agak tenggelam seakan bercakap dengan dirinya sendiri. Tetapi masih boleh didengari oleh Samuel dan En Khairil.
" Mungkin juga kan. Sekarang ni ramai yang ambil anak angkat. Macam trend pun ada. Eh, kamu berdua ni berminat betul dengan Irene?", En Khairil kehairanan. Tadi Samuel. Sekarang Jason pula. Jason dan Samuel berpandangan.
" Saya tanyakan untuk Samuel ni. Dia yang berminat sangat dengan pembantu En Khairil tu", Jason memberi alasan. Sedangkan fikiran sudah ligat berkira-kira. Segala kemungkinan yang tidak diketahuinya selama ini. Pelbagai persoalan mula timbul dalam fikirannya.
" En Khairil jemputlah datang nanti majlis pembukaan Hotel Paradise. Boleh bawa sekali Irene dan Lisa. Secretary saya rasanya dah email kad jemputan. En Khairil boleh check nanti", Samuel mengubah topik kemudiannya. Mendengar status Irene merencat keinginannya. Dia tidak bersedia untuk menjadi ayah segera.
" Dah nak start operasi dah? Awal juga ye".
" Hotel start buka bulan depan En Khairil. Bolehlah kalau En Khairil datang. Saya bagi special price," Samuel memberi tawaran.
" Menarik juga tu. Saya pun dah lama tak bercuti. Busy sangat. Bercuti dalam KL pun okay juga kan", En Khairil menerima jemputan dengan senang hati.
Share this novel