15 | Peneman

Romance Series 14468

   TEH mengurut-urut perlahan pelipisnya yang rasa sakit berdenyut-denyut sedari tadi. Dia baru pulang dari mahkamah selepas menyelesaikan kerjanya ketika mendapat panggilan mengejut daripada Han.

Otaknya blank sejurus mendengar permintaan Han. Memikirkan yang Farha pasti sedang dalam keadaan terdesak, dia gagahkan juga tubuhnya. Rasa lelah bekerja ditepis jauh-jauh demi membantu kawan sekampungnya.

Belakang tubuhnya disandarkan ke kerusi ruangan menunggu. Dia masuk sekejap wad tadi bersama Farha namun tidak mahu berlama-lama.

Krekk!

Dia sampai terbangkit dari kerusi tatkala melihat Farha baru muncul dari pintu wad. Wajah itu monyok, jelas sedang berada dalam kesempitan.

"Macam mana?" soalnya berbasa-basi.

Farha menggelengkan kepala perlahan dengan seraut wajah yang tunduk menekur lantai. "Ibu tak sedar lagi. Saya nak solat kejap,"

"Lepas solat, kita makan eh?" Teh mengekori langkah Farha ke surau berdekatan. Dia pun perlu melaksanakan solat jama' taqdim Zuhur dan Asar yang akan diqasarkan sekarang.

Farha tak menjawab sebaliknya tubuh itu sudah melolos masuk ke dalam ruang solat perempuan. Teh menggaru-garu perlahan kepalanya seraya mengeluh perlahan.

***

   PUAS dia memujuk Farha menjamu selera dahulu namun Farha berkeras mahu menunggu ibunya di dalam wad. Sampai sesi melawat sudah ditutup, Teh masih gigih mengajak Farha menyertainya ke mana-mana restoran. Dirayu sehabis mampu, barulah hati batu Farha sedikit mencair.

Siku ditongkat sementara dia merenung senyap Farha yang sedang ralit memenuhkan perut kosong. Dia tersenyum nipis apabila perasan kelaku Farha sedikit gelojoh. Langsung tak pandang kiri kanan. Hampir seharian tak makan, mana tak lapar?

"Kenapa awak pandang saya macam tu?" soal Farha, malu. Dia baru tersedar bahawa dirinya sedang menjadi mangsa renungan sepasang mata hazel itu.

Pinggan yang sudah kosong ditolak ke tengah meja seraya dicapai pula segelas jus epal. Bibirnya laju menyedut isi gelas itu sampai kosong sebelum kepalanya rebah mengejut di atas meja.

"Farha!"

Farha mengangkat sebelah tangannya lalu digawang-gawangkan perlahan. "I'm okay."

Wajah Farha masih tersorok di balik tekupan namun bila mendengar kata-kata si gadis tadi, hati Teh yang berdebar risau tadi sedikit lega.

"Kenapa ni?" Teh menyoal prihatin.

Dia cuba mengintai wajah itu. Dari jauh dia nampak kedua-dua belah mata Farha terpejam rapat. Aturan bulu mata yang hitam lebat secara asli meneduh redup sepasang mata bening si gadis. Teh tidak menafikan kecantikan Farha yang kalau sekali pandang, persis gadis Arab.

"Brain freeze."

Teh tergelak kecil. Lah, ingatkan mabuk tadi. Buat penat je risau.

"Dah kenyang?"

"Hmm,"

"Kalau macam tu, kita balik ya?"

Berdesup Farha mengangkat kepala. Dengan mata yang terkelip-kelip dihambat rasa pening, dia menghantar renungan tajam kepada Teh.

"Saya nak jaga ibu kat hospital."

"Tapi awak tak bersiap apa lagi. Kita baliklah dulu. Awak bersihkan diri, solat apa semua. Then, kita datang sini balik."

Farha menggeleng-gelengkan kepala. Tindakannya itu membuatkan fikiran Teh bercelaru. Lelaki itu menghembuskan keluhan berat sambil mengurut-urut perlahan pelipis.

"Nanti awak tak selesa. Bila diri awak dah kemas, nak jumpa mak awak pun senang hati nanti. Kita balik dulu ya?" Tenang suara garau Teh beralun memujuk si kepala batu Farha.

Buat beberapa saat, Farha terpempan di situ. Renungannya jauh menembusi jasad Teh yang berada di hadapan sekarang. Tanpa diduga, mata itu memerah lalu merembeskan air mata hangat.

Giliran Teh pula terkedu. Dia ada cakap apa-apa yang menggores hati Farha ke macam mana? Kalau ya, bahagian mana yang kedengaran pedih hingga menyiat jiwa Farha? Teragak-agak dia mahu mula memujuk.

"Saya minta maaf dah susahkan awak hari ni. Muka awak pucat sangat. Mesti awak penat kan layan saya?"

"T... tak... awak tak susahkan saya pun. Saya sendiri yang tawarkan diri untuk bawa awak ke sini. Jadi, tak ada apalah yang awak perlu fikirkan lagi," Teh menepis sangkaan rambang Farha.

Dia tidak suka melihat mutiara jernih itu terus berguguran maka dicapai sehelai tisu lalu dihulurkan kepada Farha.

"Saya okey je. Serius okey." Teh memberikan jaminan walaupun dia tahu jaminan kosong itu tak mampu melegakan sedikit pun hati Farha yang mendengar.

"Cuma sekarang saya minta awak ikut cakap saya. Simple je. Kita balik bersiap-siap dulu, nanti saya hantar awak ke sini semula."

"Tapi saya takut nak balik rumah kosong tu sekarang." luah Farha. Dek kerana ketakutan itulah dia terhalang daripada membuat keputusan untuk pulang ke rumah.

Bibir merah Teh mengoyakkan senyuman lebar. "Kalau macam tu, saya bawa awak balik rumah saya dulu. Rumah mak ayah saya."

Tanpa berfikir banyak lagi, Farha bersetuju dengan pelawaan itu.

***

    TELEVISYEN terpasang memaparkan cerekarama hujung minggu. Mata Teh tertumpu di situ namun fikirannya terbang menerawang. Banyak benda yang mengganggu hatinya sekarang. Salah satunya ialah Farha.

Tatkala kedengaran bunyi hempasan perlahan pintu bilik, Teh memalingkan wajah memandang Puan Hanim yang baru menapak mendekatinya di ruang tamu. Punggung dianjak sedikit menberikan ruang buat wanita separuh abad itu melabuhkan punggung di atas sofa.

"Farha macam mana, umi?"

"Tidur dah," jawab Puan Hanim.

Teh menghembuskan nafas lega. Berjaya juga dipujuk Farha supaya berehat sahaja di rumah. Esok pagi boleh melawat semula ibunya di hospital.

"Datang dua orang je ke?"

"Ya. Han tak boleh nak hantar Farha ke sini pagi tadi, ada urusan dengan Alan. Itu yang dia suruh Teh tolong hantarkan."

"Kamu tak ada kerja ke?"

Dia menggelengkan kepala. Tubuh si wanita diraih ke dalam pelukan, sengaja mahu memanjakan umi kesayangan.

"Kamu tak ada buah hati ke nak diperkenalkan kat umi?"

Tersedak Teh yang mendengar. Rangkulan tadi langsung terlepas. Berkerut dahi Teh memandang wajah Puan Hanim.

"Apa cakap macam tu?"

"Kamu tu dah masuk three series tau. Takkan tak ada rancangan nak tamatkan zaman bujang lagi?"

"Allah. Kalau ya pun, biarlah Han lepas dulu, umi. Jodoh Teh tu pun kalau ada, tak lari ke mana."

Umi mengecilkan anak mata, menghantar renungan tajam buat anak terunanya. Sedikit sebanyak, dia bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah seperti mereka. Kalau dia dijemput pergi oleh Ilahi pun, hatinya tak ralat meninggalkan anak-anak yang terdidik sempurna.

"Jangan bawa anak dara orang berjalan merata. Jaga nama baik kamu, nama baik keluarga kita."

"Ya, umi. Teh selalu ingat pesan umi tu."

"Farha tu macam mana? Bila nak mengaku kat umi cerita sebenarnya?"

Makin dilayan, makin sakan Puan Hanim menyakat. Kulit wajah Teh yang sedia cerah berubah merah padma. Anak mata dilarikan daripada bertembung dengan mata uminya.

"Dia tu kawan jelah, umi. Teh tak ada apa-apa pun dengan dia."

"Ya ke? Jangan tipu umi, Teh."

Teh berpura-pura menguap seraya menjeling jam dinding. Dia bangkit membetulkan kain pelikatnya lalu berkata,

"Dah lewat ni, umi. Teh masuk tidur dulu ya. Assalamualaikum,"

Sekelip mata sahaja bayang Teh sudah menghilang di balik pintu papan. Puan Hanim yang memerhati gelagat si teruna cuma menggeleng-gelengkan kepala. Pandai mengelat ya!

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience