"HAH? Umi nak datang rumah Han?" Mata Han terbelalak. Telefon bimbit yang berada dalam genggaman hampir melorot jatuh tatkala mendengar berita mengejut itu. Dikerling Farha yang khusyuk memandu di sebelah. Ceh, khusyuklah sangat! Gadis itu pun ikut-ikut mencuri dengar perbualannya dengan umi.
"Hm, okeylah. Lagi 10 minit Han sampai." Talian diputuskan tak lama selepas itu. Wajah Han monyok semacam baru dilenyek gajah.
"Amacam?" soal Farha.
"Mak ayah aku dah siap tercongok depan rumah kita tu, babe. Dahlah tak ada khabar berita apa, tup tup dah sampai sini."
"Kau biar betul?"
"Betullah. Ada nampak macam aku bergurau ke?"
Farha mendecit perlahan. Dahi licin digaru-garu bingung.
"Kat rumah tu bukan ada apa-apa makanan nak jamu. Macam mana ni, Han?"
"Alah, apa susah? Kau singgah je mana-mana gerai. Boleh beli pisang goreng ke apa-apalah nanti."
"Haah kan? Bernas kepala otak kau! Kenapalah aku tak terfikir tadi?" omel Farha seraya menambahkan kelajuan pada pemanduannya. Mercedes Benz berwarna putih itu meluncur laju di atas jalan raya sementara Han mengintai tepi jalan, mencari gerai-gerai makanan yang dibuka pada waktu tengah hari begini.
"Slow sikit. Karang terlepas gerai pula," tegur Han. Farha turutkan sahaja.
Lama mereka memerhati keadaan sekeliling. Tak ada pula nampak tanda-tanda orang berjual di tepi jalan. Farha mengeluh berat.
"Babe, hari ni cuti apa do? Lama dah kita pusing-pusing ni, tak ada satu pun gerai yang buka. Kesian pula kat mak ayah kau tunggu lama kat rumah tu."
Han menggaru-garu kepala yang berbalut tudung bawal. Dia pun buntu sebenarnya memikirkan soal ini. Tiba-tiba dia memetik jari kuat dengan wajah yang bersinar terang.
"Aku ada idea! Kau try berhenti kat depan sana tu."
"Gerai buah tu ke?"
"Haah. Hidang buah pun okay what?"
"Hm, lantak kaulah!" Farha akur sahaja. Asalkan ada makanan untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang dari jauh, itu sudah cukup. Tetamu itu pembawa rahmat maka perlulah diraikan sebaiknya.
***
"KAU dah tak ada kerja sangat ke sampai sudi melepak kat tempat aku ni?" bebel Firash sambil menyusun buah-buahan di dalam bakul besar. Bakul itu akan ditayangkan di hadapan gerai. Kalau pengunjung nampak buah-buahan di situ tidak tersusun, automatik satu gerai ini dilabel teruk.
First impression is really an important thing!
"Salah ke?"
"Ada aku cakap salah? Tak ada kan? Ini mesti waktu ujian mendengar SPM dulu kau terciduk,"
"Eh, mulut kau elok sikit eh! Aku dapat A+, kau apa tahu?" Pucuk hidung digabus dengan hujung ibu jari. Acah bagus!
Firash ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Terhibur dengan telatah teman baiknya.
"Aku seganlah kau duduk sini."
"Kenapa pula? Kau ni... terasa hati aku. Hina sangat ke aku nak duduk sekali dengan kau kat sini?"
Firash menjeling si lelaki yang duduk elok di atas bangku merah itu. Sebiji nanas diangkat bersama. "Ini kalau aku baling kat kau, habis rabak muka kacak kau. Nak?"
Tawa si lelaki pecah kuat. Firash mendengus seraya kembali menyusun buah berkulit tajam itu ke tempatnya.
"Bukannya sembang pasal hina tak hina. Kau tengoklah, kau dengan kot hitam, tali leher siap. Duduk melepak kat gerai buah aku. Tak setaraf dengan pangkat kau as-"
"Aip, shh! Shh!" Arsalan mengangkat jari telunjuk ke tepi bibir, mengisyaratkan supaya Firash berhenti berceloteh.
"Dah kalau kau tak puas hati sangat dengan kot aku, aku tanggal okey?" Tangan kanan bergerak merungkaikan ikatan tali leher. Kemudian, kot hitam yang tersarung kemas pada tubuh turut ditanggalkan dan disangkut pada sebuah rak berdekatan.
"Eh, takkan nak sangkut situ je?" tegur Firash. Arsalan menjongketkan sebelah kening.
"Dah tu?"
"Ish, kalau aku cakap kau tak sayang barang karang, marah. Bak sini kot tu!"
"Kau nak bawa ke mana kot tu?" Mata Arsalan mengekori langkah Firash yang bergerak masuk ke ruangan belakang gerai.
"Aku nak sangkut kat tempat elok sikitlah. Kau tunggu depan ni. Kalau ada orang nak beli, layan je."
"Kau gila ke? Aku mana reti!"
"Alah, kau buat-buat jelah reti. Lagipun aku yakin mana ada orang nak beli waktu tengah hari rembang macam ni. Tapi kau tunggu jelah. Standby."
Bayang Firash sudah menghilang sekelip mata. Arsalan mencebik menyampah. Dia membetulkan duduk di atas bangku merah berkaki empat itu.
Tak lama kemudian, tubuhnya disapa kehangatan cuaca. Tak tahan, dia menanggalkan beberapa biji butang atas kemeja putih, mendedahkan sebahagian dada bidangnya. Lengan kemeja turut dilipat sampai paras siku.
"Ah, kalau aku tahu panas macam ni, patutnya aku singgah rumah dulu tukar baju." rungut Arsalan sambil mengibas wajah dengan surat khabar lama.
Hari ini dia bekerja separuh hari. Alang-alang itu, dia meluangkan masa bersama Firash di gerai buah ini walaupun mereka sudah kerap bertemu. Boleh kata setiap hari bertentang mata. Rindulah kononnya.
Tumpuannya dicuri tatkala sebiji kereta mewah datang memarkir di tepi gerai. Seorang gadis bertudung bawal yang dipadankan dengan blaus paras lutut dan seluar slack longgar keluar dari kereta itu lalu berjalan mendekat.
Arsalan seakan terpukau melihat kecantikan gadis yang bak bidadari. Tudung si gadis tak berapa labuh namun menutup sempurna dada itu sangat menarik minatnya. Dia langsung tak menyangka masih ada segelintir kaum Hawa yang menjaga etika pemakaian di akhir zaman ini.
Sedar tak sedar, gadis bidadari itu sudah berhenti di hadapan matanya. Arsalan diam menilik seraut wajah ayu itu. Dari kening, mata, hidung dan akhirnya turun pada ulas bibir merah si gadis.
Gulp.
Arsalan menelan liur. Hatinya memuji tanpa henti kecantikan si gadis. Tatkala cahaya matahari menyinggah, pipi mulus yang sedia merah itu bertambah merona. Parfait!
"Saya nak beli ni ya," pinta si gadis. Bergetar tulang rusuk Arsalan sebaik sahaja mendengar suara lemak merdu itu. Ini kalau dalam kartun, pasti sudah ada drooling effect pada wajahnya.
"Berapa?"
"3 kilo."
Arsalan menimbang beberapa biji buah jambu batu sampai cukup 3 kilo seperti yang diminta. Kemudian, dia memasukkannya ke dalam beg plastik lalu dihulurkan kepada si gadis yang masih berdiri di ruangan hadapan gerai.
Dia berdiri menunggu gadis itu berhenti membelek-belek buah-buahan di dalam bakul besar. Sementara itu, dia menjamu matanya dengan pemandangan indah yang jarang sekali boleh dapat dalam hidup.
"Hm, pak cik!"
Hah?
Si gadis mengangkat wajah dan merenungnya. Arsalan menalakan jari telunjuk ke dadanya. Diakah yang dipanggil pak cik tadi?
Gadis itu mengangguk. Lahhh, tak cukup kacak ke sampai gadis itu boleh tertukar muka dia dengan pak cik? Arsalan mengemam bibir. Tak tahu nak nangis ke nak gelak.
"Boleh tolong pilihkan nanas untuk saya tak? Saya nak makan lagi 3 hari macam tu. So, nak yang muda ya!"
Ah, sudah! Dia bukannya penjual buah malah gerai ini pun bukan miliknya. Sah-sahlah dia tak reti memilih buah. Tak kiralah nak makan 3 hari ke, seminggu ke, dia kisah apa!
"Err..."
Gadis itu mengerutkan dahi apabila melihat Arsalan masih tercongok di hadapan bakul nanas. Nampak khusyuk benar merenung buah. Tengah buat hubungan telepati ke apa?
Arsalan menggaru-garu belakang kepalanya. Dalam hati berharap supaya Firash cepat-cepat muncul sekarang. Habis segala sumpah seranah dia keluarkan buat si Firash mangkuk. Otak dia kononnya tak ada pelanggan nak datang menyinggah waktu terik macam ni! Habis tu, makhluk Tuhan yang sedang berdiri elok di hadapannya ini siapa? Kucing jadian?
"Cik, macam ni... saya-"
"Ah, cik! Nak beli apa ya?"
Firash datang tepat pada waktunya! Dari jauh dah boleh nampak lelaki itu sedang tersenyum lebar sambil merapati mereka. Arsalan menghela nafas lega.
"Bagi saya nanas sekilo. Nak yang muda," Perhatian si gadis sudah teralih. Tidak lagi buat Arsalan.
Arsalan memerhatikan sahaja Firash yang rancak berbual dengan si gadis. Sesekali gadis itu ketawa kecil dengan lawak spontan yang Firash buat.
"Ini kawan saya, Arsalan. Dia bukan pekerja sini." Firash memperkenalkan Arsalan kepada gadis itu. Kembang kempis hidung Arsalan tatkala mendapat senyuman manis daripada bidadari pujaan hati.
"Oh, patutlah segak sangat dengan kemejanya. Hm, saya pergi dulu ya? Terima kasih!" ucap gadis itu lalu melangkah pergi.
Arsalan terkedu dipuji si gadis. Tubuhnya mengejung lama sebelum tersedar yang gadis itu sudah melangkah jauh darinya. Tak sempat dia mahu bertanya apa-apa tentang si gadis. Melepas!
Happy reading!
Share this novel