AYDEN datang menjemput Teh di kampung pagi itu. Gamat sekejap rumah dengan suara lantang umi berpesan itu ini. Sesekali Encik Makhtar menyampuk, menyuruh isterinya bawa bertenang. Farha yang memerhati tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Bam!
But kereta dihempas perlahan. Bermacam-macam jenis makanan Encik Makhtar dan Puan Hanim bekalkan. Memandangkan sekarang musim buah, berbiji-biji durian disumbat di dalam but. Bau semerbaklah kereta Ayden nampaknya!
Usai memastikan barangan sudah siap dimasukkan ke dalam kereta, Teh berpatah semula ke pintu rumah. Dia mendapatkan Encik Makhtar dan Puan Hanim lalu menyalam sopan tangan kedua-dua orang tua itu.
Sampai di hadapan Farha, tubuhnya ditundukkan sedikit. Tanda menghormati gadis itu biarpun mereka tak boleh bersalaman jauh sekali berpelukan.
"Saya balik dulu,"
"Terima kasih pinjamkan kereta. Ni bekal awak dengan Abang Ayden." Farha menghulurkan sebuah mangkuk tingkat kepada Teh.
Dia masuk dapur awal pagi bagi menyiapkan bekalan Teh. Dimasak dengan penuh kasih-sayang supaya Teh dapat mengisi perut sewaktu dalam perjalanan nanti.
Teh terkedu. Lambat-lambat tangannya menyambut huluran Farha. Mahu diintai isi mangkuk tingkat itu namun tak sopan pula rasanya. Lantas dia tahankan sahaja rasa ingin tahu itu.
"Awak masak?"
"Sayalah masak. Simple je. Ada sambal petai dengan ayam kunyit."
Kecur liur Teh mendengar menu. Dah lama dia tak makan masakan sebegitu. Ikut hati, nak je dia makan sekarang.
"Terima kasih." ucap Teh lalu menghayun langkah ke kereta. Ayden dah siap menunggu di dalam kenderaan, bersedia memegang stereng lagikan.
"Pergi dulu, umi, abah." pamitnya sekali lagi berserta lambaian sayu. Kedua-dua orang tua itu membalas dengan senyuman manis.
"Hati-hati memandu. Kalau Ayden mengantuk, suruhlah Teh pula drive ya!" Puan Hanim menguatkan suara berpesan kepada anak muda kenalan Teh itu.
"Ya, mak cik!"
"Kalau Teh buat perangai kat KL tu, mak cik izinkan je Ayden nak rotan dia."
Tawa Ayden meledak sementara Teh memuncungkan bibir. Apa Puan Hanim ingat dia masih anak kecilkah yang perlu dirotan bila berperangai tak semenggah? Dia dah masuk fasa 30-an. Dah boleh jadi bapak orang pun!
Tayar kereta itu bergolek perlahan-lahan keluar dari halaman rumah. Semakin lama semakin menjauh lalu tak kelihatan lagi.
Puan Hanim mengerling Farha di sebelah. Bahu itu ditepuk-tepuk perlahan.
"Tak payah sedihlah. Ada rezeki, tak ke mana. Doa je banyak-banyak." bisik wanita itu sebelum beredar ke dalam rumah bersama Encik Makhtar.
Farha terpana. Sel-sel otaknya berhubung memikirkan kenapa Puan Hanim tiba-tiba berkata begitu kepadanya. Adakah bisikan hatinya terlalu jelas hingga boleh terbias pada wajah?
Ataupun... Puan Hanim ini sebenarnya seorang 'kasyaf'?
Gulp.
Liur kelat diteguk. Peluh dingin yang memercik di dahi dia lap dengan belakang telapak tangan. Malas mahu menyerabutkan kepala, dia melangkah masuk jua ke dalam rumah.
***
SUNYI. Kosong sangat rasanya sejak Teh pergi dari rumah separa kayu dan batu ini. Kalau sebelum tidur, dia akan menghidangkan susu panas dengan rela hatinya buat Teh namun pada malam ini, tiada lagi suara yang meminta untuk dibancuhkan minuman.
Farha bertekuk lutut di kepala katil. Telefon bimbit dikerling berkali-kali setiap kali mendengar bunyi mesej masuk. Namun, setiap kali itulah hatinya sendiri yang hampa dan kecewa.
Tak mungkinlah Teh mahu menghantar pesanan ringkas kepadanya kalau itu bukan perkara penting. Takkan pernah terjadi!
Keluhan panjang dihembuskan. Bosan terperap di dalam bilik sahaja, lalu dia memutuskan untuk mengambil angin di beranda rumah.
Dia mendongakkan kepala, merenung hamparan kanvas gelap di atas sana. Langit hitam pekat tanpa bulan. Barangkali hujan akan turun tengah malam nanti.
Farha memeluk tubuh, cuba menghangatkan tubuh yang disapa bayu malam yang sejuk. Jauh dia merenung, teringatkan memori beberapa tahun lalu.
***
PENSEL dalam genggaman dikemam hujungnya sebelum dibuat mengetuk-ngetuk perlahan paha yang bersila elok. Berkerut-kerut dahinya memikirkan jalan penyelesaian untuk soalan Matematik yang sedang dihadap.
"Dapat jawapan dah ke, Han?" Dia mengerling ke arah Han yang sedang khusyuk menconteng kira-kira di atas helaian kertas.
Tugasan yang patut dihantar esok pagi tetapi baru hari ini mereka kalut untuk menyiapkannya. Sedangkan cikgu telah memberikannya lebih seminggu yang lalu.
"Tak... jawapan aku asyik salah je!" Han mencampakkan pensel, geram. Tertekan bila jawapan yang dia peroleh lebih 1 angka daripada pilihan jawapan yang disediakan.
"Kalau cikgu tak minta jalan kerja, dah siap dah soalan kita ni. Apa susah? Main hentam jelah!"
"Itulah..." Farha mengeluh.
"Eh, kau tu tunggu jawapan aku je! Kira tak pun." selar Han sambil menjeling tajam ke arah Farha. Cepat-cepat Farha back up dirinya.
"Hello, baik-baik sikit eh! Aku kira banyak kali dah ni. Dah tak dapat jawapan, aku tunggulah jawapan kau. Kau tak payah sembanglah pasal ni. Kau pun asyik tunggu jawapan aku je setiap kali buat latihan BI."
Han tersengih bila diperli. "Alah, kau! Macamlah kau tak tahu aku ni lemah subjek bahasa penjajah tu."
"Hah, kau pun macamlah tak tahu aku lemah subjek kira-kira ni! Dapat C waktu test hari tu pun dah dikira lega boleh terselamat daripada rotan Cikgu Madi tu."
Ada give and take dalam hubungan mereka. Farha yang lemah subjek Matematik tetapi pintar Bahasa Inggeris akan membantu Han yang lemah Bahasa Inggeris tetapi terus tergolong dalam golongan cendekiawan bila berkaitan Matematik.
Tiba-tiba Teh muncul di situ. Siap berjersi dan seluar tiga suku bawah lutut. Nampak gaya nak keluar bermain. Maka, Han laju menahan abangnya.
"Teh nak pergi mana?"
"Padang. Saya dah janji nak main bola hari ni. Kenapa?"
"Awak tolong ajar saya kejap. Satu soalan je," Han tersengih. Teh menayangkan wajah toya. Ditolak permintaan itu dan dia menyuruh Han meminta tolong daripada Angah sahaja.
"Tak nak! Angah ajar macam singa. Saya tak faham langsung pun nanti. Awak jelah ajar saya,"
"Ish, awak ni macam-macamlah! Saya lambat karang, tak pasal-pasal diorang denda saya lari keliling padang."
"Kejap je, Teh! Awak tak sayang saya ke?"
Han mula menjentik punat kelemahan Teh. Mata dikelip-kelipkan gaya puppy-eyes. Membebel Teh yang bengang dengan keletah adiknya sebelum mendekati meja tempat Han dan Farha duduk tadi.
"Mana soalannya?"
"Ini..."
"Apa masalahnya? Betul dah jalan kerja awak tu. Tapi cuba tengok nombor ni... awak silap salin soalan, manalah nak dapat jawapannya." Bibir Teh masih tak berhenti mengomel sambil tangannya bergerak-gerak membulat kesalahan jalan kira di buku Farha dan menulis perkataan 'salah' besar-besar di tepinya.
Bengang, Farha menepis laju tangan Teh. "Orang suruh awak ajar je! Tak payahlah menconteng buku saya. Dahlah tulisan awak buruk."
"Eh, dia ni! Dah minta tolong, tak reti bersyukur pula. Nah, rasakan!"
Teh menambah contengan yang sedia ada. Habis comot buku latihan si gadis. Han yang memandang tak masuk campur malah mentertawakan temannya yang dibuli oleh abang sendiri.
"Han yang minta tolong, kenapa saya yang kena?" Nyaring suara Farha membidas Teh.
"Sebab awak selalu buat saya geram." balas Teh, selamba. Lalu dia mengangkat kaki beredar dari situ.
Farha merenung pemergian Teh dengan bibir yang terketap rapat. Kecil besar je dia tengok lelaki itu sekarang. Tolak masuk sungai, best juga ni.
"Kenapa eh? Abang kau tu selalu tak puas hati dengan aku!"
"Entah. Selalu dia bergaduh dengan adik-beradik lelaki je. Ini first time aku nampak dia ajak kau bergaduh sekali."
Mulut Farha terlopong luas. "Oh, aku tak sangka Teh kaki gaduh juga! Aku tengok dia dengan kau lembut je."
"Gaduh sebab nak perhatian je tu. Dia kan anak lelaki bongsu. Selalu kena 'palau' dengan abang-abang yang lain. Mungkin dia nak perhatian kau juga. Itu sebab dia ajak bergaduh."
Jawapan Han membuatkan dia terdiam seribu bahasa. Tanpa sedar, pipinya kebas merona. Teh nakkan perhatiannya? Betulkah?
Happy reading! Korang boleh follow saya di IG, @wlxvxrinx kalau nak tengok bayangan watak-watak penting dalam cerita ni.
Share this novel