26 | Ya rouhi

Romance Series 14468

   KALENDAR dikoyak. Helaian kertas bulan lepas digumpal-gumpal sebelum dibuang ke dalam tong sampah. Kemudian, dia berdiri bercekak pinggang menatap tarikh-tarikh dalam helaian baharu.

"Dah 2 minggu saya jadi isteri awak." ujar Han seraya melabuhkan punggung di atas riba Arsalan. Tersentak si lelaki yang sedang tekun menyiapkan kerjanya di meja.

Han sengaja melentokkan kepala ke dada itu. Bukannya dia tidak mendengar dengusan Arsalan tapi dia meneruskan juga niatnya. Senyuman nipis merekah tatkala Arsalan berusaha juga menampung berat tubuhnya.

Arsalan memejamkan mata, rapat. Kadang-kadang geram juga dia dengan Han yang suka main aci redah. Nasib sayang. Kalau tidak, dah lama dia tolak biar terbongkang jatuh ke bawah.

"Hmm,"

Han pandang Arsalan dengan riak tidak percaya. Hm je? Ee, kata kayu kang marah!

"Awak tak ada terfikir ke apa yang mama cakap semalam? Bawa saya honeymoon, please?" Han mengerdip-ngerdipkan matanya, berlagak comel.

Arsalan menghembuskan keluhan. Dia tidak dapat menumpukan perhatian lagi menyiapkan kerjanya maka Macbook itu dilipat sesudah menukarkannya kepada mod sleep.

"Awak masuk kerja bila?"

"Minggu depan."

"Nantilah saya fikirkan." ulas Arsalan.

Penting ke honeymoon? Kalau dah malu tu, pergi mana-mana pun malu. Membazir je duit kalau macam tu.

"Awak," Suara Han berubah menggoda. Kejang sekejap tubuh Arsalan jadinya. Dia berusaha mengawal bunyi tegukan liur supaya tidak kedengaran begitu jelas kepada Han yang masih melekat pada tubuhnya.

"Hmm,"

Han mencapai tangan kanan Arsalan. Dibelek-belek jemari runcing yang pada jari manisnya, tersarung sebentuk cincin perkahwinan mereka. Cemburu dia melihat tangan yang begitu cantik itu. Kalah perempuan!

"Sepanjang kita kahwin, saya tak pernah dengar awak panggil saya macam pasangan lain."

Dahi Arsalan berkerut. Panggil macam pasangan lain? "Maksud awak?"

Han mendengus kencang. Dia bangkit serta-merta dari riba si lelaki lalu berjalan ke tepi jendela. Pandangan dibuang ke luar, merenung taman mini di luar vila yang tersergam indah ini.

"Maksud saya, saya teringinlah nak dengar awak panggil saya sayang macam orang lain! Kita asyik 'saya-awak' je. Tak sweet langsung!"

Lah, rupanya itu yang disebalkan oleh Han. Arsalan menyembunyikan tawa geli hati. Ingatkan tak terlintas langsung untuk punya panggilan istimewa tetapi mengharap juga dalam diam rupanya.

"Awak nak saya panggil apa?"

"Sayang?"

"Hmm..." Herot sekejap bibir merah Arsalan sebelum kepala itu menggeleng-geleng tidak setuju. Han mencebikkan bibir.

Bertambah-tambah rasa sebalnya dengan Arsalan. Tangan dibawa memeluk tubuh sendiri seraya wajah berkerut seribu.

"Dah agak! Apa je yang saya minta awak nak? Semua awak tak nak. Tak best la awak ni." Suara Han pecah, dah macam nak nangis.

Serba salah, Arsalan cuba meraih lengan itu namun ditepis kasar oleh Han. Masih lagi merajuk dengan si suami yang begitu pemalu.

Han terus merebahkan tubuh ke atas katil dan menarik selimut menutup wajah. Bila terasa tilam di sebelah mendap, dia mengeraskan sekujur tubuhnya. Tangan Arsalan cuba menarik selimut namun Han menahan.

"Awak marah saya ke?"

Tanya lagi! Kenapa slow sangat, Arsalan? Payah ke nak faham apa kehendak yang seorang isteri cuba sampaikan?

Mengalah dengan kedegilan Han yang tidak mahu mengalih selimut ke tepi, Arsalan menjatuhkan tangan. Bukan di atas tilam tetapi diletakkan di atas tubuh si kecil, membelit pinggang ramping Han.

"Ya rouhi," Arsalan menyeru lembut. Penuh kasih-sayang. Menyentuh terus ke dalam hati Han.

"Ya rouhi, wallahi inni uhibbuk." Wahai jiwaku, demi Allah sesungguhnya aku mencintaimu.

Han terkedu. Walaupun dia tidak berapa mahir bahasa al-Quran itu tetapi dia tahu maksud 'uhibbuk' yang baru disebut tadi.

Lambat-lambat Han mengintai wajah Arsalan dari balik selimut. Arsalan tersengih nakal. Dijatuhkan ciuman pada dahi si isteri.

Dia berbisik, "Marah lagi tak?"

Han mencebikkan bibir lalu memutarkan bebola mata. Sengaja menyorokkan rasa sukanya. "Main kotor."

Tawa Arsalan pecah. Baru dia nampak perangai sebenar Han bila malu-malu. Ego betul nak mengaku pun!

"Kita tidur nak? Esok nak bangun awal."

"Hmm,"

Isteri dah bagi green light. Dia pun apa lagi? Terus menarik selimut Han dan dikongsi bersama. Tubuh Han dibawa rapat ke dadanya.

"Pergilah tutup lampu dulu!" Han menolak tubuh Arsalan menjauh. Hampir sahaja lelaki itu jatuh katil lagi kalau si Arsalan tidak bertahan terlebih dahulu.

Geram, tangan Han dijentik manja. Isyarat bahawa Arsalan tidak suka tangan itu berlaku kasar kepada seorang suami. Han menjuihkan bibir.

"Sorry."

Tap!

Lampu pendaflour sudah dimatikan dan digantikan dengan cahaya suram dari lampu tidur yang terlekat pada dinding kepala katil. Barulah masing-masing selesa untuk tidur.

***

    ARSALAN meraba tilam di sebelah. Kosong. Dia terpisat-pisat bangun bersila di atas katil. Mata digenyeh-genyeh perlahan, membuang kabur yang membalamkan pandangan.

Kemudian, dia meliarkan pandangan ke segenap ruang bilik, mencari kalau-kalau isterinya tidur di atas sofa. Aneh, tidak kelihatan pula. Di mana perginya si Han ini?

Tika dia menjulurkan kaki turun dari katil, dia merasa seakan terpijak sesuatu. Bunyi rengekan terbit tiba-tiba. Pantas dia mengintai ke bawah.

"Lah, kenapa awak tidur kat sini?" omel Arsalan. Dalam banyak-banyak tempat, karpet kaki berbulu di tepi katillah menjadi pilihan Han.

Tanpa membuang masa, dia lekas menyauk tubuh kecil itu dan dibaringkan di atas katil. Han merengek-rengek perlahan, tak selesa apabila tidurnya diganggu namun mata itu masih belum terbuka.

Bibir Arsalan merekahkan senyuman lebar. Rambut panjang Han dielus-elus lembut sebelum dia melabuhkan sebuah kucupan kudus di dahi itu.

Dah alang-alang Han dalam keadaan tidak sedar, ada baiknya dia lebihkan kasih-sayangnya. Habis seluruh wajah Han mendapat habuannya. Apabila Han kelihatan seperti hampir bangun dari tidur, Arsalan segera melarikan diri ke bilik air. Tak mahu gelagatnya ditangkap oleh isteri.

***

USAI mengaminkan bacaan doa untuk solat Subuh pagi itu, Han menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Arsalan. Si lelaki berpusing menghadapnya dan menyambut huluran itu. Tak cukup dengan itu, dahi Han mendapat habuan.

"Suka kiss dahi orang." rungut Han sambil melabuhkan kepala ke riba Arsalan. Bermalas-malasan selepas solat.

"Habis tu, awak nak suruh saya kiss kat mana?"

"Banyak lagi tempat lain. Pipi ke, mata ke, ataupun kalau awak rajin, bolehlah-"

Arsalan cepat-cepat memotong ayat isterinya sebelum Han pergi lebih jauh. Oh Tuhan, dia tak sanggup dengar!

"Kiss kat dahi tu ada maksud tersendirinya."

"Apa maksudnya?"

"Awak carilah sendiri."

Nak harapkan Arsalan memberitahu apa maksudnya? Heh, gajah terbang pun belum tentu lagi lelaki itu nak buka mulut!

Yang si Han ni pun satu. Banyak lagi soalan boleh ditanya, boleh dirungutkan. Pasal isu sekecil ini juga nak diomelkan. Rotan tangan tu karang!

"Semalam kenapa awak tidur kat alas kaki tu? Nasib saya sedar. Kalau tak, lenyek dah awak saya pijak. Saya campak je dalam kuali buat goreng-goreng kalau macam tu."

Bibir Han yang memuncung berubah tersenyum lebar. Mata itu bersinar terang. Lalu, si gadis ketawa geli hati.

"Saya panas. Awak tutup aircond awal sangat. Saya cari-cari port yang selesa, kat situ juga yang saya boleh lena. Itu sebab saya tidur situ je."

"Lah, kenapa tak on je balik aircond tu?"

"Malas."

Pening kepala Arsalan dengan perangai pelik Han. Pusing bilik mencari port tu bukan kena berjalan ke? Dah alang-alang berjalan, pergi jelah capai remote atas meja solek tu. Melainkan Han mengesot ke seluruh pelosok di dalam bilik, logiklah sikit kalau nak malas pun.

"Awak tu tanya saya banyak sangat, awak solat apa awal pagi tadi?"

"Bila?" Arsalan buat-buat terkejut. Tapi memang dia terkejut pun. Macam mana Han boleh tahu dia solat sebelum Subuh tadi? Waktu itu kan Han masih lena.

"Ada, dalam gelap. Pukul 4 pagi macam tu kut."

Sebenarnya dah lama Han perasan semenjak menjadi isteri Arsalan. Namun, baru hari ini dia mahu menyoal.

"Solat sunat je tu. Dah alang-alang bangun, buat jelah. Eh, dahlah! Awak pergilah turun masak. Mama dah masuk dapur selalunya waktu macam ni."

Han akur dengan perintah suaminya. Lalu, dia bangkit melipat telekung sementara Arsalan mengemaskan hamparan sejadah yang mereka pakai sebentar tadi.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience