06 | Hangout

Romance Series 14468

   FARHA rasa sekujur tubuhnya menjadi kejung sebaik melihat Teh di hadapan mata. Sangat segak! Kalau dahulu, Teh sudah tergolong dalam kategori yang sedap mata memandang namun kali ini lagi berganda-ganda kacaknya. Terlalu sempurna dibandingkan dengannya.

Dia sekadar memerhati Han berlari mendapatkan abangnya. Han merangkul pinggang Teh manakala Teh melabuhkan kucupan di dahi Han. Persis pasangan bercinta. Cuma apa yang lebih menarik, Han yang jelita nampak sepadan berdiri di sebelah Teh yang kacak bergaya.

"Rindu awak," rengek Han, manja. Wajahnya disembamkan di dada Teh. Langsung terlupa kepada yang memerhati.

Teh ketawa kecil sambil mengelus-elus lembut kepala si adik yang berbalut bawal. "Malulah kat orang tengok kita, dik." bisik Teh.

"Alah, biarlah. Farha sorang je."

"Saya bawa kawan sorang."

Han tersentak. Pantas dia mengangkat wajah dan ternampak seorang lelaki sebaya Teh sedang bersandar di sudut kereta sambil merenung ke arah mereka. Bila mata kedua-duanya bertembung, lelaki itu tersenyum manis seraya melambai-lambaikan tangan.

Wajah Han langsung merah padma. Dada Teh ditampar manja bersama dahi yang dikerutkan. "Kenapa tak bagi tahu?"

"Tak sempat. Awak dah peluk saya macam tak jumpa sebulan." Teh tersenyum menayangkan barisan gigi putihnya.

"Bukan sebulan tapi berbulan-bulan!"

Teh melepaskan tawa sopan seraya menekup pipi mulus Han. Kepala si adik didongakkan menghadapnya. "Sorry la. Saya sibuk sangat-"

"Ehem!"

Tangan Teh terlepas. Matanya menjeling Ayden yang menjulingkan mata. Menyampah la tu tengok kita dengan adik!

"Aku panas dah ni berdiri kat sini. Boleh masuk shopping complex dulu kut, baru sambung sweet scenes korang." perli Ayden.

"Kau ni tak bagi chance langsung aku nak lepas rindu!"

"Kisah pula aku. Dah-dah, jom!" Ayden mengetuai kumpulan menuju ke dalam bangunan pusat beli-belah yang tersergam indah. Baru sahaja Teh mahu menarik tangan Han untuk berjalan beriringan, Han menolak lembut.

"Kesian kat Farha,"

Pandangan Teh jatuh sekejap pada Farha. "Oh... okey." Teh mengerti lantas menjauh mendapatkan Ayden di hadapan. Han pula mengajak Farha berjalan sekali dengannya.

***

  HAMPIR seharian mereka menghabiskan masa di pusat beli-belah itu. Kalau tak mendengar omelan Ayden yang sudah penat berjalan ke sana-ke sini, masing-masing masih tak mahu berhenti berlibur. Han mahu menggantikan sepuas-puasnya waktu tanpa Teh sebelum ini.

Kesian dengan Ayden yang mengadu lapar, semua bersetuju untuk berehat sebentar di kafeteria bagi menjamu selera sebelum bergerak ke surau kemudiannya.

Han menghembuskan keluhan berat tatkala punggung mencecah kerusi. Bila dah duduk macam ni, baru dia sedar yang kakinya sudah penat berjalan merata hari ini. Dia melepaskan lelah sambil menyandarkan kepala ke bahu Teh.

"Awak nak order apa? Biar saya jelah yang beli." tawar Teh. Dia sudah berkira-kira ingin bangkit dari kerusi namun ditahan oleh Han.

"Sekejaplah. Awak ni tak penat ke?"

"Penat tu penatlah. Tapi nanti lambat pula nak solat Zuhur,"

"Kejap je."

Teh mengalah dengan pujukan Han. Dibiarkan adiknya menyandarkan tubuh ke dada bidangnya. Lama anak matanya merenung seraut wajah mulus itu.

"Cantik awak sekarang," puji Teh, ikhlas. Sudah lama sangat rasanya dia tak bertentangan mata dengan si adik. Kalau tak melihat terus ke dalam anak mata hazel Han, dia sendiri bingung yang mana satu adik kandungnya. Sama ada Han ataupun Farha, kedua-duanya kelihatan hampir serupa.

"Awak pun makin handsome. Dah ada girlfriend ke?" Teh tersedak lantas terbatuk-batuk kecil. Dikerling sekilas Ayden yang turut tergamam mendengar soalan cepumas itu.

Han bingkas menjarakkan tubuh dari si abang. Wajah Teh direnung tajam. Kenapa dia rasa macam Teh ada menyorokkan sesuatu eh?

"Kenapa awak macam terkejut sangat ni?"

"Awak tu... dari dulu sampai sekarang tak berubah. Suka main serkap jarang." Teh menjeling Han. Gadis itu tersengih lebar.

"Sorry." ucap Han. Teh bo layan. Dah sedia tahu yang ucapan maaf itu sekadar bermain di bibir namun hati Han tak benar-benar memaksudkannya pun.

Ekor mata Han melirik ke arah Farha yang cuma berdiam diri memerhati keletah mereka adik-beradik daripada tadi. Spontan tangannya menepuk-nepuk paha Teh.

"Apa?"

"Awak tak ingat ke siapa dengan saya ni?" Han menjuihkan bibir ke arah Farha. Teh terbata-bata mencuri pandang gadis muda di hadapan mata.

"Kawan awaklah. Mana saya tahu,"

"Eee... tengoklah betul-betul!"

Pipi Teh merona bila dipaksa Han. Takkanlah dia nak merenung terus gadis muda itu? Dia malu lantaran mereka tiada apa-apa ikatan.

Lambat-lambat dia meluruskan pandangan ke arah Farha yang menundukkan wajah, diam menekur meja. Dia merenung lama sambil cuba meraih memori di mana dia pernah berjumpa dengan gadis itu.

"Siapa?" bisik Teh, halus.

Han menjulingkan mata. Rasanya dia dah cakap banyak kali nama temannya itu tadi tapi takkan tak ada satu pun yang melekat dalam kepala Teh?

"Farha. Farhatun Najwa, perempuan yang Izzul kejar dan mengaku awek dulu tu."

Dahi Teh berkerut. Macam kenal tapi...

Teh masih memandang Farha lalu berkata, "Awak yang... yang..."

Jeda. Tak sampai hati pula mahu diungkit kisah lama yang begitu memalukan. Dia mengemam bibir.

Ayden tiba-tiba bangkit dari kerusi seraya menyelukkan tangan ke dalam kocek seluar. "Korang sembanglah dulu. Aku nak pergi cari Tealive kejap. Tiba-tiba rasa macam nak minum smoothie."

Teh menganggukkan kepala. Tak semena-mena Han ikut berdiri sama sambil melaung kecil,

"Nak ikut!"

Ayden pandang Teh. Teh pandang Ayden. Lambat-lambat Teh menganggukkan kepala, memberi keizinan kepada Ayden untuk membiarkan lelaki itu membawa adiknya.

"Tealive je. Jangan jalan merata pula." pesan Teh sebelum kelibat itu menghilang jauh. Pandangannya ditumpukan buat Farha semula. Masih ada pelbagai persoalan yang belum terjawab.

***

   DIA cuma mahu memberikan ruang buat dua orang kesayangannya itu berbicara dari hati ke hati. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, permintaan Ayden itu membuatkan pelannya berjalan lebih lancar. Dia berpura-pura mahu ke Tealive juga sedangkan niat di sebalik itu sangatlah berbeza.

Bagi Ayden pula berbeza. Darah mudanya bergemuruh teruja sebaik sahaja mendengar permintaan Han yang mahu mengekorinya. Bukan senang nak berdua-duaan dengan Han lantaran Teh sangat menjaga satu-satunya adik perempuannya itu.

Usai membuat pesanan, mereka mengambil tempat di sebuah meja. Mulut masing-masing terkunci. Han memeluk tubuh manakala Ayden pula berpura-pura meliarkan pandangan ke serata pengunjung pusat beli-belah.

Detik ini terasa lama pula. Jarum jam bagai tak berganjak dari angka semasanya. Ayden mengalah. Dia membuka mulut mengajak Han berbual.

"First time saya jumpa awak. Sebelum ni tak pernah tahu pun Rhykal ada adik perempuan."

Han tersengih kekok sebagai balasan. Teh memang payah nak buka mulut soal peribadi. Semua tahu tentang itu. Maka, kalau Teh ada hati dengan seseorang sekalipun, tak akan ada yang mampu menebak lantaran Teh sangat mahir menyembunyikannya.

"Awak belajar lagi ke?"

"Tak. Dah kerja pun kat firma besar. Saya kerja bahagian audit je. Awak?"

"Oh, akauntan la ni! Saya... hmm, saya kerja sekali dengan Rhykal. Peguam."

Kepala Han terangguk-angguk. Kalau tengok gaya pun jelas terserlah ciri-ciri seorang peguam pada Ayden. Tegas dan berwibawa, sesuailah karakter itu dengan kerjanya.

Ayden berdeham perlahan sebelum mula menyoal lagi. Kali ini, soalannya berbaur agak peribadi.

"Awak cantik sangat. Mesti dah ada tunang kan? Tak pun buah hati," Ayatnya tak terus tapi Han tahu ada maksud yang tersirat tersimpan di situ.

Han ketawa kecil seraya menjawab, "Tak. Saya tak ada sebarang hubungan istimewa pun."

Mata Ayden terbeliak. Tak percaya semestinya apabila gadis secantik Han menafikan perkara itu.

"Seriuslah?"

"Yep. Saya belum terbuka hati untuk ada sorang. Eh, sembang pasal saya je! Awak tu apa cerita?"

"Saya?" Ayden tersengih lebar. Rambut yang jatuh menutupi sebahagian dahi disebak ke tepi. "Saya single lagi. Macam awaklah,"

Pandai Ayden mencucuk jarum. Perbualan yang hambar pada awalnya kian menjadi lebih menarik apabila disambut dengan lawak hambar dan tawa sesama mereka. Dari satu topik ke satu topik, mereka semakin melalut mesra.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience