04 | Terserempak

Romance Series 14468

   TANGAN mencapai sejenis phone casing yang kena dengan citarasanya lalu dibelek-belek lama. Sengaja dia keluar sendiri hari ini tanpa Firash di sisi. Rasanya sudah lama sangat dia berkurung di dalam rumah sejak mendapat projek baharu. Jadi, dia mahu meraikan masa lapangnya dengan keluar bersiar-siar.

"Itu RM 120, bang. Cantik pun cantik, tahan lama." Tak semena-mena tauke kedai mempromosikan barangannya. Arsalan mengangguk sekali. Dia bukanlah nak membeli sangat pun. Sekadar mahu mencuci mata sahaja.

"Tak apa. Saya jalan-jalan dulu tengok ya?" pamit Arsalan, sopan. Tauke berbangsa Cina itu mengangguk dengan senyuman.

Arsalan meneruskan langkah. Kedua-dua belah tangan diselukkan ke dalam kocek jeans biru tua. Selalunya kemeja dan kot tersarung di tubuh namun pada hari ini, dia mengenakan shirt hitam berlengan pendek yang dipadankan dengan sneaker berwarna senada; hitam putih. Sekali tengok, tak macam golongan korporat pun. Dua kali tengok, disahkan positif kacak!

Dia perasan ada mata-mata yang menjelingnya buat kali kedua dan ketiga namun tak dihiraukannya. Hal sedemikian sudah amat biasa baginya yang memang sedia hot. Astaghfirullahal'adzim, makin menjadi-jadi ya perangai perasan dan angkat bakul ini?

Saat dia sedang asyik melilaukan pandangan ke serata kiosk-kiosk kecil yang dibuka di tingkat ini, tiba-tiba matanya terpandang seorang gadis di sudut sana.

Gadis bidadari tempoh hari! Serta-merta darah terujanya menyirap sampai ke kepala. Sepasang mata masih tak melepaskan pandangan kepada gadis ayu itu.

Si gadis pujaan hatinya sedang bergelak tawa dengan dua orang dewasa yang mengapit kiri dan kanan. Kalau tengok gaya, Arsalan mengagak kedua-dua orang tua itu mungkin mak ayah si gadis.

Hati Arsalan meleleh. Separuh jiwanya seakan melayang setiap kali melihat bibir merah itu mengoyak senyuman bahagia. Indah sungguh makhluk ciptaan Allah yang satu ini.

Leka dia dengan khayalannya sebelum merasakan tubuhnya berlanggaran dengan seseorang. Segera dia turun membantu seorang wanita yang kalut mengutip barang-barang yang bertaburan.

"Maaf, cik. Ada barang yang pecah ke?" soalnya serba salah. Kalau dia tak mengelamun waktu berjalan tadi, pasti hal ini takkan terjadi.

Dia ikut berdiri tegak tika si wanita sudah meluruskan tubuh kembali. Dibalas senyuman manis wanita itu dengan setulus hati.

"Tak... terima kasih ya,"

"Saya minta maaf sekali lagi," ucap Arsalan seraya memandang si wanita yang sudah melangkah jauh. Dia melepaskan keluhan berat. Saat kepala dikalihkan mencari kelibat gadis tadi, sosok tubuh itu sudah tidak kelihatan.

Alah, melepas lagi! Decit Arsalan dalam hati.

***

   HAN berdiri di samping Puan Hanim yang leka membelek-belek sehelai gaun pada patung mannequin putih. Mereka sedang berjalan di tingkat ini sambil mencuci mata dengan jualan-jualan yang ada sebelum Puan Hanim tertarik untuk berhenti di sebuah butik pengantin.

"Cantik kan baju ni, Han? Simple pun simple." ujar Puan Hanim seraya mengerling anak daranya di sebelah. Han menganggukkan kepala, bersetuju sahaja dengan pendapat ibunya.

"Bilalah umi boleh tengok Han pakai baju ni? Entahkan umi ada ke tak lagi waktu tu..."

"Umi," potong Han. Ha, nak mulalah tu! Pantang betul melihat baju pengantin, selalu nak kaitkan Han sekali.

Han sedar diri. Umurnya dah lanjut. Hampir sahaja mencecah 30-an beberapa tahun lagi namun itu bukan alasan untuknya segera berkahwin. Banyak lagi wishlist yang perlu ditunaikan. Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan dan diperbaiki sebelum membina rumah tangga.

Tetapi sebenarnya segala alasan yang dia cipta, pokok pangkalnya hanya satu. Dia belum ada jodoh. Lihatlah perangai sengalnya, siapa je lelaki yang nak mendekat? Risau kalau lepas kahwin, kena hantar isteri masuk wad Tanjung Rambutan je.

"Nanti-nantilah Han kahwin,"

"Nanti tu bila?"

Halah. Han mula nak seghabuk peghuk. Dia bawa kedua-dua orang tuanya keluar untuk bergembira tapi alih-alih soalnya juga yang diungkit.

"Umi, boleh tak kita cakap pasal benda ni lain kali? Kesian kat abah tu. Macam dah lapar je menunggu kita dari tadi." Han mengalihkan perhatian kepada Encik Makhtar yang berdiri di luar butik. Pandangan Puan Hanim turut terarah ke situ.

Jam tangan dipandang sekali imbas. Patutlah perut mereka berkeroncong. Sudah melebihi pukul 1 petang rupanya.

"Umi tak sedar langsung hari dah petang. Jomlah kita solat dulu. Baru tenang hati nak makan. Lagi beberapa minit je pun nak masuk waktu Zohor." ajak Puan Hanim.

Mereka berjalan keluar dari butik dan mendapatkan Encik Makhtar yang ralit menunggu. Seperti apa yang Puan Hanim rancangkan, mereka singgah solat dahulu di surau pusat beli-belah sebelum menuju ke sebuah restoran buat mengisi perut.

***

   DIA sedang mengeringkan rambut dengan tuala saat Farha mengetuk pintu bilik tidurnya. Setelah dia menjemput gadis itu masuk, Farha terus melabuhkan punggung di atas katil sambil menadah kedua-dua belah tangan. Muka pun habis boek la tayang riak minta simpati. Han mengerutkan dahi seraya memandang kelaku Farha.

"Kau nak apa?"

"Barang aku,"

"Kau mana ada order apa-apa pun kan tadi?"

Han berjalan menyidai tuala yang lembap lalu menuju ke meja solek. Dia menyikat rambut supaya nampak lebih rapi.

"Alah, takkanlah tak ada buah tangan langsung untuk aku?" Farha memuncungkan bibir. Menyirap darah Han.

"Lah! Buah tangan lemak kau! Tulah... tadi aku tanya kau nak apa-apa tak, kau acah merajuk dengan aku. Ha sekarang baru reti nak tuntutlah, apalah. Ah, tak ada! Tak ada!"

Tanpa sedar, sikat di tangan sudah melayang jauh. Hampir sahaja menggores pipi Farha kalau gadis itu tak sempat mengelak. Lantas sikat itu menyembah lantai. Farha tercengang.

"Kau gila ke? Aku ni bakal kakak ipar kau tau! Buatnya kalau calar muka aku, macam mana aku nak naik pelamin nanti?" bebel Farha.

Han mencebikkan bibir. Eleh! "Aku tak approve lagi kau jadi kakak ipar aku, nyah! Bakal pun tak tentu lagi. Sedar diri sikit."

Farha menghamburkan tawa seraya mendekati Han. Leher itu dirangkul dari belakang. Han menepis-nepis kasar namun dia masih mengeraskan lengan di situ.

"Sorrylah, Han. Maafkan aku eh?"

"Tengoklah dulu!"

"Kalau kau tak maafkan aku, aku cium kau." ugut Farha. Dia tahu Han alah kepada sentuhan. Hatta untuk dipeluk pun Han tak mahu. Inikan pula dikucup. Mati hidup balik pun Han takkan setuju.

"Eee, kau ni gelilah!" jerit Han lalu menolak sungguh-sungguh tubuh Farha menjauh darinya. Rangkulan tadi terlepas. Menggelitik tubuh Han tatkala bebas daripada kekejaman Farha.

"Han, Han... aku tak dapat bayanglah kau dengan suami kau nanti. Entah baru nak peluk sikit, dah kena terajang sampai ke Afrika."

"Hei, kau jangan samakan kau dengan bakal suami aku! Pasal suami... hm, mungkin boleh buat sesi tawar-menawar."

Tawa mereka pecah. Apo tawar-menawar dengan suami sendiri?

"Hah, dah alang-alang kau cakap pasal ni... kau tak ada call abang kau ke?"

Han kembali memasang wajah toya. Kalau Farha tak cakap pun dia sudah sedia tahu yang gadis itu masuk ke dalam biliknya dengan tujuan utama itu. Nak tanya pasal abang.

"Abang yang mana? Kalau pasal yang sulung, alhamdulillah. Sekarang dah ada sorang anak, Wafiq. Membesar sihat-"

"Ish, kau ni!" Farha menyiku kepala Han sampai terhantuk pada cermin meja solek. Masing-masing tak ambil hati pun lantaran mereka sudah selalu melawak kasar.

"Aku tahulah abang kau ramai. Abang yang keempat tu ha,"

Rasa nak muntah hijau Han melihat Farha yang tersipu-sipu malu setiap kali berbicara soal abang keempat yang lebih mesra dipanggil sebagai 'Teh'. Dia pun tak menyangka sudah bertahun-tahun Farha simpan perasaan pada Teh. Sejak zaman sekolah menengah tu! Setia betul.

"Oh... entahlah. Dengar kata Teh tengah sibuk kumpul duit sekarang ni. Nak beli rumah kononnya."

Mata Farha membulat. Dia mendekatkan lagi tubuhnya dengan tubuh Han. Lagak seperti ada rahsia sulit yang mahu dibicarakan.

"Dia dah ada girlfriend ke?"

"Itu aku tak tahu."

Serta-merta wajah Farha berubah mendung. Bahunya jatuh. Han yang perasan lekas menegur,

"Kau kenapa?"

"Macam mana kalau dia dah ada girlfriend, Han? Aku ni cinta separuh mati kat dia. Susah aku nak move on nanti."

"Itulah kau, daripada dulu aku pesan kat kau, bagitahu je dia perasaan kau kat dia. Daripada kau syok sendiri ni, baiklah kau straight to the point je. Kalau betul dia dah ada buah hati pun, tak adalah sakit sangat."

"Aku takutlah, Han. Macam mana kalau dia reject aku?"

"Belum cuba, belum tahu! Payah-payah sangat, sini aku jelah call dia." Han menawarkan bantuan.

Telefon bimbit dicapai dan nombor Teh didail. Farha duduk rapat mahu mendengar sekali perbualan mereka. Tak payah menunggu lama, panggilan itu sudah berangkat dan suara maskulin Teh menyapa lembut.

"Assalamualaikum,"

Han menjeling Farha yang terkinja-kinja seronok mendengar suara buah hatinya. Dia menahan ketawa tatkala melihat wajah merah padma Farha. Bahagia sangat tu!

"Waalaikumussalam. Awak sibuk ke?"

"Hmm, saya baru balik kerja. Awak nak apa?" Kalau orang tak tahu hubungan sebenar mereka, pasti ramai menyangka Han dan Teh pasangan bercinta sedangkan hakikatnya, mereka memang dididik sebegitu sedari kecil.

"Macam penat je bunyinya,"

"Tak! Penat tu boleh rehat nanti. Awak call saya ni mesti ada penting nak bagitahu. Saya dengar,"

Teh, lelaki paling romantis dalam keluarga. Berbeza seratus peratus dengan abang-abangnya lagi 3 orang. Mungkin copy paste terus perangai Encik Makhtar. Namun, romantisnya itu cuma buat yang halal. Yang tak halal, pandang pun Teh segan.

"Hujung minggu ni awak free tak?"

"Awak nak jumpa ke?"

"Kalau awak free, jomlah kita hangout sekali. Dah lama rasanya saya tak jumpa awak."

Han mengenyitkan mata kepada Farha. Ini pakatan rahsia untuk menyatukan Teh dengan Farha.

"Okey. Nanti apa-apa, saya roger lain kat awak. Eh, adik!"

Han tak jadi meletakkan panggilan tika mendengar seruan Teh. Loud speaker masih dibiarkan aktif supaya Farha boleh tumpang mendengar.

"Alhamdulillah awak call saya malam ni. Saya pun rasa lama sangat tak sembang dengan awak. Awak sihat?"

"Sihat, alhamdulillah."

Bila Teh dah mula ajak bersembang, payah nak berhenti. Rancak mereka berbual di talian sementara Farha pula terus terbuai hatinya tatkala mendengar tawa garau Teh yang sesekali muncul gara-gara lawak sengal si adik.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience