DIA datang menjengah ruang tamu sambil menatang sedulang makanan. Kelihatan Puan Hanim dan Encik Makhtar di situ saling berbisik-bisik perlahan. Sesekali mata mereka meliar ke seisi rumah. Adalah tu bergosip apa-apa.
"Patutnya kalau umi abah nak datang, call la Han dulu. Buatnya kalau Han tak ada kat rumah, kan umi abah juga yang susah." omel Han seraya menghidangkan sirap ais buat kedua-dua orang tuanya. Piring berisi buah-buahan turut disediakan sebagai pembuka selera sementara Farha di dapur menyiapkan makanan berat.
"Umi sengaja la nak terjah rumah anak umi ni. Entah apa yang dibuatnya. Call jarang sekali. Nak tengok juga, sibuk apalah Han kat sini."
Han tersipu dibidas Puan Hanim. Dia mengaku salahnya juga. Jarang membuat panggilan kepada umi dan abah di kampung sedangkan pegang telefon bimbit 24 jam.
"Umi abah tidur sini ya malam ni?"
"Tak apa ke? Ini rumah anak dara,"
"Tak apa, bah. Itu ada bilik kosong lagi. Bolehlah umi abah stay seminggu dua. Dah alang-alang ada kat sini, Han bawa bersiar-siarlah esok pagi."
"Betul ni?"
Han mengangguk-anggukkan kepala. Haruslah dia melayan kedua-dua orang tuanya ini. Datang jauh-jauh nak tengok anak, takkan nak dibiarkan sahaja kebajikan mereka.
"Ee kalau macam tu, seronoknya umi! Dah lama teringin nak datang sini tapi baru hari ni boleh. Itu pun puas umi pujuk abah kamu yang tak nak berenggang langsung dengan kambing-kambing dia." Puan Hanim menjeling Encik Makhtar di sebelah.
"Bukannya tak nak berenggang tapi dah kalau saya tak ada, siapa nak jaga binatang tu semua?"
"Rafiq kan ada?"
"Harapkan sangat Rafiq tu. Dia pun ada kerja lain nak dibuat..."
Encik Makhtar kalau dah sembang pasal kandang kambingnya memang tak berhenti. Umi dan abah saling berbalah tentang itu sebelum Han menyampuk.
"Lama tak dengar cerita pasal Abang Rafiq. Dia macam mana?"
"Alhamdulillah, macam tulah. Ah, dia ada kirim salam kat Han, assalamualaikum."
"Wa'alaiki wa'alaihissalam." Dan ke atas kamu (perempuan) dan ke atas dia (lelaki) kesejahteraan.
"Rafiq tu selalu tanya abah, kamu tak ada nak balik kampung ke? Boleh kata setiap minggulah Rafiq asyik ulang soalan sama. Abah pun sampai tak tahu nak kata apa," cerita Encik Makhtar.
Ketua keluarga itu bekerja sebagai pengusaha ladang ternakan di kampung. Rafiq antara anak muda yang rajin bekerja di bawahnya. Malah, lelaki berumur awal 30-an itu juga layak untuk dikatakan sebagai anak kesayangan Encik Makhtar. Ke mana sahaja Encik Makhtar pergi, pasti ada Rafiq setia mengekori.
Sampai pernah sekali Han mempersoalkan tentang status sebenarnya dalam keluarga lantaran merasa dialah anak angkat Encik Makhtar sebaliknya Rafiq ialah anak kandung.
"Han bukan tak nak balik kampung tapi lately ni Han sibuk sikit bekerja. Waktu pun dah tak menentu. Kadang-kadang sampai ke pagi masih melekat di office."
"Iyalah. Abah faham, kerja jadi akauntan ni bukan mudah. Tapi kamu jangan lupa jaga diri juga. Jaga kesihatan tubuh badan tu. Jangan zalim pada diri sendiri."
"Ya, abah. Han ingat pesan abah tu."
Perbualan mereka terjeda tatkala Farha datang dengan semangkuk makanan. Mi goreng basah yang masih berasap tipis menebarkan haruman semerbak di ruang tamu. Kecur liur setiap yang berada di situ.
"Maaflah lambat. Silakan makan, pak cik dan mak cik." jemput Farha seraya menghidangkan makanan berat itu. Mujurlah ada sebungkus mi yang masih belum dibuka. Bolehlah dibuat menampung hidangan yang ada.
"Hai, umi abah je kau ajak? Aku?" Han sengaja mengusik teman baiknya. Farha menjeling.
"Kau pandai-pandai ambillah. Rumah sendiri kan?"
Han ketawa geli hati. Dia mencedok sendiri mi goreng itu ke dalam pinggan. Saat reseptor lidahnya menyentuh masakan itu, mata Han terpejam nikmat.
"Tak pernahlah masakan kau tak sedap! Marvelous, Farha!"
"Eleh, kau nak membodek aku je kan?"
Puan Hanim dan Encik Makhtar ketawa. Dah selalu sangat melihat kemesraan dua orang gadis ini sejak kecil. Sampaikan Farha sendiri sudah dianggap sebahagian daripada keluarga kecil mereka.
"Umi abah terima aje kan kalau Farha nak jadi menantu?" Han makin giat mengusik. Farha tersipu-sipu sementara kedua-dua orang tua itu terpinga-pinga tak mengerti.
"Apa maksudnya?"
"Farha ni, dia ada perasaan kat... aduh!" Ayat Han tergantung tika pahanya dicubit kuat oleh Farha. Merah wajah Han tapi tak mampu menandingi warna kulit wajah Farha yang sudah seperti tomato terlebih masak.
"Tak payahlah layan Han ni. Kadang-kadang dia bukan sedar apa yang dia cakap." pintas Farha. Wajahnya masih panas dan kebas gara-gara menahan malu. Hatinya membebel marahkan Han. Siaplah kau, Han! Kat bilik nanti dia belasah puas-puas! Waktu itu baru Han tahu erti penyesalan.
Mereka kembali berbual dengan topik baharu sambil menikmati hidangan yang ada. Kemudian, Han membawa kedua-dua orang tuanya masuk ke bilik tidur untuk berehat setelah berpenat-penatan dalam perjalanan jauh ke sini.
***
JARI telunjuknya diputar-putarkan mengikut mulut luas mug kaca di tangannya. Sementara itu, fikirannya jauh menerawang teringatkan pertemuan pertamanya dengan si gadis tengah hari tadi. Sesekali senyuman terbit bergayutan di bibir, seronok dengan imaginasi sendiri.
Entah bila kusyen di sebelah terasa mendap. Mug dalam pegangan dirampas seseorang. Dia tersentak dan bila mengalihkan pandangan, Firash sedang sedap meneguk minuman panas itu.
"Rash, itu air aku!" bentaknya bengang. Tak pasal-pasal coklat panas yang dibancuh dengan perih jerih tadi dihabiskan oleh Firash tanpa belas. Dasar ini anak!
"Aku kesian tengok air tu sampai nak sejuk dah. Tuan dia asyik berangan lagi. Aku pun habiskanlah." balas Firash selamba. Mug yang sudah kosong tadi dihempukkan perlahan ke dada Arsalan.
Arsalan merengus geram. Nak aje dia cekik-cekik housematenya itu tetapi niatnya dibatalkan. Kalau Firash tak ada nanti, siapa nak teman dia tinggal di banglo dua tingkat ini?
Firash berkalih menghadapnya. Sebelah tangan menongkat tepi kepala dibiarkan berpacak pada sofa. Mata bundar dikecilkan seraya merenung tepat ke arah Arsalan sampai pipi lelaki berkulit cerah itu agak merona.
Hujung vermilion Firash terjongket. Kenal sangat dengan perangai malu-malu Arsalan tatkala menjadi bahan renungan. 5 tahun lebih mengenali Arsalan membuatkan dia tahu itu antara kelemahan teman serumahnya.
"Kau kenapa pandang-pandang aku macam tu?" Tegas suara Arsalan menyoal. Namun kepala itu sedikit pun tak berani beralih memandang Firash.
"Alan, Alan... kau ni kerja blushing je dengan aku. Ke kau ada hati dengan aku?" Hujung ayat itu diluahkan dalam bentuk bisikan, rapat ke telinga Arsalan. Arsalan mencebik meluat seraya menolak Firash menjauh.
"Ish, kau ni! Jangan sampai bumi ni Allah terbalikkan sebab kaum macam kau eh,"
"Alan, chill la. Aku bergurau je kut!" Firash bantai gelak. Suka betul dia mengusik Arsalan yang cepat gelabah ini. Dia tak dapat membayangkan apa yang akan terjadi kalau lelaki itu sudah berumah tangga kelak.
Arsalan merengus kencang sambil membetulkan duduk. Firash masih berusaha menyudahkan saki-baki ketawa dan dia tak mahu masuk campur. Bila sudah reda, Firash berdeham perlahan.
"Kau teringat siapa?" soal Firash, cuba mengorek rahsia hati temannya.
"Siapa?"
Firash mencebikkan bibir. Alah, pura-pura bertanya pula. Ini yang pepatah kata, kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.
"Ini tak lain tak bukan mesti kau teringat awek kat gerai tadi kan?"
Tepat seperti sangkaannya, pipi Arsalan yang baru mahu reda warnanya itu merona kembali. Malah, Arsalan melarikan anak mata daripada bertentangan terus dengan Firash. Sah!
"Hei, hei, hei! Kawan aku dah tangkap cintanlah!" Tawa galak Firash berhamburan keluar. Arsalan tidak membalas apa-apa sebaliknya cuma merengus kencang.
"Cantik kan dia?" pancing Firash.
"Kau kenal ke?"
"Hm, kenal-kenal macam tu jelah. Sebab dia dengan kawan dia rajin datang singgah beli buah kat gerai aku. Tapi aku tak tahu nama dia."
Arsalan menggigit perlahan bibir bawah. Kepalanya ligat memikirkan cara untuk berkenalan dengan gadis bidadari yang sudah mencuri hatinya itu.
"Kalau kau nak, aku boleh tolong kau dapatkan dia."
Mata Arsalan terbeliak mendengar pelawaan itu. Dia cuba menolak tepi perasaan malunya dan menyoal, "Be... betul ke?"
"Betullah." Firash tersenyum nipis memasang janji. Demi kebahagiaan teman baiknya, apa-apa pun dia sanggup lakukan. Lagipun, dia sendiri dah lama tak merasa nasi minyak sejak dua menjak ini. Mana tahu kalau dia membantu urusan pembinaan masjid si Arsalan, urusannya kelak akan dipermudahkan.
Happy reading!
Share this novel