"ALAN!" Firash mendepangkan lengan menyambut ketibaan Arsalan di rumah banglo dua tingkat mereka. Lepas Subuh tadi Arsalan ada meninggalkan pesanan ringkas yang dia akan datang awal pagi ini. Tetapi Firash tak menyangkakan pula Arsalan akan sampai lebih awal daripada jangkaannya.
"Mimpi apa tiba-tiba nak datang sini?" soal Firash. Tangannya dijatuhkan apabila Arsalan langsung tak mengendahkannya, berjalan terus ke bilik tidur.
"Oh, oh, aku tahu! Kau datang ni mesti nak melawat aku kan? Kau rindu aku! Ya kan?" Tekaan rambang Firash membuatkan Arsalan mencebik meluat.
"Daripada aku rindu kau, baik aku rindu Joni."
Joni, kucing jiran sebelah yang selalu datang menumpang makan di rumah bujang ini. Binatang baka Parsi itu dah macam tak diberi makan oleh tuannya langsung.
Asal nak makan je, datang rumah mereka. Asal nampak mereka je, minta nak makan. Tak pasal-pasal Firash dan Arsalan perlu korbankan duit untuk bajet makanan Joni setiap bulan.
"Kau ni tak baiklah! Aku dah bagi hadiah kat kau sempena kau kahwin. Joni bagi apa? Itu dia simpan tahi dia kat belakang dapur tu untuk kau cuci ada la!"
Tangan Arsalan yang ligat mengemaskan barangannya terjeda. Sekilas ekor mata itu mengerling tajam pada Firash.
"Aku tak habis lagi dengan kau pasal hadiah." tuturnya sebelum menyambung sumbat pakaian di dalam almari masuk ke dalam bagasi. Tak sempat nak lipat dah, dia nak cepat. Balik nanti dia suruh Han sahajalah yang tolong kemaskan.
Firash menyandarkan tubuh pada pintu almari, dekat dengan port Arsalan mengemas. Dia tersengih herot. "Kau dah buka ke hadiah aku? Amacam?"
"Kau kalau aku cakap gila, kau marah."
"Lah, kenapa pula kau nak kena cakap aku gila? Aku bagi hadiah-"
"Ya! Sebab hadiah istimewa kau tulah aku tengah bengang sekarang. Kau ni logiklah sikit! Mana ada orang bagi lesung batu sebagai hadiah kahwin. Hish!" Arsalan merengus kencang.
Risau kadang-kadang dengan si Firash ni. Banyak sangat perangai pelik muncul sejak dia dah berkahwin. Takut juga kalau ada mana-mana fius otak temannya yang sudah terputus.
Firash memuncungkan mulut. Dia sangka Arsalan akan melompat teruja sebaik membuka kotak hadiah itu tetapi lain pula yang terjadi. Arsalan naik bengang dengannya!
"Mahal tau lesung batu tu,"
Sebab dah rosakkan mood Arsalan, Firash meringankan tangan membantu mengemaskan keperluan teman itu. Mujur Arsalan tak menolak malah disuruh lagi Firash ambil itu, ini.
"Hei, aku nak tanya kau satu bendalah." Arsalan menghantar renungan tajam pada Firash. Mata mereka saling bertentang tepat. "Benda apa yang kau fikir waktu nak belikan hadiah tu eh?"
"Oh, benda apa aku fikir? Aku just nak hadiah aku tu bermanfaat untuk korang dan aku nak korang selalu pakai. Macam blender, pinggan mangkuk, set pisau tu orang dah selalu bagi. Jadi aku bagilah lesung batu. Tahan lama sampai ke anak cucu, insya-Allah." Firash tersengih lebar.
"Hm, cerdik juga eh otak kau ni. Lepastu, bila tahan lama, aku pun ingat kau lebih lama. Macam tu?"
"Yeah, you got the point!"
"Kalau macam tu, balik ni aku pecahkan lesung tu."
"Tak guna kau!"
Tawa mereka meledak bersama. Masing-masing tak ambil hati pun kerana tahu yang tadi cuma gurauan sesama mereka.
"Anyway, thanks for the special present. Rare betul otak kau!"
"Well, inikan Firash." Baru kena puji sikit Firash dah kembang semangkuk. Tergeleng-geleng kepala Arsalan melihat telatah temannya.
"Esok aku nak fly."
"Pergi mana?"
"Bali."
"Oh, honeymoon la ni! Balik nanti jangan lupa bawa oleh-oleh untuk aku ya!"
"Kau nak apa? Fridge magnet-"
"Aip! Apa barang main frigdge magnet! Anak buahlah, Alan oi. Aku tak kisah pun lelaki atau perempuan. Kalau lelaki, aku boleh buli. Kalau perempuan pula, aku boleh buat jadi girlfriend aku.
Dengan muka kacukan kau ni, muka lawa Han tu lagi, aku sangat-sangat yakin yang anak korang mesti kebaboom!"
"Banyaklah kau! Awal-awal lagi dah pasang niat macam tu dengan anak-anak aku kan? Habistu, macam mana dengan Ika tu?"
"Err... Ika mana ni?"
Arsalan tersengih herot. "Kau ingat aku tak tahu kau tengah try kerani kat pejabat aku tu kan?"
Mata Firash terbuntang. Dari mana Arsalan korek pun tak tahulah! Antara mereka memang tak boleh ada rahsia. Arsalan tahu je segalanya.
"Err... apa kau cakap ni?"
"Sudahlah, Rash! Kau mengaku jelah kau memang tengah mengayat Zulaikha tu."
"Ika tu lain, anak kau lain!"
"Apa yang lain?"
"Anak kau kekasih gelap aku," Firash tersengih. Nak rebut juga bakal anak perempuan Arsalan ini.
"Banyaklah kau punya gelap! Kalau kau nak aku gelapkan biji mata kau, cubalah!"
Tawa Firash meledak. Dah nampak ciri-ciri seorang bakal ayah pada Arsalan. Hatinya mendoakan sahaja kebahagiaan teman baiknya itu. Moga ada sinar dalam rumah tangga yang dibina.
***
    USAI mengemaskan diri, Han mengambil tempat di sebelah Arsalan. Lelaki itu masih ralit membelek-belek gajet biarpun tubuh sudah bersandar di kepala katil. Walaupun Arsalan masih dalam minggu bercuti, lelaki itu terpaksa memantau dari jauh perkembangan hal syarikatnya.
"Awak tak ada pembantu ke?" soal Han sambil menarik sebelah tangan Arsalan. Dia menyapu losen di situ.
Pada awalnya, dia hanya mahu menyakat Arsalan dengan losen tetapi makin lama Arsalan makin suka diurut-urut tangan halus Han. Jadi, rutin memakai losen sebelum tidur sudah menjadi kewajipan bersama.
Arsalan mengerling Han yang menyendeng di tepi tubuhnya. "Maksud awak?"
"Saya tengok awak sibuk dengan kerja even awak tengah cuti."
Gulp.
Lambat-lambat Arsalan meletakkan gajet di tangan jauh dari gapaiannya. Kalau isteri dah cakap macam tu, adalah yang tak kena. Mesti Han terasa hati dengan kesibukannya.
Tubuh Han diraih ke dalam pelukan lalu dia menghadiahkan sebuah kucupan di ubun-ubun itu. "Lepasni saya tak sentuh dah semua benda tu okey?"
"Saya tak halang pun awak kerja," Han menolak pelukan Arsalan.
Lama mata Arsalan memerhatikan tingkah isterinya. Eleh, konon tak halang. Tapi bunyi nada tu nampak sangat yang Han sedang berjauh hati.
"Saya layan awak puas-puas start malam ni. Awak janganlah merajuk dengan saya,"
"Saya tak kata pun saya merajuk!"
"Hm, yalah-yalah. Awak tak merajuk pun. Awak kan isteri paling baik dalam dunia." Kepala Han diramas-ramas manja. Serabai rambut panjang itu dia kerjakan.
"Awak, saya nak cerita satu benda ni," Han merapatkan lagi jarak antara mereka. Bantal yang Arsalan pakai sampai dikongsi bersama. Pinggang Arsalan pula dipeluknya sementara kepala direbahkan ke dada bidang itu.
Arsalan layankan sahaja. Bahu Han dia peluk kasih. "Ya, sayang. Apa yang awak nak cerita tu?"
Han menjeling sekejap pada Arsalan. "Makin lancar ya sebut perkataan 'sayang' lately ni?"
"Awak yang suruh saya panggil macam tu! Orang dah panggil, banyak pula songeh. Hah, cepatlah. Apa yang awak nak cerita tu?"
"Tadi saya pergi rumah sewa saya sebab nak kemas-kemas barang,"
Arsalan mengangguk-angguk perlahan. Dia tahu yang Han ke rumah sewa pagi tadi untuk mengambil Alza dan mengemas keperluan untuk berbulan madu esok. Dia sendiri yang menghantar Han sampai ke depan rumah.
"Barang-barang Farha tak ada,"
"Dia kat kampung lagilah tu,"
"Tak! Awak dengarlah dulu saya nak cerita ni," Han mencubit geram pinggang Arsalan. Lelaki itu mengaduh perlahan lalu menyuruh Han meneruskan kalam.
"Bilik dia kosong. Almari, bilik air, semua kosong! Tilam pun dah tak bercadar," Jeda. Han membilas tekak dengan liur dahulu sebelum menyambung lagi,
"Saya tak tahu dia pergi mana. Bila saya call dia, operator kata nombor tu tak diguna pakai lagi dah. Awak, saya tak tahu apa jadi dengan Farha!" Suara Han jelas menunjukkan kerisauannya.
Siapa tak risau bila teman sepermainannya itu tiba-tiba menghilangkan diri? Tanpa sebarang pesanan pula tu.
"Saya takut Farha down. Mak dia baru meninggal, awak. Mesti macam-macam benda yang dia tengah fikirkan sekarang. Tak mustahil kalau Farha-"
"Ya rouhi," Arsalan memintas. Tak suka nak mendengar apa yang akan keluar dari mulut itu. Wajah Han dibawa menekup ke dada. "Janganlah fikir macam tu. Insya-Allah semuanya baik-baik je."
Bahu Han diusap-usap lembut, memujuk. Dapat Arsalan rasakan tubuh itu bergetar kecil. Nampaknya Han memang betul-betul risau akan keadaan Farha.
"Teh dah tahu pasal ni?"
Kepala yang masih rapat di dada dirasakan menggeleng-geleng perlahan. Arsalan melepaskan keluhan berat.
"Nanti kita cakap lagi pasal ni. Jom tidur dulu," putus Arsalan. Gebar tebal yang cuma menutupi paras lutut ke bawah ditarik tinggi.
Tubuh kecil Han didodoikan manja. Dia perlu memastikan gadis itu tidur terlebih dahulu. Kalau tak, lagi banyak bendalah yang Han akan fikirkan.
Happy reading!
Share this novel