SIAP menyarung baju nipis ke tubuh, dia mendapatkan Han dengan sehelai tuala. Faham dengan kehendaknya, tuala itu bertukar tangan. Han mengeringkan rambut basahnya dengan material lembut itu.
"Awak pergi mana pagi tadi?" soal Han. Lengan sasa Arsalan ditarik ke meja solek lalu didudukkan di situ. Sebatang sikat dibuat mengemaskan rambut hitam keperang-perangan milik Arsalan.
"Hmm?"
"Dari pagi awak keluar... Dah nak senja baru balik. Dahlah saya call awak 10 kali, sekali je awak balas. Awak pergi mana sebenarnya?"
Nak kata kerja, setahunya Arsalan ambil cuti hari ini. Baru sahaja dia bercadang untuk meluangkan masa berdua dengan Arsalan memandangkan lelaki itu agak sibuk kebelakangan ini. Tup tup, Mama kata Arsalan keluar. Ke mana sahajalah lelaki itu menghilang.
"Uruskan hal kerja sikit," balas Arsalan mendatar.
Han tak tanya lagi. Tak tahulah kalau Arsalan tipu ke apa tapi hatinya sudah beransur tenang bila mendengar jawapan yang diberikan. Cukuplah untuknya.
"Raihan Amani," Arsalan meraih pinggang si isteri. Ditarik lembut tubuh itu supaya duduk di atas pangkuannya.
Han turut tanpa banyak bunyi. Berkerut pelik juga dahi itu bila dia buat macam tu. "Awak kenapa ni?"
Mereka berbalas tatapan melalui pantulan cermin meja solek. Han cuba mencari gali makna sinar dari sepasang mata bening itu. Arsalan seakan merahsiakan sesuatu daripadanya.
"Awak ada masalah ke, abang?"
"Hmm..." Arsalan menyidai dagu di atas bahu kanan Han. Suka dia mencium haruman semula jadi yang terbit dari tubuh si isteri. Barangkali habit memakai losen setiap kali sebelum tidur itu yang membuatkan bau manis itu muncul. "... Tak ada,"
"Betul ni?"
"Betul,"
Suasana kembali sepi. Kekok pula Han diriba terus oleh Arsalan. Maka, dia berura-ura untuk bangkit tapi ditahan oleh Arsalan. Jemari runcing Arsalan merayap di celah-celah jemarinya.
"Awak tak nak tanya saya ke kerja apa yang saya uruskan siang tadi?"
Han ketawa kecil. Alah, suaminya ni. Mengada betul! Nak kena soal dulu baru nak dijawab tulus rupanya.
"Kerja apa yang awak uruskan sampai tinggal saya sorang-sorang kat rumah ni, abang?"
"Hmm... Saya survey rumah,"
"Rumah?"
"Yalah. Rumah untuk kita,"
Mata Han terbuntang luas. Dek kerana teruja, punggungnya terangkat terus dari riba Arsalan. Anak mata mereka bertemu.
"Rumah... untuk kita? Kita berdua?"
"Buat masa sekarang ni berdualah dulu. Nanti bertiga, berempat,"
Han mengetap bibir. Direnung Arsalan macam nak sumbat masuk dalam perut. "Apa maksud awak?"
"Takkanlah awak tak nak anak? Ataupun awak memang tak nak ada anak dengan saya, ya rouhi?"
"Nak! Nak! Mestilah nak! Nakkk sangat," Leher Arsalan dirangkul riang. Tawa Arsalan pecah.
"Saya nak 3 orang anak lelaki, 4 orang anak perempuan. Macam Nabi kita, ada 7 orang anak,"
"Itulah sebab saya ajak awak pindah rumah. Tak muat kalau nak duduk ramai-ramai dalam rumah Mama Papa ni,"
"Eee... seronoknya! Thank you, abang!"
"Nanti kita bagitahu Mama Papa ya?" Rangkulan Han dibalas kasih. Tapak tangan kasarnya mengusap-usap lembut kepala Han lalu dilabuhkan kucupan ringkas di ubun-ubun itu.
"Okey!"
***
SEMENTARA Han menyiapkan makanan, dia menghidupkan komputer riba. Lewat petang semalam dia baru menerima sebuah e-mail daripada Carol. Kerja yang sepatutnya dia submit malam semalam terpaksa dibawa ke hari ini gara-gara sibuk menjaga Han.
Jari-jemarinya menari-nari di atas papan kekunci. Ditekan-tekan kekunci digit dan abjad dengan laju. Lagi cepat dia menyiapkan kerjanya, lagi cepat dia boleh menghulurkan tangan kepada Han di dapur.
Tiba-tiba suatu deringan mengganggu fokus. Dia mencari-cari punca bunyi itu. Tepat kata gerak hatinya, telefon bimbit Han yang berbunyi minta diangkat. Tetapi belum sempat dia menjawab panggilan, bunyi itu sudah berhenti.
Telefon bimbit itu dicapai. Nombor asing tertera pada skrin. Berkerut dahi Arsalan memikirkan siapa yang call Han pada waktu macam ini.
Sementara dia menimbang keputusan sama ada mahu call back ataupun tidak, satu pesanan ringkas dari WhatsApp masuk. Disebabkan Han tak menetapkan pilihan hide content, Arsalan boleh membaca isi teks itu dengan mudah.
- Hi, sayang! Do you miss me? 'Coz I miss you so much!
Benak Arsalan dihuni rasa tak senang. Makhluk mana yang berani memanggil isterinya dengan panggilan manja itu? Manusia itu tak tahu ke yang cuma Arsalan seorang boleh panggil Han 'sayang'!
Ting!
Satu lagi pesanan masuk. Kali ini Arsalan langsung membuka ruangan sembang itu. Nombor yang tidak diset nama itu yang menghantarnya lagi.
- Han, can I call you right now?
Pada awalnya, Arsalan fikir pemilik nombor itu mungkin tersilap orang. Tetapi apabila melihat nama Han tertera di situ, dia yakin yang Raihan Amanilah yang dimaksudkan.
Beberapa minit kemudian panggilan masuk seperti yang dijanjikan. Barisan angka itu terpapar pada skrin. Arsalan menghela nafas panjang. Akhirnya, butang hijau dia seret ke atas.
Happy reading! Actually, saya dah siapkan sampai epilog. Nak saya update sekaligus ataupun update satu chapter setiap minggu?
Share this novel