"KALAH! Kan saya dah kata jangan berlagak sangat. Saya ni juara batu seremban tau waktu sekolah dulu. Hah, cepat kiss saya," Han menyuakan bibir minta dikucup Arsalan. Berkerut dahi lelaki itu bersama pipi yang membahang malu.
Arsalan membuang pandang ke arah lain sambil menongkat tangan ke belakang, menahan tubuh yang sedang cuba mencipta jarak di antaranya dengan Han.
"Mana aci macam tu!"
"Aci tak acilah! Awak dah kalah, awak kena kotakan janji. Cepat!"
Han mendekatkan lagi tubuhnya kepada Arsalan. Dia sampai ingin merangkak naik ke atas riba lelaki itu namun Arsalan menepis-nepis kasar.
"Jangan, Han!"
"Saya nak tuntut hadiah saya je."
"Sabarlah kejap!" Arsalan bingkas berdiri tegak, mengelakkan Han memanjat tubuhnya lagi. Matanya langsung tak berani memandang Han yang terkelip-kelip merenungnya.
Fikirannya bercelaru. Lantas dia terus mengangkat kaki ingin keluar dari situ tetapi sempat dihalang Han.
"Awak nak lari eh?"
"Ta... tak! Saya nak ambil ubat awak. Nanti saya masuk balik."
"Saya tunggu awak bagi hadiah saya eh! Kalau awak tak masuk, saya keluar cari awak." Han mengugut. Lelaki itu keluar tanpa memandang belakang lagi.
Bibir Han merekahkan senyuman lalu dia ketawa kecil. Biar betul apa yang dilihatnya tadi? Pipi itu merah macam anak dara yang sedang diserang malu. Tepatlah berita yang abang-abangnya sampaikan dan dia peroleh sendiri daripada Firash, Arsalan Asad seorang pemalu.
***
SATU persatu laci dibuka tetapi dia tidak jumpa apa yang dia inginkan. Sudahnya, dia mencekak pinggang sambil sebelah lagi tangan menyerabutkan rambut. Bertambah tertekan bila teringat 'hadiah' Han yang perlu dia tunaikan sekejap lagi.
Dia meliarkan pandangan sebelum matanya tepat memandang peti ais. Mungkin dalam peti ais. Dia menarik pintu sederhana besar itu. Isinya dirakas-rakas.
"Cari apa, Alan?"
Pap!
Arsalan mengaduh perlahan apabila kepalanya terhantuk pada peti ais gara-gara terkejut disergah tiba-tiba. Dia mengusap-usap kepala yang terasa biul sambil mengerling pemilik suara tadi.
Angah menjongketkan sebelah kening sambil merenung terus ke arahnya. Menunggu jawapan Arsalanlah tu.
"Eh, Angah buat apa kat sini?"
"Bancuh susu anak," Botol susu dalam pegangan diangkat tayang kepada Arsalan sebelum mengulang soalan yang sama, "Kau cari apa sampai terhantuk tu?"
"Cari Panadol."
"Siapa sakit?" Kebetulan Along pun baru masuk ke dapur bersama isterinya, terus menyampuk perbualan itu.
"Err..." Nak jawab ke tak? Karang kalau jawab, risau juga tiba-tiba dibelasah abang-abang iparnya. Hari pertama kahwin dah buat Han sakit. Tapi bukan dia yang demamkan si Han! Dah Han nak demam, siapa boleh halang?
"Han. Han demam,"
Lain yang dia bayangkan, lain yang terjadi. Angah dan Along tersengih-sengih nakal seraya mengusik,
"Hai, tak sampai pukul 12 lagi dah demam? Apa cer ni?"
Arsalan tersengih kekok. Tak tahu apa yang perlu dibalasnya maka lebih baik dia mengunci sahaja mulut.
"Kat rumah ni tak ada panadol la, Alan. Aku pun tak simpan ubat tu."
"Itulah, aku pun tak ada. Tak boleh nak tolong kau."
"Saya ada. Kejap saya ambilkan." Jawapan Kak Long membuatkan Arsalan menghela nafas lega. Mujur ada!
Kak Long tiba semula dengan sepapan panadol. Arsalan siapkan air kosong untuk dibawa bersama ke bilik tidur. Sempat Angah memaut bahunya dan membisikkan sesuatu. Hasilnya, wajah Arsalan merona hebat sampai Along perasan lalu menegur,
"Angah! Kau bisik apa sampai merah muka Alan tu?"
Angah tersengih nakal. "Adalah,"
"Hee... dah, Alan! Pergilah masuk bilik. Kau tak payah layan otak tak center si Angah ni."
Sebelum disakat lagi, Arsalan cepat-cepat mempamit sopan dan beredar ke bilik tidur. Hah, ini satu hal lagi! Mulutnya terkumat-kamit berdoa supaya Han tak buat benda pelik-pelik kejap lagi.
Daun pintu ditolak. Kelihatan Han terlentang di tengah katil sambil berkelubung dengan selimut sampai ke pangkal leher. Tinggal kepala sahaja yang terjulur keluar.
"Han, makan ubat dulu sebelum tidur." Arsalan menarik perlahan selimut itu sampai jatuh ke bawah dada. Lambat-lambat Han bangkit menyuap dua biji panadol dan dihadamkan dengan segelas air. Rakus dia minum sampai ada air yang mengalir di dagu.
"Tak sangka isteri saya mulut bocor." usik Arsalan sambil mengelap dagu itu dengan hujung baju nipisnya. Han biarkan sahaja.
Tanpa amaran, kedua-dua belah lengan Han naik merangkul leher Arsalan. Si lelaki terkedu. Bila dipandang Han, mata gadis itu sudah tertutup rapat.
"Han," panggilnya sambil menguis rangkulan itu. Dia sangkakan Han telah lena tapi gadis itu merengek tak mahu melepaskannya. Malah, kepala itu jatuh bersandar selesa ke dadanya.
"Nak peluk!"
"Awak demam. Mana boleh peluk saya!"
"Nak peluk juga. Tak kira,"
Arsalan mengeluh perlahan. Manja juga si Han ini rupanya. Dia menjatuhkan tubuh kecil itu ke atas katil dengan berhati-hati lalu membetulkan kedudukannya. Selimut ditarik menutupi tubuh mereka berdua.
"Nak hadiah,"
Mata Arsalan terbeliak. Ish, tak padan dengan demam, gatal betul! Dia merenung lama ulas bibir yang Han sengaja muncungkan itu sebelum bibirnya berlabuh pada dahi Han.
"Dah."
Mata Han terbuka mengintai wajah Arsalan dengan rasa tidak puas hati. Arsalan tayang wajah selamba. Apa? Han minta dikucup aje kan? Tak ada pun janji tempatnya di mana.
"Tak nak dekat situ," rengek Han.
"Dah, jangan nak mengarut sangat malam-malam ni. Tidur cepat!" Arsalan berpura-pura garang sambil menepuk-nepuk kuat tubuh Han, mendodoikan si gadis supaya lena lebih cepat.
Han menolak tangannya sambil merengek tak senang. "Janganlah kuat sangat! Sakitlah. Saya nak tidur pun tak boleh."
Macam-macam hallah! Arsalan mengalah lalu mengurangkan daya tepukannya. Didodoikan Han sampai gadis itu sudah separa khayal. Barangkali kesan ubat tadi sudah beradaptasi dengan tubuh Han, cepat sangat Han mamai.
Tatkala dia yakin bahawa minda Han sudah di bawah kawalan separa sedar, bibirnya dirapatkan ke telinga itu lalu diucap lembut,
"Idza niltu minkil wudda, falmaalu hayyin. Wakullul ladzi fauqot turaab turaab."
Mata Han bergerak-gerak terbuka semula mendengar bisikannya. Bibir merah Han merekahkan senyuman nipis. Biarpun dia tidak tahu apa yang Arsalan bisikkan tetapi bunyinya begitu menenangkan.
"Saya dah lama nak cakap macam tu dekat isteri pertama saya,"
"Apa maksud awak isteri pertama? Awak nak kahwin lagi? Awak jangan nak mengada! Baru pagi tadi awak kahwin dengan saya, awak dah pasang niat nak tambah cawangan eh!" Garang suara Han menyergah. Bini mana je yang suka berkongsi suami dengan orang lain? Cemburu itu pasti!
Terkejut Arsalan melihat Han yang mamai-mamai tadi berubah segar-bugar. Cepat betul bertindak balas kalau pasal ni!
Tangan kecil Han menyusup ke dalam baju Arsalan, mencubit perut itu tanpa sebarang hadangan. Arsalan mengaduh keras sambil menepis laju-laju tangan Han dari tubuhnya. Lagi seksa bila tak berlapik sebenarnya!
"Mana ada saya nak kahwin lagi! Ayat saya tadi tu tak habis lagi. Isteri pertama dan terakhir saya,"
Han mengecilkan mata kepada Arsalan. Ya-yalah tu!
Happy reading! قال الشاعر: إذا نِلْتَ منكِ الوُدَّ فالمالُ هَيِّن وكُلُّ الذي فوقَ التُّراب تُرَاب. Saya takkan bagitahu maksud syair ni dalam chapter ni tapi akan ada dalam chapter seterusnya, insya-Allah. Sebelum tu, ada yang nak cuba translatekan tak?
Share this novel