16 | Malu

Romance Series 14468

   MATAHARI belum naik memunculkan diri lagi namun Teh sudah bangkit melaksanakan tahajud. Usai menyempurnakan ibadah sunat itu, dia berkira-kira untuk membersihkan diri bagi mengelakkan tidur semula sementara menunggu waktu Subuh masuk.

Tuala dicapai dan dia bergerak ke bilik air yang terletak di belakang rumah. Seronok sebenarnya tinggal di kampung lantaran suasana sangatlah damai. Berada dalam persekitaran hijau semula jadi membantu hati menjadi lapang.

Tetapi satu sahaja perkara yang dia tidak suka, tiada pemanas air. Seksa sungguh kalau nak mandi waktu pagi. Bukannya mereka adik-beradik tidak ingin sponsor, tapi Puan Hanim dan Encik Makhtar yang beria-ia menolak.

Alasan, "Orang tua-tua dulu sihat bertenaga sebab selalu mandi awal pagi. Zaman dulu mana ada air panas. Timba air telaga je. Sebab tu tulang orang tua dulu-dulu kuat, tak macam orang sekarang. Lembik, cepat sangat penatnya."

Dia sudah berhenti di hadapan pintu bilik air. Tangan kanan terus menolak kasar pintu papan itu. Tak semena-mena dia terkejut dengan jeritan nyaring seorang gadis dari dalam ruangan itu.

Sepasang kaki keras kejung melihat Farha yang berkain batik baru mula mandi. Dia tersedar saat gadis itu berlari menyorok di balik pintu. Manakala dia pula lekas memalingkan tubuh sambil beristighfar berkali-kali.

Bam!

Pintu dihempas sedikit kuat. Teh sampai terduduk di hadapan bilik air. Lemah lutut dengan apa yang baru berlaku.

"A... awak kenapa tak kunci pintu?"

"Saya kunci dahlah!" bidas Farha.

"Kuncilah betul-betul, biar masuk lubangnya! Ini mujur saya yang tolak. Kalau orang lain? Tak tentu lagi awak selamat tau." omel Teh lalu segera mengangkat kaki beredar dari situ.

Terbantut terus niat nak mandi. Mata pun dah segar-bugar sekarang. Maka dia memutuskan untuk turun ke dapur menyiapkan bahan-bahan untuk memasak.

***

    SELEPAS kejadian memalukan pagi tadi, hubungan Teh dan Farha berubah kekok serta-merta. Tatkala sepasang mata saling bertembung, mereka cepat-cepat membuang pandang ke arah lain. Meja makan sunyi sepi tanpa suara masing-masing.

Langit sudah cerah. Burung-burung juga telah lama berterbangan mencari rezeki. Teh mengintai Farha di balik muka pintu. Si gadis sedang rajin menyiram pokok-pokok bunga yang tertanam subur di halaman rumah.

Tak betah terus berada dalam keadaan serba salah, dia datang mendekat. Apabila Farha perasan kewujudannya di situ, gadis itu bersegera mahu beredar namun dia tahan.

"Saya ada benda nak cakap,"

Farha tak mengangguk mahupun menggeleng. Namun, dia masih berdiri menghadap Teh. Kepala tertunduk menekur lantai tapi Teh nampak kedua-dua belah pipi mulus yang merona malu itu.

"Err... pasal pagi tadi," Teh gugup. Belakang tengkuk digosok perlahan.

"Saya minta maaf."

Yes, you did it!

"Saya tak sengaja. Sumpah saya tak tahu awak dalam tu!" Sebelah tapak tangan diangkat dan direntangkan luas, tanda sungguh-sungguh mahu membuktikan kata-katanya tadi.

Pintu papan bilik air itu pun satu hal juga! Warnanya yang legap membuatkan Teh tak mampu menebak jika ada manusia yang sedang menggunakan bilik air itu. Ruang kecil antara lantai dan pintu pun sangat rapat menyukarkan lagi keadaan.

"Tak apalah, benda dah jadi. Saya maafkan," balas Farha, malu-malu.

Dia berharap Teh melupakan apa yang telah lelaki itu lihat awal pagi tadi. Ah, sumpah dia malu! Tetapi dia mengambil pengajaran dari situ, dia akan memastikan kunci terselak sempurna selepas ini.

"Tapi... err... lepas ni, awak guna bilik air dalam rumah jelah. Bilik air kat luar tu tak sesuai untuk awak yang perempuan ni. Bahaya."

Farha mengangguk sahaja. Dia tahu ada bilik air kedua di dalam rumah. Tetapi dia memutuskan untuk mandi juga di luar lantaran hanya bilik air belakang itu yang punya sabun mandi. Malas nak angkut dan letak balik, maka dia pun membersihkan diri sahaja di situ.

Tak sangka nak jadi peristiwa tragis pula pagi tadi. Dahlah dengan crush sendiri! Argh, rasa nak tanam kepala dalam tanah.

Saat Teh berura-ura ingin masuk ke dalam rumah semula, Farha menahan.

"Awak! Err... boleh awak tolong hantar saya ke hospital pagi ni?"

"Oh, boleh-boleh! Saya memang nak hantar awak pun pukul 10 pagi ni. Awak bersiaplah, saya tunggu kat dalam kereta."

"Thanks!" ucap Farha, gembira. Dia menghantar pemergian Teh dengan ekor matanya. Bila kelibat itu benar-benar sudah hilang dari pandangan, Farha lekas menyudahkan kerja lalu beredar masuk ke dalam rumah.

***

  IBU Farha sudah menyedarkan diri namun keadaannya masih agak tenat. Doktor menyarankan untuk tinggal di hospital beberapa hari lagi buat menjalani pemeriksaan rapi.

Air mata Farha dah penat tumpah. Kering sudah cecair jernih itu. Dia tiada daya lagi menangisi keadaan wanita kesayangan maka hanya doa yang dia mampu panjatkan.

Sedar tak sedar, sudah 3 hari berlalu dan mereka masih di kampung. Teh terpaksa berulang-alik jauh dari rumah keluarganya ke hospital yang terletak di tengah bandar. Namun, lelaki itu masih steady ataupun lebih tepat, berpura-pura gagah.

Mereka singgah sebentar di sebuah restoran sewaktu dalam perjalanan pulang dari hospital. Makan malam sekali harung sahaja. Sesampai di rumah nanti, masing-masing boleh berehat selesa.

"Farha, awak nak stay sini lagi ke?" soal Teh, memecahkan tembok kesunyian yang terbina tanpa sedar.

Tangan yang baru dibasuh sekejap tadi dia lap dengan tisu merah jambu. Lalu dia menyisip minuman beraisnya dengan berhati-hati.

Soalan selamba itu membuatkan Farha tersentak. Baru dia teringat yang dia pun perlu masuk bekerja esok. Ah, sudah!

"Saya... saya nak apply cutilah. Awak nak balik KL semula ke?"

Teh menganggukkan kepala. "Saya kena masuk kerja esok lusa. Kalau awak nak stay sini, tak apalah. Tapi awak nak pergi hospital macam mana?"

Selama 3 hari ini, Tehlah 'pengangkutan awam' Farha. Bekerja sepenuh masa pula tu. Kalau dia pulang ke bandar esok, dia tidak pasti Farha akan ke hospital dengan apa.

"Pandai-pandailah saya sewa Grab ke apa,"

Hujung vermilion Teh terjungkit sinis. "Awak ingat kampung ni macam KL? Mana ada Grab tengah hutan macam ni. Tak apalah, macam ni... awak pandai drive kan?"

Farha mengangguk.

"Saya tinggalkan kereta saya kat sini. Awak gunalah dulu. Nanti bila-bila awak balik KL, bolehlah awak pulangkan balik."

Mata Farha terbuntang. Biar betul Teh nak pinjamkan kereta mewah itu kepadanya? Ish, takutlah!

"Tak naklah! Saya takut kalau apa-apa jadi, jenuh saya nak bertanggungjawab. Lagipun, awak nak balik sana naik apa nanti?"

"It's okay. Saya yang pinjamkan kat awak, saya berani tanggung risiko kalau jadi apa-apa. Pasal saya, nanti saya minta tolonglah kawan saya ambilkan saya kat sini."

"Tak nak. Awak bawa jelah kereta tu balik sekali. Tak payah risaukan saya kat sini. Saya tahulah berdikari."

"Saya kata ambil, Farha."

Puas main tolak-tarik, akhirnya Farha terpaksa bersetuju lantaran takut dengan ugutan Teh. Teh mengeluh lega.

Selesai satu masalah.

"Awak masuklah kereta dulu. Saya bayar kejap," Teh menghulurkan kunci kereta kepada Farha sebelum dia berlalu ke kaunter untuk membuat pembayaran makanan.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience