20 | Arsalan Han

Romance Series 14468

    HARI yang paling ditunggu-tunggu dan pastilah mendebarkan telah tiba. Hari di mana Arsalan menjadi Raja Sehari. Juga hari yang akan merubah status Han menjadi hak milik si suami.

Han bersimpuh di tengah masjid bersama Puan Hanim di sebelah. Abang-abangnya pula ada beberapa meter di hadapan, mengelilingi tok kadi yang sudah siap menanti sambil bersembang mesra dengan Encik Makhtar. Semuanya sedang menunggu kedatangan Arsalan.

Peluh yang memercik di dahi dia lap berhati-hati supaya tidak sampai merosakkan solekan yang dipakai. Gelisah, dia mengalirkan rasa itu dengan menggenggam erat tangan Puan Hanim. Kalau Farha yang berada di situ, pasti Farha yang sudah menjadi mangsanya berboxing dulu.

Aneh, dia tidak tahu di mana Farha sedangkan dia sudah mengkhabarkan tentang majlis akad nikahnya hari ini.

"Mana Arsalan, umi?"

Pengantin lelaki masih tidak tiba sedangkan jam sudah melepasi angka 8 pagi seperti yang dijanjikan. Pelbagai prasangka buruk bermain dalam minda. Risau kalau apa-apa bahaya menimpa lelaki yang bakal menjadi suaminya itu.

"Lah, tanya umi pula kenapa? Kamulah patut call dia. Cepat, call dia tanya ada kat mana. Suruh dia cepat sikit."

Along di hadapan pun sudah mengisyaratkan supaya dia membuat panggilan. Lambat-lambat dia mencapai telefon bimbit yang dibiarkan di atas riba sedari tadi. Nombor telefon Arsalan didail dan dia menunggu panggilan bersambung.

Tut tut... Tut tut...

"Assalamualaikum," Panggilan berjawab. Suara garau Arsalan kedengaran dari talian sana. Salam itu pantas dibalas sebelum dia mengajukan soalan.

"Awak kat mana ni? Semua dah siap tunggu awak."

"Sorry. Saya baru sampai ni. Kejap lagi saya masuk,"

Talian putus. Seperti apa yang dikatakan, Han nampak kelibat Arsalan berjalan mendaki anak-anak tangga masjid sambil diiringi Firash di sebelah. Lelaki itu membasuh kaki dahulu lalu masuk ke ruangan ibadah.

Lega hati Han melihat Arsalan datang tanpa cacat cela. Dia tidak sanggup kehilangan Arsalan di hari bahagia ini. Sekurang-kurangnya bagilah dia merasa hidup berumah tangga dahulu.

Arsalan berkalih sekejap ke arahnya lalu cepat-cepat membuang pandang ke arah lain. Hujung vermilion Han terjongket melihat Arsalan sudah siap bersila di hadapan tok kadi.

Mereka berbual seketika sebelum tok kadi mengarahkan pandangan pada pengantin perempuan.

"Pengantin perempuan dah bersedia?"

Han menganggukkan kepala. Dia yakin dia telah bersedia.

"Pengantin lelaki?"

"Insya-Allah sedia."

"Bolehlah kita mula sekarang, insya-Allah"

Fikiran Han terasa di awang-awangan tatkala melihat Arsalan saling berjabat tangan dengan tok kadi. Bagaikan baru semalam dia mengenali Arsalan. Tiba-tiba mereka akan disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Tak semena-mena hatinya menjadi ragu. Dia mempersoalkan tindakan sendiri. Bisikan iblis yang sifatnya membenci keturunan Adam yang cuba meruntuhkan tembok pertahanannya mula menguasai.

Cecair jernih timbul bergenang di tubir mata. Dia saling berperang dengan dua perasaan yang bertentangan. Entah bila, sedar-sedar suara garau Arsalan sudah bergema di corong kecil pembesar suara masjid.

"Aku terima nikahnya Raihan Amani binti Makhtar dengan mas kahwin sebanyak 150 ringgit tunai." Lafaz keramat itu tenang meluncur dari ulas bibir merah Arsalan.

Jumlah mahar yang telah dipersetujui lantaran merujuk hadith riwayat Al-Baihaqi, daripada Sayidatina Aisyah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya berbunyi, 'Sesungguhnya yang paling berkat pernikahannya ialah yang paling rendah maharnya.'

"Sah."

Sungguh, terasa sekali bahawa urusan ini dipermudahkan. Hati memanjatkan syukur, mengharapkan perkahwinan ini dilimpahi sakinah dan mawaddah.

"Assalamualaikum," sapa Arsalan. Kali ini lelaki itu betul-betul sudah duduk di hadapan mata, menghadap Han.

Han tersentak. Ritma jantung lari berterabur. Wajahnya kebas, terasa hampir meletup berada dekat dengan lelaki itu. Rasa tak senang menjalar ke segenap urat darah.

Batas ikhtilat yang dijaga selama ini membuatkan dia terkesima saat pertama kali berada dalam jarak kurang satu meter dengan seorang lelaki biarpun kini, lelaki itu telah bergelar suami.

Cincin disarungkan ke jari manis. Seperti terkena renjatan elektrik, Han lekas melarikan tangan. Arsalan pula mengukir senyuman manis buatnya.

Ah, abaikan! Mahu bertentang mata dengan Arsalan pun dia tak mampu detik ini. Sekujur tubuhnya seakan lumpuh. Kepala cuma tertunduk menekur lantai. Lagak bagai mahu bersujud menyembah bumi.

"Han, cepatlah salam suami tu!" Puan Hanim mencubit perlahan pinggang Han. Menyedarkan si gadis yang berdiam diri lama.

Lambat-lambat Han mengangkat kedua-dua belah tangannya dan menyambut huluran salam Arsalan. Entah apa rasanya, tangan Han sendiri sejuk bergetar.

Tangan kanan Arsalan berlabuh di atas kepala Han sambil bibir itu terkumat-kamit membisikkan doa supaya bahtera perkahwinan ini kekal sampai ke Jannatul Firdaus-Nya. Menggantikan adat mencium dahi lantaran kata Arsalan, biar romantis itu mereka berdua sahaja yang tahu. Tambahan pula, itu cuma adat bukan kewajipan.

Selesai majlis kecil itu, Han tahu dirinya bukan lagi hak mutlak sendiri sebaliknya sudah menjadi milik sah lelaki di hadapannya sekarang.

***

ARSALAN sempat beryoga dahulu di hadapan pintu bilik sebelum menolak daun pintu perlahan-lahan. Sepasang mata meliar meneliti hiasan ringkas di dalam bilik berlantaikan papan itu. Cantik dan kemas. Malah wangi dengan haruman yang datang dari taburan kelopak mawar merah. Beria-ia sungguh Puan Hanim menghias bilik pengantin.

Liurnya ditelan tatkala terlihat sekujur tubuh yang sedang tidur mengerekot di atas katil. Diaturkan langkah menuju ke situ dan dia melabuhkan pungung di birai katil. Figura itu dikerling. Si gadis sudah terlena dengan gaun pengantin yang masih belum ditanggalkan. Lengkap bertudung lagikan.

Dia menggaru belakang tengkuk, memikirkan cara mahu mengejutkan si gadis dari lenanya. Dengan penuh berhati-hati tangannya dibawa menguis sedikit lengan Han yang masih berlapikkan kain baju.

"Han, bangunlah,"

Berkali-kali dia cuba mengejutkan gadis itu. Namun Han hanya merengek-rengek perlahan sambil mengelak daripada sentuhannya.

"Han, mandilah dulu. Kita solat sama-sama jom?"

Han terpisat-pisat mencelikkan mata. Merah warnanya menunjukkan Han benar-benar kepenatan dengan perjalanan hari ini.

Mata itu meneliti Arsalan lama sebelum bersuara malas, "Awak dah mandi?"

"Dah. Awak mandilah pula." balas Arsalan. Dia sudah lengkap berbaju nipis dan berkain pelikat. Rambutnya masih basah tanda baru sahaja usai membersihkan diri.

"Saya demam. Awak cuba rasa," Han mencapai tangan Arsalan dan dibawa ke dahi. Panas! Padanlah wajah itu nampak lesu.

"Saya minta panadol nanti. Awak siap-siap dulu eh?" ujar Arsalan lantas meninggalkan gadis itu bersendirian di dalam bilik lantaran memikirkan Han pasti memerlukan ruang privasi.

Kaki Han julurkan ke bawah lantas menuruni katil. Dia baru tersedar bahawa dia tidur dengan pakaian lengkap tadi. Patutlah berpeluh panas.

Dia cepat-cepat mencapai tuala dan berjalan keluar ke bilik mandi. Lagi cepat dia siap membersihkan diri, lagi cepat dia boleh rehat.

Sesampai di bilik, dia sudah siap bertelekung menunggu Arsalan datang menjadi imam. Mereka solat berjemaah. Senyuman bahagia terukir pada wajah tatkala bibir Han menyinggah di kekura tangannya. Menyedari hakikat bahawa sekarang dia sudah ada makmum di belakang.

Sementara Arsalan melipat sejadah, Han bangun menanggalkan telekung di atas kepala lalu diurai-uraikan rambut panjangnya. Tika sahaja Arsalan berkalih, Arsalan terkedu sendiri. Pertama kali melihat si gadis membuka aurat di hadapannya, dia hampir terlupa cara bernafas.

Tanpa sedar, sepasang matanya meneliti kejadian makhluk yang satu itu. Baru boleh nampak jelas bentuk tubuh yang selama ini terlindung di sebalik baju labuh dan longgar.

Dia menggeleng-gelengkan kepala seraya cuba memandang semula sekujur tubuh yang berdiri menyangkut telekung pada ampaian itu.

"Awak kenapa?"

Arsalan tersentak ditegur Han. Sebaris gigi putih ditayang kepada si gadis.

"Saya ingat ada perempuan lain dalam bilik ni."

"Maksud awak?"

Senyap. Berat sekali Arsalan mahu menjawab soalan itu. Malu dengan Han. Sumpah dia tidak menyangka di sebalik tudung yang menghijab sebahagian aurat Han, ada rambut brunette yang panjang mencecah pinggang.

"Saya nak tidur." ujar Arsalan seraya menapak ke katil. Namun, langkahnya terjeda ditahan Han.

"Nantilah dulu. Kita main nak?"

Dahi Arsalan berkerut. Main apa lagi? Tadi kata demam. Lagipun, Han tak penat ke?

"Main apa?"

"Batu seremban."

Ah, sudah! Kalau abang-abang iparnya mendengar bunyi batu dari dalam bilik mereka, pasti semuanya akan kehairanan.

Nak menolak tapi tak sampai hati. Maka dia menyoal bersahaja, "Ada ke batu?"

Wajah Han teruja mengeluarkan pundi kacang yang disimpan di dalam laci meja solek. Mahu tidak mahu, Arsalan terpaksa turutkan kehendak Han.

Dia bersila di atas lantai sambil menanti si gadis mengambil tempat di hadapannya.

"Siapa kalah, dia kena tidur kat sofa." ujar Arsalan yang sebenarnya geram bila diajak main batu seremban malam-malam. Tiba-tiba timbul keinginan untuk membuli Han.

"Eh, tukarlah! Tukar! Tak menarik langsung game awak. Siapa kalah, dia kena kiss yang menang." Han tersengih-sengih. Yakin sangat macam dia yang menang. Eleh!

"Ada bran?" perli Han apabila Arsalan hanya senyap, tidak mengangguk mahupun menggeleng.

"Setuju!"

Han mengangguk lantas memulakan permainan. Arsalan tersenyum-senyum mengejek Han dalam diam. Bersiap sedialah untuk kalah!

Happy reading! This chapter fully belongs to Arsalan Han. Ingatkan nak habiskan je tapi dah terlebih words sangat-sangat ni. Kena cut masuk next chapter la jugak nampaknya. Teaser LCDF | 21 "Nak peluk!" "Awak demam. Mana boleh peluk saya!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience