SEPASANG kaki tergesa-gesa menghayun langkah memasuki ruangan luas wad. Pintu ditolak dan matanya meliar menganalisa satu persatu para penghuni katil di situ.
Jumpa!
Dia merapati seorang gadis yang terpunduk kesunyian di sudut wad. Nampaknya gadis itu seperti sedang mengelamun jauh membuang pandangan ke luar tingkap, mengamati sepasang burung yang sedang bercinta di atas sebatang ranting pokok.
Salam dia hulurkan dan tatkala gadis itu berkalih memandangnya, si gadis tergamam. Manakala dia pula menghadiahkan senyuman lebar.
"Ka... kau buat apa kat sini, Han?" soal Farha. Terkejut yang pastinya dengan kehadiran tidak diundang Han petang ini. Malah Han tidak datang seorang tetapi berteman. Ada Teh sekali.
"Aku nak melawat kaulah. Apa dah jadi ni?"
Han mengambil tempat di birai katil sementara Teh pula melabuhkan punggung di sebuah kerusi yang tersedia. Perasan dengan renungan mata Farha yang meminta penjelasan, Han mengalah.
"Teh yang nak hantarkan aku datang sini. Dia tak bagi aku drive sorang-sorang sebab dia takut jadi apa-apa."
Mata Farha melirik pula kepada Teh yang sedang meletakkan buah tangan di atas sebuah rak kecil. Dia tidak menyangka lelaki itu akan ikut sekali pulang ke kampung lantaran baru beberapa minggu lepas Teh kembali ke KL.
"Macam mana awak boleh jadi macam ni, Farha?" Giliran Teh pula menyoal dengan soalan sama yang baru diluahkan oleh Han tadi.
Farha mengeluh berat bersama pundak yang jatuh mendadak. Macam berat sangat aje masalahnya. Sampai dah masuk hospital, risau juga mereka.
"Macam biasa, saya balik dari hospital lewat malam. Tapi Allah izin hari tu saya penat sangat. Saya tak sedar bila saya terlelap waktu drive. Bila saya buka mata, saya nampak dah ada sebiji motor kat depan,"
Jeda sekejap. Farha mengambil ruang itu untuk membasahkan bibir yang kekeringan. Teh terlebih peka lantas segera menghulurkan segelas air kosong.
Dibiarkan Farha meneguk beberapa kali sebelum si gadis kembali menyambung cerita yang tergantung sekejap tadi.
"Saya nak mengelak. Tapi, saya terbabas hentam pokok. Rider tu pula alhamdulillah... sempat terjun dalam semak. Sekurang-kurangnya tak teruk sangat kecederaan dia tu."
"Bahaya micro-sleeping ni. Dah ramai orang yang accident sebab ni je." ujar Teh.
Farha hanya mampu menundukkan wajah. Dia rasa bersalah sangat dengan lelaki itu. Barang yang diamanahkan telah dia khianati.
"Pasal kereta awak... bahagian bumper rosak teruk. Nanti saya gan-"
"Tak apalah. Tak penting pun kereta tu. Bukannya saya tak boleh beli lain. Dah, awak tak payahlah risaukan pasal tu. Kecik punya hal je." Teh bersuara menenangkan kegundahan hati si gadis.
Dia tidak mahu disebabkan hal itu, Farha tertekan pula. Cukup-cukuplah Farha masuk hospital atas kecederaan hasil berdentum dengan batang pokok.
"Doktor cakap apa kat kau?"
"Keadaan aku tak teruk mana pun. Alhamdulillah kepala aku tak terhantuk kuat sangat. Doktor kata, kalau terlebih sikit daya hantukan tu, kemungkinan aku boleh jadi memory loss."
Teh dan Han mengucap hamdalah. Memanjatkan kesyukuran hanya kepada-Nya kerana masih diberikan nikmat kehidupan.
Mata Teh bertentang seketika dengan anak mata coklat Farha sebelum si gadis membuang pandang ke arah lain. Faham dengan isyarat tidak selesa itu, dia bertindak mengundurkan diri.
Punggung yang berlabuh diangkat dari kerusi lalu dia membetulkan postur tubuhnya sambil menyeluk kedua-dua belah tangan ke dalam kocek seluar.
"Saya nak pergi mini bakery kat tingkat bawah tu. Awak ada apa-apa nak beli?"
"Belikan saya chicken floss. Banyak-banyak sikit eh," pinta Han, manja.
Teh menghulurkan tapak tangan kepada Han. "Duit?"
"Pakai duit awak dululah."
Bibir Teh mencebik. Dia bergurau sahaja dengan adiknya. Tetapi kalau Han bagi duit kepadanya pun, dia tetap akan mengorbankan duit sendiri untuk belanja Han.
"Awak?" soal Teh seraya melirik ke arah Farha yang cuma menyepi di atas katil. Gadis itu berdiam diri lama sebelum menjawab,
"Apa-apa je. Saya tak kisah."
"Okey. Kalau cinnamon roll pun tak kisah kan?"
Farha merengek disakat Teh. Lelaki itu ketawa mengekek dapat mengenakan sahabat baik adiknya itu. Macamlah Teh tak tahu yang Farha sangat benci akan kayu manis.
Dia mempamit sopan sebelum beredar meninggalkan Farha dan Han di situ. Sebaik sahaja kelibat Teh menghilang, Farha mengarahkan pandangannya pada Han.
"Kau tak kerja ke hari ni?"
"Kerjalah, babe! Aku ni kerja separuh hari je lepas tu terus datang sini. Ingatkan nak call Teh sebab nak inform je. Tak sangka dia nak ikut sekali."
"Dah tu, esok macam mana?"
Sekarang lagi minggu bekerja. Pasti sahaja Han perlu masuk bertugas esok pagi tetapi bila dah ada kat kampung ni, dia tak rasa Han akan masuk pejabat buat beberapa hari ini.
"Bos aku mesti bising kalau aku tak masuk kerja lagi esok lusa. Tapi lantaklah! Kalau dia nak pecat aku pun, aku rela."
"Eleh, sembang! Kau tak tau ke berapa ramai orang menganggur sekarang? Susah nak dapat kerja. Kau pula boleh senang-senang nak kena pecat."
Han sengih. "Berani bos nak pecat aku. Aku ni akauntan paling bagus pernah dia ada!"
Dada didabik megah. Berbangga dengan pencapaiannya. Almaklumlah, Han itu sudah menjadi kesayangan ketua. Bolehlah sembang macam firma itu dia yang punya.
Tetapi kalau dah selalu sangat buat hal, tak mustahil anak kesayangan bagaimana sekali pun boleh ditendang keluar tanpa belas.
Farha hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Lantak kaulah, Han. Tapi kalau jadi apa-apa, Farha tidak mahu tanggung. Siapa suruh degil sangat nak balik kampung waktu minggu bekerja?
Tangan Han yang terbiar bebas dia capai dan genggam erat. Han diam, memerhatinya dengan pelbagai persoalan berselirat dalam kepala.
"Babe, aku dah fikir masak-masak."
"Apa yang masak sangat tu?" Dahi Han berkerut sedikit. Jantungnya berdegup kencang mengepam darah ke segenap saluran dalam tubuh. Berdebar menanti jawapan Farha.
***
"WHAT?" Mata itu terbuntang luas sementara mulutnya separa ternganga. Dia langsung tidak menyangka dia akan mendengar suatu perkara yang baginya sangatlah menggelikan. Ini memang benar-benar di luar jangkaan.
"Tak payah nak terkejut sangatlah. Macamlah selama ni awak tak tahu," bidas Han dengan riak menyampah.
Teh meraup wajah seraya membuang pandang ke arah jalan suram yang dilimpahi cahaya tiang lampu. Dia rasa tak senang duduk di atas buaian yang sama dengan Han lantas bangkit bertenggek di tembok beranda rumah.
"Awak tahu je kan Farha dah lama simpan perasaan kat awak? Tak boleh ke awak buka je hati tu untuk dia?"
"Masalahnya saya tak suka dia!" Teh membalas keras. Berkali-kali dia menghembuskan keluhan berat. Mana mungkin dia boleh jatuh hati dengan gadis yang membesar sama-sama dengannya itu.
*Andwae cheolte!
"Saya anggap dia tu adik saya je. Macam saya anggap awak adik saya. Sayang saya pada dia takat tu je. Macam mana saya nak kahwin dengan orang yang saya dah anggap macam keluarga saya?"
Han bangkit dari buaian serta-merta. Wajah Teh direnung tajam.
"Jangan samakan saya dengan Farha! Saya adik kandung awak. Tapi Farha tak ada ikatan darah pun dengan kita." tegas Han. Dia menyambung lagi,
"Jumpa Farha, terangkan hal sebenarnya. Jangan bagi dia fake hope lagi!"
Kemudian, dia berlalu masuk ke dalam rumah meninggalkan Teh terkujat di situ.
Happy reading! *Andwae cheolte: No way (korean). Teaser LCDF | 19 "Kenapa awak tak nak terima saya jadi isteri awak? Atau awak rasa jijik dengan saya sebab saya ni dah tak suci? Dah ditebuk tupai!" "Sa... saya minta maaf,"
Share this novel