KELOPAK mata dibuka luas. Telinganya bingit mendengar bunyi alarm phone yang diset oleh Arsalan. Dia menghidupkan lampu meja lalu mencapai telefon bimbit Arsalan. Terkenyit-kenyit matanya menatap skrin yang bercahaya. Baru pukul 4 pagi. Agaknya Arsalan set untuk bangun tahajud. Alarm tadi langsung dimatikan.
Pandangan dilempar ke sebelah. Lelaki itu masih berdengkur halus diulit lena. Kesian pula nak kejutkan Arsalan lantaran lelaki itu nampak penat sekali. Dua tiga hari ini, mereka sama-sama bertungkus-lumus memindahkan barangan dari rumah lama ke rumah baru. Memang tidur matilah bila tiba waktu malam.
"Nanti pukul 5 kita bangun lain okey," bisik Han.
Dia menetapkan alarm pada pukul 5 pagi. Harap-harap terjagalah nanti. Risau kalau terbabas. Dahlah Arsalan kena bekerja pagi ni.
Sewaktu dia ingin meletakkan semula telefon bimbit itu ke atas meja, tangannya tertepis sebuah dompet hitam. Tertunduk-tunduk dia cuba mengutipnya.
Dompet itu direnung lama. Memori sewaktu di Bali dulu berulang lagi. Kerana sekeping gambar yang dia jumpa di dalam dompet inilah, dia jadi curiga dengan Arsalan. Apa yang lelaki itu cuba sorokkan?
Dia buka lipatan dompet dengan berhati-hati. Gambar yang dia pernah nampak dulu dicari. Jumpa! Lama dia meneliti sekeping gambar bersaiz passport itu.
Gambar seorang lelaki berambut botak dalam sepersalinan lengkap sut tentera berwarna hitam. Raut wajah itu persis Arsalan Asad tetapi dalam versi lebih muda dan berkulit sawo matang. Dia kerling sekilas Arsalan yang lagi lena.
"Mana sama. Kulit dia putih," gumamnya.
Tiba-tiba, terdetik di hatinya untuk membelek gambar itu depan belakang. Bila dia memusingkannya, retina matanya menjamah barisan tulisan yang kemas. Sayangnya, dia tak dapat membacanya lantaran ia tulisan Thai.
Hanya beberapa angka yang dia dapat faham. Mungkin tahun gambar itu diambil. Han mengerutkan dahi. Dia masih tak dapat klu kenapa Arsalan beria-ia merentapnya dulu. Arsalan bagai cuba menyembunyikan sesuatu tentang gambar ini.
Tak tunggu lama, dia mencapai telefon bimbitnya. Kamera dibuka dan dengan sekali tekan, dia sudah berjaya mengambil gambar tulisan Thai tadi. Dia akan mencari apa makna di sebalik tulisan ini nanti. Mungkin itulah sebabnya kenapa Arsalan menyimpan rahsia daripadanya.
***
PELIPIS yang berdenyut-denyut sakit dipicit perlahan. Sejak kebelakangan ini, dia selalu diserang sakit kepala. Tak boleh lama sikit menghadap skrin, mulalah pandangan jadi berbalam-balam.
Jam analog di pergelangan tangan kiri dikerling sekilas. Jarum pendek menunjukkan angka 12 tengah hari. Masa rehat sudah bermula.
Dia mengintai ke luar. Carol, si setiausahanya masih ada di meja sedang mengemas dan bersiap untuk keluar makan. Pantas ditekan butang interkom sebelum Carol hilang dari pandangan.
"Carol, come in."
"Yes, boss."
Tak lama selepas itu, Carol muncul di muka pintu. Arsalan panggil mendekat.
"Kenapa bos?"
"Tolong belikan saya makanan. Nasi ayam or whatsoever. Lepas tu, tolong belikan panadol sepapan ya,"
"Bos tak sihat ke? Kalau bos nak ambil cuti separuh hari pun—"
"No need. I larat lagi,"
Carol mengeluh berat. Itulah Arsalan. Selagi tak pengsan, selagi tu nak bekerja. Dia pun malas nak berbahas hal yang sama setiap kali Arsalan diserang sakit. Dah besar, pandai-pandai urus diri sendirilah.
Arsalan mengeluarkan dompet dari dalam kocek. Biarpun Carol kata dia nak tolong bayarkan dulu tapi Arsalan tak suka berhutang. Prinsipnya, kalau ada duit beli. Kalau tak ada, tak payah.
Sewaktu mengeluarkan beberapa keping not merah dari situ, Arsalan terperasan sesuatu. Letak duduk sekeping gambar yang dia selit telah berubah kedudukannya. Dia mendecit perlahan.
"Raihan Amani."
***
PAGI tadi Arsalan sudah ke tempat kerja. Sepi pula rumah bila dia tidak boleh menyakat lelaki itu macam selalu. Dek kerana bosan hanya duduk menggoyang kaki di rumah, dia memutuskan untuk buat aktiviti mengemas.
Lagipun sejak mereka berpindah masuk ke dalam rumah baru ini, dia tak pernah lagi berkesempatan untuk menyusun atur semua barangan.
Bermula dari ruang tamu, dapur sampailah ke bilik tidur. Semuanya dia sapu, mop dan kemaskan susun atur. Tinggal sebuah bilik di hujung lorong yang dia masih belum sentuh.
Sebatang penyapu dibawa ke sana. Tombol pintu dipulas perlahan dan pintu itu terkuak luas. Kagum sekejap Han memerhati ruang sederhana luas itu.
Rak buku gergasi memenuhi sudut. Bermacam-macam jenis buku disusun mengikut kategori. Ada rak yang dikhaskan untuk bahan bacaan Bahasa Inggeris sahaja, ada pula buku Bahasa Melayu dan tak terkecuali kitab turath yang lebih dikenali sebagai kitab kuning.
Namun begitu, Han lebih tertarik untuk meneliti rak buku Arab itu. Kaki menghayun langkah ke sana.
Sebuah kitab kuning ditarik keluar lalu dibelek-belek khusyuk. Tajuk yang terpampang pada kulit kitab dibaca perlahan.
"Muhadharat fil 'aqidah,"
Isi dipandang sekali imbas. Bahasa Arab penuh. Ada beberapa coretan ringkas di tepi muka surat. Barangkali catatan yang dibuat oleh Arsalan sewaktu menelaah kitab.
Baru dia faham kenapa Arsalan begitu fasih melempar pick-up line dalam Bahasa al-Quran itu. Arsalan Asad sendiri boleh membaca terus kitab turath. Pasti suaminya itu bukan calang-calang orang.
Plup!
Sekeping kertas jatuh dari celah-celah muka surat kitab. Han menundukkan tubuh lalu mengutip semula kertas tadi.
"Kenapalah dia suka selit gambar merata-rata,"
Rupa-rupanya bukan kertas tapi sekeping gambar. Nampak gaya macam gambar lama. Warnanya sudah pudar dan agak kekuningan. Ada tarikh yang tersemat di bahagian belakang gambar.
Sejurus kornea matanya disapa imej itu, kedua-dua belah matanya terbeliak luas. Tangan langsung bergetar ketakutan. Dada yang beralun tenang tadi mula berubah rentak.
Gambar tadi terjatuh dari tangan dia biar tak berkutip lagi. Lututnya sudah melembik, memungkinkan dia untuk ikut jatuh terduduk di atas lantai.
"A... ap... apa ni? Apa semua ni? Arsalan tipu aku?"
Happy reading!
Share this novel