"ADA orang ke tak ni?" soal Han ketika Teh sudah menarik rapat brek tangan. Enjin dimatikan dan mereka keluar dari kereta. Rumah kayu di hadapan mata mereka tuju.
Han mengintai kasut yang agak berterabur di halaman rumah. Ada beberapa pasang alas kaki namun apa yang dicarinya tidak kelihatan.
Mengalah, dia memusingkan kepala mengerling Teh yang berdiri tidak jauh daripadanya. "Kata umi dan abah datang melawat Farha. Tak ada kasut pun,"
"Balik dahlah. Awak ingat elok ke duduk rumah orang lama-lama?"
Han mencebikkan bibir. Dia tanya je pun tapi Teh boleh pula pergi bantai perli dia.
"Nak tahu ada orang ke tak, awak bagi salam la. Ha, cepat!" Teh menyuruh Han yang melaungkan salam. Terpaksalah si gadis turutkan. Salam dia laungkan beberapa kali.
Masuk salam ketiga, tetap tiada suara yang menyahut. Han sudah mengeluh berat. Nampak gaya, macam tak ada chance je untuk dia berjumpa dengan Farha hari ini.
"Tak ada orang pun," Han menghampiri Teh lalu membiarkan kepalanya diusap lembut oleh lelaki itu.
"Dia tak nak diganggu kut." pujuk Teh. Tak mustahil Farha ada di dalam tapi sengaja tidak menyahut lantaran perlukan masa untuk berehat. Bayangkan, dari semalam dia menerima tetamu yang datang tak putus-putus mengucapkan takziah.
"So, kita nak buat apa ni?"
"Kita baliklah. Nanti datang lain,"
Baru mereka berkira-kira untuk beredar, pintu kayu yang tertutup rapat tadinya dibuka seseorang dari dalam. Wajah sugul Farha muncul di situ.
Siap berkelubung dengan telekung putih. Barangkali Farha baru selesai solat sebelum menjawab salam yang dilemparkan.
"Farha!"
"Eh, Han! Kau buat apa datang sini?" Farha membalas sapaan Han. Wajahnya cuba diceriakan lantaran menerima rahmat Allah pada awal pagi ini.
"Aku datang nak melawat kaulah,"
"Jemputlah naik."
Sejurus sahaja dipelawa tuan rumah, Han terus menarik tangan Teh untuk ikut serta mendaki anak-anak tangga rumah tradisional itu.
Dahi Han berkerut bila Teh tiba-tiba mengeraskan tubuh, tak mahu beri kerjasama yang baik. Lalu, dia menggesa si lelaki, "Jomlah, awak."
"Saya rasa tak sedap badanlah. Kita balik jelah."
"Awak jangan nak mengada. Kita dah datang jauh-jauh ni takkanlah awak nak suruh balik macam tu je?"
"Nanti kita boleh datang lain kali-"
"Itu lain kali punya cerita. Sekarang dah sampai, jomlah!"
Tak tahulah apa yang berat hati sangat Teh nak masuk ke dalam rumah tinggalan arwah itu, bermacam-macam alasan diberi. Namun satu pun tak lut pada Han. Dipaksa juga Teh masuk sehinggalah lelaki itu terpaksa akur.
Farha menjemput mereka duduk di atas sebuah sofa. Dia bangkit menekan suis kipas diri dahulu sebelum mengambil tempat berhadapan dengan tetamunya.
Mata coklat Farha kerap kali melirik pandang ke arah Teh sebelum melemparkan jelingan tajam. Han perasan keadaan itu lantaran abangnya sampai menundukkan wajah tak selesa tapi dia sengaja tidak menegur.
"Aku minta maaf sebab aku tak tahu mak kau meninggal semalam. Aku datang ni nak ucap takziah,"
Farha senyum nipis. Jelas masih ada rasa sedih yang tersisa. Padanlah, arwah baru dikebumikan semalam. Tanah kubur pun masih lagi merah.
"Terima kasih. Aku pun minta maaf sebab tak datang majlis kau semalam. Selamat pengantin baru, Han!" ucap Farha. Han tersenyum sebelum membalas dengan ucapan terima kasih. Dia faham kalau Farha tak dapat datang pun semalam.
"Arwah mak meninggal di hospital. Dah lama bergantung harap pada bekalan oksigen sampailah semalam, doktor bagi pilihan untuk cabut ataupun tak.
Aku pilih untuk cabut. Kesian arwah, dah lama terseksa. Lepas tu, jantung arwah memang tak berdegup dah."
Teh dan Han memilih untuk mendengar sahaja cerita yang disampaikan oleh si gadis. Rupa-rupanya otak Puan Rahimah sudah lama tidak berfungsi gara-gara kanser yang dialami.
"Dah lama ke arwah menghidap kanser?"
"Dah lama. Sebelum ni, arwah mak selalu mengadu panas badan. Aku ingatkan itu benda biasa. Jadi, aku belikan aircond untuk arwah. Merata-rata pasang aircond dalam rumah ni,"
Mata Han ikut meninjau keadaan rumah. Kelihatan sebuah pendingin hawa terlekat di dinding ruang tamu.
"Arwah paling suka duduk di ruang tamu dan dalam bilik tidur. Jadi, aku pasang aircond kat dua tempat tu."
Kepala Han terangguk-angguk faham.
"Arwah selalu tak lalu makan sampai badan dia susut. Risau, macam-macam ubat aku bagi untuk kembalikan selera dia tapi memang tak jalan. Sampailah kali pertama dia pengsan dan terpaksa ditahan di wad, baru aku tahu arwah mak dah didiagnosis kanser tahap 4."
Han tersentak. Maksudnya, sewaktu dia menemani Farha pulang ke kampung sekali dulu, Puan Rahimah sudah disahkan menghidap kanser.
Tetapi pada waktu itu, Farha hanya menyatakan kepadanya bahawa Puan Rahimah sakit biasa. Jadi, dia tidak terlalu risau tentang keadaan wanita separuh abad itu.
Tiba-tiba Farha menekup wajah. Menyorokkan genangan air mata yang hadir tanpa dipinta. Dia berusaha untuk kekal nampak tabah. Sekarang-kurangnya di mata sahabat baiknya.
"Aku patut sedar dari awal lagi, semua tanda-tanda tu sebenarnya petunjuk yang arwah mak dah menghidap kanser. Tapi waktu tu aku sibuk dengan kerja. Aku tak sungguh-sungguh pun suruh mak pergi cek kat hospital."
Mata Han dan Teh saling bertemu. Teh mengarahkan Han pergi memujuk gadis itu. Lalu, Han segera mengubah tempat duduk ke sebelah Farha. Bahu Farha dipaut dan dia usap lembut belakang tubuh temannya.
"Sabarlah. Allah tahu yang terbaik. Mungkin kalau kau tahu petanda tu dari awal pun, kau tetap tak mampu nak buat apa-apa. Yang penting, kita jangan berhenti doakan kebahagiaan dia kat akhirat sana."
Farha mengangguk-anggukkan kepala. Mana mungkin dia akan lupa segala jasa pengorbanan Puan Rahimah dalam membesarkannya. Wanita itu terlalu suci hatinya. Semoga ada tempat buatnya di dalam syurga paling tinggi sana.
"Eh, lupa pula aku nak sediakan air. Korang datang jauh-jauh ni, kosong pula aku sambut. Sekejap aku ke dapur," Air mata dikesat kasar sebelum Farha bangun dari duduk. Namun, cepat-cepat Han memaut pergelangan tangan itu.
"Tak payahlah. Bukan tugas kau nak sediakan air buat jamu kitorang. Kitorang datang sekejap je ni, melawat kau. Lagipun, bukan jauh mana rumah aku dengan rumah kau ni."
"Korang tetamu. Tak kiralah sekejap ke lama, aku sediakan lepok-lepok sikit."
"Kalau macam tu, biar aku jelah ambilkan. Kau duduk sini."
Farha teragak-agak untuk menolak. Han pun memang dah selalu sangat datang ke rumah ini sewaktu kecil dahulu. Dah macam rumah sendiri.
"Ish, tak payah! Tak payah! Inikan rumah aku. Biar aku je buat." Dia masih berkeras. Tidak mahu menyusahkan tetamunya hari ini.
Tangan Han menekan kuat bahu Farha, memaksa gadis itu kekal di kerusi. "Kau ni bagilah aku chance nak meninjau rumah ni. Rasa dah lama sangat aku tak jejak kaki ke sini.
Kau ingat dulu? Kita selalu buat sfera sama-sama kat dapur tu. Aku nak juga tengok tempat kenangan aku waktu kecil-kecil dulu."
Bila dah disentuh topik silam, Farha terpaksa mengalah. Rumah ini dah macam rumah bersama. Kadang-kadang Han tidur di sini bersama mereka. Puan Rahimah amat mengalu-alukan kedatangan Han, seperti mana Puan Hanim menyambut Farha dengan tangan terbuka.
"Yalah." Farha akur.
Bagai lipas kudung Han berjalan ke dapur. Sedar-sedar sahaja si gadis sudah lesap dari ruang tamu. Saat itu barulah Teh berani mengangkat wajah. Pelbagai persoalan sarat memberati mindanya.
Sebelum Teh menyoal, Farha yang terlebih dahulu bersuara dingin. "Kenapa awak datang sini?"
"Saya... saya temankan Han melawat awak." Jujur Teh menjawab. Tak ada tujuan pun untuk dia menipu.
"Kenapa awak macam marah sangat dengan saya ni? Saya ada buat salah apa-apa ke dengan awak?"
Dia bingung. Dari tadi dia dapat merasakan aura Farha yang seakan tidak sebati dengan auranya. Negatif bertentang positif. Semacam ada sesuatu yang tidak selesai antara mereka.
"Kalau ikut hati aku, aku benci sangat tengok muka kau."
Teh tersentak. Gaya bicara Farha langsung berubah sampai dia rasa dia tidak mengenali Farha yang sedang berbual dengannya sekarang. Wajah Farha tidak terpalit senyuman. Keras. Sekeras butir katanya seminit yang lalu.
"Apa yang saya dah buat sampai awak benci tengok muka saya?"
"Tolonglah! Berhenti berpura-pura bodoh. Kau tahu tapi kau acah tak tahu. Aku jijiklah dengan kau ni!"
"Far... Farha... please, apa semua ni?"
Mata Farha menghelang tajam wajah Teh. Benar apa yang dikatanya tadi, Teh nampak rasa benci dan dendam yang begitu sarat di sebalik renungan itu.
"Aku dah lama benci kau sejak peristiwa tu. Tapi aku cuba buang rasa tu dan tampal dengan perasaan suka. Aku paksa diri aku untuk suka kau. Tapi aku tak mampulah. Aku tak mampu... sebab setiap kali aku tengok kau, aku jadi teringat apa yang dah berlaku."
Jeda. Farha menelan liur sebelum menyambung, "Aku jijik dengan diri aku. Aku jijik dengan kau."
Teh terbangun dari sofa. Pinggang dicekak dan dia meraup kasar wajah sambil menghembuskan keluhan berat berkali-kali.
"Look, Farha... macam apa yang saya pernah cakap kat awak sebelum ni. Saya dah lama lupakan peristiwa tu dan siapa pun awak sekarang, awak masih sama macam yang saya mula-mula kenal. Tak boleh ke awak buat benda yang sama, lupakan apa yang dah jadi?"
"Itu apa yang kau rasa. Tapi bukan apa yang aku rasa. Aku benci kau, Rhykal Khalis." Farha sudahkan bicara mereka dengan lafaz benci itu sebelum memaniskan kembali wajah tika melihat Han tiba dengan sedulang hidangan.
Happy reading! Sorry sebab teaser tak sama macam apa yang dalam chapter ni. Saya buat keputusan untuk tunda dulu part teaser tu. Tapi part ni pun okey kan?
Share this novel