JARI-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta mengikut rentak rambang. Entah lagu apa yang dimainkan, dia sendiri tidak tahu. Sekadar buat mengisi masa kosongnya menunggu seseorang.
Sesekali dia mengerling jam tangan lalu menghembuskan keluhan berat. Segaris senyuman nipis terukir di bibir tatkala melihat makhluk yang ditunggu sudah tiba. Farha sedang berjalan laju ke kereta.
"Hah, lambat!" sergahnya sebaik sahaja tubuh gadis itu menjengah masuk ke dalam perut Alza. Farha tersengih canggung.
"Aku betulkan tudung ni. Itu yang lambat sikit."
Han menjeling penampilan Farha pada pagi ini. Lain macam pula nampaknya. Dengan sehelai blaus labuh paras lutut, dipadankan dengan seluar Khakis longgar serta bawal bidang 55°, Farha nampak sangat mengagumkan. Lebih mesmerizing, gorgeous dan astonishing!
Dia berdeham perlahan seraya berpura-pura fokus menghidupkan pendingin hawa dan segala punat lain yang ada.
"Cantik kau hari ni. Ada apa-apa ke?" Sengaja dia menyakat gadis sebayanya itu. Tepat seperti apa yang diteka, pipi Farha merona malu.
"Ohh... betullah! Mestilah kena cantik-cantik. Ini first date kau kan?" Tawa nakal Han meledak kuat.
Gear dimasukkan dan dengan berhati-hati, Han mengundurkan kereta yang dibeli dengan duit sendiri itu. Perjalanan mereka tidaklah terlalu sepi lantaran ditemani dengan keletah DJ radio dan sesekali mereka berbual mesra.
"Kenapa cepat benar mak ayah kau nak balik kampung? Tak sampai seminggu pun duduk dengan kita." omel Farha, tak puas hati. Seakan-akan dia pula anak kandung yang menggantikan tempat Han.
"Abah tu... risau sangat kat kandang kambing dia. Bukannya tak ada Abang Rafiq yang jaga tapi kau sendiri faham jelah dengan perangai abah tu. Susah sangat nak percaya orang!"
"Even orang tu Abang Rafiq pun?" Mulut Farha terlopong. Kalau susah nak percaya strangers, dia tak kisah sangat. Tapi ini Rafiq yang bagaikan isi dengan kuku, anehlah kalau masih tak dipercayai.
Han menjongketkan bahu. "Sebenarnya bukan tak percaya sangat pun. Alasan je nak balik kampung sebab abah tak selesa nak duduk sini lama-lama. Orang dah biasa duduk kampung, Farha."
Sebelah tangan menongkat tepi kepala sementara siku dibiarkan terpacak pada tingkap kereta. Sebelah tangan lagi pula tetap pada stereng, selaras dengan mata yang tertumpu fokus pada pemanduan.
Masing-masing kembali menyepi. Hanya suara panel radio yang memeriahkan suasana. Tak betah dengan keadaan itu, Han mengerling sekilas Farha di sebelah. Rupa-rupanya gadis itu sedang termenung jauh ke luar tingkap. Entah apa yang bermain dalam fikiran itu sampaikan jari-jemari Farha menguis-nguis tak senang.
"Babe." panggilnya. Farha tersentak lantas memandang Han dengan mata yang sedikit membulat.
"Kau fikir apa sorang-sorang? Nampak gelisah je."
Dia mencapai tangan Farha yang berada di atas riba lalu digenggam erat, cuba mengalirkan kehangatan bersama ketenangan jauh ke lubuk hati Farha. Tatkala pandangan mereka bertembung, Farha cuba mengukir senyuman kelat.
"Aku takutlah nak jumpa abang kau." luah Farha, tulus.
Sudah bertahun-tahun dia tak menatap wajah Teh sejak habis persekolahan dahulu. Teh terlebih dahulu keluar dari kampung menyambung pengajian. Jarang-jarang pulang lantaran jarak dari tempat belajar dengan kampung sangat jauh.
Boleh kata 4 tahun sekali baru Teh menjenguk keluarganya di kampung. Dah macam belajar di luar negara walhal masih dalam Malaysia. Barangkali kerana tambang pergi dan balik boleh tahan tinggi membuatkan Teh lebih selesa berhubung melalui gajet sahaja.
"Relax la. Dia bukan makan orang pun,"
"Memanglah dia tak makan orang. Aku ni ha, aku malu dengan dia." rungut Farha. Takkan dia lupa kenangan beberapa tahun lalu. Biarpun sudah lama dimamah usia, ingatan itu masih segar dalam kotak memorinya.
"Yang kau nak malu sangat ni kenapa? Kau ada buat kes ke dengan dia?" Dahi Han berkerut tak puas hati. Bingit telinganya mendengar Farha yang tak berhenti berzikir 'malu, malu, malu'. Selalu orang malu kalau buat silap je.
"Kau tak ingat cerita aku dengan dia waktu darjah 6 tu?"
Tudia! Zaman darjah 6 habis diungkit. Jauh beza dengan umur mereka sekarang. Berselirat sel-sel otak Han cuba meraih kembali memori silam yang mungkin sudah terhapus dari ingatannya.
***
PINTU kelas dipukul ganas oleh Farha. Seisi kelas yang riuh lantaran tiada guru masuk tadi serta-merta sunyi sepi. Semua mata tertumpu kepada Farha yang baru masuk sambil diekori oleh seorang senior tingkatan 3. Mereka mula berbisik-bisik bila melihat pelajar sekolah menengah itu menceroboh masuk kawasan sekolah rendah.
"Farha, please terima saya! Saya betul-betul sukakan awak." rayu Izzul, tanpa lelah terus mengejar Farha yang sudah berlabuh di atas kerusi. Dia tidak mempedulikan mata-mata yang memandang. Fokusnya cuma buat remaja perempuan yang telah mencuri hatinya.
"Kau buat apa kat sini? Ni sekolah akulah! Kau nak kena halau dengan guard ke baru nak faham bahasa?" Farha melenting. Payahlah bercakap dengan orang jenis tak reti bahasa ni!
Tak sampai sebulan dia berpindah masuk ke sekolah ini, hari-harinya sudah diganggu oleh pelajar senior itu. Bangunan sekolah menengah dan rendah yang cuma bersebelahan membolehkan mereka masuk ke sini dengan mudah.
"Saya nak minta awak couple dengan saya. Itu je! Kalau awak terima, saya pun tak payah merayu kat awak setiap hari."
Farha berpeluk tubuh. Wajahnya monyok. Tak ada sesiapa pun yang berani menegur mahupun masuk campur lantaran semua tahu Izzul itu sebahagian daripada geng Jabbar, gengster sekolah menengah. Kang daripada elok-elok boleh bernafas, terus jadi mati katak. Sia-sia je hidup bertahun-tahun!
Walaupun Jabbar terkenal sebagai gengster sekolah menengah tapi sosok itu sangat digeruni sampai ke pelajar junior sekolah rendah. Persis namanya, Jabbar, itulah aura yang tersebar.
"Please?"
Izzul menghulurkan sebentuk cincin bertatah berlian putih. Lama Farha merenung barang kemas itu. Hatinya tertanya-tanya dari mana Izzul dapat cincin itu. Entah-entah Izzul cilok mak sendiri punya semata-mata nak diberikan kepadanya.
"Aku tak nak! Tak naklah! Kau tak faham lagi ke?" Suara halus Farha menjerkah nyaring.
Izzul tak mengalah. Tangan kanan Farha dicengkam dan dia cuba untuk menyarungkan cincin itu ke jari manis Farha sementara Farha meronta-ronta tidak mahu. Mereka bergelut hebat di hadapan ramai.
Tak semena-mena tubuh Izzul tertarik ke belakang oleh suatu daya sebelum terhumban ganas ke lantai kelas. Cengkaman tadi terlepas dan cincin berdenting jatuh.
Ting!
Mata Farha membulat menyaksikan apa yang baru berlaku. Masa seakan berputar lambat. Farha dapat melihat dengan jelas satu sosok tubuh kekar yang berdiri di sebelahnya, menghadap Izzul yang masih terpisat-pisat di atas lantai.
Remaja lelaki itu menyelukkan kedua-dua belah tangan ke dalam kocek sambil tersenyum sinis kepada Izzul.
"Apa ni, bro? Tak gentle la main paksa-paksa. Dah dia tak nak, kenapa kau nak suruh lagi?"
Izzul ketawa sinis, mengejek remaja lelaki itu biarpun sedar dirinya sekarang di bawah. Lambat-lambat dia bangun berdiri setara remaja itu.
"Kau apahal, bro? Dia awek kau ke sampai kau nak gelabah tak tentu hala ni?" bidas Izzul.
Remaja tadi mengerling sekilas ke arah Farha. Pandangan mereka bertembung sekejap sebelum si remaja mengarahkan semula pandangannya ke hadapan.
"Dia adik aku. Kau ada masalah?"
Farha terkesima. Dia langsung tak menyangka jawapan itu yang akan menggelungsur keluar dari mulut si remaja berambut keperang-perangan itu. Bukan setakat dia sahaja yang keras kejung di situ, Izzul dan yang lain pun tergamam.
"Macam nilah, bro. Kalau aku dapat tahu kau kacau lagi adik aku..." Remaja itu menggapai kolar kemeja putih Izzul lalu ditarik rapat ke arahnya. Mata mereka saling bertentang menghantar renungan tajam.
"Aku tak teragak-agak untuk sunatkan kau sekali lagi." bisik si remaja disertai senyuman sinis di hujungnya. Dada Izzul ditepuk sekali dua. Izzul menelan liur kelat. Wajahnya tak usah ceritalah. Pucat lesi!
***
"ITULAH kali terakhir dia kacau aku, babe."
Han melepaskan tawa. Kelakar bila teringatkan zaman budak-budak yang sudah hangat bergaduh kerana cinta. Lagi kelakar bila dia tahu, di sebalik cerita Farha tadi, dialah heroin yang sebenarnya.
Dia sanggup berlari mendapatkan Teh di sekolah sebelah semata-mata untuk meleraikan kekalutan yang terjadi. Bila mereka sampai di kelas itu, dia sudah tersandar lelah dan membiarkan Teh menguruskan yang berbaki.
"Aku tak sangka kau ingat lagi cerita tu, Farha!"
"Gila kau tak ingat! Sebab tulah aku boleh fall in love dengan abang kau." Farha menekup pipi.
Disebabkan isu hangat itulah boleh terbinanya satu hubungan baharu antara dia dengan Teh. Kalau nak dihitung pakai jari, tak terkira banyaknya memori manis mereka berdua dahulu. Dia patut berterima kasih kepada Izzul kerana telah menjadi pemula segalanya.
"Okey. So hari ni kita akan jumpa dengan hero Farhatun Najwa suatu ketika dahulu!" Han bersorak riang. Menambahkan rasa teruja dan berdebar dalam hati Farha sekarang.
Happy reading!
Share this novel