SEPASANG mata Teh memerhati tangan Farha yang tergenggam erat, petanda bahawa gadis itu sedang cuba mempertahankan dirinya. Dari tadi lagi Farha tak berani untuk mengangkat wajah memandangnya walaupun seketika. Dia mengeluh berat.
"Farha," serunya. Gadis itu masih menunduk.
"Awak apa khabar?"
"Alhamdulillah, good. A... awak?"
"Saya macam yang awak tengok sekaranglah. Getting better." Teh tersenyum manis. Dia cuba menghapuskan kekekokan antara mereka sementara diberikan peluang berdua-duaan oleh Han.
Hello, ingat dia tak cerdik sangat ke? Dia sudah dapat menangkap rancangan Han sejak awal tadi. Tapi dia malas mahu berbahas. Barangkali ini ruang untuknya bermesra semula dengan Farha.
"Kenapa awak tak berani tengok saya? Saya bukannya dracula pun. Jauh sekali ada taring," Teh tergelak kecil dengan lawak sendiri. Namun itu tak mampu mengubah tindakan Farha. Keadaan Farha masih sama seperti tadi. Defending herself, tertutup.
"Kalau awak masih teringat pasal benda lama, it's okay. Tapi awak kena tahu... saya dah lama lupakan apa yang dah terjadi. Saya tak kisah siapa pun awak sekarang, kedudukan awak di hati saya masih sama."
Ayat terakhir Teh itu menyentakkan Farha sampai mampu membuatkan kepala itu terangkat merenung Teh. Pandangan mereka bertembung lama. Lambat-lambat Farha mengukir senyuman nipis membalas senyuman manis Teh.
"Terima kasih," ucap Farha, perlahan. Agak-agak sampai ke telinganya dan Teh sahaja.
"Anyway, setia betul awak dengan Han kan? Sampai ke sini awak ikut dia!"
Dia merasakan ketegangan atmosfera tadi sudah beransur lega. Belakang tubuh disandarkan ke kerusi seraya berpeluk tubuh. Sepasang matanya masih terus merenung Farha namun sesekali dia membuang pandang ke arah lain. Rasa malunya masih tersisa.
"Nak buat macam mana? Dapat kerja kat situ sekali."
"Awak kerja satu bangunan dengan Han ke?"
Farha menggelengkan kepala. "Taklah... cuma tempat kerja kitorang dekat je. Senanglah sewa rumah sekali je."
Teh mengangguk-anggukkan kepala. Dia mengintai celah-celah orang ramai namun masih tak kelihatan pula dua orang manusia tadi. Risau pula dia dengan Han. Bukan boleh bawa bertenang kalau dapat adik sengal macam tu. Jangan Han buat bukan-bukan dengan Ayden sudah!
"Lama pula diorang pergi beli Tealive," omel Teh.
Tiba-tiba dia bangkit dari kerusi. Mata Farha ikut memandang lelaki berhoodie kelabu yang dipadankan dengan jeans hitam itu. Lengan hoodie yang sengaja disingsing oleh Teh menampakkan urat-urat lengan kekar itu membuatkan Farha teruja dalam diam.
"Saya nak pergi order. Awak nak apa-apa?"
"Tak apalah, saya pergi-"
"Eh, tak payah! Kalau awak pergi, siapa nak jaga meja, Farhatun Najwa? Awak duduk je sini. Saya belikan. Awak nak apa?"
"Hmm, mihun sup je."
"Okey. Air?"
"Te-"
"Teh o ais limau? Okey."
Farha memandang Teh yang sudah melangkah jauh. Pipi yang terasa panas disentuh. Dia langsung tak menyangka lelaki itu masih mengingati nama penuhnya. Malah minuman kegemarannya pun kekal terselit dalam ingatan itu.
Wajah ditekup rapat ke meja. Hampir sahaja dia menjerit bahagia di situ namun mengenangkan dia di kawasan orang ramai, keinginan itu ditahan dulu.
***
  HAMPIR setengah jam menunggu, akhirnya Ayden dan Han kembali ke kafeteria. Mereka mengambil tempat di meja yang cuma ada Teh dan Farha. Kecur liur Han melihat char kuetiau yang terhidang. Masih panas berasap tipis tanda makanan itu baru sampai.
"Ha, lama korang pergi Tealive. Tolong bancuhkan air sekali ke?" perli Teh seraya menjeling Han yang berlabuh di sebelah Farha. Ayden pula mengambil tempat di sebelahnya.
"Kata pergi Tealive. Tak ada bahan bukti pun?"
Ayden pandang Han dan Han pandang Ayden semula sebelum tawa mereka pecah. Entah apa yang kelakar. Teh dan Farha merenung mereka dengan penuh tanda tanya.
"Dah habis minum kat sana. Seronok sembang-sembang dengan Han. Kau tak cakap adik kau ni lawak,"
Teh mendecit geram. Pandangannya tertumpu kepada Han semula. Gadis itu cuma menayangkan wajah tak berperasaan.
"Saya tak mungkir janji! Memang saya dengan Abang Ayden cuma pergi Tealive je. Kitorang tak melencong tempat lain."
Macam tahu-tahu yang Teh akan melepaskan amarahnya, Han terlebih dahulu back up diri sendiri. Teh menyedut rakus minumannya, berharap jus sejuk itu akan menenangkan hatinya yang sedang membara.
Dia memang tak suka kalau kawan-kawannya rapat dengan Han lantaran dia kenal perangai masing-masing. Kalau apa-apa buruk jadi, dia yang susah.
Mereka sambung makan dengan berselera. Sesekali bila Teh mengangkat wajah, dia perasan anak mata Han yang asyik mengerling ke arahnya.
"Awak tengok-tengok saya tu sebab nak saya punya makanan ke?" tegur Teh. Kelakar pula bila melihat Han malu-malu mahu mengaku. Eh, sejak bila ni? Bukan selama ni main aci redah je ke?
"Nakk," manja suara Han menjawab. Teh menolak pinggan nasi gorengnya kepada si adik lalu dia membiarkan Han menyuap beberapa sudu sebelum mengambilnya semula.
"Sedaplah, awak. Nak tukar makanan dengan saya punya tak?"
Teh mengerutkan dahi. Bibirnya mengomel tak puas hati sambil menghulurkan kembali pinggan nasinya kepada Han manakala pinggan Han dicapai. Sistem barter.
"Apa benda je yang saya ada awak tak nak? Semua yang saya nak makan, awak nak makan. Nasib awak perempuan, saya lelaki je. Kalau tak bakal isteri saya pun awak nak rembat kan?"
Semua di situ meledakkan tawa. Hah, kalau dah sampai tahap Teh membebel tu maknanya Teh benar-benar benganglah nampaknya. Mengenangkan waktu Zuhur yang kian sampai penghujung, mereka cepat-cepat memenuhkan perut dengan sisa hidangan di hadapan mata.
***
  BREK tangan ditarik rapat. Kemudian, dia mengintai tempat duduk belakang melalui cermin hadapan. Farha dan Han sudah terlentok lena di situ. Kepenatan pastinya setelah seharian suntuk mereka keluar berseronok.
Dalam diam, dia mencuri pandang pantulan wajah Farha. Gadis itu mempunyai seraut wajah yang menarik minat ramai lelaki. Sesiapa sahaja yang melihat akan jatuh cinta dengannya.
Tambahan pula, Farha ada nilai bonus yang mengangkat lagi darjatnya. Farha seorang pemalu. Walaupun sudah bertahun-tahun di bandar, perangai Farha masih persis dahulu. Dara pingitan sempurna.
Dia tersentak ketika melihat Ayden di tempat duduk sebelah berdeham perlahan membetulkan saluran tekak.
"Dah sampai ke?" Suara serak-serak basah Ayden kedengaran. Lelaki itu terpisat-pisat membetulkan duduk. Belakang tengkuk dipicit-picit lembut. Sengal pula rasanya lantaran dibiarkan tergantung terlalu lama sewaktu dia terlena tadi.
"Dah. Kau ni... nama je co-pilot tapi kau biarkan aku drive sorang-sorang. Sedap je kau 'membuta' macam yang lain."
Ayden tersengih lebar sambil menggenyeh-genyeh matanya. "Aku tak sedar pun nak lelap tadi."
Ketika Ayden berura-ura mahu berkalih ke belakang, Teh lekas menahan. Ayden bengang.
"Kau kenapa?"
"Kau nak pandang siapa?" Soalan berbalas soalan. Ayden nampak rahang Teh yang terketap rapat.
"Aku cuma nak tengok diorang buat apa,"
"Tak payah. Diorang tidur. Nanti aku kejutkan." balas Teh seraya menghidupkan iPhone. Seharian dia biarkan telefon bimbitnya dalam mod senyap. Rupa-rupanya banyak mesej yang masuk. Malas dia mahu membaca satu persatu maka dia scroll laju-laju.
Mengalah, Ayden tak jadi berkalih memandang belakang sebaliknya sepasang matanya merenung Teh. Tak dinafikan, lelaki itu memang kacak dari segenap sudut. Dari sisi tepi ini pun dia sudah boleh melihat kening hitam yang terukir cantik, pucuk hidung mancung Teh serta seulas bibir merah tanda bebas merokok.
Lelaki perfect package.
Macam mana abang, macam itulah si adik. Dia mengaku Han yang baru dikenali beberapa jam yang lalu itu pun tergolong dalam gadis yang menepati citarasanya. Sesaat perasaan cemburu timbul. Seronok betul hidup sebagai keluarga sempurna ini. Semua benda ada!
"Carl,"
"Hmm,"
"Han tu memang betul adik kau kan?"
Jari telunjuk yang rancak menari-nari di atas skrin iPhone terhenti. Tumpuan Teh beralih kepada Ayden. Sebelah kening terjongket tinggi.
"Kenapa kau tanya macam tu?"
Tak semena-mena Ayden ketawa perlahan seraya mengusap-usap belakang tengkuknya.
"Tak adalah... kadang-kadang aku confuse tau tengok korang ni. Sweet sangat cara kau melayan dia. Risau pula aku kalau kau ada hati kat adik sendiri."
Balasan Ayden membuatkan Teh tergelak geli hati. Namun suaranya dikawal supaya tidak sampai mengejutkan Farha dan Han di belakang.
"Kau ni gila ke apa? Dia adik kandung aku kut! Kau sendiri tahu apa hukumnya kalau aku ada hubungan lebih daripada tu dengan dia,"
Air mata di hujung tubir disapu perlahan. Dia tak menyangka yang dia akan gelak sampai berair mata. Kenyataan Ayden kedengaran begitu kelakar baginya!
"Kau tak payahlah risau. Perasaan aku kat Han tak lebih daripada rasa kasih seorang abang kepada adik. Lagipun kau tahu kan hati aku ni dah berpunya?"
Ayden mencebik. "Dahlah, cepatlah kejutkan diorang. Aku nak balik rumah ni, nak mandi. Melekit habis badan aku. Tak selesa!"
"Yelah! Yelah!" Teh mengalah.
Happy reading!
Share this novel