MINYAK wangi disembur ala kadar lalu buat kali terakhir dia memastikan letak duduk rambutnya sempurna. Kalau perempuan sangat menjaga awning tudung, pantang disentuh sikit pun, lelaki pula sangat menjaga rambut. Itulah 'mahkota' seorang lelaki.
Usai siap semuanya, dia mencapai dompet dan berlalu mendapatkan Han. Beberapa minit yang lalu, dia dah menelefon pemandu peribadi yang akan ditugaskan untuk menjadi pemandu pelancong selama 3 hari 2 malam mereka di sini.
Kornea matanya disapa sekujur tubuh yang sedang terbaring mengerekot di atas sofa. Alahai, comelnya! Macam ulat beluncas.
"Han, bangun... Kenapa awak tidur pagi ni?"
Mengenali Han, dia tahu gadis itu bukan jenis yang suka menghabiskan waktu pagi dengan lena. Lantaran Han sangat berpegang kuat kepada sebuah hadis Nabi yang mendoakan keberkatan umatnya pada setiap pagi.
"Han," Tubuh isterinya digoyang-goyangkan sampailah Han terpisat-pisat bangun dari pembaringan.
"Awak, saya mengantuk..."
Dengan selamba badaknya Han melingkarkan tangan ke pinggang Arsalan. Tak cukup dengan itu, dia menyambung tidur berbantalkan dada bidang itu. Arsalan ketawa halus seraya mengusap-usap kepala itu.
"Awak kata nak keluar jalan-jalan,"
"Mengantuk..."
Mata Arsalan memerhati wajah isterinya. Walaupun dalam keadaan tidur masih nampak cantik. Bergetar jantungnya melihat seraut wajah Han.
Baginya, Han biasa-biasa sahaja. Kalau nak dibandingkan dengan sejuta gadis lain, Han memang kalah. Tapi kerana kuasa cinta, wajah Hanlah yang dia puja setiap hari. Biasa-biasa pun boleh jadi luar biasa bila hati dah suka.
"Mengantuk teruk sangat ni kenapa?"
Pucuk hidung Arsalan bermain di pipi mulus itu. Sukanya dia melihat sepasang bulu mata hitam dan lebat itu berehat bila Han menutup mata. Lentik sangat!
Ini kalau dapat anak, mesti anak pun bulu mata lentik. Bulu mata ayah dah lentik, mak pun lentik. Arsalan tersengih menghitung-hitung sendiri.
"Sebab bangun awal sangat pagi tadi,"
"Sebab tulah kita disunatkan qailullah. Tidur sekejap waktu sebelum Zohor tu supaya senang nak qiyamullail."
"Apa lah?"
"Qai-lul-lah, ya rouhi."
"Hmm,"
Arsalan mengintai wajah itu. Sepasang mata si gadis masih tertutup rapat. Dah macam kena lekat dengan gam, berat sangat nak diangkat gayanya.
"Han, nak keluar ke tak ni? Saya dah call driver suruh ambil kita."
Sebelah mata itu tercelik merenung Arsalan. "Awak dukung saya masuk kereta boleh?"
Si lelaki terbata-bata. Bila Arsalan asyik melarikan anak mata, Han tahu Arsalan sedang menahan malu.
Tubuh itu ditolak menjauh dan dengan terhuyung-hayang dia menghayun langkah ke pintu bilik.
"Saya tahu dah awak mesti tak nak,"
"Han, janganlah macam tu... Saya bukan tak nak,"
"Habistu kenapa awak tak balas permintaan saya on the spot?"
Arsalan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ah, sudah! Dah jadi satu hal pula nak kena pujuk si Han.
Saat dia berkira-kira menyusun ayat untuk menenangkan hati itu, deringan telefon bimbit di dalam kocek seluar mengganggu. Dia mengeluarkan gajet pintar itu lantas menjawab panggilan.
"Dah sampai? Aa... okey, nanti saya turun."
Talian putus. Dia segera menggamit Han untuk turun ke lobi memandangkan pemandu peribadi sudah siap menunggu di situ.
***
  "PENAT!" Han melabuhkan punggung di atas tembok kolam yang membenteng air pancur di tengah-tengahnya.
Kedua-dua belah kaki diluruskan sebelum dia menumbuk-numbuk perlahan betis yang terasa sengal. Hampir seharian mereka berjalan mengelilingi kota indah ini, lelahnya sangatlah terasa.
"Lenguh ke?" tegur Arsalan tatkala perasan Han sibuk dengan kaki sendiri.
Han mengangguk-anggukkan kepala sebagai balasan. Pandangan ditebarkan ke sekeliling. Hujung vermilionnya terjongket tatkala pandangannya disapa sesuatu yang menarik.
"Awak, nak tu!"
"Apa?"
"Tuu..." Bibir dimuncungkan ke satu arah.
Arsalan menjulingkan mata sebelum mengarahkan pandangan ke arah yang ditunjuk.
"Aiskrim?"
"Haah."
"Awak ni macam budak-budak la,"
"Siapa kata aiskrim untuk budak-budak je?"
"Awak cuba tengok, mana ada orang dewasa beratur kat gerai aiskrim tu! Kalau ya pun sebab nak belikan untuk anak diorang je,"
"Eh, samalah! Saya minta awak belikan untuk anak juga,"
Perut ditepuk-tepuk perlahan. Mata Arsalan mencerlung tajam.
"Awak jangan macam-macam. Anak siapa pula dalam perut tu?"
"Anak awaklah... tak terbentuk lagi," Sengihan ditayang lebar. Puas hati dapat mengenakan suami sendiri.
Arsalan mendecit geram. Sempat dia memandang sekeliling memastikan line clear sebelum tangan Han dicapai dan digigit manja. Itu pun Han mengaduh macam kena gigit dengan buaya.
"Aduhh... sakitlah! Berbekas ni,"
"Nasib kat luar. Kalau tak, bukan tangan awak je yang saya gigit tapi pipi awak. Nak?" Arsalan menjegilkan mata.
Sepantas kilat Han menggeleng-geleng tidak mahu. Siapa je rela nak kena gigit oi? Gigitan manja si Arsalan tadi pun macam nak melepas geram. Entah berapa lama dah cik abang tu tahan.
"Cepatlah, pergi beli."
"Yalah, Adik Han. Abang pergi beli ya?" Mengalah, Arsalan bangun menuju ke gerai tadi.
Beberapa minit kemudian dia kembali dengan dua batang kon aiskrim. Salah satunya dihulurkan kepada Han. Han sambut dengan wajah cemberut.
"Kenapa vanila?"
Aiskrim Arsalan dijeling. Mana aci! Aiskrim Arsalan berperisa coklat. Nikmat semacam je gaya Arsalan menjilat konfeksi lazat itu.
"Kenapa? Awak minta nak aiskrim je kan tadi? Awak tak ada pula cakap tak nak vanila."
"Saya tak suka vanila! Saya suka coklat." Mata Han tertuju pada aiskrim dalam genggaman suaminya.
Perasan dengan arah mata itu, Arsalan melarikan konfeksinya. "Mana boleh! Ni aiskrim saya. Kalau awak nak juga, pergi beli lain."
"Alah, bagilah saya!"
Han merengek sambil cuba merebut aiskrim itu dari tangan Arsalan. Arsalan pun sama naik, tak nak mengalah dengan Han. Berterusan dia melarikan aiskrim itu supaya Han tak dapat capai.
Tanpa diduga, isi kon aiskrim Arsalan tercampak ke tanah. Barulah mereka berhenti berebut. Mata masing-masing tertumpu pada aiskrim yang menjadi mangsa keadaan itu.
"Awak..." Takut-takut Han memanggil suaminya. Namun Arsalan cuma diam mengunci mulut. Rahang terketap rapat.
"Awak, saya minta maaf! Saya belikan lain untuk awak eh? Saya minta maaf," Berulang kali ayat itu bermain di bibir Han.
Dia betul-betul rasa bersalah. Disebabkan dia, Arsalan tak dapat menikmati aiskrim itu.
"Nak dompet. Saya tak bawa duit. Nanti saya ganti,"
Dahlah bagi jatuh aiskrim orang. 'Pau' orang pula tu. Memang berani mati betullah tindakan Han sekarang.
Mujur Arsalan tak cakap banyak. Langsung dihulurkan dompet kulitnya kepada Han.
Han membelek-belek ruang dalaman itu sebelum tangannya menarik keluar sekeping gambar polaroid yang menarik minatnya.
"Siapa ni?"
Mata Arsalan membulat. Gambar polaroid itu dirampas kasar, sekali dengan dompet. Han terpempan.
"Awak duduk jelah sini. Biar saya beli," ujar Arsalan seraya beredar meninggalkan Han.
Han memerhati langkah Arsalan dengan rasa kosong. Fikirannya masih ligat mencari klu di sebalik gambar tadi. Kenapa Arsalan macam marah bila dia jumpa gambar itu?
Happy reading! Do follow my IG, @wxlvxrinx Kalau nak saya followback, just let me know :)
Share this novel