23 | Ajal

Romance Series 14468

     SEORANG demi seorang sudah pergi meninggalkan tanah kubur. Akhirnya, cuma dia yang masih setia bersimpuh di tepi timbunan tanah. Unsur bumi itu masih merah dan basah tanda baru sangat jenazah dikebumikan.

Tap!

Air mata jatuh menimpa tanah. Entah bila matanya kabur lalu cecair yang bergenang itu tumpah menelusuri lurah pipi.

"Mak, kenapa tinggalkan Farha? Farha tak puas lagi hidup dengan mak," rintihnya sayu.

Batu nisan yang tercacak disentuh. Ukiran nama penuh Rahimah diperhalusi dengan hujung jemari. Makin laju air matanya bercucuran.

Dia berusaha menahan perasaan namun dia tewas jua pada penghujungnya. Esakan halus terbit dari bibir mungil Farha. Menangisi pemergian wanita kesayangan.

Keadaan itu berlarutan sampailah ada tangan yang dirasakan menyentuh pundak kanan Farha. Sekelip mata si gadis mengalihkan wajah mengintai si pemilik tangan yang begitu berani sekali membiarkan jemari berlabuh pada anggota tubuhnya.

"Sudahlah tu. Dah tertulis ajal dia, kita tak mampu ubah apa-apa." Suara itu memujuk lembut.

Tatkala mata mereka bertemu, darah Farha menyirap sampai ke kepala. Wajahnya membahang amarah. Malah, dia bagai dapat merasakan ada asap yang sedang keluar dari serombong telinganya tika ini.

Tangan tua yang masih berada pada bahu ditepis kasar. Lantas Farha berdiri tegak menghadap makhluk Tuhan yang tega bersuara kepadanya sekejap tadi.

"Datin buat apa datang sini?" Dingin suara itu. Sedingin renungan tajam yang Farha hadiahkan buat wanita berjubah hitam yang dipadankan dengan tudung berwarna gelap.

Wanita itu tersenyum nipis. Berharap dengan secebis rekahan bibir yang dia cipta itu mampu menenangkan hati Farha yang sedang membara. Dia maklum bahawa darah muda cepat sahaja panasnya. Moga cepat juga reda hendaknya.

"Saya tanya Datin buat apa datang sini? Tak rasa jijik ke hah?" tegas Farha. Malah, kedengaran sangat kasar bunyinya.

Ah, apa dia peduli sama ada manis untuk didengar ataupun tidak! Persetankan! Yang penting makhluk di hadapannya sekarang ini tidak pantas pun menayangkan wajah pada pandangannya.

Tidak sekali-kali!

***

     RUANG tamu jadi tempat melepak abang-abangnya pagi itu. Sudah lama mereka tidak berkumpul bersama. Maka apabila diberi peluang untuk bertemu dek majlis perkahwinan Han, banyak pula cerita yang keluar. Rancak betul suara garau mereka bersembang dan sesekali ada tawa kuat yang terlepas.

Suara anak-anak saudaranya pun sama naik. Riuh bunyi Wafiq bermain dengan sepupu-sepapatnya. Mentang-mentanglah dia yang paling tua, habis diarah orang lain buat itu ini.

"Tembak Ucu!"

Han layankan sahaja. Dia mimikkan reaksi kononnya mati ditembak pistol mainan Wafiq dan yang lain. Lidah dijelir dengan mata yang terpejam rapat.

Wafiq mendekat dan mengintai-intai keadaan Han yang masih berpura-pura itu. Tatkala Wafiq leka, Han terus menangkap tubuh kecil anak saudaranya dan digomol puas-puas.

"Aaaa Ucu! Lepas!" Wafiq menjerit-jerit sambil meronta ganas. Habis digigit lengan Han sampai merah-merah. Itu tak campur diserang 'anak-anak buah' si Komando Wafiq lagi. Lunyai Han mereka kerjakan.

Han angkat bendera putih jua akhirnya. Tubuh Wafiq dilepaskan. Berlarilah anak kecil itu menghampiri kelompoknya semula.

Baru dia berkira-kira untuk sambung mengganggu anak-anak kecil itu, tiba-tiba perhatiannya dicuri dengan topik yang sedang dibahaskan sesama saudara lelakinya.

Pendengaran dipicingkan. Sungguh-sungguh mahu mendengar isu apa yang mereka sedang borakkan dengan suara yang agak perlahan berbanding tadi. Kadang-kadang seronok juga mendengar gosip lelaki ini. Boleh tahu banyak yang mereka kutuk daripada puji.

"Kau nak balik bila, Along?" soal De sambil menyambut anak perempuan yang berlari ke arahnya. Diangkat naik ke atas riba. Rengekan manja itu dia layankan.

"Rancangnya hari ni, insya-Allah. Tapi sebelum balik tu aku nak singgah rumah Farha dulu."

"Ah, iyalah! Aku pun nak pergi sana juga. Alang-alang tu pergi sekali jelah, Long."

"Macam tak elok pula bila abah umi je pergi tengok Farha,"

Dahi Han berkerut bersama hati yang dijentik rasa tak senang. Kenapa nama Farha yang disebut? Apa yang dah jadi dengan teman baiknya itu?

Tak mahu terus berteka-teki, dia segera mengambil tempat di tengah-tengah sofa. Kiri kanannya diapit oleh Teh dan Angah. Lalu, dia menyergah mereka tanpa salam.

"Kenapa dengan Farha?"

Mata Teh berkalih merenung Han lalu soalan itu dibalas dengan soalan. "Awak tak tahu ke?"

"Tahu apa?"

Teh pandang Angah minta bantuan. Tak sampai hati pula mahu mengkhabarkan berita yang mereka terima.

"Mak Farha mening-"

"Bila?" Tak sempat Angah mahu menghabiskan ayat, Han sudah menyoal laju. Punggung itu terangkat sendiri dari sofa. Wajah Han nampak begitu terperanjat dengan khabar itu.

"Semalam. Tak ramai yang tahu sebab mak dia meninggal waktu majlis awak."

Lutut Han melemah. Hampir sahaja dia jatuh ke lantai kalau Teh tak menarik dulu pinggang itu lalu didudukkan semula di atas sofa.

Setitis demi setitis air mata Han tumpah. Walaupun Puan Rahimah itu bukan ibu kandungnya tetapi dia bagaikan dapat merasai kesedihan Farha saat ini. Pasti Farha hilang punca bila wanita kesayangan yang telah menjaganya dari kecil sampai bergelar seorang gadis itu telah dipanggil menghadap Ilahi.

"Patutlah Farha tak datang majlis saya,"

Teh mengusap-usap perlahan belakang tubuh itu, memujuk Han supaya bertenang. Tak semena-mena, Han mengelap rakus air matanya. Dia bangkit berdiri semula.

"Bawa saya jumpa dia!" Han menarik kasar tangan Teh. Tubuh si lelaki mendadak terdorong ke depan, terkesan dengan tarikan itu.

"Err..."

Teh mengerling Along. Mereka berbalas bahasa isyarat sebelum Teh melepaskan keluhan berat. Mengalah. Akhirnya dia mengangkat punggung yang masih melekat di atas sofa.

"Bersiaplah. Awak bagitahu dulu kat Alan yang awak nak keluar." arah Teh.

Tanpa membuang masa lagi, Han berlari laju ke bilik tidur mendapatkan Arsalan. Mujur ada tudung Ariani yang tersangkut di belakang pintu. Dia capai dan menyarungkannya ke kepala.

Kemudian, didekati Arsalan yang sedap diulit lena. Kasihan lelaki itu. Baru nak lelap lantaran tadi diganggunya. Tak sampai hati nak kejut tapi dia cuba juga menyentuh sikit lengan sasa itu. Kalau Arsalan bangun, bangunlah. Kalau tidak, dia akan beritahu kemudian sahaja.

Arsalan menyentak lengan, terkejut dengan rasa sejuk yang tiba-tiba mencuit tubuh panasnya. Sepasang mata itu terkuak luas. Terpisat-pisat si lelaki membalas renungan Han lalu disoal dengan suara serak-serak basah,

"Kenapa?"

"Saya nak keluar tengok kawan saya. Mak dia baru meninggal."

"Saya ikut," Arsalan berkira-kira mahu menjulurkan kaki ke bawah namun ditegah Han.

"Tak payahlah. Awak rehat."

Risau melihat wajah merah Arsalan. Dahi itu diraba. Suhu tubuh itu sangat tinggi. Mana mungkin dia membiarkan Arsalan ikut serta. Nanti kalau Arsalan pengsan, siapa nak tanggung?

"Saya keluar dengan Teh. Tak lama pun, insya-Allah. Awak rehat ya?"

Arsalan menganggukkan kepala. Dia pun rasa dunia berputar tiap kali dia membuka mata. Ada baiknya dia turutkan sahaja pesanan si isteri supaya tidak menyusahkan sesiapa nanti.

"Sebelum saya keluar, awak nak apa-apa tak? Air nak?"

"Ada lagi air semalam. Tak payahlah," tolak Arsalan seraya menjuihkan bibir pada sebuah bekas minuman yang diletakkan di atas meja solek.

"Kalau awak nak apa-apa, panggil je Along atau Angah. De pun ada kat luar tu." Bermacam-macam pesanan keluar dari mulut Han. Kalau ikutkan hati, dia tidak sampai hati nak meninggalkan Arsalan sendiri tapi dia perlu juga melihat keadaan Farha sekarang.

"Ya. Saya okey je. Awak pergilah,"

Usai mendapat keizinan seorang suami, Han segera beredar dari situ. Arsalan pula merebahkan semula kepala ke atas bantal, mahu sambung berehat.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience